March 7, 2014

Bina Mata Tangga Batu Jalan Pejalan Kaki Antara Taman Seri Raya Dengan Sungai Raya Secara Gotong Royong

-->
BBB, 04 Rabiul Akhir 1435 = 06 Mac 2014 (Khamis):


Apabila Grand Saga membina lebuhraya Grand Saga dari Cheras ke Kajang pada pertengahan 1990an tidaklah mengikut jalan lama sepenuhnya, sebaliknya ada potongan jalan yang melibatkan pengambilan tanah pemilik-pemilik seperti yang berlaku di Bukit Dukong. Keadaan yang sama berlaku antara Batu 9 hingga 11 yang melibatkan pembelahan kawasan  antara Sungai Raya dan Seri Raya dengan kawasan Primbun.
Sebelum dari itu jalan lama ialah melalui hadapan Pekan Suntax hingga ke Jalan masuk ke Dusun Tua dan lencong ke Batu sepuluh.


Pembinaan jalan yang diambil dari kawasan baru ini juga membolehkan Grand Saga membina tol di Batu 9 dan 11 tanpa melibatkan jalan lencongan ke kawasan perumahan penduduk. Pemisahan antara kedua tempat dengan Primbun yang terdapat Sekolah menengah di sana memerlukan pihak Grand Saga membina jejambat. Permasalahan yang timbul anak-anak sekolah yang tinggal di kawasan perumahan baru – Taman Seri Raya, perumahan baru di sini antaranya dibeli oleh mereka yang diambil tanah dan membeli rumah di sini dari duit pampasan tidak mempunyai jalan pintas untuk ke Sungai Raya dan ke jejambat sekolah kecuali melalui denai bukit yang curam bersemak dan licin, lebih-lebih lagi bila hujan. Penulis sendiri terserempak dengan ular hitam ketika meninjau di jalan denai tersebut.


Bila Penulis selaku Adun Kajang membuka Kaunter Aduan di Taman Sri Raya pada bulan April 2002, sempena dengan kegiatan parti yang diadakan di sini, maka antara aduan yang diterima ialah masalah tiada jalan laluan sempurna antara Taman Seri Raya ke Sungai Raya dan ke jejambat dari kedua-dua tempat.
Bertindak dari aduan, maka Penulis selaku Adun bersama dengan saudara Amir Hamzah Udin pada 29 April 2002 bertemu dengan Pengarah Eksekutif Grand Saga Tuan Haji Zainal Abidin memohon jasa baik untuk membuat jalan pejalan kaki, juga kami turut bertemu dengan YDP MPKj, tetapi usaha berkenaan tidak mendapat respond dari mereka. Perlu diingat bahawa Penulis adalah sebagai Adun pembangkang pada masa itu, jadi tidak mudah untuk mendapat projek dan kemudahan-kemudahan, apa lagi peruntukan.


Berikut dari itu pihak Penulis mengadakan beberapa mesyuarat dengan penduduk pada bulan Mei yang antaranya disertai Tuan Haji Abdul Rahman selaku Pengerusi Persatuan Penduduk Seri Raya, Tuan Haji Kamaruddin Imam Surau Seri Raya, En. Mustafa Ketua Kampung Sungai Raya, En. Sufian Ketua Cawangan Seri Raya dan penduduk bertempat di Surau Seri Raya. Mesyuarat bersetuju untuk membina dan membuat tangga batu bersemin bagi denai antara Taman Seri Raya ke Sungai Raya yang membolehkan pejalan kaki ke masjid, dan anak-anak sekolah pergi ke sekolah agama dari Taman Seri Raya ke Sungai Raya, melalui jalan ini juga anak-anak sekolah boleh lencong ke jejambat untuk cross ke Sekolah Menengah Primbun bersebelahan jalan Grand Saga.


Bagi menjalankan gotong royong, maka sejumlah kewangan didapati dari peruntukan Penulis selaku Adun dan derma dari pihak orang ramai. Berikut dari persetujuan, maka diadakan gotong royong bermula pada 29 September 2002 membuat mata tangga jalan menurun bukit dengan petak-petak kayu dan mengisinya dengan semin yang diorder dari Syarikat Semin Ready Mixed. Kerja yang dilakukan memakan masa beberapa hari dari membuat kotak-kotak dari kayu dan pengisian semin. Ramai penduduk menyertai  gotong royong berkenaan. Kaum ibu menyiapkan makanan dan minuman. Dengan siapnya denai pejalan kaki ini memudahkan anak-anak ke sekolah agama di Sungai Serai dan ke Sekolah Menengah Primbun. Orang tua juga menggunakannya untuk ke masjid di Sungai Serai.


Dari kerjasama dengan penduduk ini merapatkan hubungan Penulis dengan penduduk baik di Seri Raya dan juga di Sungai Raya. Di Seri Raya sendiri sebagaimana disebut ada surau kecil yang dibina penduduk. Dengan hubungan rapat Penulis dengan penduduk menyebabkan mereka sering menjemput penulis bila ada kegiatan yang dijalankan di surau tersebut seperti sambutan-sambutan perayaan dan juga bertarawih pada bulan Ramadhan. Akhirnya Penulis telah diminta mengajar di surau tersebut. Permintaan mereka Penulis tunaikan dengan mengajar Sirah al-Nabawiyyah dari berbagai kitab sejarah pada hari Selasa malam Rabu yang ditentukan pada setiap bulan. Dengan adanya kelas pengajaran di sini hubungan Penulis dengan masyarakat di sini semakin erat.

Sekian.

No comments:

Post a Comment