BBB, 22 Rabiul Akhir 1435 = 24 Mac 2014 (Isnin):
Keputusan PRK Kajang dengan majoriti berkurangan (5,379)
berbanding dengan 2013 (6,824) mengundang berbagai-bagai pertanyaan. Mengapakan
dengan jumlah 39,278, hanya keluar mengundi - menurun kepada 72.1% daripada jangkaan 80%,
sedangkan pada 2013 ialah 88%. Menurut Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz bin Mohd
Yusof, ``Hari yang dipilih untuk mengundi adalah hari Ahad, cuaca cerah
sepanjang hari dan suasana hari mengundi adalah aman. Tidak ada masalah untuk
keluar mengundi``.
Menurut pemerhati, faktor-faktor berikut menyebabkan
kurangnya pengundi keluar mengundi.
Tindakan mengosongkan kerusi Dun Kajang oleh Lee Chin Cheh
pada 27Januari 2014 tidak digemari oleh pengundi Kajang, kerana dalam tempoh
tidak sampai setahun mereka terpaksa mengundi 2 kali atas sebab yang bukan
mendesak. Mereka tidak sepatutnya dijadikan alat bagi satu apa yang dinamakan
strategi yang tidak pasti. Mereka juga tidak senang melihat permainan politik
apa yang dinamakan `Langkah Kajang`, dan perkara yang berkaitan dengannya
seperti kedudukan Menteri Besar Selangor yang telah mantap digugat dan
menimbulkan cabaran merebut kepimpinan di dalam PKR itu sendiri.
Apa yang dikatakan strategi tidak pasti rupa-rupanya memang
terjadi. Dato` Seri Anwar yang pada asalnya mau bertanding tidak layak
bertanding dan secara adhoc terpaksa diganti dengan Datin Seri Dr. Wan Azizah.
Segala percaturan berhubung dengan `Langkah Kajang` dan yang
berkaitan dengannya, kelihatan dimainkan oleh satu pihak, tanpa melalui
rundingan dan persetujuan rakan-rakan di dalam PR. Selangor seolah-olah
didominasi oleh satu parti. Pertanda tidak puas hati ini tercetus dari
peringkat awal lagi, bila berlaku pengosongan dan jawatan Menteri Besar menjadi
idaman, pihak AJK Ulama` Pas Pusat, Pemuda Pusat dan Negeri melahirkan rasa tidak puashati di atas percaturan politik sebelah pihak di Selangor.
Kesannya kita melihat kurangnya kerjasama dan kurangnya turun padang dari komponan PR semasa kempen bagi
mempertahankan Kerusi Dun Kajang yang sengaja dilepaskan itu. Dengan pertukaran
calon dari Dato` Seri Anwar kepada Datin Seri Wan Azizah `Struggle` dalam PRK
Kajang lebih bagi mempertahankan kerusi dari menyemarakkan `Langkah Kajang`.
Terbuktinya dengan menurunnya jumlah undi Wan Azizah kepada 16,741 daripada
sebelumnya 19,571. Pencapaian Datin
Paduka Chew Mei Fun kepada 11,362 dengan mendapat undi Cina sebanyak 25%,
kurang dari target 30% disifatkan satu
kemajuan dan memuaskan, sedangkan pencapaian sebelum ini hanya 16%. Pencapaian
jumlah undi Wan Azizah adalah dari rasa simpati terhadap ciri keibuan dan
kegigihan beliau menghadapi berbagai dugaan. Rakyat Kajang keluar mengundi
dengan rasa simpati sekadar untuk mengekalkan kerusi yang memang telah dipegang
sebelumnya. Ianya juga sebagai ingatan agak episode politik sedemikian tidak
seharusnya diulang. Jika yang bertanding bukan Wan Azizah, maka majoritinya
dijangka lebih jauh merosot. Sementara itu pihak MCA, walaupun kalah merasa
optimis, bahawa dengan kepimpinan dan barisan baru MCA yang diketuai oleh Tan
Sri Leo Tiong Lai menampakkan impak yang baik bagi mengembalikan pengaruh MCA
di dalam kancah politik Negara.
Langkah ke Putra Jaya
semestinya diteruskan, tetapi bukan atas plan tersendiri beragenda peribadi dan
tidak semestinya melalui Kajang. Dekat secara fizikal tidak bererti mudahnya
sampai ke Putra Jaya. Sebaliknya secara muafakat yang jauh menjadi dekat. Selepas
daripada `Episod Kajang` jangan ada lagi episode-episod yang merencatkan
kepercayaan rakyat. Misalnya dengan menimbulkan kembali isu Menteri Besar yang
telah mantap, mencantas dan memecat seseorang yang tidak sealiran dan
sebagainya.
Selepas Langkah Kajang yang tidak bermaya, perlu disusun
langkah-langkah berstrategik secara muafakat dan berjamaah. Perlu menarik
sokongan orang Melayu terhadap PR yang nampaknya masih berbelah bahagi, apa
lagi jika kerjasama di dalam PR tidak mantap. Kepercayaan orang Cina perlu
dipertahankan, jika separuh sahaja orang Cina kembali memberi kepercayaan
terhadap MCA, PR tergugat dari mendapat sokongan dan penguasaan peringkat
negeri sebagaimana yang didapati sekarang, lebih jauh lagi dari mendapat
penguasaan pada peringkat Persekutuan.
Kita melihat `Langkah Kajang` sebagai gemek dan retorik
politik yang kurang bermaya yang tidak mampu mencetus massa turut melangkah bergerak bersamanya.
Sekian.
No comments:
Post a Comment