August 18, 2010

Ziarah Council Home, Memahami Masalah Dan Sampaikan Bantuan

BBB, 04 Ramadhan = 14 Ogos (Ahad):


`Council Home` adalah rumah perlindungan sementara bagi mereka yang miskin – termasuk ibu tunggal yang daif. Mereka ditempatkan di dua bloks rumah pangsa 5 tingkat yang setiap bloks mempunyai seratus unit kediaman. Sewa yang dikenakan serendah RM124.00 sebulan. Mereka diberi subsidi dari segi sewa oleh pihak Kerajaan Negeri Selangor, sementara mereka pulih dari segi ekonomi dan dapat berdikari serta mendapat tempat kediaman yang lain. Mereka yang diberi peluang tinggal di sini digalakkan berusaha mencari peluang pekerjaan yang lebih baik bagi memperbaiki ekonomi diri. Mereka yang diberi peluang menduduki unit-unit perumahan di sini dilarang keras memberi sewa kepada orang lain. Jika didapati, tindakan mengeluarkannya dari rumah subsidi ini akan diambil

Baik bulan Ramadhan, maupun pada bulan-bulan yang lain keutamaan bantuan adalah kepada penghuni-penghuni rumah Council Home. Demikianlah pada tahun ini tumpuan menyampaikan bantuan Ramadhan dan juga Hariraya adalah lebih dahulu kepada penghuni-penghuni di Council Home. Demikianlah pada tahun ini Ziarah bagi Menyampaikan bantuan adalah terhadap penghuni-penghuni di Council Home. Pada tahun-tahun lepas kita menyampaikan secara sekelompok di mana penghuni-penghuni berkelayakan di minta turun ke bawah dan dalam pertemuan beramai-ramai diagihkan bantuan.

Tahun ini kita mengubahkan pendekatan, iaitu dengan menziarah mereka dari unit ke unit dengan tujuan untuk bertemu dan melihat keadaan mereka sebenar. Demikianlah kita – AJK Kebajikan ADNS Bangi bersama AJK Perumahan bertemu dan menyampaikan bantuan kepada mereka – antaranya yang uzur dari segi fizikal, berpendapatan minimum, tetapi mempunyai anak ramai, Ibu tunggal ditinggal suami dan terpaksa berusaha bagi menanggung anak-anak yang tidak diambil perhatian suami setelah berpisah, ada keluarga yang menggantung harap pada bapa, tetapi terpaksa berhenti kerja kerana hilang penglihatan dan sang ibu terpaksa bekerja dengan pendapatan yang tidak mencukupi. Lebih malang ada sang suami dan isteri yang terlibat dengan penagihan dadah dan anak-anak terpaksa merayau-rayau mencari lebihan makanan dan kita dinasihatkan tidak memberi wang tunai, tetapi disampaikan bantuan dalam bentuk barangan makanan. Beberapa yang dilawati mendapat bantuan zakat dan Kebajikan Masyarakat





Dalam pada itu ada kita dapati tindakan tidak wajar, sang suami mengabaikan keluarga di sini kerana mengahwini perempuan pendatang Indonesia dan mengabaikan keluarga asal. Untuk mencari peluang menetap di sini ada pula perempuan Indonesia yang sanggup berkahwin dengan lelaki yang tidak berkemampuan, asalkan dapat tinggal menetap di sini. Selain daripada itu ada yang mengambil kesempatan dari peluang dan kemudahan yang diberi, secara senyap-senyap menyewakan kepada orang lain dengan sewa sehingga RM900/= sebulan. Tindakan perlu diambil terhadap pemyelewengan yang sedemikian.


Dengan ziarah sedemikian, kami berpeluang memahami masalah yang dialami penghuni-penghuni Council Home dari dekat. Di samping itu terdapat juga penyelewengan-penyelewengan yang berlaku yang perlu dibuat penyelidikan bagi mengetahui keadaan sebenar dan jika benar, tindakan perlu diambil pihak pengurusan.

Sekian.

No comments:

Post a Comment