August 24, 2010

Surau Al-Huda: Kecil Bangunan, Besar Peranan

Kajang Sentral, 12 Ramadhan = 22 Ogos (Ahad):


Kira-kira lebih lima tahun yang lalu bila pemilik-pemilik dua bloks apartment di Kajang Sentral mulai berpindah, penduduknya mulai menyedari betepa perlunya ada sebuah surau di sini. Bila tiba bulan Ramadhan keperluan untuk menunaikan salat fardhu dan tarawih makin terasa. AJK, pernah berusaha mengadakan musalla bagi salat tarawih di tapak pakir di bawah bangunan kediaman lima tingkat itu. ADUN Kajang sendiri pernah datang berjemaah di musalla tersebut. Oleh kerana musalla tersebut tempat terbuka dan boleh diceroboh, termasuk oleh anjing, maka musalla berkenaan selepas itu tidak lagi digunakan.


Ketiadaan Surau menyebabkan AJK penduduk membentuk AJK mendirikan surau di Kajang Sentral. Tapak surau dikenalpasti, bahkan ADNS Kajang pada masa itu pernah merasmikan tapak surau berkenaan, tetapi agak tertangguh oleh kerana tidak kecukupan dana, hinggalah tiga tahun lepas dana didapati dan surau didirikan dengan kos lebih RM70,000 dan dapat digunakan sejak dua tahun yang lepas. Surau dinamakan Al-Huda bertempat bersebelahan apartmen dan berdepan deretan kedai di pinggir lebuhraya Silk dan berdekatan dengan Taman Bukit Kajang Baru.

Oleh kerana apartment di sini berada dipinggir jalan Silk di sebelah kiri menuju ke Semenyih yang di sebelah seberang ialah Kajang Utama dan tidak ada tanah lapang dan tiada sebarang padang, maka fungsi Surau Al-Huda ini amatlah penting, bukan saja sebagai tempat ibadat, tetapi sebagai tempat bertemu dan kegiatan kemasyarakatan penduduk setempat. Di sini juga anak-anak dapat berhimpun sama ada datang mengaji agama atau pertemuan secara berkawan dan juga mengadakan kegiatan-kegiatan remaja.


Petang ini ADNS Bangi datang berkunjung ke Surau Al-Huda bersalat asar berjamaah. Sebelum masuk waktu asar, ADNS dapat melihat ramai anak-anak hadir ke surau, mereka juga berperanan bergotong royong memasak bubur lambuk. Mereka juga giat sekali membasuh dan membersih periuk dan peralatan memasak dan membungkus bubur lambuk untuk diagih dan diedarkan. ADNS datang bertujuan merasmikan pengagihan bubur lambuk yang dimasak secara gotong royong.

Bila diminta untuk berucap secara ringkas, ADNS Bangi memuji sifat bersatu padu penduduk dan menjalankan berbagai kegiatan secara berjamaah. Sifat ini hendaklah diteruskan. ADNS melihat Surau Al-Huda ini amat penting bagi kegiatan ibadat, pendidikan, kebajikan dan kemasyarakatan, kerana tiada ruang yang lain untuk dijadikan tempat kegiatan dan sukan. Sebab itu pihak AJK Surau hendaklah memikirkan bagaimana surau ini boleh menjadi tempat berbagai-bagai kegiatan. ADNS juga mencadangkan sedikit tanah berada di hadapan Surau segera digunakan bagi taman permainan dan asuhan anak-anak dengan melengkapkan tempat berkenaan dengan infrastruktur dan peralatan. ADNS Bangi sedia membantu sedikit sebanyak.

ADNS Bangi difahamkan fungsi surau ini menjadi lebih dirasai dengan hadirnya pelajar-pelajar UNIKL yang memilih bangunan yang baru didirikan berdekatan sini sebagai kampus pelajar-pelajar Pemangkin Perubatan. Pelajar-pelajar berkenaan turut datang berjamaah dan bersalat tarawih. Beberapa agensi lain juga dibuka di sini seperti MIROS (Keselamatan Jalanraya) dan berbagai-bagai bidang komersil dan swasta.


Pada petang ini, anak-anak dan para penghuni apartmen di sini turun beratur dan menerima agihan bungkusan bubur lambuk.

Sekian.

No comments:

Post a Comment