BBB, 02 Rabiul Akhir 1435 = 04 Mac 2014 (Selasa):
Kekuatan Pas antaranya dengan banyaknya cawangan dan markas
di satu-satu kawasan. Menjelang pilihanraya ke 10 (29 November 1999) dalam mana
Penulis menjadi calon Dun Kajang atas tiket Pas pada pilihanraya tersebut, Pas
mempunyai cawangan-cawangan yang kuat dan markas-markas yang mantap mampu
berkempen bagi memenangkan calon, walaupun pemilihan calon dalam masa yang
pendek. Pas misalnya mempunyai markas utama di Bangi (masa itu di bawah
Kajang), markas di Kajang Utama, Batu 10, Jenaris, Taman Sekamat dan beberapa
tempat yang lain.
Antara markas utama dan terkenal di Kajang ialah Taman
Mesra. Boleh dikatakan markas di sini adalah markas yang popular di Kajang.
Tempat ini juga menjadi tempat Penulis paling kenal pada masa itu berbanding
dengan tempat-tempat yang lain di Dun Kajang (selain dari Bandar Baru Bangi).
Penulis mengenali tempat ini jauh lebih awal dari terlibatnya Penulis dalam
politik. Taman Mesra adalah terletak 5 km. sebelah kanan dari Kajang mengikuti
jalan lama ke Cheras (pada masa itu inilah jalan utama ke Cheras). Di Taman
Mesra pihak PKNS membangunkan taman ini dengan sekelompok perumahan – rumah
teres setingkat, lebih kurang 50 buah rumah pada awal 1970an. Kelompok rumah
ini adalah antara projek PKNS terawal di Hulu Langat. Di sini didirikan sebaris kedai satu tingkat
– lebih kurang 10 buah bagi keperluan penduduk membeli belah. Ramai yang
menghuni di rumah teres di sini ialah guru-guru di samping pekerja-pekerja yang
mempunyai gaji tetap (untuk melayakkan mereka membuat pinjaman perumahan). Atas
usaha penduduk setempat di sini didirikan sebuah surau kayu dua tingkat.
Pada peringkat permulaan UKM dan Bandar Baru Bangi
dibangunkan, pihak PKNS yang membangunkan Bandar Baru Bangi (1975) menjadikan
beberapa buah kedai PKNS di sini sebagai Pejabat Pembangunan Bandar Baru Bangi.
Segala urusan untuk memohon membeli rumah di Bandar Baru Bangi yang baru
dibangunkan adalah melalui pejabat di sini. Penulis juga berurusan memohon
membeli rumah yang hingga kini Penulis huni (rumah teres dua tingkat) adalah
melalui pejabat ini. Jadi tempat ini antara tempat terawal penulis kenali di
Kajang, selain dari Pekan Kajang. Penulis dan beberapa pemohon yang lain antara
penduduk terawal menerima kunci rumah yang dibeli ialah pada 29 November 1977
(Hari pertama PKNS mengeluarkan kunci kepada pembeli-pembeli). Penulis antara
beberapa orang terawal mula tinggal di Bandar Baru Bangi dan berkhidmat di UKM.
22 tahun kemudian, apabila Penulis menjadi calon Pas di Dun
Kajang, tempat ini menjadi tempat penting bagi kegiatan politik di Dun Kajang,
lantaran di salah sebuah kedai adalah menjadi Markas Pas. Markas ini bukan
setakat markas untuk Taman Mesra, tetapi juga bagi kawasan Kajang, selain dari
Bandar Baru Bangi. Markas Pas di sini berkaitan dengan wujudnya pusat
pentadbiran Pasti Pas Hulu Langat yang berpejabat di sebuah kedai di sini dan
sebuah lagi Pusat menerbitkan bahan-bahan pengajaran Pasti di Hulu Langat –
termasuklah menerbitkan buku-buku menurut kurikulum Pasti.
Bila Penulis terpilih menjadi calon, tempat ini sering
Penulis datang bagi mesyuarat dan persediaan menghadapi pilihanraya. Selain
dari wujudnya pejabat, pusat penerbitan bahan Pasti, terdapat sebuah lagi pejabat
dikendalikan oleh AJK Pas Kajang, iaitu saudara Abdullah Aceh. Tokoh-tokoh
aktivis Pas yang menggerakkan jentera pilihanraya Dun Kajang di sini ialah Dr.
Hamirdin Ithnin yang kemudian menjadi YDP Pas Hulu Langat (selepas Dr. Cik
Rusli Che Mat), saudara Abdullah Aceh, Ahmad Sulaiman, Shukor Atan, Amir Hamzah
Udin, Cikgu Rusli Darus (Pengurus Pasti), Haji Razali Hassan, Tuan Haji Ramli
Abdul Hadi, Abdullah Abdul Rahman, Haji Yunin Hassan,, Azemi Ahmad, Jamil
Saring dan beberapa yang lain.
Tenaga di atas adalah penggerak Pas bukan saja di Kajang,
bahkan di Hulu Langat. Tenaga-tenaga di atas juga menjayakan ceramah dan
sambutan-sambutan hari-hari raya yang diadakan di pekarangan berhadapan
kedai-kedai pejabat berkenaan. Bila diadakan kegiatan sambutan, maka penuh
kawasan dengan hadirin. Pusat di sini juga mengadakan penerbitan-penerbitan,
postar-postar dan mencetak `Baju Adun Kajang` yang berwarna putih dan merah
yang dipakai bukan saja oleh Adun, tetapi juga oleh peserta-peserta di dalam
kegiatan seperti gotong royong, sambutan dan sebagainya.
Taman Mesra sebagai satu lokasi Dun Kajang, bukan saja
Penulis datang dan bermesyuarat di sini, tetapi dari sini khidmat masyarakat
dilakukan di kawasan ini seperti gotong royong dan turut sama bersama
majlis-majlis dan sambutan yang diadakan di surau di sini. Guru-guru yang
antaranya sudah berpencen yang merupakan warga emas amat rapat dengan Penulis
selaku Adun mereka.
Hubungan Penulis makin rapat apabila anak sulung Penulis dan
juga menantu Penulis mengajar di Sekolah Menengah Agama Persekutuan (SMAP) yang
dibuka di sini – beberapa orang cucu juga belajar di Sekolah ini. Pada mula
mereka tinggal di kuater di dalam kawasan Sekolah, kemudian membeli rumah dari
perumahan baru di situ. Jadi Penulis bukan saja datang atas urusan politik,
tetapi juga sering datang ke rumah anak menantu dan melihat cucu-cucu (sebelum
mereka ditukar ke Sekolah lain dan menjual rumah di situ).
Taman Mesra adalah tempat bersejarah dari segi politik dan
keluarga Penulis. Penduduknya memang mesra dan memberi sokongan yang padu pada
Penulis dalam pilihanraya ke 10. Sekongan sedemikian masih berterusan hinggalah
sekarang.
Sekian.
No comments:
Post a Comment