Sekarang kita berada di dalam bulan kemerdekaan. Menjelang tarikh Kemerdekaan 31 Ogos – 16 September kempen menyedarkan rakyat bagi mengingati kemerdekaan dilakukan menerusi media cetak dan letronik. Tanggapan mengenai erti kemerdekaan telah jauh berubah dengan perubahan zaman antara generasi kini dengan generasi lalu, khususnya yang berada dan mengalami situasi dan kancah perjuangan kemerdekaan. Sebahagian besar dari mereka yang mengalami zaman perjuangan kemerdekaan dan mereka yang berjuang telah berpulang. Kemerdekaan bagi generasi kini, ialah keseronokan mengadakan pesta-pestaan sambutan ulangtahun kemerdekaan. Lantas kemerdekaan bagi mereka ialah laungan kemerdekaan oleh Tunku Abdul Rahman yang memberi tanggapan beliaulah sahaja watak dan tokoh yang memperjuangkan kemerdekaan. Kemerdekaan juga ialah ucapan Perdana Menteri mengenai "Perutusan Kemerdekaan" yang disiarkan melalui media elektronik dan cetak. Kemerdekaan ialah berhimpun beramai-ramai di Dataran Merdeka, di Bukit Jalil atau di mana jua untuk menunggu jam 12.00 tengah malam berbunyi dan mereka bersorak beramai-ramai dan pesta hiburan diteruskan dengan pergaulan muda-mudi dengan secara bebas. Kemerdekaan bererti perarakan berlintas langsung dihadapan Perdana Menteri dan Ahli Kabinet mengangkat tabik hormat kepada mereka daripada pasukan beranika ragam yang berbaris di hadapan pentas. Pasukan-pasukan ini terdiri dari tentera, polis, kementerian, jabatan, Pengajian tinggi, NGO dan sebagainya. Kemerdekaran ialah lagu-lagu patriotik yang disiarkan oleh media-media letronak secara berulang-ulang dalam bulan kemerdekaan. Itulah tanggapan kini, terutama bagi generasi muda. Namun kita tidak boleh salahkan kepada belia dan remaja yang menanggapi "Kemerdekaan" adalah pestaan, kerana itulah pola dan konsepsi yang ditanggapi pemimpin yang memerintah kini dan diterapkan kepada kakitangan yang melaksanakan arahan-arahan.
Erti kemerdekaan sebenarnya lebih luas dan dalam. Bertentang dari apa yang ditanggapi di atas. Ramuannya darah dan korban, air mata dan kedukaan, waja dan kental semangat, penangkapan dan torture, penyiksaan dan penjara, nyawa dan kematian, bahkan gerilya dan peperangan! Inilah antara ramuan bagi meruntuhkan penjajahan dan menegakkan kemerdekaan. Mereka yang berada pada saf perjuangan mereka yang amat jelik dengan penjajahan – mereka yang impikan kebebasan lantaran mereka lihat Negara dikuasai kuasa luar dan rakyat menjadi hamba. Polisi dan peraturan ditetap mereka, bukan melalui rundingan yang melibatkan rakyat tempatan. Mereka melihat hasil Negara diexploitasi dan dipunggah dan diangkut membawa pulang ke tempat mereka. Tidak cukup dengan itu cukai berganda dikenakan bagi pentadbiran dan kepentingan mereka. Jika ada yang membantah atau bertindak memberontak nyawa mereka melayang atau diasing dan dipenjarakan, kerana mereka dianggap berbahaya dan dapat mempengaruhi masyarakat yang akan bangkit melawan dan memberontak. Untuk menjadikan mereka tidak melawan, maka polisi membiarkan mereka dalam kejahilan dilakukan. Untuk tidak menjadi masalah dari segi pentadbiran, mereka dibenarkan belajar setakat mengenal huruf - menulis, membaca dan mengira semata-mata. Untuk mewujudkan pentadbiran anak tempatan yang menjadi kaki tangan penjajah, maka pendidikan ala polisi penjajah diadakan hingga pada peringkat menengah. Keluaran dari pendidikan sedemikian membentuk kelompok elit yang patuh pada tuan dan kadang-kadang lebih tuan dari tuan. Mereka ini dipelihara, dididik bersetia dan dijaga bagi kepentingan penjajahan. Maklumat adalah disekat, terutama perkembangan dunia luar, takut mencetuskan kesedaran yang boleh menimbulkan pertentangan dan pemberontakan. Namun betapa sekatan dilakukan, benteng tak dapat dipertahan, pecah jua berita dari luar, terutama hakikat lemahnya penjajah - mencetus kesedaran di kalangan pejuang yang bangkit dengan segala kemungkinan menggugah penjajah, melakukan penentangan, bahkan melibatkan korban. Mereka lantas dicop dengan berbagai panggilan – penderhaka, penjenayah, komunis dan pemberontak. Mereka berdepan dengan kekuatan bersenjata yang menggugat nyawa atau digiring ke penjara. Dalam suasana yang mendesak takut kemenangan berpihak kepada perjuangan rakyat yang menggugat penjajahan, kelompok elit yang diulit kemewahan dan tidak menggugat kepentingan diberi kepercayaan sehingga kepentingan dapat dipertahankan dan jika perlu mereka keluar, maka hubungan baik dan kepentingan dapat diteruskan. Kemerdekaan ialah mereka yang berjuang memecahkan kubu-kubu kental penjajahan, mereka terkorban, mereka kadangkala menjadi jambatan bagi yang datang menyeberanginya dengan selesa. Mereka menjadi puing-puing perjuangan yang hilang atau dihilangkan dalam catatan sejarah dan kenangan. Kemerdekaan adalah pengisian yang panjang dan berterusan!
Sekian.
No comments:
Post a Comment