March 29, 2014

Pengantar Kepada Buku Teori Takmilah: Perluasan & Penafsiran

-->
BBB, 26 Rabiul Akhir 1435 = 28 Mac 2014 (Jumaat):

Wacana bagi Teori Takmilah: Perluasan & Penafsiran menampilkan 12 kertaskerja dari bekas-bekas pelajar Penulis (antaranya generasi kedua). Dengan kecekapan Penyelenggara, iaitu Profesor Madya Dr. Abdul Halim Ali yang merupakan Pengerusi Wacana dan Pengerusi Persatuan Penulis Budiman Malaysia dapat menghimpunkan dalam masa yang singkat semua kertas kerja berkenaan dalam bentuk buku berukuran 22.5 x 15.5 sm. berkulit warna hijau setebal 262 hlm. Berkulit lembut dan sebahagian kecil berkulit keras. Buku ini diterbitkan oleh Persatuan Penulis Budiman Malaysia (2014) dan dicetak oleh Percetakan Selaseh Sdn. Bhd. Taman Selaseh (Fasa 1), 68100 Batu Caves, Selangor.


Penulis-penulis dalam buku ini (selain dari dua artikal oleh Penulis) adalah merupakan pelajar-pelajar Penulis yang menggunakan Teori Takmilah dalam kajian Ph. D, Sarjana dan Ijazah Pertama dan juga pelajar-pelajar yang mengikuti kursus tentang Teori Takmilah baik secara langsung atau melalui pelajar-pelajar penulis yang mereka kini adalah tenaga-tenaga pengajar di universiti-universiti. Pelajar-pelajar yang mengikuti seminar Teori Takmilah pada hari ini juga adalah mereka yang mengikuti kursus berkenaan di UPSI ini dan juga dari UPM, Serdang, Selangor.

Dalam Kata Pengantar oleh Penyelenggara bagi buku ini tercatat:

``Buku kecil yang diberi judul Teori Takmilah: Perluasan dan Penafsiran mengumpulkan sejumlah 12 makalah hasil buah fikir tokoh-tokoh penulis dan ahli akademik yang tidak asing lagi dalam dunia sastera tanah air. Penerbitan buku ini dizahirkan sebagai sebuah sumbangsih atau keterlibatan dan sumbangan bermakna Dr. Shafie Abu Bakar menerusi Teori Takmilah dalam pembangunan dan kemajuan sastera Melayu di Negara ini. Lebih signifikan sumbangsih ini kerana usia Teori Takmilah sejak idea teori ini dilahirkan pada tahun 1984 (cetusan hasil dari kajian terhadap Hikam 1980-1990 peringkat Ph. D.) kini (2014) genap 30 tahun. Dalam tempoh 30 tahun itu, Teori Takmilah berjaya melahirkan beberapa orang pelajar lulusan di peringkat sarjana dan kedoktoran yang menggunakan teori ini dalam kajian ilmiah mereka.``


Dari 12 kertas kerja yang dihimpunkan di dalam buku ini, dua daripada kertas kerja oleh Penulis adalah perluasan terhadap Teori Takmilah yang merupakan penemuan baru yang memperkayakan Teori Takmilah itu sendiri, menurut Kata Pengantar:

``Dua buah makalah yang dihasilkan oleh Shafie Abu Bakar merupakan suatu peneguhan ke atas idea takmilah yang dikemukakan sebelum ini. Shafie mengemukakan beberapa gagasan baharu sebagai pelengkap kepada idea takmilah. Dalam dua makalahnya Shafie memperluaskan idea takmilah kepada bidang-bidang seni yang lain di luar kesusasteraan, iaitu seni kaligrafi, seni suara dan lagu, muzium dan seni bina masjid termasuk seni pembangunan Negara.`` Tambah Kata Pengantar itu,

``Dengan gagasan baharu ini, tafsiran Teori Takmilah tidak lagi terbatas sebagai sebuah teori sastera dan teori kritikan sastera, tetapi juga boleh disebut sebagai teori pembangunan Islam.``

Tulisan saudara Abdul Halim Ali sebagai Pemakalah terawal di dalam buku ini adalah juga berhubung dengan penelitian terhadap Teori Takmilah. Adapun 9 pemakalah yang lain adalah merupakan `penafsiran terhadap Teori Takmilah` bermaksud menggunakan teori Takmilah di dalam kajian mereka terhadap kumpulan-kumpulan puisi, novel, syair dan teromba. Turut disertakan bahagian akhir biodata ringkas bagi penulis-penulis dan gambar dan biodata Penulis.


Pada kulit luar bahagian belakang buku ini tercatat:

``Perbincangan-perbincangan yang dizahirkan dalam buku kecil ini menunjukkan tahap perkembangan Teori Takmilah dan signifikasi kehadirannya dalam dunia kritikan sastera Melayu di Malaysia. Teori Takmilah melalui satu tempoh pendewasaan diri yang meyakinkan masa depan sastera. Khususnya sastera yang bernuansa Islami. Analisis-analisis yang dilakukan ke atas pelbagai genre kesusasteraan, baik yang tradisional mahupun yang moden adalah satu bentuk tafsiran analitis yang membuktikan kebolehpercayaan dan keesahan teori ini sebagai satu kerangka teoritikal dalam dunia akademik, manakala, beberapa gagasan baharu yang dikemukakan Shafie Abu Bakar merupakan satu perluasan fungsi teori yang tidak lagi terbatas hanya dalam dunia sastera tetapi juga boleh dijadikan asas berfikir untuk membangunkan peradaban material dan peradaban ilmu berasaskan konsep `menuju kesempurnaan dan keredaan Ilahi.``

Sekian.

2 comments:

  1. Assalamualaikum . Mcm mana utk saya dapatkan buku ini. Terima kasih.

    ReplyDelete
  2. Assalamualaikum . Mcm mana utk saya dapatkan buku ini. Terima kasih.

    ReplyDelete