August 10, 2010

TIRAM: Perlu Dipertingkatkan Sebagai Institusi PR

BBB, 28 Sya`ban = 09 Ogos (Isnin):

TIRAM adalah singkatan bagi badan – Tabung Idaman Rakyat Malaysia.

Penasihat: Y.B. Dato` Paduka Husam bin Musa
Pengarah J/K Penganjur Majlis Makan Malam Mega & Ahli Lembaga
Pemegang Amanah (ALPA).
Ir. Izham Hashim
ALPA: Y.B. Dato` Kamarudin Jaffar
ALPA: Ahmad Shabrimi Mohamed Sidek
ALPA: Alex Ong Kiang Yen
ALPA: Asmawi Mohamad


Menanggapi TIRAM ini bagiku sekurang-kurangnya ada tiga tahap perubahan tanggapan. Aku menerima tiga bahan maklumat tersurat – 2 pamphlet dan satu surat jemputan. Impresi pertamaku lebih dipengaruhi indera penglihatan. Melihat kepada gambar-gambar yang menjadi latar bagi suratan yang tiba padaku, bahawa TIRAM adalah anjuran Pakatan Rakyat, kerana gambar latar adalah tokoh-tokoh utama Pakatan Rakyat, YAB Dato` Nik Abdul Aziz Nik Mat Mursyidul Am Pas, Dato` Seri Anwar Ibrahim Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat dan YB Lim Kit Siang Penasihat Parti DAP. Tanggapanku TIRAM adalah sebuah badan di bawah PR yang diamanahkan bagi menghimpun dana bagi menghadapi pilihanraya yang dijangka dekat. Dengan itu aku menanggapi ada pergerakan yang lebih positif sekurang-kurangnya dari segi kerjasama menyediakan dana bagi menghadapi pilihanraya secara bersatu sekurang-kurangnya dari segi persediaan dana. Aku juga menanggapi sungguhpun tiada siapa yang berani melebur diri bersatu dari segi identiti menghadapi pilihanraya, kerana masing-masing menyangka mempunyai kekuatan sendiri ?, tetapi sekurang-kurangnya ada usaha kerjasama untuk bersama-sama menghimpun dana dan menggunakan bersama bagi menghadapi pilihanraya dan perkara-perkara yang berhubung dengannya. Atas tanggapan ini aku memang sokong dan bersedia hadir pada malam 7 Ogos itu.


Sememangnya pada malam 7 Ogos itu aku hadir, walaupun agak letih,kerana seharian pada siangnya turun padang dan antaranya ke Hulu Selangor atas kepentingan parti. Tanpa memberitahu pengiringku, tak mau menyusahkannya kerana aku tahu dia juga letih. Aku memandu bersendirian ke Stadium Malawati Shah Alam. Di Stadium aku ditempatkan di meja bahagian depan bersama dengan Saudara Bakaran Timbalan Pengerusi Dewan Himpunan Pusat. Bila majlis pelancaran bermula dan tamu-tamu istimewa dari kepimpinan ketiga parti tidak tiba – tanggapanku mula berubah, bila diumumkan yang datang hanya wakil-wakil sahaja. Pertanyaan timbul apakah TIRAM sebenarnya bukan dari projek PR ? Tetapi ianya soalan terbenam di dalam benak kepalaku sahaja.

Aku mulai mengikuti ucapan-ucapan.

Saudara Datuk Ngeh Hoo Kam Ketua DAP Perak yang mewakili YB Lim Kit Siang menganggap TIRAM satu usaha yang baik bagi mempertahankan demokrasi di Negara ini. Ini bercanggah dengan tindakan BN yang merampas Perak secara tidak demokratik pada 6 Februari 2009. Tindakan yang terkutuk dan perlu ditentang. Kini perjalanan dalam DUN Perak juga tidak demokratik. Kita perlu kembalikan demokrasi di Perak dan di Malaysia.

YB Senator Dr. Syed Hussein Ali yang mewakili Dato` Seri Anwar Ibrahim membicaraka tentang tektik kotor BN menggunakan media yang dikuasai mereka melaga-lagakan PR. Sedang media-media PR disekat. Menurutnya BN gagal di dalam mengendalikan ekonomi Negara menyebabkan 34% pekerja adalah di bawah paras miskin. 70% daripada mereka adalah dari kaum Melayu. Manakala yang kaya dan menguasai ekonomi Negara di kalangan hanya antara 3 hingga 5%.

Saudara YB Dato` Mahfuz Omar mengharapkan apa yang diimpikan bagi menegakkan demokrasi akan menjadi kenyataan, khususnya selepas kekuasaan politik di Negara ini dikuasai PR. Beliau menyelar ketidakadilan saman ekor dan bercadang mengadakan pertemuan dengan mangsa-mangsa saman ekor di ODT, MPAJ pada 10 Ogos nanti bagi membantah saman dan hukuman yang dianggap tidak adil.


Walau macam mana di dalam Majlis Pelancaran itu tidak ditimbulkan soal kerjasama mencari dana bagi kepentingan bersama, khususnya di dalam menghadapi pilihanraya, bahkan tidak ada pengakuan dan komitmen yang diambil semua parti baik secara bersatu atau berasingan bagi menghimpun dana. Apa yang dilakukan pada malam itu bagi menunjukkan pembelaan dan mendukung demokrasi ialah memberi penghargaan dan bantuan kepada keluarga mangsa-mangsa ISA dipuncaki dengan lelongan potret-potret.

Bila aku hendak menulis artikal tentang TIRAM ini, aku membaca surat dan pamphlet dan assosiasikan dengan apa yang kutanggapi tentang TIRAM sebelum ini, aku sebelum ini tak faham, bahawa TIRAM bukannya gagasan dari PR, tetapi dicetuskan oleh pendukung dan aktivis yang mendukung PR yang kebetulan sebahagian besar dari AJK tertinggi adalah dari Pas. Ia seolah-olah satu NGO yang mewujudkan satu institusi yang dinamakan TIRAM, iaitu seperti ISIS, IKD dan sebagainya. Lantaran itu pihak tertinggi ketua-ketua parti di dalam PR di dalam keadaan tunggu dan lihat sejauh manakah berjayanya TIRAM. Lagi pula kepada Penasihat dan beberapa ahli lembaga dengan penyokongan pihak atasan merupakan promosi bagi kedudukan mereka di dalam parti yang mungkin perlu dielakkan.

Tetapi jika gagasan TIRAM baik atau perlu diperbaikkan lagi baik dari segi kepimpinan, struktur institusi, pendekatan dan operasi, mengapa tidak ditingkatkan kepada institusi yang didukung oleh peringkat puncak PR. Bukankah PR memerlukan Institusi sedemikian yang dipertingkatkan oleh kerana:

Perlunya penyelidikan bagi memantapkan kerjasama parti-parti di dalam PR
Mencari titik pertemuan dan penyelarasan antara parti-parti di dalam PR
Mempromosi demokrasi dan praktiknya di Malaysia
Membina identiti Malaysia yang berperadaban dan tamadun
Mempraktikkan keadilan dan ketelusan
Mempraktikkan kepercayaan dan nilai yang mantap yang mengharmonikan Negara dan rakyat
Merakyatkan ekonomi Negara
Mengamalkan kebebasan dan ketelusan media
Menjadikan Negara maju di dalam berbagai bidang
Mengeluarkan penerbitan-penerbitan di dalam bidang-bidang di atas.



Dan banyak lagi boleh ditambah. Sebab itu badan seperti TIRAM perlu dipertingkatkan dan dijadikan institusi berwibawa didukung PR yang lembaganya mencerminkan wakil-wakil PR dan di bawah PR.

Sekian.

No comments:

Post a Comment