March 11, 2014

Wan Azizah Calon Paling Sesuai Bagi PRK N 25 DUN Kajang

-->
BBB, 08 Rabiul Akhir 1435 = 10 Mac 2014 (Isnin):

Selepas diketahui bahawa Dato` Seri Anwar Ibrahim tidak layak mengemukakan borang pencalonan bagi PRK Kajang pada (Selasa) 11 Mac 2014 berikutan dari dijatuhkan hukuman oleh Mahkamah Rayuan pada 6 Mac lepas, kita tertanya-tanya siapakah bakal menggantikan tempat Dato` Seri Anwar. Sebenarnya ramai calon dari PKR dapat dicalonkan sebagai nama-nama yang disebutkan, tapi kita merasakan tidak ada yang sesuai atau sekurang-kurangnya kurang sesuai. Tetapi apabila diumumkan nama Datin Seri Wan Azizah dipilih untuk menggantikan tempat Dato` Seri Anwar pada Ahad baru-baru ini, maka nama yang sebelum ini tidak begitu disebut ini kita berpendapat adalah paling tepat.


Dilihat dari kedudukan di dalam PKR sendiri Datin Seri Wan Azizah beliau adalah Presiden PKR yang sesuai menggantikan Dato` Seri Anwar sebagai Ketua Umum PKR. Beliau juga adalah selaku isteri kepada Dato` Seri Anwar. Dilihat dari segi beban, Datin Seri kini tidak terbeban dengan tugas sebagai ahli Parlimen sebagaimana sebelumnya, tugas sebagai Adun Kajang, sekiranya beliau menang mampu dipikulnya. Dengan kedudukan Datin Seri Wan Azizah sebagai Presiden PKR beliau lebih mengimbangi calon MCA Datin Paduka Chew Mei Fun yang berjawatan Naib Presiden MCA. Dengan kedua-dua calon adalah wanita, maka dilihat lebih bersemarak lagi dari segi pertandingan. Jika ada calon lain turut bertanding, kita kira tidak memberi kesan ketara bagi keputusan pilihanraya. Pertandingan sebenarnya adalah antara dua tokoh wanita berkenaan.


Kedua-dua calon adalah berpengalaman dan kedua-duanya pernah menjadi ahli Parlimen Permatang Pauh bagi Datin Seri Wan Azizah dan Ahli Parlimen PJ Utara bagi Datin Paduka Chew Mei Fun. Jadi tidak boleh dituduh sebagaimana diguna oleh media tertentu sebagai `Calon Kitar Semula`. Kedua-dua calon pula bukan anak tempatan Kajang, dari segi ini tiada kelebihan bagi kedua calon sama ada anak tempatan atau tidak.


Kita melihat pada diri Datin Seri Wan Azizah ada banyak kelebihan berbanding dengan Datin Paduka Chew Mei Fun. Kelebihan utama dan menjadi faktor semasa ialah `Simpati Masyarakat`, Khususnya Pengundi-Pengundi Kajang terhadap Datin Seri Wan Azizah. Beliau kini dilihat kembali meneruskan kepedihan yang ditanggung akibat Dato` Seri Anwar dipenjara dan dipukul pada pertengahan 1990an, kini episode itu berulang lagi. Beliau kembali dihadap dengan ujian yang berat dengan hukuman penjara yang dihadapi suaminya, apa lagi rayuan yang masih ada, jika tidak berpihak kepadanya.


Penduduk, khususnya pengundi Kajang ditawarkan seorang calon `Berhati Cekal dan Bersemangat Waja` yang tenang menghadapi ujian dan terus setia membela dan bersama suaminya jatuh bangun. Kecekalan ini akan terus dibawa dalam tugas-tugasnya, sekiranya pengundi Kajang memberi mandate kepadanya. Walaupun misi yang mau dibawa Dato` Seri Anwar bersama hasratnya mau menjadi Adun Kajang, tetapi tidak kesampaian, namun orang yang paling rapat dan dekat kepadanya dapat membawa misi yang mau dibawa oleh Dato` Seri Anwar, bahkan beliau dapat menokok tambah dari segi pendekatan dan perkhidmatan terhadap pengundi Kajang.

Pengundi Kajang akan lebih dapat manfaat dengan memberi mandate kepada Datin Seri Wan Azizah sebagai Adun Kajang. Pengundi dan penduduk Kajang perlu mengambil perhatian, bahawa Kerajaan Negeri Selangor yang kaya dan paling maju di Malaysia adalah berada di bawah Kerajaan Pakatan Rakyat. Dengan memberi mandate kepada Datin Seri Wan Azizah banyak kemudahan yang boleh didapati dari kerajaan PR yang memerintah, selain dari peruntukan tahunan bagi Adun. Bayangkan jika kepercayaan diberi kepada Datin Paduka Chew Mei Fun, beliau akan berada di dalam barisan pembangkang. Beliau bukan saja tidak berpeluang mendapat peruntukan kerajaan negeri, tetapi akan jarang mendapat peluang untuk bercakap di dalam Dewan Negeri Selangor.  Bahkan Datin Paduka akan merasa terasing dalam Dewan Negeri, kerana calon wanita dari BN, tidak seramai Wakil Rakyat dari kalangan wanita yang pemerintahan PR yang demokratik dan seimbang antara Adun lelaki dan wanita.


Memberi undi kepada Datin Seri Wan Azizah adalah memberi kestabilan dari segi pemerintahan di Selangor. Bila Datin Seri berada di Dun Negeri Selangor, tidak timbul lagi dari segi perebutan jawatan di kalangan pemimpin PKR di dalam Dewan Negeri, kerana Datin Seri Wan Azizah ada di dalam Dewan dan dalam pemerintahan negeri.


Sesungguhnya dengan kedudukan Datin Seri Wan Azizah sebagai Presiden PKR yang menjadi komponan di dalam PR di Selangor, jika beliau diberi mandate oleh pengundi Kajang, banyak manfaat yang akan dinikmati oleh penduduk Kajang berbanding jika diberi kepada pihak pembangkang dari MCA di Selangor.

Sekian.

No comments:

Post a Comment