March 18, 2014

Pembukaan Pasar Sungai Chua Dan Masalah Yang Dihadapi: Adun Kajang Diminta Selesaikan

-->
BBB, 15 Rabiul Akhir 1435 = 17 Mac 2014 (Isnin):


Sebagaimana Pasar Kajang, demikianlah dengan Pasar Sungai Chua adalah merupakan tempat paling penting bagi menemui rakyat setempat, khususnya bagi Wakil Rakyat. Sebelum dari 2001 Sungai Chua ada dua buah pasar kecil lama yang menyediakan keperluan harian bagi penduduk Sungai Chua yang 90% daripada mereka adalah terdiri dari kaum Cina. Sebuah daripada pasar ialah terletak di tepi jalan di sebelah kiri menghala ke Sungai Ramal Luar. Sebuah lagi terletak di Jalan Kwan Tung, Sungai Chua.
Sebagai calon Pilihanraya ke 10 (mengundi 29 Nov. 1999), maka Penulis turut datang ke dua-dua Pasar lama di Sungai Chua dalam rangka kempen menemui peniaga-peniaga dan pengunjung-pengunjung di pasar bagi mendapat sokongan dari pengundi-pengundi di Sungai Chua. Selain dari diiringi oleh penyokong-penyokong Pas seperti saudara Amir Hamzah Udin, Shukor Atan, Ahmad Sulaiman dan beberapa yang lain Penulis turut diiringi antaranya oleh saudara Jong Poh, Cikgu Lee Kim Sin dan saudara Foo dan penyokong-penyokong tempatan.


Sebagaimana Pasar Kajang digantikan dengan yang baru dan mula digunakan pada pertengahan 1990an, maka demikian juga pihak MPKj mendapati kedua-dua pasar lama di Sungai Chua selain dari kecil didapati tidak lagi sesuai digunakan. Lantaran itu mulai pertengahan 1990an bangunan baru bagi Pasar Sungai Chua, berdekatan Pasar Lama di Jalan Kwan Tung didirikan. Bangunan yang rangkanya dari besi di sini jauh lebih besar dan lebih luas kawasan berbanding dengan Pasar Kajang. Kesemua peniaga dari Pasar Kecil tepi Jalan Ke Sungai Ramal dan Pasar Kecil Jalan Kwan Tung dipindahkan ke Pasar Baru Sungai Chua (dikenali juga sebagai Pasar Baru Kwan Tung).


Oleh kerana bangunan baru Pasar Sungai Chua sudah siap dan pembahagian ruang berniaga kepada peniaga-peniaga kedua-dua pasar selesai, maka pihak MPKj telah mengarahkan kepada peniaga-peniaga supaya berpindah dan memulakan perniagaan mulai pada 30 November 2001. Akibat dari arahan ini menimbulkan kekecohan kepada peniaga-peniaga. Mereka melahirkan rasa tidak puashati dan mengharapkan perpindahan dapat ditangguhkan kepada bulan Mac 2002 dengan alasan peniaga-peniaga perlu menyiapkan warung-warung yang diterima dari MPKj yang tidak lengkap dan sempurna – seperti perlu menyediakan tempat pamer barang dan simpan barang. Atas desakan peniaga-peniaga pihak MPKj bersetuju menangguhkan tarikh permulaan perniagaan kepada 4 Disember 2001.


Pada 3 Disember Penulis selaku Adun Kajang menerima fax dan telefon dari peniaga-peniaga meminta Adun datang ke pasar, kerana esok mereka dikehendaki berniaga, sedangkan peniaga-peniaga masih belum sempurna dengan tempat-tempat berniaga. Adun hadir ke pasar pada 3 Disember dan mendengar aduan mereka. Mereka minta Adun mohon penamgguhan.


Pada pagi 4 Disember Adun sekali lagi turun ke pasar membawa surat rayuan minta ditangguhkan. Tapi bila Adun sampai didapati pihak MPKj dengan pegawai-pegawai dan pekerja-pekerjanya telah bersedia menghantar lori-lori dan bulldozer untuk meruntuhkan pasar lama berdekatan. Pihak Adun campurtangan dan menjadi orang tengah hingga membawa kepada rundingan dengan YDP MPKj di pejabatnya. Adun ditemani oleh saudara Amir Hamzah Udin, manakala Wakil Peniaga ialah Encik Ong bersama pengiringnya. Melalui rundingan akhirnya disetujui tarikh pemindahan dan perniagaan di Pasar Baru Sungai Chua ialah pada 1 Januari 2002.


Apabila tiba 1 Januari dan perpindahan berlaku, timbul kecoh lagi. Perkara yang serius didapati ruang perniagaan yang ditawarkan tidak mencukupi. Peniaga-peniaga mendakwa, pihak pentadbiran yang masa itu di bawah BN-MCA ada yang memberi ruang perniagaan kepada mereka yang tidak berniaga di kedua pasar lama (kroni), sedangkan ada  yang benar-benar berniaga tidak dapat tawaran. Manakala yang dapat pula mengadu kepada Adun bahawa tempat berniaga yang ditawarkan begitu kecil dan tidak cukup ruang untuk meletakkan barang-barang. Rundingan dengan peniaga-peniaga terpaksa dilakukan dan keputusannya Adun menulis surat kepada YDP MPKj bertarikh 12 Januari 2002, mencadangkan agar pasar lama berdekatan tidak dirobohkan, sebaliknya diperluaskan pasar baru kepada pasar lama. Pasar baru sebagai pasar basah dan pasar lama sebagai pasar bahan-bahan kering. Dengan perluasan tempat mereka yang sepatutnya mendapat tempat, tetapi tidak dapat dapat diberi ruang kepada mereka. Selain daripada, jika ruang tidak mencukupi, peniaga-peniaga yang berhak mendapat tempat diberi tempat kepada mereka di ruang terbuka. Dengan penyelesaian berkenaan semua peniaga-peniaga dapat menjalankan perniagaan masing-masing. Barang-barang perniagaan adalah bahan-bahan pasar biasa dari ikan, daging, sayur, buah-buahan dan berbagai keperluan dapur. Waktu puncak ialah antara 7.00 – 12.00 pagi. Paling ramai pengunjung ialah pada hari Sabtu dan Ahad.


Sesungguhnya dengan komitmen Penulis dengan peniaga-peniaga di Pasar Sungai Chua dan penduduk Sungai Chua sendiri mereka memberi sokongan solid kepada Penulis. Sungai Chua terbahagi kepada dua. Sebahagian termasuk di bawah Dun Kajang dan sebahagian lagi termasuk di bawah Dun Bangi (2008). Pada tahun 1999 Penulis menang di Dun Kajang dengan sokongan antaranya dari pengundi-pengundi Sungai Chua dan pada tahun 2008 kawasan Sungai Chua di bawah Dun Bangi yang dikenali dengan Kajang Mewah merupakan kawasan tertinggi memberi undi kepada Penulis sebagai Adun Bangi (2008).


Pasar Sungai Chua adalah tempat pertemuan penting baik bagi Adun Kajang atau Bangi Penulis juga sebagai Adun sering turun ke Pasar Sungai Chua bagi mengeratkan hubungan dengan orang Cina. Bila ada sambutan seperti Hariraya Idil Fitri, Tahun Baru Cina, maka kami turun mengedar kad jemputan, jika Tahun Baru Cina turut sama mengedar limau mandarin dan ang pau. Jika ada protes dan sebagainya, maka di pasar inilah juga kami turun membuat protes dan tunjuk perasaan dengan rakyat. Bersama dengan pertemuan biasanya turut diedarkan bahan-bahan maklumat dan juga cenderahati. Kehadiran Penulis selaku Adun tidak pernah ditolak. Mereka menyenangi kehadiran penulis dan kemesraan terus terjalin. Ini terbukti dari sokongan tinggi yang diberikan kepada Penulis sebagai Adun. Budi dan sokongan pengundi Sungai Chua terus tersemat dihati Penulis dan Penulis tidak melupainya selama-lamanya.


Sekian.

No comments:

Post a Comment