August 11, 2010

Mendidik Golongan Remaja: Mereka Boleh Dibentuk

BBB, 01 Ramadhan = 11 Ogos (Rabu):

Kesedaran perlunya mendidik jiwa golongan remaja makin meningkat di kalangan guru-guru dan ibu bapa apabila masalah sosial dan gejala moral menjadi-jadi di kalangan remaja. Mereka tidak cukup hanya dibekalkan keperluan mental dengan pelajaran akademik semata-mata, tetapi perlukan pengisian jiwa. Anak-anak kita sedang diserang oleh berbagai-bagai elemen negatif yang boleh merosakkan akhlak dan menjerumuskan mereka dengan gejala sosial. Salahlaku akhlak dan pembuangan bayi makin ketara yang diberitakan di dalam media cetak dan letronik. Ini menjadi kerisauan guru, ibu bapa dan masyarakat. Gejala sedemikian haruslah ditentang di samping mencari pendekatan bagi mengatasi.

Benteng yang paling baik bagi anak-anak ialah mengikuti pendidikan agama di sekolah agama atau selepas persekolahan biasa dan mengamalkan suruhan agama. Pada peringkat persekolahan anak-anak mudah terpengaruh dengan gejala negatif melalui kawan yang tidak mendorong kepada kebaikan dan pergaulan bebas tanpa pengawasan dari ibu bapa. Masa muda yang penting seharusnya digunakan bagi mendapat pelajaran yang sebanyak dan sebaik mungkin, tetapi akan menjadi sia-sia jika masa tersebut tidak digunakan dengan baik. Sebab itu pelajar-pelajar dari masa ke masa perlu disedar dan digerak kea rah perlakuan positif dan kemantapan peribadi.

Untuk tujuan di atas ada pihak sekolah, ibubapa dan badan-badan yang menyedari perlunya dibimbing pelajar-pelajar dari masa ke masa menganjurkan kursus dan motivasi yang dihadiri pelajar. Misalnya sebuah Sekolah di bawah DNS Bangi mengadakan Kem Motivasi yang dinamakan "Remaja... Kerana Dirimu Begitu Berharga" selama dua hari (31 Julai & 1 Ogos) di dalam kawasan sekolah. Ternyata dengan bimbingan dan motivasi teratur, mereka tertarik dengan penganjuran dan terlibat dengan program dan pengisian.

Bila Sekolah berkenaan menganjurkan kem motivasi yang lebih intensif dan dilakukan di luar dari kawasan Sekolah, iaitu di Masjid al-Salihin, Teras Jernang pada Rabu-Khamis 4 - 5 Ogos, maka didapati kesan dari kem motivasi, Pertama, menarik pelajar (sengaja dicampur antara yang bermasalah dan biasa) di luar jangkaan. Jangkaan yang diperlukan 120 orang, tetapi yang memohon 200 orang dan terpaksa dihadkan seramai 150 orang (lelaki dan perempuan), kerana kekurangan tempat.

Kem ini diuruskan guru-guru kaunseling Sekolah dengan menggunakan khidmat `Motivasi Seni Sentuhan Hati` dengan Pengarahnya En. Mohd Sopian Bin Salleh dan motivatornya Haji Ismail Sha`ari dan pembantu-pembantu. Tanggapan pertama bila ADNS datang untuk menutupnya pada hari kedua bahawa pelajar-pelajar yang dianggap nakal, memang boleh dibentuk dengan menggunakan pendekatan-pendekatan teratur. ADNS Bangi menarik perhatian pelajar-pelajar, bahawa tiap kita sukakan sesuatu yang indah dan teratur, sebab itu pastikan diri terletak pada keindahan akhlak, adab dan peraturan, kerana semua ciptaan Allah berada di dalam keadaan harmonis,kerana patuh pada aturan ditentukan Allah. Kita hendaklah mengukuh diri dengan nilai dan peraturan yang dikenakan terhadap semua kejadian. Kalaupun mau berinovasi dan berkreativiti juga tidak lari dari tabii dan peraturan.

Bagi Surau Al-Kauthar Seksyen 4 BBB pula, pihak AJK Surau juga mengambil pendekatan bagi membimbing belia (lelaki & perempuan) dengan penubuhan `Kelab Remaja Al-Kauthar`. Kelab ditubuhkan sebelum ini dan dilancarkan pada malam 27 Sya`ban = 8 Ogos dengan dihadiri oleh Pengerusi Surau Tuan Haji Nazri, Ustaz Ismail Hashim dan para jamaah. Majlis Kelab Belia Al-Kauthar disertai oleh 130 belia (lelaki-perempuan). Mereka dipakaikan dengan vest menandakan sebagai pelancaran.

Sebelum pelancaran sebuah ceramah disampaikan oleh Ustaz Mohd Fadhli bin Ismail dari Fakulti Islam, UKM. ADNS Bangi di dalam ucapannya mengucap tahniah kepada AJK Masjid kerana mengambil inisiatif menubuhkan Kelab Remaja Semoga mereka didedah dan dilatih dengan kegiatan-kegiatan yang menarik. Buat permulaan mereka boleh mengambil bahagian dalam tadarrus Al-Quran dan berbagai-bagai kegiatan pada bulan berkat ini. Mereka hendaklah dibimbing melalui Kem Motivasi yang sekali sekali dibawa ke lokasi-lokasi bersesuaian bagi menyegarkan pandangan dan fikiran. Kita perlu mendidik remaja kita supaya menjadi remaja yang berkualiti yang bakal menjadi generasi pengganti. Mereka sebenarnya boleh dibentuk.

Sekian.

No comments:

Post a Comment