Dalam Majlis Menyampaikan Bantuan Zakat kepada faqir miskin dan warga mas berjumlah 50 orang , di Balai Raya Teras Jernang pagi ini, Ketua Kampong – Encik Shukor Haji Jantan dalam alu-aluannya antara lain berkata, "Tahun ini kita bersyukur, kerana mendapat Penaja Bantuan, iaitu En. Adnan Shukri, Pengarah JKR Wilayah Persekutuan yang diwakili isterinya Puan Maria Yahya hadir sama.
Selain daripada itu, tahun ini jumlah penerima bantuan berkurang daripada tahun lepas. Ada ibu tunggal yang dulu dapat bantuan, kini menjadi pengusaha yang pendapatannya, saya kira melebihi daripada pendapatan sebahagian daripada kita! Statusnya bertukar dari penerima menjadi penderma.
Bila tiba giliran aku bercakap, aku pun antara lain berkata, "Tiap tahun dekat Ramadhan, saya senang hati datang ke Majlis Penyampaian Bantuan di Kampung Teras Jernang, kerana bila datang diberitahu ada penaja. Tahun lepas dari seorang Korporat. Mudah bagi saya, saya hanya penyampai, manakala tempat lain, kebiasaannya, kita menyediakan peruntukan dan sampaikan."
Kemudian aku menambah, "Tok Ketua Kampung kata tadi, jumlah penerima bantuan tahun ini berkurangan. Sudah ada ibu tunggal yang dulu menjadi penerima, kini jadi penderma dan berpendapatan lumayan melalui perusahaan yang diterokainya." Aku menambah kata,
"Saya bimbang Ibu Tunggal yang senang lenang itu, nanti diintai oleh orang luar. Silap-silap dibawa keluar. Yang rugi orang kampung di sini. Orang muda tak dapat tumpang kerja dan orang tua tak dapat lagi bantuan darinya."
Aku menambah, "Cara yang paling baik, seorang dari orang kampung di sini, kena kekalkan dia di sini dengan mengahwininya."
"Kalau tak ada yang sanggup, Ketua Kampunglah bertanggungjawab kena menyelesaikannya, supaya ibu tunggal itu tidak dibawa orang keluar dari kampung ini!"
Selepas Majlis Penyampaian, jamuan diadakan. Aku memang belum bersarapan pagi secara sempurna. Antara sarapan yang dihidangkan ialah Nasi dagang ala Kelantan berberas merah berlauk gulai ikan tongkol - ikan aya. Nasi dagang adalah makanan budaya orang Pantai Timur. Aku suka makan nasi dagang. Malangnya diletak sedikit sangat nasi dagang dalam pingganku. Mungkin dianggap aku tidak menggemarinya.
Bila makannya, memang sedap betul, kena dengan lauk gulai ikan tongkol. Nasi dagang yang di dalam pingganku memang tak cukup di makan. Untuk mencari helah untuk menambahnya, aku berkata secara bergurau,
"Eh! Sedap betul nasi dagang ni, kena dengan lauknya, siapa memasaknya!" Sambil aku menyenduk lagi lauk ikan tonggol dari mangkuk di hadapanku.
Mendengar ungkapanku, "Seorang Ibu pertengahan umur yang sedang melayan kami dengan bahan-bahan tambahan segera menjawab,
"Tambah lagi YB ! Tambah !" katanya sambil menyenduk nasi dagang menambahnya ke dalam pingganku. Mungkin beliaulah yang memasaknya, longhat cakapannya macam orang Kelantan, sebab itulah pandai memasak nasi dagang ala Kelantan!
Aku yang sebagai orang mengantuk disorong bantal menadah pinggan, tapi agak malu bercanggah dengan dalaman diriku dan berkata, "Jangan banyak sangat!"
Sesudah makan, aku dengan rasa puas mohon keizinan dari Ketua Kampung dan tamu-tamu kehormat untuk ke beberapa program yang lain yang perlu kuselesaikan sebelum Zohor hari ini.
Sekian.
No comments:
Post a Comment