March 17, 2014

Hentian Jalan Reko Elak Kesesakan Di Bandar Kajang

-->
BBB, 14 Rabiul Akhir 1435 = 16 Mac 2014 (Ahad):

Sebagaimana telah dibicarakan bahawa sebelum tahun 2000 hentian bas Foh Hup dan Sum adalah bertempat di Bandar Kajang. Bas-bas juga berlonggok mengambil penumpang di Jalan Susur ke Jalan Tukang menyebabkan berlakunya kesesakan jalan. Hasrat bagi mengeluarkan hentian bas dari Bandar Kajang telah dilakukan pada pertengahan 1990an dalam mana pihak MPKj membuat keputusan bagi mendirikan Hentian Bas bertempat di Jalan Reko berhadapan Sungai Tangkas. Bangunan empat tingkat ini mula digunakan pada awal 2001. Bangunan menyediakan lorong-lorong bas menunggu penumpang dengan agak banyak.


Tapak bangunan ini pada asalnya ialah kebun getah dan bila Kompleks Hentian Bas Jalan Reko ini siap dan digunakan, belum ada bangunan kedai didirikan keliling Kompleks Hentian dan ke Taman Tenaga berhampiran sebagaimana sekarang. Akibatnya apabila Kompleks Hentian Bas Jalan Reko ini digunakan tidak mendapat sambutan. Tiada syarikat-syarikat bas yang mau singgah oleh kerana ketiadaan penumpang yang mau datang ke Hentian tersebut yang dianggap jauh. Banyak komen dan kritikan dari berbagai pihak, bahawa bangunan Kompleks Hentian Bas berkenaan sebagai pembaziran yang pada masa memakan kos RM20 juta.


Bagi memajukan Kompleks Hentian Bas Jalan Reko ini yang peniaga-peniaga telah mulai membuka warung-warung makan dan berbagai jenis perniagaan pada tingkat satu dan dua, tetapi tiada pengunjung datang, maka dicadangkan agar ruang-ruang kosong, terutama tingkat tiga dan empat digunakan oleh jabatan-jabatan kerajaan. Cadangan ini diterima. Pejabat yang terawal dibuka ialah Pejabat Pos, iaitu sejak awal 2002. Pejabat Pos di sini mendapat sambutan, kerana pejabat-pejabat Pos di tempat yang lain sentiasa sesak dengan pengguna dan pejabat di sini lebih selesa, kerana pada peringkat permulaannya masih kurang dari pengguna.


Kompleks Hentian Bas Jalan Reko ini kemudiannya berdaya maju dengan beberapa faktor.

1)      Didirikan bangunan kedai bertingkat keliling Kompleks Hentian Bas, kedai-kedai bersambung ke Taman Tenaga berdekatan, bahkan di belakang Taman Tenaga bertambahnya perumahan kediaman.
2)      Berbagai-bagai Jabatan dibuka di Bangunan Hentian berkenaan selain dari Pos Office seperti Pejabat Immigration, Pendaftaran Negara, Kebajikan Masyarakat, Cukai Pendapatan, Pejabat Kesihatan Daerah, Alam Sekitar dan beberapa pejabat yang lain, Pejabat Polis juga diadakan di sebuah kedai. Bangunan ini selain dari hentian Bas di bahagian bawah, ianya seolah-olah Bangunan Pejabat-Pejabat Kerajaan Persekutuan.
3)      Di samping Hentian bagi Bas, pihak teksi juga memohon pada masa Penulis menjadi Adun Kajang sokongan dan keizinan bagi mewujudkan station teksi yang menggunakan ruang sebelah kiri tepi bangunan kedai mula masuk. Ianya digunakan hingga kini, walaupun kurang selesa, kerana kekurangan ruang dan kemudahan.

Dengan adanya kemudahan perniagaan, jabatan-jabatan yang merupakan sebagai `One Stop Centre` bagi pengguna-pengguna Hentian jalan Reko berdaya maju. Hentian Jalan Reko ini menjadi Pusat Transit yang menyediakan perkhidmatan bas bagi penumpang-penumpang dari Pantai Timur, Utara dan Selatan dan dari Kuala Lumpur sendiri. Perkhidmatan tempatan dari Kajang, Bandar Baru Bangi, Pekan Bangi adalah melalui bas mini dan taxi dan kereta sewa. Mereka yang menggunakan perkhidmatan bas jarak jauh termasuklah pelajar-pelajar dari berbagai pengajian tinggi di Bangi dan keliling Bangi dan Kajang, pekerja-pekerja berbagai sector di Kajang, Bangi dan kawasan-kawasan sekeliling.


Kalau dulu Hentian Jalan Reko dilihat sebagai pembaziran, tetapi kini dilihat Hentian Jalan Reko ini sebagai strategic, kerana Hentian Jalan Reko memberi khidmat bagi orang ramai dan penumpang yang datang dengan bas dari berbagai tempat, keretapi dari station Kajang,  UKM dan Pekan Bangi dan dalam masa terdekat dari MRT, Jalan Reko yang memberi khidmat dari Sungai Buluh ke Kajang. Hentian Jalan Reko juga menjadi transit bagi mereka yang ke Putrajaya dan KLIA.


Kini Hentian Jalan Reko menjadi Pusat Perkhidmatan Penumpang dan Komersil yang sebok yang didatangi pengunjung dari berbagai tempat. Dulu Hentian Jalan Reko didirikan bagi mengelak dari kesesakan di Bandar Kajang kini Hentian Jalan Reko benar-benar berdaya maju dan sesak dengan kenderaan yang datang dari berbagai negeri dan kawasan.

Sekian.

No comments:

Post a Comment