March 22, 2014

Taman Sekamat Berkembang: Menerima Bantahan Penduduk

-->
BBB, 19 Rabiul Akhir 1435 = 21 Mac 2014 (Jumaat):

Taman Sekamat sebagaimana Taman Mesra tidak berjauhan adalah merupakan kampung-kampung tradisi sebelum berkembang dengan taman perumahan moden dan berada di bawah Dun Kajang. Masuk ke Taman Sekamat adalah melalui sebatang jalan sebelah kanan selepas Taman Mesra. Melalui jalan masuk ini pada akhir tahun 1990an kita menemui Sekolah Kebangsaan dan Sekolah Agama di sebelah kiri (anak-anak dari Taman Mesra, Taman Delima dan sekitar belajar di sekolah-sekolah di sini), manakala di sebelah kanan adalah perumahan penduduk yang kurang teratur dari segi susunan. Pada jalan masuk sebelah kanan sebelum bangunan sekolah ada sebuah rumah yang dijadikan Markas Pas Taman Sekamat. Markas di sini adalah antara markas yang giat sebagaimana di Taman Mesra, lantaran itu Penulis sebagai Adun dan sebelum menjadi Adun sering datang menyertai kegiatan di sini dalam rangka mengukuhkan Pas di Taman Sekamat secara khusus dan Kajang secara umumnya.


Sebagaimana Taman Mesra menerima limpahan pembangunan demikian juga Taman Sekamat, selepas UKM dibuka di Bangi, turut dibuka taman perumahan baru di Taman Sekamat yang terletak ke dalam sedikit dari perumahan Kampung Taman Sekamat. Taman di sini yang terdiri dari ratusan rumah yang antaranya, bungalow,  semi D, Teres dua tingkat dan setingkat telah siap dan mendapat CF sejak April 1979. Penduduk di sini terdiri antaranya ialah pensayarh-pensyarah UKM, pegawai-pegawai dan kalangan professional. Di Taman Sekamat ini juga didirikan Surau atas pakatan penduduk.

Bila Penulis menjadi Adun Kajang, Taman Sekamat tidaklah asing bagi Penulis, oleh kerana di sini ada markas Pas yang merupakan antara markas yang giat di Dun Kajang dan di Taman Sekamat (Baru), antara penduduknya adalah menjadi Pensyarah bagi Penulis dan sebahagian lagi adalah kawan-kawan pensyarah di UKM. Penduduk yang kebanyakannya adalah terdiri dari kalangan intelektual mereka menubuhkan Persatuan Penduduk yang kuat dan aktif. Sejak taman di sini dihuni (1979) hingga Penulis menjadi Adun Kajang, Persatuan Penduduk yang pada masa itu diketuai Pengerusinya  Lt. Kol. (B) Haji Akbar Khan menjalankan pentadbiran (pemerintahan) di Taman Sekamat secara autonomi. Bermaksud Taman ini tidak tertakluk di bawah pentadbiran MPKj. Segala infra-struktur dan kemudahan awam adalah ditadbir oleh Persatuan Penduduk. Bayaran api, sampah dan penyelenggaraan jalan dibayar melalui persatuan. Mereka hanya membayar cukai di Pejabat Tanah sahaja.Selama lebih dari dua dekad persatuan mengurus pentadbiran secara autonomi dan penduduk selesa dan sejahtera dengan kuasa autonomi yang mereka nikmati.

Ketenteraman penduduk di Taman Sekamat mulai terganggu apabila pihak Pemaju KUB membina perumahan (Taman Kasih) ke dalam dari Taman Sekamat. Untuk masuk ke taman ini seharusnya dibina jalan masuk sendiri yang memang ada reserve jalan bagi Taman Kasih. Tapi Pemaju KUB ingin mendapat keuntungan maksimum, Pemaju tidak mau bina jalan masuk bagi Taman Kasih, sebaliknya mau menggunakan jalan perumahan (1 & 6) Taman Sekamat. Ini meyebabkan atas faktor keselamatan, ketenteraman dan pencemaran Persatuan dan penduduk membantah kepada MPKj dan pihak MPKj bersetuju Taman Kasih hendaklah membina jalannya sendiri di atas tanah reserve jalan yang disediakan (Surat dlm. MPKj/PB/KM2/8.99 bertarikh 9 April 2002).

Masalahnya pihak MPKj tidak patuh sebagaimana persetujuan asal dan berusaha bagi membenarkan Taman Kasih di bawah KUB memnggunakan jalan dalam Taman Sekamat. Ini menyebabkan Persatuan Penduduk protes dan membuat aduan kepada Penulis selaku Adun Kajang. Maka pada Khamis 11 Julai 2002 Penulis selaku Adun bersama dengan beberapa AJK Bertindak Adun melawat Taman Sekamat bagi memahami kedudukan sebenar dan cuba mencari penyelesaian sewajarnya. Penduduk mengadakan majlis khas menerima lawatan Adun ke Taman Sekamat dan dalam majlis berkenaan Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Sekamat Lt. Kol.(B) Haji Akbar Khan bin Muhabat Khan menyerahkan memorandum bantahan penduduk kepada Penulis selaku Adun Kajang. Nampaknya kemarahan Persatuan dan penduduk menyebabkan mereka juga tidak membenarkan Pemaju KUB menyambung paip air dari Taman Sekamat ke Taman Kasih, kerana bimbang mengganggu tekanan air ke Taman Sekamat.


Sebagai respond terhadap memorandum dan bantahan penduduk Penulis selaku Adun Kajang telah menulis surat kepada MPKj dengan salinan kepada Pegawai Daerah dan Pengerusi Eksekutif KUB memohon agar kehendak penduduk dihormati. Berikut dari permintaan ini pihak MPKj telah berunding dengan Persatuan Penduduk dan pihak Persatuan berlembut membenarkan paip air ke Taman Kasih ditanam melalui Taman Sekamat dengan syarat-syarat yang perlu dipatuhi, tetapi Persatuan Penduduk tidak bersedia membenarkan jalan taman dijadikan laluan ke Taman Kasih. Taman Kasih mempunyai reserve jalannya sendiri, jalan ini hendaklah dibina oleh Pemaju KUB. Ini tidak lain dari menjaga keselamatan, ketenteraman dan menjaga kebersihan dari pencemaran.

Kekuatan Persatuan Penduduk Taman Sekamat berjaya melindungi kepentingan penduduk Taman Sekamat. Pembukaan jalan khas ke Taman Kasih lebih baik dan selesa bagi penduduk, kerana tidak perlu melalui jalan taman lain yang sempit. Ini adalah hak yang sepatutnya dinikmati penduduk Taman Kasih. Rundingan berjaya menyelesaikan permasalahan yang dihadapi penduduk kedua taman.

Sekian.

No comments:

Post a Comment