BBB, 05 Rabiul Akhir 1435 = 07 Mac 2014 (Jumaat):
Simpang Balak berkedudukan di hadapan Taman Mesra Kajang
sebelah kiri ke Kuala Lumpur .
Dari segi lokasi pengundi, Simpang Balak termasuk di bawah Balakong pada
pilihanraya ke 10, namun walaupun termasuk di bawah Balakong, ramai pengundi
adalah berdaftar di bawah Dun Kajang, bererti mereka dan kawasan Simpang Balak
seolah-olah di bawah Dun Kajang sebab itu Penulis selaku Adun Kajang memberi
perhatian terhadap penduduk di Simpang Balak. Berhampiran dengan Simpang Balak,
ialah kawasan Sungai Balak. Tempat ini pada masa itu agak becak dan jalannya
amat teruk, jika hujan sukar untuk dilalui dengan kenderaan. Kini semuanya
baik.
Pada masa Penulis jadi Adun Kajang, satu masalah yang
dihadapi sebahagian penduduk ialah pengambilan tanah oleh pihak kerajaan bagi
membangunkan kemudahan jalan raya. Sememangnya beberapa jalanraya dibina
seperti Grand Saga, Silk, Lekas dan mutakhir MRT. Turut terlibat bagi
pengambilan tanah ialah sekelompok penduduk Simpang Balak sebagaimana penduduk
Bukit Dukong sebelumnya terlibat. Masalah mereka sampai kepada Penulis dan pada
Jumaat 12 Julai 2002. Penulis turun selaku Adun dengan beberapa orang AJK
Bertindak Adun melawat lokasi yang menjadi aduan.
Adalah didapati 25 keluarga yang mempunyai pertalian waris
yang mendiami di atas tanah seluas 5 ekar yang diwarisi dari generasi terawal
mereka yang telah menetap di Simpang Balak itu sejak awal abad ke 20 menghadapi
tindakan pihak berkuasa untuk mengambil tanah mereka (Lot 318/E8441) dikatakan
untuk diguna oleh SILK (Sistem Lingkaran Kajang) bagi lingkaran dan penyuraian
jalan raya yang akan dibina di atas tanah berkenaan. Mereka mendakwa pihak berkuasa
secara sewenang-wenang menggunakan Akta Pengambilan Tanah 1960 (Seksyen 11)
tanpa membuat rundingan terlebih dahulu. Mereka terkejut tiba-tiba berdekatan kawasan
mereka digerudi untuk tanam cerocok untuk membina tiang jambatan dan rumah
mereka serta tanah mereka turut diukur. Mereka bimbang dengan pengambilan,
mereka tidak mendapat pampasan sewajarnya dan tidak mampu untuk membeli tanah
dan rumah dari pampasan sebagaimana yang berlaku terhadap sebahagian dari
penduduk Bukit Dukong yang tanah mereka diambil bagi pembesaran jalan Grand
Saga.
Penulis selaku Adun menemui penduduk di rumah keluarga di
situ, melihat dokumen dan mendapat penerangan daripada mereka. Dari pertemuan
itu membawa Penulis membuat beberapa pertemuan dan mencadang kepada mereka agar
memakai lawyer bagi mempertahankan hak mereka di atas tanah dan mencadangkan melalui
rundingan dengan pihak berkuasa tapak yang hendak diambil ditukar kepada
pengambilan tanah kosong tidak jauh daripada tempat tersebut yang tidak
berpenghuni. Ada
cadangan tapak rumah gantian untuk mereka, tetapi mereka tidak bersetuju dengan
kawasan cadangan untuk menempatkan mereka kepada satu kawasan tanah di Sungai
Balak yang biasa dilanda banjir dan tidak mempunyai infra-struktur bagi kawasan
perumahan.
Dalam masa rundingan pihak pemaju terus membina cerocok,
tetapi lebih kepada pembinaan dan pembesaran jalan Grand Saga, tetapi tidak
melibatkan tanah 5 ekar yang hendak diambil. Walau bagaimana dalam masa
berunding bersama pemilik-pemilik tanah 5 ekar berkenaan, mereka tidak
berhasrat untuk mengambil lawyer dan ada antara mereka tidak bersatu untuk
berunding – termasuk berhubung dengan pampasan dan akhirnya ada yang menerima
pampasan, menyebabkan kedudukan rundingan tidak lagi kukuh, bahkan mereka yang
enggan menerima pampasan didesak menerima pampasan.
Setelah masa berlalu agak lama berikut dari itu pihak
penguatkuasa yang terdiri dari MPKj, polis dan pegawai-pegawai dengan jumlah
yang agak ramai datang pada 16 Julai 2003 dengan peralatan bulldozer, jentolak
dan lori-lori meroboh rumah-rumah di atas tanah 5 ekar di Simpang Balak
berkenaan. Pada masa itu Penulis hadir bersama saudara Azizi dan selaku Adun dibenarkan
masuk oleh pihak Polis dan Penguatkuasa ke kawasan berkenaan yang diroboh.
Tidak ada penentangan dan halangan dari mana-mana pihak.
Walau bagaimana setelah tanah berkenaan diambil untuk
lingkaran penyuraian jalan yang dikatakan untuk SILK dalam lawatan Penulis ke
tapak yang diambil alih itu agak lama kemudian menimbulkan soalan bagi Penulis:
1) Mengapa
tapak tanah yang diambil itu tidak digunakan hingga sekarang untuk pembinaan jalan
dan penyuraian sebagaimana dikatakan ?
2) Mengapa
di atas tanah yang diambil ada didirikan pula rumah-rumah yang dihuni ?
3) Siapakah
yang memiliki tanah di sini kini ?
4) Siapakah
yang mendiami rumah-rumah berkenaan ?
5) Adakah
sebarang makluman dibuat kepada masyarakat berhubung dengan tanah berkenaan ?
Wajar mendapat jawapan dan penjelasan, khususnya dari pihak
berkuasa yang mengambil tanah berkenaan yang pada masa itu di bawah pemerintahan
BN.
Sekian.
No comments:
Post a Comment