BBB, 17 Rabiul Akhir 1435 = 19 Mac 2014 (Rabu):
Sungai Kantan adalah sebuah kampung terletak di sebelah
kanan bagi Masjid Kajang sekarang. Sungai Kantan boleh dimasuki dengan melalui
jalan hadapan masjid dan boleh juga dimasuki melalui jalan di kanan Sekolah
Cina Kajang. Dengan adanya jalan ke Saujana Impian yang ditingkatkan oleh Grand
Saga Sungai Kantan boleh dimasuki melalui jalan di bawah jejambat ke Desa
Jenaris-Sungai Kantan. Sungai Kantan adalah antara perkampungan lama di Kajang
dengan penambahan lot-lot taman-taman perumahan yang lebih baharu dan lebih
tersusun. Nama `Sungai Kantan` adalah diambil dari nama anak sungai kecil di
tepi kampung tersebut yang pada masa dahulu tumbuh atau ditanam pokok kantan,
iaitu sejenis pokok seakan lengkuas yang bunga kantan ini diguna dalam masakan
yang rasa dan aromanya menyelirakan. Landmark yang menandakan ketuaan kampung
ini ialah `Jirat Cina` yang memenuhi sebuah bukit di tengah-tengah perkampungan
tersebut. Bukit ini digunakan dahulunya oleh orang-orang Cina di Kajang dan
sekitarnya bagi mengkebumikan mereka yang meninggal dari kalangan orang Cina.
Pengkebumian di sini telah dihentikan kerana sudah penuh.
Manakala Kantan Permai adalah kawasan perumahan baru
terletak ke dalam dari Desa Jenaris. Nama taman ini adalah diambil dari nama
Sungai Kantan lama dengan perubahan yang lebih komersil dan menarik `Kantan
Permai`. Pada masa Penulis menjadi Adun Kajang (1999) kawasan perumahan di sini
dalam pembangunan. Kawasan bersebelahan dengan Desa Jenaris ini terdiri dari
sebaris kedai dan sebelah kanannya taman perumahan `Kantan Permai` yang baru
dihuni. Landmark bagi Kantan Permai ialah `Surau An-Nur` yang relatifnya baru
didirikan selepas tahun 2000 dan juga Sekolah Kebangsaan bagi kawasan Kantan
Permai. Sebagai Adun pada masa itu, Penulis dihadapi dengan ratusan rumah teres
terbengkalai di Taman Kantan Permai tersebut. Usaha dilakukan dengan menemui
pemaju dan pihak MPKj bagi menyelesaikan perumahan terbengkalai di situ.
Bagi menjalankan kegiatan Adun, kita tidak mempunyai markas
di Sungai Kantan, tetapi membuat lawatan dan pertemuan di sebuah taman
permainan di tepi beberapa kedai dan berhampiran terdapat sebuah surau kecil
yang Penulis turut berjamaah di surau ini. Penerangan dan ceramah adalah
dilakukan di medan
permainan di sini. Walaupun tidak ada markas khusus di sini (guna Dewan di
Jenaris) banyak juga kegiatan dilakukan di Sungai Kantan. Misalnya banjir
sering berlaku di Sungai Kantan apabila hujan lebat. Sebuah jambatan yang
menghubungkan antara kawasan Sungai Kantan rosak – tebing runtuh dan digunakan
sebelah sahaja, iaitu sejak sebelum 1999. Ini mengganggu perhubungan di kawasan
tersebut. Penulis selaku Adun membuat permohonan – Surat bertarikh 21 November 2000 kepada pihak
MPKj agar menggantikan jambatan yang telah sekian lama rosak. Dengan berlakunya
banjir kuat 2001, kedua belah tebing jambatan langsung runtuh dan tak dapat
digunakan. Adun menerima aduan lagi melalui Kaunter Terbuka dan membuat permohonan
lagi kepada MPKj surat
bertarikh 29.1.2002 memohon pihak MPKj membaiki jambatan penting bagi penduduk
Sungai Kantan. Al-hamdulillah melalui janji Tuan Pegawai Daerah (peruntukan Luar
Bandar) dan tindakan YDP MPKj jambatan ini diganti dengan `Jambatan Baily` dan
siap pada bulan Mac 2002. Pada 13 Mac 2002 Adun diiringi saudara Azemi Ahmad
dan dan saudara Ahmad Sulaiman mengunjungi jambatan tersebut. Kami rasa puas
dan gembira melihat jambatan siap dan berterima kasih kepada Pejabat Daerah dan
MPKj yang bertindak menyiapkan jambatan yang memberi faedah kepada penduduk
Sungai Kantan.
Di Sungai Kantan juga terdapat sebuah Sekolah Agama tidak
jauh dari kedai dan taman permainan. Sekolah ini menghadapi kekurangan
peralatan, maka pihak Adun Kajang menghantar papan-papan tulis dan meja dan
kerusi kepada pihak Sekolah (Kelengkapan dibuat oleh saudara Salehin Jait
seorang tukang berpengalaman). Sekolah
ini menerima ramai pelajar hingga bangunan berkenaan tidak mampu menampung
pelajar, oleh kerana kekurangan tanah, maka bangunan tambahan dibuat dibahagian
Hulu Sungai Kantan. Oleh kerana sungai melalui pertengahan Kampung Sungai Kantan,
maka tepi Sekolah dan kampung berdekatan mengalami banjir. Pihak Adun pernah
melawat mangsa banjir di kampong berkenaan sekitar 2003 dan menyampaikan
bantuan kepada penduduk di tepi kampung yang mengalami banjir.
Pada masa Penulis sebagai Adun Kajang, pihak Alam Flora
memindahkan Pejabat Operasinya ke Kedai Sungai Kantan (tingkat atas) –
berdekatan Taman Permainan dan Sekolah Agama. Oleh kerana Pejabat Alam Flora
berpindah ke sini, maka Adun kerap datang ke Pejabat ini, kerana menyelesaikan
aduan-aduan sampah (kebersihan) yang menjadi isu kedua pentingnya di Bandar
Kajang selepas lalulintas dan isu utama bagi penduduk di Dun Kajang.
Berhubung dengan Kantan Permai, tidak banyak isu yang Adun
hadapi, kerana ianya adalah kawasan baru, tetapi yang menjadi masalah besar
ialah perumahan terbengkalai di kawasan tersebut. Beberapa kali usaha dilakukan
dan projek kembali aktif dan kemudian terbengkalai. Walau bagaimana perumahan
terbengkalai ini dapat dipulihkan pada masa tempoh Adun di Dun Kajang.
Kehadiran Penulis selaku Adun Kajang di Markas Sementara bertempat di tepi
perumahan di hadapan kedai di Kantan Permai, kemudian menggunakan Pasti yang
dikendalikan saudara Abdullah Abdul Rahman dari Unit Amal yang sering
mengiringi dan menjaga keselamatan Penulis selaku Adun.
Satu yang terus merapatkan hubungan Penulis dengan penduduk
Kantan Permai, bahawa tidak berapa lama selepas Surau An-Nur siap, Penulis
diminta mengajar di surau berkenaan. Penulis bersetuju dan mengajar sekali sebulan, iaitu bidang tasawuf dengan
menggunakan buku karangan Penulis sendiri. Pengajaran ini berterusan, walaupun
Penulis tidak lagi menjadi Adun Kajang sehingga meninggalnya Setia Usaha Surau
Tuan Haji Ghazali pada pertengahan tahun tersebut 2012. Semoga Allah mencucuri
RahmatNya ke atas roh al-Marhum Tuan Haji Ghazali.
Sekian.
Dr saye nk latar belakang taman kantan permai boleh?
ReplyDelete