BBB 18 Rabiul Akhir 1435 = 20 Mac 2014 (Khamis):
Masjid Kajang bukanlah masjid tertua di Hulu Langat, masjid
ini pula bukanlah menarik berbanding dengan setengah-setengah masjid yang lain
dari segi seni binanya, tetapi ianya adalah `land mark` penting bagi Kajang.
Masjid tertua di Hulu Langat ialah Masjid Raja Alang, Pekan Beranang yang
dibina sebelum tahun 1900 lagi, kemudian Masjid Raja Muda Musa, Pekan Semenyih
yang dibina pada tahun 1920an dan Masjid Haji Muhammad Saman Sungai Ramal Luar
yang dibina pada tahun 1929. Adapun Masjid Kajang dibina pada tahun 1960an dan
dirasmikan oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah al-Hajj
pada 1 hb. Mei 1971. Tapak masjid ini dikatakan asalnya dimilik oleh institusi
tertentu dan setelah melalui rundingan tapak sekarang menjadi kawasan Masjid
Kajang. Tapak masjid seluas 3 ekar ini terletak di sebelah kanan jalan ke
Cheras, bersebelahannya Kampung Sungai Kantan dan sebelah kirinya Station
Pemancar Radio Malaysia .
Masjid Kajang adalah bertaraf Masjid Jami` di Hulu Langat.
Semasa Penulis menjadi Adun Kajang (1999-2004), sebagai
pihak pembangkang di negeri Selangor, Penulis tidaklah diberi peluang rapat dan
mesra dengan kegiatan-kegiatan masjid, meskipun ada simpati, tetapi tidak boleh
diperlihatkan secara terang-terangan. Ini tidak bererti kita dilarang ke
masjid, bahkan dalam kegiatan harian di dalam memberi khidmat pada masyarakat di
Kajang bila tiba waktu solat dan berbetulan berada di kawasan berdekatan, maka
ke masjid inilah tempat singgah bersolat dan berihat.
Begitu juga bila ada peluang menyertai kegiatan, maka
bersama AJK Bertindak atau berseorang Penulis selaku Adun hadir sama menyertai
kegiatan.
Misalnya pada 17 Mei 2002 Penulis selaku Adun Kajang
dihubungi sahabat – tiada jemputan rasmi, memaklumkan bahawa Duli Yang Maha
Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah ibn Al-Marhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz
Shah Sultan Selangor akan bersolat Jumaat pada hari tersebut di Masjid Kajang.
Adalah dimaklumkan kehadiran Tuanku Sultan tidak bersifat protocol dan tiada
jemputan rasmi, oleh itu Penulis selaku Adun Kajang mengambil peluang bersolat
Jumaat di Masjid Kajang pada 17 Mei tersebut dan berkesempatan meraikan
ketibaan Tuanku Sultan Sharafuddin dan juga meraikan keberangkatan pulang
Tuanku Sultan.
Pada 9 Jun 2002 (27 Rabiul Awwal) Masjid Kajang mengadakan
Sambutan Maulid al-Rasul secara besar-besaran dengan acara perarakan dan
syarahan. Dikatakan perarakan terakhir pernah diadakan sebelumnya secara besar-besaran
ialah pada tahun 1965. Penulis selaku Adun Kajang dan Ahli Parlimen Hulu Langat
pada masa itu Y.B. saudara Badrul Hisham Abdul Aziz turut sama menyertai.
Perarakan disertai oleh pasukan-pasukan dari surau-surau dan sekolah-sekolah di
Kajang. Perarakan bermula dari pekarangan Masjid Kajang ke Bandar Kajang
melalui jalan di hadapan Pasaraya Billion membelok ke hadapan jalan hadapan
Metro hingga ke hadapan Pasar Kajang dan keluar ke Jalan Kajang-Semenyih, masuk
ke Jalan Sekolah Cina dan kembali ke pekarangan Masjid. Sepanjang perarakan salawat
berkumandang dari kenderaan-kenderaan yang mengiringi. Ceramah pada sambutan
itu disampaikan oleh Tuan Haji Zainal Abidin bin Haji Sulaiman Pegawai Tadbir
Agama Islam dan Pendaftar Daerah Hulu Langat. Pasukan yang memenangi hadiah
utama Sambutan dan Perarakan ialah Surau Kajang Mewah.
Pada 19 Oktober 2002, sebagaimana pada tahun sebelumnya maka
pada hari ini pihak Masjid Kajang mengadakan gotong royong membersih masjid dan
kawasan sempena menyambut Ramadhan al-Mubarak. Selain dari membersih pada kali
ini penanaman pokok bunga dan hiasan dilakukan di kawasan masjid. Sebagaimana
pada tahun sebelumnya, maka pada tahun ini Adun Kajang dijemput sama menyertai
gotong royong berkenaan. Gotong royong diketuai Datuk Mohd. Yasir Nazir Masjid
dan Setiausaha Masjid Tuan Haji Mohd. Abbas. Turut hadir Ahli Jawatankuasa
Masjid dan jamaah yang berjumlah lebih dari 30 orang. Adun Kajang hadir bersama
dengan beberapa AJK Bertindak Adun seperti saudara Azemi Ahmad, saudara
Abdullah Acheh dan saudara Azizi. Penulis selaku Adun turut menanam pokok bunga
yang dibeli oleh pihak AJK Masjid dari Sungai Buluh. Gotong royong berterusan
dari pagi hingga waktu zohor.
Di samping gotong royong membersihkan Masjid Kajang dan
Kawasan Penulis selaku Adun Kajang juga pernah turut menyertai Gotong Royong
membersihkan kubur bagi Kariah Kajang, iaitu di Sungai Kantan, selain dari
datang berkali-kali mengiringi jenazah ahli Kariah Kajang yang meninggal dunia
yang dikebumikan di kuburan tersebut..
Sekian.
No comments:
Post a Comment