BBB, 12 Rabiul Akhir 1435 = 14 Mac 2014 (Jumaat):
Telah berlalu seminggu berita kehilangan kapal terbang MH370
sejak Sabtu lepas dalam penerbangan dari KLIA ke Beijing . Usaha mencarinya telah dipertingkat
dan diperluaskan dari Laut China Selatan ke selat Melaka dan Andaman melibatkan
13 negara dengan lebih 40 buah kapal laut dan 30 pesawat terbang. Negara-negara
yang terlibat memberi kerjasama dari yang besar seperti China, Amerika, Perancis,
Indonesia, Vietnam, Filipina, Thailand, Jepun membawalah kepada negeri kecil
seperti Singapura dan Brunei. Namun hingga kini di sebalik berbagai spekulasi
dan andaian, di mana MH370 masih belum diketemui. Bagi umat Islam antara
ikhtiar yang dilakukan ialah solat hajat, turut dilakukan sama oleh
penganut-penganut agama lain menurut cara mereka sendiri.
Pada hari ini solat hajat di Surau An-Nur yang mendirikan
solat Jumaat itu dipimpin oleh Yang Berbahagia Dato` Dr. Haron Din seorang
ulama terkenal di sini. Beliau mengingatkan kepada para jamaah selepas solat
Jumaat, bahawa Solat Hajat akan didirikan dengan satu Hajat Khusus, iaitu
memohon kepada Allah Subhanahu wa Ta`ala mempertemukan Kapal Terbang MH370 yang
hilang secara mistri itu. Dalam doanya selepas solat Hajat, bahawa manusia
bagaimana tingginya ilmu pengetahuan dan canggihnya alat teknologi, lemah
berdepan dengan keilmuan dan kekuasaan Allah. Kehilangan Kapal Terbang MH370
kecil di sisi Allah dan di sisi ilmuNya, oleh itu sebagai hamba-hamba yang
lemah, kita memohon kepada Allah memberi petunjuk bagi usaha-usaha yang
dilakukan bagi mencari kapal Terbang yang hilang itu.
Terdahulu daripada itu di dalam khutbah pertamanya Dato` Dr.
Haron Din mengingatkan, bahawa kejadian yang disifatkan mistri adalah
perkara-perkara yang pernah terjadi yang mencerminkan kekuasaan Allah Ta`ala,
beliau mengimbau sejarah tentang kehilangan angkatan kapal (banyak buah) di
Lautan Bermuda secara tiba-tiba dan kehilangan tidak dapat diketemui. Beliau
juga menyebut seorang isteri pada zaman Sayyiduna Umar Ibn al-Khattab pergi
mengadu kepada Umar tentang kehilangan suaminya yang tidak diketahui ke mana menghilang.
Setelah beberapa lama Umar Ibn al-Khattab memfasakhkan isteri yang mengadu
kepada Umar dan kemudian daripada itu isteri berkenaan berkahwin lain.
Takdir Allah selepas perkahwinan perempuan tadi dengan suami
barunya, suami lamanya muncul kembali. Umar bertanya lelaki berkenaan ke mana
dia pergi begitu lama menghilang. Lelaki itu menjawab, bahawa dia telah ditawan
oleh pasukan jin kafir. Namun selepas sekian lama dia ditawan berlaku
peperangan antara jin Islam dan jin kafir yang akhirnya dimenangi oleh Jin
Islam. Pada akhirnya jin Islam yang berjaya menawan lelaki berkenaan dari jin
kafir dilepaskan oleh jin Islam yang membolehkan dia pulang.
Moralnya persoalan mistri boleh berlaku dengan kehendak
Allah, tetapi dengan kehendak dan izin Allah jua kehilangan dapat diketemukan.
Dato` Dr. Haron Din mengecam hebat terhadap amalan khurafat
yang dilakukan di KLIA yang menggunakan teropong buluh dan mata kail yang
disifatkan sebagai memalukan kepada dunia dan bercanggah dengan akidah Islam.
Amalan sedemikian menjatuhkan imej Malaysia yang boleh disifatkan
sebagai manusia primitive dan berbudaya rendah. Beliau mempersoalkan pihak
berkuasa yang membenarkan perbuatan khurafat dan syirik berkenaan dilakuakan
Kita memohon dari Allah pertunjuk hingga Kapal Terbang MH307
yang hilang itu diketemui – Insya Allah – Amin.
Sekian.
No comments:
Post a Comment