BBB, 09 Rabiul Akhir 1435 = 11 Mac 2014 (Selasa):
Sebagaimana janji dengan saudara Azizi, bahawa kami akan ke
Kompleks Sukan, Seksyen 15 Bandar Baru Bangi jam 8.30 pagi ini bagi menyertai
sama perhimpunan menyokong pencalonan Datin Seri Wan Azizah bt. Wan Ismail
sebagai calon PR bagi Dun N25 Kajang yang tarikh mengundi ialah pada 23 Mac
2014 nanti. Penulis sudah pasti jalan ke Kompleks Sukan di Seksyen 15 yang
jauhnya lebihkurang 3km. dari pejabat Penulis akan jem, tetapi sebagai orang
tempatan Penulis tahu untuk melalui jalan rentas lebih dekat. Namun semua jalan
dipenuhi kenderaan yang hampir tidak bergerak. Naik kenderaan lebih lambat
sampai dari berjalan. Oleh itu Penulis bersama saudara Azizi ke Kompleks Sukan
secara berjalan kaki sahaja menyusuri jalan dan mencelahi kenderaan yang
setengahnya parking mulai dari hadapan Pejabat Penulis.
Tiba di hadapan Petronas, kami bertembung dengan penyokong
BN yang memakai warna biru dan bendera biru, mereka mengambil tempat dari pintu
masuk utama berdepan jalan ke Tol Bangi hingga ke Bangunan Kompleks Sukan –
tempat penamaan calon di tengahnya di kawal oleh pihak keselamatan. Bagi
penyokong PR perlu bergerak ke pintu belakang Kompleks Sukan berhadapan surau
Seksyen 15. Sejak pagi lagi ruang padang
bagi kedua belah pihak dipenuhi oleh penyokong-penyokong PR dan BN. Kami yang
hadir tidaklah berhasrat untuk ke dalam bangunan. Hanya mereka yang mempunyai
pas dari kalangan pimpinan dibenarkan ke dalam. Itu pun dengan jumlah yang
terhad dan dikawal kemasukan oleh pihak keselamatan. Penyokong-penyokong
memenuhi kawasan dalam kawasan padang ,
terutama di atas jalan yang jumlah yang hadir dari kedua-dua belah pihak
dijangka melebihi 30,000.
Ketika sampai jam 9.30 kami dimaklumi bahawa calon-calon
telah tiba di Kompleks dan difahmakan Datin Seri Wan Azizah dibawa dengan motor
ke Kompleks bagi mengatasai kesesakan. Tidaklah diketahui bagaimana calon BN Datin
Paduka Chew Mei Fun datang.
Bagi Penulis datang ke tempat penamaan calon ini bagai
menelusuri kembali masa penamaan calon yang pernah Penulis hadiri beberapa kali
kerana Penulis sendiri sebagai calon, iaitu di Dewan Bandaran Kajang (1999)
bagi kerusi Dun Kajang, Di Pejabat Daerah Hulu Langat, Bangi (2004) bagi kerusi
Dun Bangi dan (bila Kompleks siap) di Kompleks Sukan, Seksyen 15 seperti hari
ini (2008) bagi Kerusi Dun Bangi.
Menghadiri Hari Penamaan seperti ini sama ada bagi PRK Dun
dan PRK Parlimen di mana-mana jua adalah atas dorongan semangat dan sokongan,
tidak kira di mana saja tempat pencalonan diadakan. Jika tempat penamaan jauh
pemergian secara rombongan seperti ke utara, Pantai Timur dan sebagainya.
Seperti pada hari ini rombongan yang datang dengan bas dari berbagai negeri
selain dari yang datang dengan bermotokar bersama penyokong-penyokong. Mereka
parking di mana saja kemungkinan memenuhi ruang.
Hari penamaan calon hari ini adalah di tempat Penulis
sendiri, jadi sebahagian mereka yang datang, khususnya sekitar Hulu Langat,
Serdang, bahkan negeri Selangor antaranya mereka yang sudah Penulis kenali di
peringkat tempatan dan negeri, manakala pemimpin-pemimpin tertinggi memang
dikenali pada peringkat pusat dan nasional. Jadi menghadiri hari penamaan calon
memberi peluang bagi Penulis menemui pemimpin tempatan seperti Tuan Haji Razaly
Hassan Adun Dusun Tua, Ustaz Shafie Ngah Adun Bangi dan Cikgu Lee Mantan Adun
Kajang. Pemimpin peringkat negeri Selangor pula ialah seperti Iskandar Abdul
Samad Pesuruhjaya Pas Negeri, Dr. Abdul Rani Adun Meru. Pemimpin PR pula sempat
diketemui ialah saudara Azmin Ali Timbalan Presiden PKR, saudara Amirudin Shari Adun Batu Caves ,
Ean Yong Hian Wah Seri Kembangan (Exco).
Pemimpin tertinggi yang sempat Penulis temui ialah Tuan Guru
Dato` Seri Haji Abdul Hadi Awang yang Penulis bukan saja setakat bersalam, tapi
berpelukan, saudara Salahuddin Ayob Naib Presiden, saudara Mahfoz Omar Ahli
Majlis Tertinggi, Dr. Syed Azman Ahli Majlis Tertinggu (Adun Batu Buruk, Kuala
Terengganu), Dr. Syed Husin Ali. Pemimpin Pakatan peringkat tertinggi ialah Tan
Chua (Ahli Parlimen Batu) dan Tony Phua (Parlimen Seremban), saudara Shamsul
Iskandar (Ahli Parlimen Bukit Katil, Melaka). . Penulis tidak berkesempatan
bertemu atau melihat Dato` Seri Anwar Ibrahim, tapi saudara Azizi berkesempatan
mengambil gambar mereka. Begitu juga Penulis tidak berkesempatan menemui Tan
Sri Dato` Seri Abdul Khalid Ibrahim Menteri Besar Selangor dan saudara Azizi juga
berkesempatan mengambil gambar mereka. Penulis cuma bersua dengan Tan Seri
Muhammad Mohd Taib Mantan Menteri Besar Selangor. Beberapa pemimpin peringkat
negeri turut ditemui yang Penulis kurang ingat nama mereka.
Dalam perhimpunan boleh dikatakan agak kurang laungan
reformasi, kecuali sekali sekala dan Penulis tidak pula mendengar ungkapan
Allahu Akbar yang biasa ditakbir oleh pendukung-pendukung Pas. Mengapa ? Tapi
ada yang mengandar beberapa ikat kangkung dan ada yang menjulangnya dihujung
galah sebagai gemik dan sindiran terhadap pimpinan BN. Penulis sebenarnya tidak
kebetulan bertemu dengan pemimpin-pemimpin dari BN, mungkin Penulis berada di
bahagian PR dan tidak berpeluang mendekati pintu Kompleks pendaftaran.
Perhimpunan adalah bersifat aman, tidak berlaku acah mengacah dan tidak berlaku
sebarang provokasi.
Sambil bertemu muka dengan kenalan dan yang tidak kenal dan
bercakap dan mendengar percakapan, jam 10.15 kedengaran pengumuman tentang
calon yang diterima bertanding, iaitu satu lawan satu dan tidak ada calon bebas
yang pada mulanya dijangka turut bertanding. Calon bertanding satu lawan satu
ialah:
Datin Seri Wan Azizah Bt. Ismail - Pakatan Rakyat (PKR)
Datin Paduka Chew Mei Fun
- BN (MCA)
Berikutan dari pengumuman itu perhimpunan mulai bergerak
keluar dan pada masa inilah pemimpin-pemimpin keluar dan Penulis berkesempatan
menemui sebahagian daripada mereka yang melalui di jalan yang Penulis masih
berada. Penulis berkesempatan melihat Datin Seri Wan Azizah turut sama keluar di
tengah kesesakan yang akan mulai kempen secara rasmi bersama penyokong-penyokong
dan jentera parti yang difahamkan telah diatur rapi – begitu juga bagi Datin
Paduka Chew Mei Fun. Untuk selama 12 hari ini penduduk Kajang berdepan dengan kerancakan
kempen dari kedua belah pihak sebelum menentukan pilihan pada 23 Mac 2014 kelak.
Sekian.
No comments:
Post a Comment