Pagi-pagi menerima maklumat dari Pengerusi Surau As-Sabah Kernal (B) Mohd.Abu bin Ali bahawa tembok tebing sebelah kanan di tepi alur bagi Surau As-Sabah runtuh agak teruk. ADNS Bangi berjanji akan turun pagi ini. Bila tiba di Pejabat, ADNS meminta Sdr. Shahrum Abdullah menghubungi Ustaz Shafie Ngah Ahli MPKj Zon 22 yang melibatkan kawasan Surau berkenaan memaklumkan tentang keruntuhan tembok Surau dan meminta beliau turun bersama.
Jam 8.30 ADNS Bangi dan Ustas Shafie Ngah tiba bersama ke Surau. Kernal (B) Mohd Abu juga sudah tiba di lokasi dan menyaksikan keruntuhan tembok yang agak serius.
Menurut Kernal (B) Abu, "Runtuhan berlaku malam tadi ketika jamaah masih berbuka di Surau dan hujan lebat." Menurutnya, "Pada asalnya kami tidak sedar berlaku runtuhan, tetapi apabila ahli jamaah mau mengambil wuduk, didapati tiada air paip dan setelah disiasat, baru kami menyedari tentang keruntuhan dan kerosakan paip air."
Tambah Pengerusi Surau As-Sabah itu, "Memang kami mau hubungan YB malam itu, tetapi memikirkan pada masa itu YB berada di luar (di Surau al-Muhajirin Kajang Utama), kami tunggu pagi-pagi hari ini."
Dari pemerhatian segera, didapati tembok yang dibina di atas tembok bagi tebing alur tidak mempunyai foundation dan tidak bercerocok. Ianya terus dibina dan dikat dengan batu bata, manakala tanah yang disekat benteng adalah dari pasir. Hujan lebat menyebabkan benteng asal runtuh dan benteng dari batu bata juga turut runtuh dan jatuh ke dalam parit. Oleh kerana binaan tidak berasaskan konkrit, maka beberapa tiang tempat berlakunya runtuhan tergantung, ini menyebabkan bahagian atap juga senget dan menurun dan jika dibiarkan boleh menyebabkan bahagian atap bagi bahagian tambahan boleh runtuh bila-bila masa.
Di atas tebing yang dibuat benteng dari batu bata ini juga ialah sebuah stor yang bersambung dengan bahagian surau. Oleh kerana stor ini berat, walaupun barang-barang dikeluarkan, adalah dibimbangi boleh berlaku keruntuhan yang lebih serius. Dalam perbincangan di antara ADNS Bangi, Ustaz Shafie Ngah dan Pengerusi Surau – Kernal (B) Mohd Abu, adalah dicadangkan runtuhan ditutup dengan pelastik dan runtuhan atas alur dibersihkan terlebih dahulu, agar laluan air tidak tersekat, khususnya bila hujan lebat,menyebabkan benteng yang runtuh terhakis dan boleh menyebabkan berlakunya keruntuhan yang lebih serius. Oleh kerana ADNS mempunyai program, ADNS dan Ustaz Shafie Ngah berjanji kepada Kernal (B) Mohd Abu untuk mengambil tindakan lanjutan. Berbetulan Ustaz Shafie mempunyai mesyuarat AJK yang berkait dengan pembangunan, maka beliau berjanji akan membuat isu tebing surau runtuh ini ke dalam mesyuarat pada hari ini juga.
Pada sebelah petangnya, selepas mereka (ADNS Bangi & Ustaz Shafie Ngah) melawat keluarga India yang kematian ahli keluarga dan juga seorang ahli Dewan Penyokong Dr. Subra yang kemalangan kenderaan di Taman Mutiara, Bukit Mewah, dalam perjalanan pulang yang kebetulan hujan lebat, mereka melalui jalan ke Surau As-Sabah, didapati dua buah lori MPKj berada di sebelah surau. Ini menandakan pihak MPKj segera mengambil tindakan terhadap aduan. Mereka tidak singgah kerana hujan lebat dan hari terlampau petang
Walau bagaimana oleh kerana kerosakan agak besar, maka ianya melibatkan peruntukan yang agak besar. Menurut peraturan, ``Jika projek pembaikan melebihi RM60,000/=, maka mungkin diletak di bawah kuasa-kuasa khas YDP. Proses melibatkan quotation dan tendar dan mungkin juga memakan masa sedikit. Walau bagaimana Kernal (B) Mohd Abu memaklumkan, oleh kerana runtuhan yang menutup alur tidak dibersihkan, maka hujan lebat yang berlaku pada keesokan harinya meruntuh dan menghanyutkan kayu sokong terhadap tiang yang tergantung dan rumah ditepi alur banjir,kerana air tersekat. Sebab itu pembersihan runtuhan di atas alur perlu dilakukan. Kerja-kerja pemulihan harap dapat dilakukan dengan kadar segera, kerana dengan keruntuhan, maka anjung terpaksa dilarang dari penggunaan, terutama kepada murid-murid yang belajar agama di surau dan ruang untuk jamaah bersembahyang Jumaat pada hari Jumaat berkurangan dan ini menambahkan kesesakan. Oleh itu tindakan membaikpulih perlu disegerakan.
Sekian.
No comments:
Post a Comment