August 3, 2010

Gelombang Selamatkan Selangor Dari Apa ? Jawapan: Ceramah Di Balakong, Perlu Diselamatkan Ialah Negara !

Serdang, Selangor, 20 Sya'ban = 01 Ogos (Ahad):


Poster-poster direntang di sekitar Bangi - `Gelombang Selamatkan Selangor ! Selamat dari apa? Ini pertanda bahawa Umno-BN mempertingkatkan kempen mereka kononnya untuk menawan negeri Selangor. Malam ini mereka adakan ceramah di kawasan Dewan Negeri Selangor (DNS) Bangi bertempat di Kajang Impian, Bandar Baru Bangi. Top figure yang turun ke situ pada malamnya YB Dato' Noh Omar Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Negeri Selangor – Kita dimaklumkan dihadiri lebih kurang 100 orang. Umno Selangor nampaknya mengambil pendekatan Pilihanraya Umum Negeri Terengganu 2004 dengan slogan "Gelombang Biru" yang berjaya merampas negeri Terengganu dari Pas. Adakah pendekatan ini atas nasihat dari Idris Jusoh? Cuma tidak dipastikan warna apakah gelombangnya – Biru juga ? Perlu diingat,masyarakat, lokasi dan situasi di Selangor berlainan dari Terengganu. Tiada ombak dan gelombang di sini seperti di perpantaian negeri Terengganu. Persepsi inteleks, tanggapan dan penilaian masyarakat di Selangor berbeza dari negeri Terengganu.


Mutakhir ini BN, Umno terutamanya melancarkan gelombang serangan terhadap kepimpinan Selangor. Antara gelombang isu-isu yang mereka lancarakan:

1) Isu Pasir
2) Isu Air
3) Isu perkauman
4) Isu Perpaduan
5) Isu Ekonomi

Bagi menjawab serangan, sebuah Ceramah diadakan di Impian Ehsan, Balakong malam ini bagi mematikan gelombang yang diada-adakan. Ceramah disampaikan oleh YB Dr. Shafie Abu Bakar ADNS Bangi, YB Teo Nie Ching Ahli Parlimen Serdang dan YB Salahuddin Ayob Naib Presiden Pas dan Ahli Parlimen Kubang Krian.

1) Isu Pasir

Menurut Dr. Shafie isu ini sengaja ditimbulkan, kerana peluang bagi pimpinan Umno mendapat faedah dari pasir tertutup. Dulu pasir diurus oleh pemimpin Umno setempat sebagai sumber parti dan individu. Ia dianggap bukan sumber ekonomi negeri. Hari ini PR mengawal melalui syarikat yang dilantik. Hasil dari jualan menjadi hasil negeri. Pada zaman Umno-BN, hasil didapati negeri beberapa juta, kini hasil pada zaman PR makin bertambah dari RM20 juta meningkat ke 30 juta. Akan dibaiki prestasi bagi meningkatkan hasil dan yang mendapat faedahnya ialah rakyat sendiri.

Menurut YB Salahuddin di luar dari Selangor, pasir dijual oleh Umno Johor kepada Singapura hingga Singapura mampu meluaskan kawasan 30 km. di Selatan Singapura. Hal ini pernah didedahkan oleh Akhbar The Star – Muka hadapan menurut YB Salahiuddin Ayob.

2. Isu Air

Sebelum 2001, air dikendalikan oleh kerajaan negeri yang dikenali dengan nama, Jabatan Bekalan Air. Pentadbiran berjalan baik. Bila polisi pengkoporatan dan pengswastaan dilakukan oleh Dr. Mahathir, maka negeri Selangor yang pada masa itu di bawah Menteri Besar Khir Toyo turut menjalankan polisi penswastaan dan air adalah salah satu sumber kewangan. Air asalnya ditadbir satu syarikat air menjadi beberapa syarikat air seperti Syabas, Abbas, Splash (dulu Indah Water pun di bawah Jabatan Bekalan Air), Ini semua tidak lain dari memberi peluang kroni mendapat keuntungan. Cadangan membawa air dari Pahang ke Selangor melalui Hulu Langat akan menaikkan kos. Dulu dijangka kos RM2 billion bertambah jadi RM8 billion dan ini akan terus naik, jika tanpa kawalan. Kos harga dan tariff air akan naik yang akan terus membebankan rakyat. Pada hal negeri Selangor tidak akan mengalami masalah air sekurang-kurangnya hingga 2019 bukannya tahun 2012 sebagaimana dikatakan.Sebenarnya andaian bagi memberi peluang bagi syarikat yang menanam modal mendapat keuntungan. Kerajaan Selangor berusaha meringankan beban rakyat dengan mengecualikan bayaran penggunaan di bawah 20 cubic meter. Jika kerajaan negeri berjaya mengambilalih pengurusan air Insya Allah air akan lebih murah.

3. Isu Perkauman

Gelombang yang dilancar Umno lagi ialah membangkitkan perasaan perkauman. Orang-orang Melayu ditakut-takutkan bahawa jika Umno-BN kalah dan tidak memerintah Negara ini, maka orang Melayu akan terancam. Peluang-peluang dan keistimewaan orang Melayu akan terlepas. Mereka juga mempertajamkan isu-isu yang mencuriga dan menakut-nakutkan orang Melayu. Seolah-olah Umno sajalah yang berjuang untuk mempertahankan kepentingan orang Melayu, sebenarnya Pas menurut YB Salahuddin memperjuangkan kepentingan Melayu yang lebih sejagat Melalui Islam, disamping kepentingan semua pihak.

4. Isu Perpaduan

Memperlihatkan bahawa Umno dengan gelombang ini menyedari dirinya makin lemah dan makin terhakis sokongan. Dengan mempermainkan isu perkauman, makin menyukarkan dan membimbangkan kaum lain, hatta di dalam BN untuk mendekatinya, bahkan mencurigainya. Sesungguhnya tindakan sedemikian adalah makin merugikan Umno sendiri. Dari satu pihak menunjukkan ketakutan pada Umno sendiri, sebab itu satu jalan bagi menyelamatkan kedudukan ialah dengan memujuk Pas bersatu. Menurut YB Salahuddin iaitu sesuatu yang tidak mungkin berlaku oleh kerana berlainan ideologi, falsafah dan tujuan. Pas mengambil pendekatan penyatuan berasaskan nilai-nilai Islam yang universal membela Melayu dan membela semua kaum dan bangsa secara amanah, telus dan adil.

5. Isu Ekonomi


Bagi gelombang ini Umno-BN mendakwa prestasi ekonomi Negara makin meningkat dan mereka akan mencapai matlamat kemajuan pada 2020, Tetapi YB Salahuddin Ayob menimbulkan sesuatu yang kontradik sebagaimana amaran oleh Idris Jala Menteri di Jabatan Perdana Menteri, bahawa jika subsidi tidak ditarik balik atau dikurangkan, maka Malaysia akan bankrupt. Sebenarnya di dalam masa Umno-BN mewar-warkan prestasi ekonomi semakin baik, pada hakikatnya keadaan sebenarnya ekonomi makin merudum. Banyak peruntukan dipotong seperti di Sekolah dan jabatan-jabatan kerajaan. Dari sudut ini dilihat kenaikan harga petrol, gas dan gula ditambah dengan saman ekor adalah usaha untuk mendapat cukai bagi menampung kekurang-kekurangan peruntukan bagi ekonomi Malaysia. Menurut YB Salahuddin Ayob, "Pihak pemerintah–Umno-Bn, melarang media menggunakan istilah 'Kenaikan Harga', sebaliknya menggunakan istilah - 'Penyelarasan'. Tapi menurut YB Salahuddin, "Rakyat bukan bodoh dengan pertukaran istilah."


Menurut YB Teo Nie Ching, "Ekonomi Malaysia sebenarnya di dalam keadaan teruk. Beliau memetik dari World Investment Report 2010 oleh Pertubuhan Bangsa Bersatu yang mengadakan persidangan 'On Trade and Development'. Antara yang diperkatakan YB Teo Nie Ching adalah perkara yang sama keluar di dalam akhbar pagi ini." According to the report the FDI (Foreign Direct Investment) inflow to Malaysia had dropped 81% from RM23.47 billion ((US $7,381) in 2008, to RM4.43 billion (US$1.381 billion) last year trailing behind Country like the Philippines, Vietnam, Thailand, and Singapore (Star, Aug. 2, 2010: 2)."

Kerencatan dari segi keamanan, membuat penduduk senantiasa dalam kebimbangan. Pelabur luar tidak mau datang. Ini membantutkan prestasi ekonomi negara, Contoh statistik Kes Jenayah yang makin meningkat:

Statistik tentang Jenayah

2005 - 2,427
2006 - 2945
2007 - 3,689
2008 - 5,968
2009 - 4,258 (sedikit menurun).

Sumber Dari Polis


Ini mencerminkan , bahawa kerajaan Persekutuan tidak mampu memperbaiki prestasi ekonomi, keamanan dan sosial, menyebabkan masyarakat merasa tidak tenteram dan mengancam pemerintah Negara sendiri. Sebenarnya apa yang dikatakan, Gelombang bagi menyelamatkan Selangor. Seharusnya gelombang bagi menyelamatkan Negara dari bankrupsi yang juga akan menenggelamkan Umno-BN. Jangan ganggu Selangor yang makin baik prestasi pentadbiran dan ekonomi.

Sekian.

1 comment:

  1. Perkara sebegini sebenarnya baik untuk kita. Agar kita berwaspada. Tidak leka. Sentiada berusaha. Bukan lena. Seperti apa yang terjadi di Terengganu semasa Gelombang Biru.

    ReplyDelete