March 30, 2014

Tanggapan Abdul Halim Ali Terhadap Teori Takmilah, Kaitan Dengan Hikam

-->
BBB, 27 Rabiul Akhir 1435 = 29 Mac 2014 (Sabtu):

Wacana Teori & Kritikan Sastera Kedua (2014) terhadap Teori Takmilah banyak memberi tanggapan baru terhadap Teori Takmilah yang selama ini tidak disedari oleh Penulis sendiri. Menurut Profesor Madya Dr. Abdul Halim Ali pelajar yang membuat Ijazah Sarjana di bawah Penulis, Pengerusi Persatuan Penulis Budiman Malaysia, Pengerusi Seminar dan Penyelenggara buku Takmilah: Perluasan Dan Penafsiran bahawa susurgalur yang merupakan `Benih Takmilah` adalah, ``… hasil daripada kajian rinci terhadap al-Hikam.`` (Abdul Halim Ali, Beberapa Tanggapan Awal Terhadap Teori Takmilah, dlm. Teori Takmilah: Perluasan Dan Penafsiran, Persatuan Penulis Budiman Malaysia, Tanjung Malim, Perak, 2014: 1).


Memang benar bahawa Penulis adalah mengkagumi terhadap Hikam Ibn `Ata`illah (m. 709/1309) yang disyarah oleh Tuk Pulau Manis - Shaykh Abdul Malik bin Abdullah (m. 1149/1736) dari Terengganu. Matan Hikam dan Syarah Hikam Melayu inilah menjadi tajuk tesis Ph. D. Penulis yang diusahakan sejak tahun 1980 dan siap pada tahun 1990. Kekaguman Penulis terhadap Hikam dapat difahami dari ungkapan penulis dengan sokongan berbagai-bagai pendapat:


``Demikianlah MH (Matan Hikam) boleh disifatkan sebagai permata-permata yang amat tinggi nilainya terhasil dari lombong akal-jiwa sufi yang bercirikan sifat-sifat keistimewaan di atas. Ketinggian nilai MH ini dapat dibuktikan dengan pendapat kalangan sufi dan pengkaji-pengkaji MH berkenaan. Ibn `Abbad menyifatkan MH:

``Karangan yang kecil bentuk, tapi besar ilmunya, mempunyai ibarat yang jelas lagi elok dan tinggi maknanya. Bertujuan menunjuk jalan kearifan dan ketauhidan dan menerangkan manhaj-manhaj kesalikan dan kebersihan diri.``
Ahmad Zarruq pula mengatakan:
``Rangkulan ibaratnya terang, isyaratnya tinggi memanfaatkan, kandungan ilmu dan hikmatnya menyejukkan dada, mencergaskan fikiran, menarik pendengaran dan pemerhatian.``
Manakala Ibn `Ajibah menyifatkannya sebagai,
``Kurniaan ladunniyyah dari rahsia-rahsia rabbaniyyah.``
Shaykh Abdul Samad al-Falimbani pula mengkategorikannya sebagai,
``Ilmu tasawuf yang sangat manfaat.``
Dan Abdul Qadir Mahmud menyifatkan MH sebagai,
``Keindahan sastera sufi yang bersifat falsafah.``

Keistimewaan MH terletak pada kedalaman maknanya yang diungkapkan di dalam kata-kata yang ringkas dan padat, tetapi mempunyai makna yang luas dengan isyarat yang jauh melayang, berlapisan dan bercabang. Kata-katanya lancar dan indah dengan gaya bahasa yang jelas dan lurus. Sempurna dari segi balaghahnya, yakni tiada cela dari segi ma`ani, bayan dan badi`nya. Pendeknya pancaran keindahan yang menghiasai MH mencerminkan ketinggian mutu sasteranya yang mengkagumkan.``
(Shafie Abu Bakar, Hikam Melayu: Kajian Falsafah Dan Etika, Institut Bahasa, Kesusasteraan Dan Kebudayaan Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi, 1990: 10-11).


Hasil dari kajian terhadap Hikam mempengaruhi Penulis dari segi estetikanya yang mengkagumkan, fikiran bernas dan berfalsafah mendalam. Sesungguhnya aspek estetika adalah menjadi elemen utama di dalam semua 7 susunan skima Takmilah.

Saudara Abdul Halim mempunyai 3 tanggapan terhadap Teori Takmilah yang melibatkan aspek estetika, nilai dan falsafah:

Dalam tanggapan pertamanya bahawa al-Khalik yang bersifat Jamal adalah menjadi tunjang utama bagi Takmilah. Estetika menurut Takmilah dari Jamal al-Khalik memancar kepada semua ciptaan Allah baik dari segi luaran dan dalaman. Menurut Abdul Halim:

``Dalam sastera aspek estetika menjadi tunjang yang memberi wajah keunikannya berbanding dengan bidang-bidang ilmu yang lain. Aspek estetika dilihat bukan saja kepada binaan luaran karya sebagaimana dilihat oleh golongan strukturalis, tetapi turut menjangkau kepada unsur dalamannya serta linguistika bahasa yang menyelimutinya. Pelbagai teori yang kebanyakannya dilahirkan oleh sarjana barat digunakan untuk menganalisis sesuatu karya khususnya untuk menyelongkari nilai estetika yang tersembunyi di dalamnya.`` Menurut saudara Abdul Halim lagi,

``Teori-teori klasik, moden dan pascamoden yang dihasilkan bermula dari Plato dan Aristotle, teori Formalistik, Moralisme, Historisisme, Strukturalisme, Semiotik hingga kepada Post Strukturalisme, dekonstruksi terus berusaha untuk menggapai makna dan unsur estetik pada sesuatu karya. Namun, hasilnya tidak pernah menjangkau kepada al-Khaliq yang menjadi puncak keindahan. Teori-teori sastera barat tidak mampu menelurkan analisis yang bersifat berpaksi, sebaliknya hanya mampu menyudahkan sandaran kepada makna yang dicipta sendiri bukannya pada makna estetika yang hakiki.`` Seterusnya kata saudara Abdul Halim,


``Teori Takmilah yang mengalurkan landasan analisis yang bersifat syumullah yang merangkumkan semua pihak dalam sastera ialah pengkarya, karya dan khalayak kepada al-Khaliq yang menjadi puncak estetik dan bersifat hakiki.`` Tambah saudara Abdul Halim,

``Dengan tidak mengabaikan unsur estetika luaran, Takmilah pergi lebih jauh menjangkau makna keindahan yang lebih kudus dan universal. Bagi Takmilah keindahan-keindahan yang wujud dan terungkap dalam sesuatu karya tidak semestinya terbatas kepada makna luaran dan berakhir pada tafsiran yang diberikan oleh manusia, tetapi bertalian dengan keindahan hakiki yang menjadi salah satu sifat Allah.``

Dalam tanggapan kedua saudara Abdul Halim menyebut Takmilah muncul bersama-sama teori tempatan yang lain sebagai alternative yang selama ini didominasi teori barat. Takmilah mempertaut sastera dengan Allah. Allah Penentu nilai baik buruk, betul salah, nahi munkar, berakhlak baik atau jahat. Kepadanya ditumpahkan ibadat dan taat dan kewajipan bagi setiap muslim berdakwah. Menggunakan elemen estetika di dalam berkarya merupakan sebagai dakwah secara halus kepada jalan Allah yang sastera walaupun bukan wajib, tetapi peranannya di dalam menegak yang makruf dan mencegah dari mungkar dikira sebagai berpahala (ibadat).


Dari satu segi walaupun dilihat Takmilah mempunyai kaitan dengan agama, tetapi ianya bersifat universal yang nilainya bersifat sejagat. Contoh melihat kejadian dari sudut estetika membawa kepada pengagungan terhadap Pencipta, menyuburkan rasa kemanusiaan di dalam dada bagi membela manusia, menentang kezaliman bagi menegakkan keadilan, menyuburkan rasa persaudaraan sesama manusia. Semuanya adalah tema-tema sejagat yang mempunyai titik persamaan di kalangan sasterawan dan penulis-penulis. Semua nilai-nilai di atas berpaksikan keyakinan yang berkepercayaan bahawa semua tindak tanduk manusia akan dinilai dan dibalas pada hari kemudian (akhirat). Tetapi bagi faham barat yang antaranya bersifat secular, nilai-nilai di atas mungkin timbul di kalangan sasterawan, hak asasi manusia dan memperjuangkan alam sekitar, tetapi kesedaran adalah bersifat luaran dan tidak berpaksikan kepada keyakinan, lantaran itu boleh berubah dan bercanggah.

Manakala tanggapan ketiga saudara Abdul Halim melihat ketauhidan menjadi falsafah keyakinan di dalam Takmilah yang daripadanya menjadi sumber keindahan, kebaikan dan nilai. Ketauhidan adalah menjadi falsafah Islam yang paling utama dan paling kukuh. Ia adalah sifat nafsiyyah Ilahi yang dengan ketauhidan ia bersifat dengan sifat yang unggul antaranya dikenal sebagai al-Asma` al-Husna dan sifat Jamil – Indah yang menjadi sumber estetika adalah salah satu dari sifat sempurna Ilahi. Pegangan terhadap ketauhidan menyelaraskan semua tindakan dan seharusnya tidak berlaku pertembungan dan pertentangan. Jika berlaku konflik maka peleraian seharusnya dilakukan secara harmoni menurut nilai dan aturan.


Tentang Teori Takmilah menurut saudara Abdul Halim beliau meminatinya sejak 1997 semasa menjadi pelajar kepada Penulis. Teori ini turut ditulis di dalam Utusan (10 buah artikal) dan turut menulis mengenainya di dalam Harakah. Pendalaman beliau terhadap teori ini makin meningkat, khususnya bila beliau mengikuti pengajaian pada peringkat Ijazah Sarjana di bawah Penulis dengan memilih tajuk berhubung dengan Teori Dan Kritikan Sastera dan minat ini berterusan setelah beliau menjadi tenaga pengajar di UPSI yang Wacana  Teori & Kritikan Sastera Kedua (2014) tentang Takmilah adalah usaha beliau selaku Pengerusi Wacana bersama-sama AJKnya.

Sekian.

No comments:

Post a Comment