March 1, 2014

Hujan Belum Turun

-->

(Sempena Meterai Perjanjian Air Selangor-Kerajaan Persekutuan 26.2.2014)

Hujan belum turun
Kemarau memanjang
Sungai surut ke dasar
Bendang, kolam, lopak kekeringan
Tanah rekah kepanasan
Daun pohon berguguran
Debu disentak angin
Menghampar kelabu jerubu
Mengganggu penglihatan.

Hujan belum turun
Reservoir turun ke aras kritikal
Pihak berwajib terpaksa
Ambil tindakan catu bekalan
Keluh gelisah bertalu aduan
Air tiada kecukupan
Rimas kepanasan
Dan lori-lori tangki
Berselisih menghantar air
Ke lokasi terputus bekalan.

Hujan belum turun
Menguji kesabaran
Penghuni rumah pangsa
Warga emas tua muda
Turun dengan bekas-bekas
Angkat air dengan baldi, gelen
Bekas cat, botol dan besen
Dukacita dengan berita
Ibu muda keguguran
Warga emas rimas
Keletihan.

Hujan belum turun
Pohon-pohon kekeringan
Di sana sini kebakaran
Ada ikhtiar dicadang
Menggerak pasukan `Pembenih Hujan`
Tapi hingga kini belum terbang
Gelisahnya semua pihak
Dengan sumber penghidupan.

Hujan belum turun
Hari ini kerajaan Negeri Selangor
Diwakili Tan Sri Khalid Menteri Besar
Datuk Seri Maximus Ongkili Persekutuan
Menandatangani Perjanjian Air
Disaksi Perdana Menteri dan Timbalan
Perjanjian semua pihak menang
Mengharap mengurangkan masalah air
Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya
(Antaranya disalur dari Pahang)
Di masa hadapan.

Mohon hujan turun
Ulama Beristisqa` - Minta Hujan
Kita sama menadah tangan
Hujan insya Allah turun
Dengan lebatnya
Membasahi segala tempat
Limpah dengan rahmat.

Shafie Abu Bakar,

Bandar Baru Bangi
26 Rabiul Akhir 1435
26 Februari 2014.

No comments:

Post a Comment