June 30, 2013

Allah Menentukan Jodoh Alzahra Michelee Lee Setelah Menerima Islam: Semoga Dirahmati Allah

-->
Subang Jaya, 19 Sya`ban 1434 = 28 Jun 2013 (Jumaat):

Setelah solat Jumaat di Masjid UKM, Penulis segera pulang dan bersama isteri segera bertolak ke Subang Jaya ke rumah Ibu Saudara isteri (Ustazah Hindun binti Muhammad) tidak jauh dari Masjid Subang Jaya. Tujuan ke sini untuk menyertai aqad nikah perkahwinan Anak Angkat Ibu saudara Isteri – Alzahra Michelee Lee. Masa jemputan jam 3.00, tapi ketika tiba jam 3.40 petang majlis sedang
berjalan.

Cik AlZahra Michelee Lee anak bungsu dari 4 beradik perempuan bagi keluarga Kristian di Kota Kinabalu Sabah yang bapa bernama Charles Lee Show seorang Cina dan isteri bernama Dorothy Anastasia Goudie (wanita Inggeris). Michelee Lee Anak bungsu kedua pasangan dari Kota Kinabalu lulusan bidang jururawat dan bekerja di Hospital Sime Darby di Subang Jaya di sini. Setelah beberapa tahun berkhidmat di Hospital Subang Jaya di sini, bergaul dengan kawan-kawan pekerja-pekerja perempuan Islam, maka Michelee Lee tertarik kepada Islam dan memeluk Islam beberapa tahun yang lepas.
Setelah Islam, pihak JAIS mencari keluarga angkat daripada orang Islam, untuk menyelamat, melindungi dan membimbing Alzahra mengenai Islam. Pihak Masjid Subang Jaya mengenali Ustazah Hjh. Hindun yang sering ke Masjid Subang Jaya dan turut mengajar di kalangan jamaah wanita. Pihak masjid mencadangkan Michelee ditempatkan di rumah Ustazah Hindun di Subang Jaya. Berdekatan dengan hospital dan juga Masjid. Ustazah Hjh. Hindun binti Muhammad berasal dari Sungai Rengas, Kuala Terengganu. Oleh kerana kesemua anak-anaknya bekerja di Kuala Lumpur, maka selain dari ibu ini bergilir ke rumah anak-anak , mereka juga membeli sebuah rumah di Subang Jaya berdekatan dengan masjid sebagai tempat perhimpunan keluarga dan memudahkan ibunya berjamaah dan untuk belajar dan mengajar. Untuk menemaninya dua buah bilik disewakan kepada pekerja/pelajar Islam perempuan. Ini termasuklah Alzahra Michelee Lee ditempatkan di sini selepas beliau menganut agama Islam. Alzahra bukan sebagai penyewa semata-mata, tetapi sebagai anak angkat yang menemani Hajah Hindun bersolat di Masjid Subang dan mengikuti pengajian dan membimbing pelajar (beliau Bekas Guru Agama di Terengganu- bersara, sebelum menetap di Subang). Alzahra sebagai Sekuntum Mawar yang disedari kehadirannya. Termasuk oleh Guru-Guru yang mengajar di Masjid Subang. Termasuklah Kiyai Prof. Madya Dr. Haji Musa bin Kiyai Fathullah Harun (Ulama` terkenal). Dr. Haji Musa Pensyarah UTM dan mengajar di banyak masjid, termasuk Masjid Sultan Salahuddin Shah Alam dan masjid-masjid yang lain. Beliau mempunyai seorang anak lelaki, iaitu Mohammad Shafiie bin Musa yang melalui urusan Masjid Subang Jaya – Persatuan Kebajikan Masyarakat Islam Subang Jaya (PEKEMAS), Mohammad Shafiie dijodohkan dengan Alzahra Michelle Lee dan hari ini Majlis Aqad yang dibuat dirumah Ustazah Hindun – Ibu Angkat. Esok juga pihak PEKEMAS menguruskan Majlis Jamuan bertempat di Bangunan Jubli Perak, di belakang Bangunan SSAAS, Shah Alam. Dr. Musa mengahwinkan dua pasang anaknya serentak. Seorang lagi ialah anak perempuannya bernama Latifah binti Musa dengan pasanganannya Mohd. Saufi bin Md. Zaini. Acara aqad di rumah Dr. Musa. Jamuan serentak di Bangunan Jubli Perak.

       

Pada hari ini turut hadir ke Majlas Aqad ialah Dr. Musa suami isteri, ibu bapa Alzahra, iaitu Charles Lee Shaw (bapa) dan Puan Dorothy Anastasia Goudie (Ibu) yang datang dari Sabah hari ini dan mereka disediakan Hotel sebagai penginapan mereka selama di sini. Puan Hajah Hindun dengan anak menantu, Dato` Mustafa Abdul Rahman Pengerusi Zakat Wilayah Persekutuan – Anak sepupu Hajah Hindun. Encik Shamsuddin Ariffin Timbalan Pengerusi PEKEMAS, Pak Shukor Harun (Harakah) AJK PEKEMAS (Pengerusi Tuan Syed Haji Zainal Abidin bin Syed Zahir – tidak sempat jumpa), Dr. Azubah bt. Abdul Rahman (Dr. Pakar di Hospital Sime Darby – Anak sahabat Penulis dari Trg.) dan suami, AJK Masjid dan para jemputan. Turut hadir keluarga Dr. Musa dari Indonesia.

  

Bercakap dengan En. Shamsuddin Ariffin Timbalan Pengerusi PEKEMAS, bahawa PEKEMAS telah ditubuhkan pada tahun 1975 bagi tujuan kegiatan kebajikan Masjid bagi penduduk Subang Jaya. Berhubung dengan Masjid di Subang Jaya, menurut En. Shamsuddin. Dulu tidak ada masjid di Subang Jaya dan pihak Pemaju tidak menyediakannya. Kata En. Shamsuddin, ``Pada peringkat permulaan masyarakat Islam di sini menggunakan sebuah kedai di Seksyen 15 berdekatan Carfour, Fasa 1. Surau awal ini diwaqafkan oleh Habib Abdul Rahman (Beliau telah meninggal 5 bulan dahulu).


En. Shamsuddin menyebut, ``Bahawa Tapak Masjid bagi Masjid Subang asalnya adalah tapak bagi sebuah gereja.`` Tapi tambah En. Shamsuddin, ``Kita ikhtiar dan akhirnya tapak Masjid Subang seluas 7 ekar itu bertukar dari tapak gereja kepada Tapak Masjid. Manakala tapak gereja diganti dengan tapak di atas bukit yang sedikit jauh dari lokasi masjid. Peruntukan bagi masjid adalah melalui derma orang ramai. Tiap keluarga diwajibkan menyumbang RM5,000. Kalau tidak ada duit boleh membayar secara ansur-ansur. Kemudian pihak kerajaan mengeluarkan peruntukan berdasarkan one to one. Kos bagi mendirikan Masjid Subang Jaya adalah RM2  juta berdasarkan  harga semasa itu.
Masjid Subang yang didirikan dengan derma orang ramai,  banyak melakukan kerja-kerja kebajikan melalui AJK, tetapi dalam sejarahnya ada peristiwa-peristiwa pertembungan dengan pihak berkuasa kerana mempertahankan hak dan kemahuan penduduk.


Pihak penduduk, khususnya keluarga mempelai mengucapkan terima kasih di atas usaha yang dijalankan oleh pihak PEKEMAS bagi kebajikan penduduk termasuk urusan Aqad Nikah dan jamuan walimatul urus.

Didoakan kepada Allah semoga kedua pasangan mempelai dirahmati Allah dan hidup aman damai.

Sekian.

June 29, 2013

`Breakthrough` Dalam Penulisan Penting

-->
BBB, 19 Sya`ban 1434 = 28 Jun 2013 (Juma`at):

Bagi penulis-penulis muda (maksudnya belum mendapat tempat dalam penerbitan) yang komited dengan penulisan tentu ingin agar tulisan yang dihantar kepada penerbitan mendapat tempat – ertinya diterbitkan sama ada dalam majalah dan akhbar atau penerbitan-penerbitan yang lain. Tetapi sebagaimana diperkatakan, tidak mudah untuk mendapat tempat di dalam penerbitan. Ianya bergantung kepada banyak faktor. Antaranya penulisan adalah bermutu, tetapi bagi penulis baru, tidak mungkin dapat mencapai mutu yang baik pada peringkat awal menulis. Ianya perlu melalui peringkat latihan baik dari segi teknik mengarang atau kandungan.

Sesebuah penerbit, biasanya mau melihat terlebih dahulu dalam beberapa masa tentang kemampuan dan komitmen penulis, jika dengan tulisan-tulisan awal diberi ruang sedang tidak ada komitmen daripadanya, lantas dengan mudah mendapat tempat dengan mudah pula dia boleh menghilang, ini merugikan ruang dan peluang yang diberikan. Sebab itu untuk mendapat tempat memerlukan masa untuk mempastikan kesungguhan dan ada bakat dan kemampuan. Tidak jarang seorang penulis bergiat di dalam persatuan penulis dan mengikuti program-program yang dianjurkan untuk mendapat pengalaman dan pendedahan. Jika menulis bahan kreatif, maka buat permulaan dia menyertai penulisan-penulisan yang diterbitkan oleh persatuan. Kursus-kursus yang diadakan dengan jemputan pihak penerbit, akhbar, majalah dan lain-lain memberi ruang pengenalan dan bila diri dikenali membuka ruang untuk mendapat tempat. Satu cara untuk mendapat tempat ialah melalui penyertaan-penyertaan peraduan penulisan. Sebarang kemenangan yang dicapai boleh membuka ruang dan peluang mendapat tempat bagi penulisan – dengan syarat baik dan bermutu.

Sebagaimana disebutkan Penulis sendiri tiba peringkat serius menulis dengan menghantar puisi-puisi kepada penerbitan-penerbitan DBP, Utusan Zaman, Berita Minggu, Mustika dan beberapa yang lain, tetapi hingga ke pertengahan 1970 masih belum mendapat tempat. Walau bagaimana Penulis terus menghantar karya-karya dari masa ke masa hingga Penulis diterima masuk ke UKM pada 18.5.1970. Antara puisi yang penulis hantar ialah `Sumpah Mahasiswa` - bertarikh di atas yang dikira sebagai hari permulaan UKM dibuka.

Satu yang mengejut dan gembira bagi Penulis apabila Penulis menerima surat dari Dewan Bahasa dan Pustaka

DBP/4/D 81/4 Jil.4 (60)                                         16 Januari 1971

Sdr. Shafie bin Abu Bakar
Bilik E 10,
Kolej Universiti Kebangsaan,
Jalan Pantai Baru,
Kuala Lumpur.

Dengan hormat,

Sebuah sajak sdr, yang berjudul `Asas Peribadi`akan didisiarkan di dalam Dewan Bahasa
Keluaran bulan Mach 1971.

Untuk keperluan rencana pengarang sudilah sdr. memberitahu saya
a)      Tarikh dan tempat lahir
b)      Pendidikan
c)      Pekerjaan dulu dan sekarang
d)     Kegiatan kreatif misalnya mula menulis sajak, cherpen dsbnya, dan hasil2 yang berupa buku.

Sekianlah

                                                                               Wasalam

                                                                         Abdullah Hussain
                                                                    a.n. Ketua Bahagian Pengarang
                                                                       b.p. Pengarah
                                                                    Dewan Bahasa dan Pustaka

Surat ini amat mengejut dan menggembirakan Penulis, kerana pertama kali dimaklumkan kepada Penulis akan disiarkan puisi Penulis dalam sebuah Majalah Terkenal, iaitu Dewan Bahasa. Ini merupakan satu penghormatan kepada Penulis dan merupakan `Breakthrough` bagi Penulis, khususnya dalam bidang puisi. Apa yang dikehendaki  penulis hantar mengenai diri Penulis terus dihantar dan dengan rasa berdebar dan tak sabar Penulis menunggu penerbitan majalah Dewan Bahasa Mac 1971.

Namun dalam menunggu penerbitan Majalah Dewan Bahasa bagi Mac 1971, tiba-tiba tanpa diberitahu, yang keluar lebih awal bagi puisi Penulis ialah `Sumpah Mahasiswa` di dalam Dewan Masyarakat Bulan  Februari 1971 (hlm. 50):

Sumpah Mahasiswa

18 Mei
Di dewan universiti
Kami siswa pertama
Tegak berdiri didepan bapak menteri
Melafaz ikrar mahasiswa
Mengangkat tangan ke muka
Penuh setia.

Bahawa kami mahasiswa pertama
Patuh pada tata susila
Nilai budi tonggak universiti
Sanggup melayari bahtera
Dilaut ilmu tanpa tepi
Memetik biji2 mutiara
Hiasan dada bangsa.

Berderap duduk para siswa
Lalu gugur maik2 air mata
Pecahan rasa runtuh dari dada
Terharu pada sejarah tertinta.

Dewan Universiti Kebangsaan Malaysia
18 Mei, 1970               Shafie A. Bakar

Ini bererti sajak pertama Penulis diterbitkan, ialah Sumpah Mahasiswa dalam majalah Dewan Masyarakat Februari 1971 (hlm. 50). Manakala sajak `Asas Pribadi` memang keluar dalam Dewan Bahasa Mac 1971 (hlm. 136).

Asas Peribadi

Seorang ditanya
Kiranya engkau diberi
Tempoh tiga hari
Tiga hari sebelum kau mati
Apa tindakmu ?

Dengan lekas ia menjawab
Aku akan semadi
Semadi hingga dinihari
Berbakti pada Rabbul Jalil.

Ia menekan
Tiga hari bukan suatu jaminan
Kau perlu berperibadi
Asasnya bukan tiga hari
Tapi seluruh hidupmu
Seluruh hidupmu.

Aku katanya
Akan terus jalani hidup ini
Bagai ku lalui
Baik tiga hari atau seminit lagi
Kerana aku memang jalani
Hidup yang ku anut
Mati hanya degup jantung yang terhenti

Universiti Kebangsaan,
9hb. Oktober, 1970.                 Shafie Abu Bakar.

Adalah diakui, peluang diberi kepada sajak Penulis, oleh kerana telah lama hantar sajak. Jadi Pengarang yang menjaga bahan puisi, memang telah melihat puisi-puisi yang dihantar sebelum ini. Mungkin mereka meyakini komitmen Penulis. Faktor yang penting bahawa Penulis mulai belajar di UKM. Mereka meyakini Penulis dan masa depan Penulis, khususnya bila mengikuti kursus-kursus yang berhubung dengan puisi secara teratur. Mungkin dari segi mutu dapat dipersoalkan, tetapi mungkin ada unsur galakan bagi memupuk Penulis menjadi lebih matang agar menjadi salah seorang Penulis mapan pada masa akan datang.

Sekian.

June 28, 2013

Tradisi Pengajaran Perluas Keilmuan Islam Pada Zaman Nabi Muhammad s.a.w Dan Khulafaur-Rashidin

-->
BBB, 18 Sya`ban 1434 = 27 Jun 2013 (Khamis):

Salah satu mekanisme meluaskan Islam ialah melalui pengajaran. Mengajar adalah sesuatu yang dituntut di dalam Islam. Ayat al-Qur`an antaranya menegaskan:

Allah mengangkat orang yang beriman dari kalangan kamu dan yang dikurniakan ilmu kepada darajat yang lebih tinggi (al-Mujadalah: 11).  Firman Allah lagi bermaksud:

Kami mengangkat kepada darajat sesiapa kami kehendaki dan di atas yang mempunyai ilmu ada yang lebih berilmu (Yusuf: 76).
Sabda Rasulullah s.a.w. bermaksud: Mununtut ilmu adalah wajib di atas kesemua muslim (Ihya`, Dar al-Fikr, 1400/1980: 15). Dan Hadith riwayat oleh Abu Dharr dari Rasulullah s.a.w. bermaksud:
Engkau berulang belajar ilmu pengetahuan lebih baik daripada engkau bersolat seratus rakaat.

Dalam sejarah penyampaian keilmuan kepada umat melalui berbagai kaedah mengikut kesesuaian zaman.

Pada zaman Rasulullah s.a.w. adalah merupakan penyampaian langsung daripada Baginda sebagaimana Baginda memperturunkan ayat-ayat al-Qur`an dan penyampaian Hadith-Hadith Baginda yang diriwayatkan oleh para sahabat.

Pada zaman Makkah penyampaian ajaran-ajaran Islam berlaku di kalangan sahabat di rumah al-Arqam bin Abi`l-Arqam.

Rasulullah juga mementingkan pendidikan terhadap kanak-kanak. Sebagai contoh Rasulullah s.a.w. telah membenarkan beberapa orang tawanan Perang Badar menebuskan diri mereka dengan mengajar sepuluh orang anak orang-orang Islam hingga pandai menulis dan membaca.

Selepas Hijrah Nabi s.a.w. ke Madinah ini juga didirikan `Kuttab` dan `Darul Qur`an` seperti bentuk sekolah-sekolah rendah, bertujuan untuk kanak-kanak Islam belajar al-Qur`an, menulis dan membaca. Dengan ini jelas bahawa prinsip pendidikan Islam dari peringkat rendah sudah ada pada zaman Rasulullah s.a.w.

Peringkat pengajian yang lebih tinggi pada masa tersebut berlangsung di Masjid Madinah. Kegiatan penyebaran keilmuan pada masa itu dihidupkan oleh para sahabat Nabi. Antara sahabat yang turut berperanan sebagai guru mengembangkan ilmu pengetahuan ialah Sayyiduna Umar ibn al-Khattab, Ali bin Abi Talib, Ibn Mas`ud, Ibn Umar, Ibn Abbas, Zaid bin Thabit, Saydatina Aishah r.a(ha), Mu`adh Ibn Jabal, Abu al-Darda`, `Abdullah ibn Salam dan Salman al-Farisi. Antara guru-guru tersebut dihantar keluar daripada Madinah seperti Mu`adh bin Jabal dihantar mengajar di Yaman.

Pada zaman Rasulullah s.a.w. kesedaran terhadap kepentingan bahasa asing telah disedari. Misalnya Rasulullah s.aw. telah menyuruh Zaid bin Thabit mempelajari bahasa Suryani (bahasa Yahudi) untuk menyenangkan pengurusan yang berhubung dengan orang Yahudi seperti soal-soal perjanjian dan sebagainya dan juga untuk mengelak daripada berlakunya tipu daya daripada orang-orang Yahudi terhadap orang Islam dan juga orang ramai.

Pada zaman pemerintahan Khulafaur-Rashidin (Khalifah Empat – Sayiduna Abu Bakar, Umar, `Uthman dan Ali r.a(hum) di mana perpindahan kuasa dari satu Khalifah kepada satu Khalifah berlaku dengan baik, tumbuh dan berkembangnya pusat-pusat pendidikan dan pengajian. Pusat-pusat tersebut terdapat di Makkah, Basrah, Kufah, Damshik, Palestin dan Fustat (Qahirah). Beberapa orang guru yang mursyid telah dihantar ke beberapa Bandar yang penting yang menjadi tempat perkembangan ilmu pengetahuan. Umpamanya  Abdullah ibn Umar menjadi guru di Madinah, Abdullah bin Mas`ud dihantar ke Kufah, Abdullah ibn `Amr dihantar ke Mesir dan Abdullah ibn Abbas bertempat di Makkah (Shafie Abu Bakar, Aspek Pendidikan Dan Pertumbuhan Ilmu Pengetahuan Di Bawah Kerajaan Islam, Utusan Kiblat, Bil. 47, Jun 1974, hlm. 39-42).

Pengajaran yang disampaikan adalah berhubung dengan al-Qur`an dari segi bacaan dan kandungan, tafsiran dan amalan-amalan. Hadith Rasulullah s.a.w. juga menjadi bahan pengajaran. Para sahabat ini, mereka masih ingat segala perkara yang berhubungan dengan Rasulullah s.a.w. Mereka mengajar mengenai perkara-perkara yang berhubung dengan aqidah, ibadat, seperti solat, zakat, berpuasa, Haji dan aspek-aspek akhlak. Contoh jelas yang dibawa sebagai contoh tauladan, tidak lain dari Rasulullah s.a.w.
Dengan perluasan kawasan pemerintahan Islam, bertambah ramainya umat Islam, tentu timbul masalah baru mendepani Khalifah-Khalifah, sebagaimana yang didepani oleh Muadh bin Jabal, maka tentulah lebih banyak lagi permasalahan yang dihadapi oleh para Khalifah dan mereka menyelesaikannya berdasarkan al-Qur`an dan Sunnah dan ijtihad masing-masing.

Dari kalangan Khulafaur-Rashidin, maka Sayyiduna Abu Bakar, walaupun berwatak lembut, tetapi tegas di dalam memerangai mereka yang murtad, beliau juga memulakan pengumpulan al-Qur`an kerana bimbang akan lupus dengan kematian para sahabat. Sayyiduna Umar al-Khattab terkenal dengan ketegasannya dan dalam menegakkan keadilan dan pembelaan terhadap mereka yang susah. Sayyiduna Uthman Ibn Affan terkenal sebagai seorang koperat, tetapi pemurah. Beliau berusaha mengumpulkan al-Qur`an dengan lebih sempurna hingga terkenal naskhah susunannya dengan Mushaf `Uthman dan Sayyidina Ali k.w. terkenal sebagai orang yang alim dan bijaksana, penghafal Qur`an, seorang sasterawan dan ahli pidato, seorang pahlawan perang, negarawan dan pencinta Ilmu. Ali juga adalah pelopor Ilmu Tauhid, fiqih, Ilmu Nahu dengan penulisan bahasa Arab (Abdul Latip Talib, Khalifah-Khalifah Yang Benar, Batu Caves, Selangor, PTS Litera Utama Sdn. Bhd, 2010: 1X.). Bidang-bidang keilmuan seperti yang didalami oleh Sayyiduna Ali k.w. adalah keilmuan-keilmuan yang dipelajari pada zaman Khulafaur-Rashidin, khususnya pada zaman Khalifah Ali k.w. Pngajian keilmuan berkenaan, makin berkembang luas. Bahkan Kufah dan Basrah pantas menjadi Pusat Bahasa, lantas kemudian daripada itu lahir aliran-aliran ilmu bahasa yang dikenali sebagai Golongan Kufiyyun dan Basariyyun.

Di dalam pemerintahan Islam pada zaman Khulafaur-Rashidin ini diperkukuhkan aspek kemasyarakatan yang dibina oleh Rasulullah s.a.w. dengan mempersaudarakan antara kaum Muhajirin dan Ansar. Konsep orang-orang Islam bersaudara ini diperluaskan di mana Islam berkembang, bahawa orang-orang Islam tanpa mengira kaum dan keturunan diikat oleh kesatuan aqidah dan mereka adalah bersaudara, tidak ada kelebihan antara mereka, kecuali yang lebih bertaqwa. Umat Islam bebas bergerak ke mana-mana Negara Umat Islam tanpa sekatan. Bahkan adalah menjadi tuntutan dakwah mereka bergerak dari satu negara ke satu negara, bahkan berbagai negara bagi menyebarkan dakwah keislaman dengan mengajar ilmu-ilmu keislaman kepada mereka.

Sekian.

June 27, 2013

Jeti Runtuh Bina Imej YB Ir. Mohd Haslin Adun Tanjung Sepat

-->
Tanjung Sepat, 17 Sya`ban 1434 = 26 Jun 2013 (Rabu):


Membaca berita beberapa akhbar pada pagi ini bahawa Adun Tanjung Sepat YB. Mohd Haslin bin Hassan jatuh bersama runtuhnya jeti usang ketika melawat bersama AJK Nelayan ke jeti berkenaan tengahari semalam adalah mengejutkan. Apa lagi disifatkan sebagai nyaris maut. Dua AJK turut cedera dan seorang dimasukkan di Hospital. Dari segi pemberitaan adalah menarik dan secara tidak langsung dapat membina imej positif YB Mohd Haslin, bahawa beliau adalah seorang Wakil Rakyat (Pas) yang turut padang dan prihatin dengan masalah rakyat.


Mengikuti berita itu Penulis sendiri rasa terpanggil oleh naluri ingin tahu dan mahu tahu lebih lanjut berhubung dengan peristiwa dan berita lanjut mengenainya. Lantaran itu Penulis menghubungi saudara Azizi kemungkinan beliau dapat pergi sama ke Tanjung Sepat. Beliau bersetuju dan kami bertolak jam 3.00 petang mengikuti jalan Bangi Lama ke Dengkil hingga ke Pekan Sepang menuju ke Tanjung Sepat sebelum tiba ke Banting. Setelah beberapa kali bertanya dengan beberapa orang yang ditemui akhirnya kami tiba di Tanjung Sepat.


Pekan Tanjung Sepat adalah Pekan Nelayan yang majoriti penduduknya adalah kaum Cina. Jeti berkenaan berada di belakang Taman Pelangi, Tanjung Sepat yang lokasinya di tepi laut. Ada beberapa warung kiri kanan ke Jeti. Penulis bertanya kepada seorang Cina yang sudah agak berumur sedang rehat di warung yang menyatakan namanya Encik Lee tentang jeti runtuh yang sebenarnya sudah kami nampak. Dia menunjukkan jeti berkenaan yang di jalan masuk ke Jeti disekat  dengan kon dan tali. Penulis bertanya En. Lee, apa nama tempat itu, dia menjawab, ``Tanjung Sepat !``. Tak ada nama khas bagi kawasan jeti ini ?. Seorang yang lain menjawab. ``Sini Jeti No. 2, Tanjung Sepat``. Penulis angguk dan bertanya, ``Boleh masuk  ?`` jawab yang lain, ``Boleh,`` walaupun ada tanda larangan.




Bila Penulis menuju ke arah jeti beberapa orang turut ikut mengiringi Penulis dengan saudara Azizi. Penulis bertanya, ``Sudah lama mana jeti di bina ?`` Jawab yang mengiring, ``Lebih kurang 10 tahun.`` Mula-mula kami turun ke bawah di atas tanah dan melihat jeti dari bawah, tapi tidak dapat jauh ke tengah, kerana pantainya bukan pasir, tetapi berlumpur. Akhirnya kami naik ke atas tebing yang ditambak dengan batu. Penulis yang diiring seorang Melayu bernama Encik Tahir bin Abdullah yang pada mulanya Penulis menjangkanya juga orang Cina (asal dai Indonesia, tapi sudah lama tinggal dan bekerja di sini sebagai nelayan), bila penulis bertanya, ``Berapa panjang jeti ?`` Jawabnya, ``Panjangnya lebih kurang 300 meter, yang runtuh bahagian hujung bersemin sepanjang 10 meter dan lebar 3 merter.``


Dari tiang-tiang menunjukkan bahawa struktur asal jeti adalah bertiang dan berlantai kayu, kemudian dinaiktaraf, dengan pemasangan tiang batu lebih tinggi daripada tiang kayu dan diratakan di atas permukaan tiang batu ini dengan semin yang tidak begitu tebal sesuai dengan tiang-tiang yang tidak begitu besar dan tidak sangat kukuh. Pada penghujung jalan jeti bersemin disambung dengan jeti bahagian kayu berhadang tiang kelapa, bagi menjadi tempat himpitan perahu nelayan bila mau mendaratkan ikan bila air pasang. Keseluruhan jeti adalah uzur dan boleh runtuh. Jeti ini tidak jauh dari anak sungai Tanjung Sepat. Di tepinya terdapat tiang-tiang runtuhan jeti lama yang lebih awal dari Jeti No. 2. Oleh kerana jeti telah uzur, amat wajar dibaiki dan lebih wajar dibina yang baru yang lebih kukuh. Mungkin ada janji dalam pilihanraya ke 13 lepas dari YB Mohd Haslin untuk membaiki jeti berkenaan. Sebab itu beliau datang pada Selasa 25 Jun disambut oleh AJK Nelayan. Beliau menaiki jeti diiringi beberapa AJK hingga ke hujung bahagian bersemin dan bahagian hujung ini runtuh ketika saudara Haslin berada di atasnya dengan beberapa AJK. Bila runtuh beliau terhenyak dan telentang ke bawah. Beliau tidak luka, tapi terkejut dan pengsan. Menurut En. Sow Chan yang bersama. ``Seorang luka dihempap batu dan  seorang luka ringan. Yang dihempap batu dibawa ke Hospital Banting.`` Tapi menurut En. Sow Chan, ``Pagi tadi yang dimasukkan ke hospital sudah pulang ke rumah.``


Bila Penulis bertanya, ``Bagaimnana dengan YB Haslin ?``  Encik Tahir yang terus mengiringi kami menyatakan. ``Kami beberapa orang mengangkatnya ke darat dan meletakkan pada tempat lapang dan antara kami menggosok dan memulihkan beliau yang akhirnya sedar dari pengsan dan YB. dihantar pulang ke rumahnya.``  Kata En. Tahir, ``Biasanya dijeti ini menjadi tumpuan pelancong pada hari minggu dan mereka biasanya pergi sampai hujung, tapi selama ini tidaklah runtuh.`` Secara bergurau Penulis menyatakan,
``Jeti tahu YB mahu melawat, kalau tidak runtuh tiada bukti jelas tentang keuzurannya, sekarang jelas runtuh, YB kena usaha mendapat peruntukan bagi membaikinya, kalau dapat bina jeti baru yang lebih kukuh.`` Semua ketawa dan setuju dengan cadangan Penulis.
Penulis bertanya, ``Bagaimana dengan keputusan pada hari itu ?`` Jawab Encik Tahir,
``Oleh kerana belum sempat berbincang lanjut dan jeti runtuh, tidak ada keputusan setakat ini.`
Tambah Penulis, ``Mungkin akan dibincang lebih serius selepas peristiwa runtuh untuk membaiki atau mengganti yang baharu.``
Penulis turut bertanya, tentang tangkapan ikan di Tanjung Sepat, menurut Encik Tahir, ``Tangkapan berbagai jenis ikan dari laut selat Melaka itu, tapi hasil ikan di sini cukup untuk dibeli dan diguna penduduk setempat dan tidak di bawa ke tempat lain.`` Penulis bertanya, ``Boleh beli ikan fresh di sini petang ini ?`` Penulis diberitahu bahawa hari ini nelayan tak turun ke laut. Agaknya kerana peristiwa jeti runtuh. Penulis juga ditunjukkan bangunan tempat memproses ikan-ikan kecil yang biasanya tak dipasarkan, tetapi diproses di bangunan itu bagi membuat fishball.

   







Penulis rasa, dengan keterangan-keterangan diberi, rasa ingin tahu Penulis telah terjawab dan tatkala Penulis bersama saudara Azizi hendak minta diri untuk pulang ketika jam 5.30 petang seorang Cina yang agak lanjut usia yang duduk di bangku warung bertanya kami, `Parti apa ?`. Kami tidak menjangka disoal berkenaan parti, tapi kami menjawab `Bulan !` Sambil menunjukkan ke arah kenderaan Hilux kami yang masih ada tanda sebagai diguna bagi kegiatan Adun.`` Dia menunjukkan dengan jarinya, `Ini Kalilah`. Kami baru faham. Dia tersenyum tanda menyokong lantaran sama sealiran. Kami faham penduduk China di Tanjung Sepat ini solid memberi sokongan kepada YB Haslin yang memperkukuhkan kemenangannya.


Dalam perjalanan pulang melalui Banting ke Dengkil setelah menunaikan solat Asar di Masjid Jami` Assalihin` kami bercakap tentang sokongan terutama masyarakat Cina secara meyeluruh terhadap Pakatan Rakyat, khusus YB Haslin dan sokongan ini jangan dipersia-siakan.

Peristiwa Jeti Runtuh mungkin menggerunkan YB Haslin, tetapi peristiwa ini membantu mempertingkatkan imej YB Haslin sebagai pemimpin generasi baru yang komited terhadap tugas dan turun padang menemui rakyat dan berusaha menyelesaikan masalah yang dihadapi rakyat. Peristiwa ini penting bagi YB Haslin yang boleh membantunya membina imejnya dalam politik masa depan, tetapi dengan syarat jeti ini mesti diperbaiki dan kalau boleh membina dengan bahan yang lebih baik dan lebih kukuh bagi mengukuhkan imej YB.

Sekian.

June 26, 2013

Sumbangsaran Untuk PADAT & Galeri Bangi Bandar Ilmu

-->
BBB, 15 Sya`ban 1434 = 24 Jun 2013 (Isnin):



Kebetulan esok Selasa (25 Jun) akan diadakan Mesyuarat Pertama Ahli Lembaga PADAT bagi Sesi 2013-2015 dan berbetulan Galeri Bangi Bandar Ilmu mulai beroperasi pada 22 Jun 2013 sempena 5 tahun pelancaran Bangi Bandar Ilmu, maka Penulis menjemput beberapa orang Mantan Ahli Lembaga PADAT untuk memberi sumbangsaran terhadap PADAT dan Galeri Bangi Bandar Ilmu. Mereka yang dijemput al-hamdulillah semuanya hadir. Menurut mereka kasih sayang mereka kepada PADAT tidak berubah, walaupun sudah tidak dilantik menjadi Ahli Lembaga PADAT. Mereka masih sukakan PADAT dan sanggup memberi pandangan dan buah fikiran bagi kebaikan PADAT. Mereka yang datang:


1)      Dr. Noriah Mohamed

Mantan Profesor di FSKK, UKM dan Juga Bekas Profesor di Universiti Brunei Darul Salam. Pakar Budaya Melayu-Jawa dan Sastera Tradisional. Mantan Ahli Lembaga PADAT bagi sesi 2011-2013.


2. Tuan Haji Md. Redzuan Tumin

Seorang yang pakar dalam bidang permuziuman. Mantan Timbalan Ketua Muzium Negara. Beliau dilantik selaku Ahli PADAT & Muzium Negeri Selangor lebih dari satu sesi.


3. Prof. Madya Dato` Dr Anwar Omar Din

Profesor Madya Dato` Dr. Anwar berkhidmat di FSKK, UKM. Beliau adalah tokoh yang memberi khidmat sejak awal bagi menubuhkan PADAT. Beliau sama merangka pendekatan, khususnya Konsep Perbadanan dan Enekman PADAT dan dilantik menjadi Penasihat PADAT (tapi tidak dimanfaatkan). Kini membantu Kerajaan Terengganu bagi beberapa institusi pentadbiran di Terengganu dan dalam usaha menubuhkan sebuah Institut. Beliau baru dianugerahkan Dato` oleh Kerajaan Negeri Terangganu di atas jasanya kepada kerajaan negeri itu. Tahniah !


4. Saudara Lotfi Bin Nazar

Beliau adalah Pentadbir Kanan PADAT. Beliau sama bertanggungjawab selaku Setiausaha bagi mewujudkan PADAT semasa di bawah Mantan YB. Exco  Dato` Dr. Hassan Ali. Beliau bersama dengan Dato` Dr. Anwar Omar Din bertungkus lumus merangka Pendekatan, konsep Perbadanan dan Enakmen PADAT. Tanggungjawab beliau antaranya mengurus bidang permuziuman.

Antara sumbangsaran:

Setiap program yang besar perlu dtubuhkan AJK Pelaksana dipertanggungjawabkan.
Projek bagi mendirikan Muzium Islam di Kelang perlu disegerakan. Perlu dilantik AJK Khas merangka tugas bagi pelaksanaan.
Format persembahan bahan-bahan di Muzium tidak berubah, perlu kreatif dan inovatif
Situasi di Muzium suram dan tidak menarik, perlu penceriaan
Amat lama bangunan `Perpustakaan lama` diterima. Bila mau dimanfaatkan ?
Muzium Sukan sesuatu yang amat menarik, perlu disegerakan. Perlu menjadikannya sebuah Muzium Sukan Terbaik di Malaysia
Tidak berunding, mengapa orang yang berkelayakan diberhentikan ?
Lembab ! Banyak keputusan yang dibuat tidak berjalan
Teguran orang ramai terhadap kerosakan bangunan, hingga kini tiada pembaikan
PADAT tidak sewajarnya menyimpan kewangan, tetapi hendaklah digunakan bagi pembangunan PADAT.
PADAT dan Muzium Sultan Alam Shah perlu maju sesuai dengan Selangor negeri maju.

Tamu-tamu berkenaan merupakan `Pengunjung-Pengunjung Terawal` bagi Galeri Bangi Bandar Ilmu. Mereka memberi pandangan (Buku Lawatan) seperti berikut:


1.  Dr. Noriah Mohamed

Alhamdulillah diberi kesempatan untuk melihat rangka buat Galeri Ilmu yang penuh bermakna. Tahniah !!!
Inilah langkah yang amat bermakna buat penghuni Bandar Baru Bangi.
Sehubungan ini saya mendoakan semoga Galeri ini terus maju dan berfaedah buat ummah.

Salam Kejayaan !

Dr. Noriah Mohamed
24/6/2013.


2. Hj. Md. Redzuan Tumin

Syukur alhamdulillah, saya mengucapkan berbanyak terima kasih kerana diberi kesempatan mengunjungi Galeri ini. Koleksi-koleksi banyak yang menarik bersesuaian dengan gedung ilmu. Kalau boleh galeri ini dapat dimanfaatkan kepada umum. Saya cadangkan pemilik galeri ini dapat diperluaskan lagi koleksi bersesuaian dengan namanya. Adalah lebih elok kalau dapat meminta nasihat daripada agensi-agensi yang boleh memperelokkan lagi teknik persembahan pemetaannya.

Insaya Allah Galeri ini boleh menarik perhatian umum sekiranya terdapat pelan tindakan yang bersesuaian.

Wassalam.
Hj. Md. Redzuan Tumin
Mantan Timbalan Ketua Muzium,
Jabatan Muzium. (Muzium Negara).
24/6/2013.

3.  Sdr. Lotfi bin Nazar

Bismillahirahmanirrahim

Al-hamdulillah, syukur ke hadrat Allah
Kerana diberikan peluang untuk menurunkan sedikit catatan bagi tujuan pembangunan.  Gelari ilmu di masa kini – akan datang. Penubuhan Galeri Ilmu ini memerlukan konsep dan falsafah selaras dengan tujuan dan matlamat penubuhannya bagi jangka masa panjang, khasnya untuk penghayatan masyarakat di Bangi dan amnya di Selangor.

Galeri Ilmu yang akan ditubuhkan ini merupakan pendahuluan kepada penubuhan sebuah Galeri Ilmu yang lebih luas fungsi dan peranannya di Selangor kelak. Berasaskan kepada tinjauan yang dibuat, maklumat dan bahan-bahan yang dimiliki boleh dijadikan sebagai titik permulaan kepada pembangunan sebuah galeri. Insyaallah pengembelingan di mana tenaga dan kepakaran yang ada, hasrat penubuhan Galeri Ilmu ini boleh direalisasikan. Semoga cita-cita mulia ini dirahmati Allah swt dengan kejayaan yang akan menjadi ingatan anak cucu kita di masa-masa akan datang.

Semoga sukses segala yang dihasratkan.


MOHD LOTFI B. NAZAR (Muzium Selangor)

24.6.2013.

4. Profesor Madya Dr. Anwar  Omar Din

Syabas ! Satu usaha cukup penting untuk melestarikan tradisi yang berakar dari UKM.

Dicadangkan Pusat ini menjadi Pusat Sumber bahan-bahan yang tidak ada di tempat lain

Selamat Berjaya

T.T.


Dr. Anwar UKM.

Terima kasih di atas sumbangsaran yang amat bermakna, insya Allah akan dijadikan panduan.

Terima kasih juga di atas kesudian untuk datang lagi berdiskusi seperti ini pada masa akan datang.

Sekian.

June 25, 2013

Tidak Mudah Mendapat Tempat Dalam Penerbitan


BBB, 15 Sya`ban 1434 = 24 Jun 2013 (Isnin):


Sungguhpun penulis menulis dari awal 1960an, penulis belum lagi menghantar tulisan kepada penerbit-penerbit akhbar dan majalah. Penulis mulai serius menulis, ialah pada tahun 1968 semasa berkhidmat sebagai guru di Madrasah al-Ma`arif Kg. Raja Besut. Tumpuan tulisan ialah bidang puisi dan makalah dan mulai menghantar hasil-hasil penulisan ke akhbar dan majalah, termasuk puisi yang dihasilkan lebih awal dari itu. Mulai dari masa ini penulis mulai menggunakan sistem fail dan mengasingkan karya-karya mengikut penerbitan yang dihantar. Penerbitan yang menjadi pilihan bagi menghantar karya mulai 1968 - Pertengahan1970 (sebelum UKM dibuka):

1)      Akhbar Berita Minggu
2)      Akhbar Utusan Zaman
3)      Majalah Mastika
4)      Majalah Dewan Masyarakat

Namun cara menulis, terutama bagi puisi tidak menurut kaedah yang betul. Misalnya dalam satu halaman puisi disertakan nama dan alamat penulis dan tandatangan. Sepatutnya surat dibuat berasingan dari puisi yang disertakan. Nama samaran bagi penulis pernah gunakan Shabab dan Shafie A.B., tapi akhirnya menggunakan nama biasa Shafie Abu Bakar. Antara sajak terawal (1963) yang dihantar kepada Berita Minggu ialah:

Seorang Ibu Perungus. (Fragmen darinya):

Seorang Ibu Perungus

Herdeknya begitu meninggi
Cukup untuk meregut hati anaknya
Dan aku tiada hairan
Kekerasan hati anaknya membatu.

Kebebasan anaknya telah dirampas
Sekian lamalah ia terbelenggu
Perkembangan anaknya terhenti kaku
Dari herdeknya yang menggerutu
……
Kg. Nyiur, Paka,
13 Disember 1993.

26 buah puisi dihantar ke Berita Minggu sebelum Penulis masuk ke UKM, tetapi tidak mendapat sebarang tempat di dalam akhbar berkenaan. Keadaan yang sama tidak mendapat tempat di Utusan Zaman (Fail ke Utusan Zaman  sebelum Mei 1970  setakat ini tidak diketemui – tersalah tempat).

Penulisan ke Majalah Mastika tidaklah banyak sehingga bulan Mei 1970 jumlah puisi yang dihantar adalah lapan buah. Membaca kembali ternyata rendah mutunya. Contoh:

Seorang Anak Kecil

Seorang anak kecil
Tersenyum manis
Menggamit dunia
Dari jendela hati
Tanpa curiga.

Padanya
Laparnya tangis
Sakitnya tangis
Bahasanya tangis
……

Kg. Raja Besut,
5/2/1970.

Sebuah artikal tentang Musim Haji yang dihantar pada 9hb. Februari 1969 ke Mastika. Mutunya adalah rendah.

Hantaran puisi ke Dewan Masyarakat dari 1 Okt. 1968 hingga 21 Mac 1970 berjumlah 19 buah puisi. Satu yang memberi kelegaan bahawa setiap hantaran yang dibuat sama ada ke Dewan Masyarakat dan terbitan-terbitan yang lain di Dewan Bahasa dan Pustaka mendapat jawapan yang mempunyai no. rujukan dari pihak DBP. Jawapan standard:

Rujukan ( )                                          Dewan Bahasa dan Pustaka
                                                             Jalan Lapangan Terbang,
                                                             Peti Surat 803,
                                                             Kuala Lumpur

Tuan/Puan,

Dengan ini adalah dimaklumkan iaitu surat tuan/puan Bilangan …… Bertarikh …….
Berkenaan  sajak untuk Dewan Masyarakat telah selamat diterima serta faham/mendapat perhatian.
                                                              b.p. Kt. Pengarang
                                                              Dewan Bahasa dan Pustaka.

Jika Sajak `Perahu Besar` adalah antara sajak terawal dihantar ke Dewan Masyarakat, maka sajak `Kampungku Sunyi` adalah sajak terakhir dihantar ke Dewan Masyarakat sebelum penulis diterima masuk ke UKM yang memulakan era baru bagi Penulis dalam bidang penulisan.

Kampungku Sunyi adalah gambaran bagi suasana di Kg. Nyiur Paka pada masa itu. Sajak ini dihantar dari Kg. Raja Besut tempat Penulis berkhidmat.

Kampungku Sunyi

Di daerah pendalaman ini
Kemesraannya bertukar sepi
Air alur yang begitu jernih
Kini berlodak keruh sendiri
Kerana anak-anak tani
Tidak lagi turun bermandi.

Membuak air pekat memerah
Dari perigi tua
Di dada bumi yang punah
Kelat hapak berlemin hanyir
Meracun anak-anak tani.

Di daerah pendalaman ini
Telah sunyi dari anak-anak yang menyanyi
Di bendang padi
Sekali-sekali jika anda menjenguk ke mari
Terlihat orang tua yang uban kepala
Bertongkat melangkah dengan hati-hati
Capek jalannya kabur matanya
Bertenggek di anjung masjid basi.

Di daerah pendalaman ini
Pokok kelapanya tinggi-tinggi
Menyapu pokok-pokok tua lain
Dengan lenggoknya yang lesi
Memanggil anak-anak muda yang pergi
Kembali berbakti pada bumi nenek sendiri.

Di daerah pendalaman ini
Sepinya bertambah sepi
Semak-semak menyerang berhati-hati
Setapak demi setapak mengganti
Rumah-rumah runtuh sendiri
Kuburan memerah bertambah
Mengatasi kelahiran bayi pengganti
Yang tua-tua tinggal memakan hati
Rindu pada anak-anak yang mengembara lagi.

Kg. Nyiur, Paka, Dungun.
21 Mac 1970.

Walau bagaimana usaha Penulis untuk mendapat tempat bagi hasil-hasil penulisan, masih tidak berjaya. Sudah pastilah tulisan-tulisan berkenaan tidak sampai mutu yang melayakkannya untuk diterbitkan. Hingga pada satu peringkat kegigihan menulis agak tercabar sehingga lahirnya puisi berikut yang mnenjadi sebahagian dari puisi dalam Kumpulan Madu Ilmu berjudul `Protes` (hlm. 167):

Protes

Ia bertindak
Dalam jemu jelak
Mengangkat timbunan kertas
Makanan api – biar puas.

Ini kertas
Pencuri masa – emas
Pemeras tenaga – frust
Penghakis harta – mengkalas
Punca sengkita – rumah.

Dalam seketika
Api menjulang ganas
Membakar puncak hatinya – panas
Kakinya menyepak-nyepak
Hatinya menggelegak
Bersama api melonjak-lonjak
Lalu ia mendabik
Aku Nero pembakar Kota Roma
Aku Hulagu perempuh Kota Baghdad.

Tapi anih
Ia kembali menulis
Mohon tempat bertatih.

Kg. Raja, Besut.
07 Februari 1970.

Sesungguhnya untuk menjadi penulis berkebolahan tidak mudah untuk mencapai kematangan yang membolehkan tulisan diterima dalam penerbitan. Menulis hanya dengan bersemangat tetapi tidak melalui pembelajaran menyebabkan hasil tulisan kita tidak kesampaian dan tidak diberi ruang.

Sekian.

June 24, 2013

Mengabadikan Yang Lama Untuk Kenangan, Menerima Yang Baru Untuk Kemajuan

-->
BBB, 14 Sya`ban 1434 = 23 Jun 2013 (Ahad):

Antara aspek yang dikenalpasti untuk diisi dalam `Galeri Bangi Bandar Ilmu` ialah mengabadikan tempat-tempat bersejarah di Bangi dan Kajang, khususnya tempat-tempat bakal berubah akibat dari adanya pembangunan agar tempat lama tidak hilang ditelan zaman. Diharap dengan pengabadian dibuat dapat dikekal sejarahnya dalam ingatan dan dapat dihayati dan difahami generasi mendatang.

Atas tujuan itu Penulis bersama saudara Azizi keluar dan merakam bagi mengabadikan tempat-tempat bakal berubah agar tempat lamanya tidak hilang begitu sahaja. Tempat-tempat yang menjadi tumpuan awal bagi kami ialah:


1)      Pejabat Agama Daerah Hulu Langat

Pejabat yang terletak di Jalan Low Ti Kok, Kajang ini masih tidak dipastikan bila mula digunakan (Bangunan tambahan pada Mei 5/1999). Bangunan Pejabat Agama Islam lama sebelumnya ialah di tapak Metro Inn sekarang. Pada tahun 1980an bangunan kayu di sini masih wujud – dekat dengan JKR. Pada masa itu lebih dikenali sebagai Pejabat Kadhi, kemudian dilupuskan bagi pembangunan dan berpindah ke Jalan Low Ti Kok. Tapi yang pasti Pejabat Agama Daerah Hulu Langat di Jalan Low Ti Kok ini telah dipindahkan ke Bangunan Barunya di Bandar Baru Bangi mulai awal Jun 2013. Bangunan di Kajang di sini menurut saudara Muhammad Ismail Pengurus Bahagian Masjid Dan Surau yang ditemui di sini pagi ini berkata, ``Setakat ini pihak MAIS telah mengambilalih bangunan di sini dan dijadikan Pusat Latihan Muallaf.`` Untuk mengelak bangunan ini pada satu masa dilupuskan untuk memberi laluan kepada pembangunan pula saudara Azizi merakamkan gambar bangunan tersebut.


2)      Bangunan Mahkamah Syariyyah, Hulu Langat

Antara yang akan berubah ialah Bangunan Mahkamah Syariyyah Hulu Langat yang berdekatan dengan Bangunan Pejabat Agama Daerah Hulu Langat yang lama. Bangunan ini masih digunakan, tetapi bakal berpindah ke Bangunan Baru berdekatan dengan Masjid Al-Hasanah, Bandar Baru Bangi. Setakat ini masih belum dipastikan apakah akan digunakan bagi fungsi yang lain atau akan dilupuskan.


3)      Bangunan Pejabat Daerah Hulu Langat/MPKj Lama

Kami rasa kesal, kerana tidak dapat merakamkan Bangunan Lama Pejabat Daerah/MPKj (Bila Pejabat Daerah Hulu Langat berpindah ke Bangi awal 2000 MPKj guna sepenuhnya) berhampiran dengan Balai Polis di sini. Yang tinggal adalah tapak yang telah dirobohkan dan kini naik semak, didinding kelilingnya dengan zinc untuk mengelak dari buruk pandangan, sementara menunggu masa untuk dinaikkan bangunan komersil oleh Metro Kajang. Pejabat Daerah yang baru telah berpindah ke Bandar Baru Bangi. sejak 2000 dan pihak MPKj juga berpindah ke bangunan baru selepas itu di belakang dari tapak lama Pejabat Daerah/MPKj.


4)      Bangunan Mahkamah Lama Hulu Langat

Sebagaimana bangunan lama Pejabat Daerah/MPKj lama telah dilupuskan demikianlah dengan Bangunan Lama Mahkamah Hulu Langat berdekatan Balai Polis Kajang telah juga dilupuskan, di atas tapaknya naik bangunan baru Mahkamah lebih tinggi dari Bangunan MPKj yang baharu. Menurut seorang pengawal yang berkawal di pintu masuk Bangunan Mahkamah Baru, bahawa bangunan baru telah digunakan sejak 4 tahun lepas.


5. Tapak Pasar Lama Kajang

Pada tahun 1970an hingga – 2000, tapak Pasar Kajang adalah pada tapak Metro Plaza sekarang berdekatan dengan Perhentian Bas Lama. Kini Pasar Baru telah dipindah ke Pasar Kajang Sekarang yang ternyata sudah sempit tapak dan kedudukan, manakala Hentian Bas telah berpindah ke Jalan Reko sejak 2000


6. Station MRT dan Keretapi di Kajang

Tempat yang bakal berubah ialah tanah bersebelahan keretapi sekarang bersebelahan Jalan Reko yang sedang dibangunkan sebagai Station MRT dari Sungai Buluh ke Kajang. Lokasi lama tempat terdirinya Gudang Beras sudah tidak ada. Tapaknya dijadikan tempat parking - sementara, manakala selepas dari bangunan surau di Jalan Reko ini sedang pesat dibangunkan untuk stesyen MRT dan bakal mengalami perubahan besar-besaran. Saudara Azizi abadikan tapak lama sebelum berubah. Sementara itu jalan menyeberangi jalan keretapi dari Jalan Reko ke Jalan Bukit sudah lama ditutup – Jalan sekerat masih ada. Kami terkenang pada masa silam bila sampai di sini berbetulan keretapi lalu kereta beratur menunnggu pintu yang dihadang dengan penghadang dibuka. Masih terdengar dengung bunyi sementara penghadang dibuka semula. Keadaan yang sama berlaku di pintu keretapi masuk ke Bandar Kajang. Kini didirikan flyover.


7. Jalan Lama Kajang Utama Sebelum Ada Jalan Silk Kajang Utama

Kami juga mengingati Jalan Lama Kajang Utama yang boleh dilalui kenderaan dari Kajang Utama membelok turun ke Jalan Bukit dan terus ke Kajang dan sebaliknya. Kini jalan itu sudah ditutup dan kenderaan terpaksa membuat pusingan lebih jauh untuk ke Kajang Utama dan sebaliknya. Tunjuk perasaan penduduk telah diadakan berkali-kali, tuntut buat flyover atau terowong, tetapi janji Kerajaan BN untuk membina flyover masih tidak ditunaikan.

 Gambar-gambar lama sedang dicari untuk melengkapkan maklumat bagi Galeri, sesiapa yang ada menyimpan gambar lama harap dapat bermurah hati dapat diserahkan kepada kami atau untuk dibuat salinan.

Sekian.