March 24, 2014

Melawat Pusat-Pusat Mengundi Dun Kajang - Keputusan

-->
Kajang, 21 Rabiul Akhir 1435 = 23 Mac 2014 (Ahad):


(Tulisan ini siap pada jam 4.00 petang – tidak diubah. Cuma ditambah dengan keputusan)

Sebagaimana Penulis berjanji dengan saudara Azizi untuk melawat pusat-pusat mengundi Dun Kajang pada pagi ini, maka jam 9.00 pagi Penulis sudah berada di hadapan rumah sdr. Azizi di Kajang Utama. Atas cadangan sdr. Azizi tidak wajar bawa kenderaan besar untuk elak dari kesesakan, maka kami bertolak dengan kereta kecil milik sdr. Azizi. Kami tidak berhasrat untuk melawat semua pusat mengundi sebagaimana masa Penulis sebagai calon dahulu. Cuma kali ini untuk lebih bersifat meninjau secara kasar, lagi pula sdr. Azizi mempunyai urusan jam 12.00 tengahari.


Kami memilih untuk ke Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Sungai Chua terlebih dahulu. Iaitu pusat mengundi paling tinggi dengan pengundi - seramai 7,376 pengundi. Setibanya di sana berlaku kesesakan dan kami terpaksa parking kereta di luar di tepi jalan berdekatan bangunan gereja dan berjalan kaki agak jauh ke dalam. Kami masuk bersama seorang wanita Cina yang sudah berumur yang mengadu kepada kami, menurutnya bahawa nama beberapa kawannya tidak ada dalam senarai mengundi. Setibanya kami di Jalan ke Sekolah Cina, kiri kanan jalan dipenuhi penyokong dengan bendera parti masing-masing. Ramai peraih undi dari kalangan orang Cina meminta kami mengundi no. 2 (maksudnya Wan Azizah), pada hal kami bukan pengundi. Sentimen kepada mengundai Wan Azizah agak tinggi, manakala dari pihak Mei Fun (BN) kurang agresif. Sebahagian dari peraih undi terutama dari kalangan orang Melayu seperti saudara Ahmad Sulaiman dan beberapa yang lain mengenali Penulis dan ada yang lain memperkenalkan Penulis sebagai Mantan Adun Kajang. Lantaran itu antara kumpulan peraih undi minta mau bergambar dengan penulis. Dari situasi berkenaan Penulis cenderung berpendapat pengundian di kawasan Cina ini lebih berpihak kepada Datin Seri Wan Azizah.


Kami tidak berlamaan di sini, kerana jam melebihi 10.00 dan keluar berjalan kaki kembali ke kenderaan, keluar melalui bawah jejambat dan menghala ke tol Taman Sutera dan keluar ke Jalan Cheras. Kami berhasrat ke Taman Rakan dan Sungai Long, tapi tiada tanda-tanda bendera dan postar (ertinya tidak termasuk di bawah Dun Kajang sebagai tahun 1999 semasa Penulis bertanding di Dun Kajang), kami membuat U turn dan menuju ke Taman Sekamat, tempat yang tinggi dengan pengundi Melayu yang jumlah pengundi di sini ialah 4,708 pengundi. Jalan masuk ke pusat mengundi di Sekolah Kebangsaan Taman Sekamat ini sesak, kerana jalannya sempit dan terpaksa ke bahagian atas untuk mendapat tempat parking. Kehadiran Penulis di sini dikenali ramai perayu-perayu undi yang mereka adalah pendukung setia Pas sejak Penulis bertanding dan menjadi Adun Kajang (1999). Antara mereka ialah aktivis pemuda sdr. Anuar Khan (semasa Penulis jadi Adun) dan kini bersama isterinya dan lain-lain masih giat mendukung Pas. Mereka bertanya tentang kesihatan Penulis. Mereka bercakap dengan bangga, bahawa Kajang pernah mempunyai Adun dari Pas. Walaupun mereka kecewa Pas tidak terus bertanding di Dun Kajang, namun mereka berpuashati bahawa wakil di Parlimen adalah dari Pas, iaitu Y.B. Dr. Che Rusli Che Mat. Kami berkali-kali diajak bergambar. Antaranya kalangan wanita yang sudah sedikit berumur, masa Adun dulu masih muda - bertanyakan tentang isteri penulis. Apa yang dia lakukan – Penulis menjawab, ``Mengajar di surau dan di rumah-rumah ahli setempat,``  lantas mereka mengirim salam dan berharap isteri Penulis sanggup datang untuk mengajar di Taman Sekamat untuk mengukuhkan Pas setempat. Kata Penulis agak jauh dan mungkin sukar hendak datang. Dengan kehadiran Penulis di sini Penulis sengaja pergi ke Markas Pas Taman Sekamat di sini yang tidak jauh dari Pusat Mengundi, bersalaman-salaman dengan pekerja-pekerja Pas yang memenuhi anjung rumah setingkat, manakala muslimat berada di bahagian dalam bangunan. Tersentuh hati Penulis berada di sini mengingati secara nostalgic, bahawa markas ini adalah antara markas penting yang mendukung kegiatan Pas di Taman Sekamat secara khusus dan Kajang secara umum. Penulis bertanya sdr. Anuar Khan tentang peluang di Pusat mengundi di sini. Dengan nada rendah katanya, ``Peluang adalah 50 – 50 berdasarkan keputusan pilihanraya terbaru yang lepas (2013) peringkat Dun kalah tipis, manakala peringkat Parlimen majoriti hanya 2 undi. Ternyata dulunya Pas kawasan ini kuat, tapi kini agak berat.


Namun Penulis tidak pesimis, yang dilawati adalah dua dari 15 pusat mengundi, 38055 lagi pengundi akan membuat keputusan selepas ditolak mengundi awal daripada 39,278 pengundi. Optimis juga masih diharapkan berdasarkan majoriti yang lepas adalah 6,824 undi dan diharapkan majoriti lebih dari itu. Semasa lawatan Penulis ini, Penulis tidak berpeluang bertemu dengan kedua-dua calon yang bertanding dan tidak bertembung dengan sebarang pemimpin pada peringkat Pusat, Negeri bahkan kawasan, baik dari Pas atau PKR. Mungkin tidak berbetulan atau memang kurang komitmen ?


Penulis bertolak keluar dari Pusat Mengundi Taman Sekamat jam 11.00 ke Jalan Kajang dan melihat pusat mengundi Taman Mesra yang jalan ke arahnya tidak begitu sebok, namun tiba di hadapan Hospital KPJ berlaku kesesakan dan terpaksa buat U turn dan mengambil jalan ke Saujana Impian dan melihat Pusat Mengundi di Sekolah di situ dari jauh dan tidak begitu sebok dan melalui lebuhraya SILK segera sampai di rumah saudara Azizi jam 11.30.

Keseluruhan perjalanan pilihanraya sebagaimana disifatkan oleh Ketua Polis Negeri Selangor Datuk Mohd Shukri Dahlan adalah berjalan lancar, 3.000 polis bertugas dengan 800 bahagian traffic dan 600 kenderaan mengangkut pengundi disediakan. Menurut Pengarah Pilihanraya Daerah Dato` Hassan Nawawi bin Abdul Rahman adalah dijangka dengan cuaca yang baik 80% akan keluar mengundi. Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof Pengerusi SPR yang datang melawat pusat-pusat mengundi menyatakan, ``Tidak ada pergaduhan di tempat-tempat mengundi, hingar binger dan acah mengacah antara penyokong adalah kebiasaan yang memeriahkan suasana pilihanraya.``


Keputusan diumumkan pada jam 9.10 malam adalah sebagaimana berikut:

Kawasan DUN Mengundi:  N 25 Kajang

Chew Mei Fun (BN)                   11,362
Wan Azizah Wan Ismail (PR)    16,741        (Pemenang)
Undi rosak                                       171
Majoriti                                         5,379

Peratus Keluar Mengundi                72.1%


Sekian.

No comments:

Post a Comment