BBB, 24 Rabiul Akhir 1435 = 26 Mac 2014 (Rabu):
Menjadi Wakil Rakyat Adun lebih-lebih lagi Ahli Parlimen
menjadi idaman bagi orang-orang yang melibatkan diri dalam politik. Tapi untuk
dipilih menjadi calon perlu kepada keterlibatan dalam parti dan menunjukkan
komitmen yang tinggi di dalam pimpinan hingga dipercayai oleh pihak pimpinan
untuk dipilih menjadi calon. Bila dipilih katakan bagi bertanding untuk Dewan
Negeri (DUN) perlu kerja kuat bersama jentera parti bagi mendapat sokongan
pengundi yang boleh mengatasi pihak lawan.
Menang sebagai Wakil Rakyat katakan bagi peringkat Dun dan
tidak dipilih memegang apa-apa jawatan –
contoh tidak sebagai exco. Cuma sekadar
Wakil Rakyat Biasa. Adun berkenaan jika sekadar menjadi Adun dan tidak kisah
dengan masa depan. Tidak mempunyai jawatan dan komitmen dalam parti, dia boleh
relex dengan jawatannya yang bukan disifatkan sebagai kerja tetap dan sekadar
mendapat elaun antara RM3 hingga RM4 ribu sebulan (kini elaun sudah
ditingkatkan), dia sekadar dituntut menghadiri Mesyuarat Dewan Negeri antara 3
– 4 kali setahun yang setiap kali memakan masa antara 7 – 10 hari. Mesyuarat
DUN jauh lebih sedikit berbanding dengan Mesyuarat Ahli Parlimen yang agak
kerap dan tempoh mesyuaratnya setiap kali adalah lama. Bahkan berbanding dengan
seorang Ahli Majlis Perbandaran lebih kerap Ahli Majlis Perbandaran
bermesyuarat dari seorang Adun. Mesyuarat Majlis Perbandaran adalah bersifat
bulanan. Lantaran itu bagi Adun ada yang menjadikan tugas Adunnya sebagai
sampingan dan mempunyai profesyen tetapnya menjalankan tugas seperti peguam,
doktor perubatan swasta, business dan sebagainya. Ini ialah kerana tugas hakiki
seorang Adun biasa ialah menghadiri mesyuarat Dewan Negeri.
Tetapi bagi yang bertanggungjawab dan memberi priority dan
komitmen yang tinggi terhadap tugasnya sebagai Adun, sebenarnya berat dan tidak
mempunyai masa untuk diberi kepada tugas lain dari peranannya sebagai Adun.
Bagi Adun yang berkomitmen tinggi memberi sepenuh tumpuan pada tanggungjawabnya
sebagai Wakil Rakyat. Ya sememangnya tugas utama seorang Adun biasa ialah
memenuhi peranannya di Dun sebagai Wakil Rakyat. Ia perlu faham dengan
Undang-Undang Tubuh Negeri, peraturan-peraturan mesyuarat, menyediakan
soalan-soalan lisan dan tulisan untuk dikemukakan kepada Dewan Negeri untuk
dijawab di dalam Dewan Negeri (bagi soalan lisan) dan dijawab secara tulisan
bagi soalan tulisan. Perlu menyediakan ucapan-ucapan yang mau diucapkan di dalam
Dewan Negeri. Ia perlu mengikuti keputusan-keputusan Mesyuarat Exco untuk
diperturunkan keputusan yang releven kepada rakyat. Ianya juga perlu menghadiri
mesyuarat-mesyuarat peringkat negeri dan dewan yang berhubung dengan tugas dan
menghadiri majlis-majlis yang berhubung dengan Negeri dan Dewan. Ini tidak
termasuk tugasnya di dalam parti menurut kedudukannya.
Sungguhpun tugas utama seorang Adun ialah memenuhi peranan
sebagai seorang Adun di Dewan Negeri, tugas pentingnya ialah sebagai Wakil
Rakyat berhubung dengan rakyat. Bila dipilih ianya tidak seharusnya menghadiri
jemputan-jemputan dari rakyat semata-mata. Sebaliknya seharusnya sebelum
dipilih sebagai Wakil Rakyat dia sudah mempunyai rangka agenda pendekatannya
yang menjadi panduannya di dalam memberi khidmat terhadap rakyat. Misalnya dia
mempunyai kabinet pentadbiran yang terdiri dari berbagai AJK di dalam bidang-bidang
yang releven dengan situasi dan keperluan rakyat setempat. Misalnya bidang
pendidikan, kebajikan, wanita, pemuda, sukan, agama dan sebagainya. Dia perlu mengetahui
dan jika perlu hadir ke Mesyuarat Majlis Perbandaran bagi kawasannya dan juga
Majlis Tindakan Daerah bagi daerahnya untuk mendapat maklumat dan menyelesaikan
persoalan. Lebih penting lagi Adun hendaklah sentiasa turun padang bagi memahami dan menyelesaikan
masalah masyarakat dan aduan-aduan rakyat. Dalam pertemuan-pertemuan disalurkan
maklumat dari kerajaan negeri dan juga kegiatan yang dilakukan oleh Adun baik
pada peringkat negeri, kawasan dan Dun. Sebaiknya melalui bahan-bahan
penerbitan selain dari menyampaikannya secara lisan.
Sebenarnya melalui turun padang, majlis-majlis pertemuan,
adu-aduan, perkara yang ditimbulkan di dalam Majlis Perbandaran dan Mesyuarat
Tindakan Daerah dapat dihimpun bank maklumat dan masalah setempat di Dun. Dari
bahan-bahan berkenaan dipilih dijadikan soalan lisan dan tulisan di dalam
Mesyuarat Dewan Negeri, bahkan dari bahan-bahan yang terpenting yang didepani
Adun mengenai masalah di kawasan Dunnya dibawa ke dalam ucapan di Dewan Negeri.
Kebijaksanaan seseorang Adun berucap dengan menyampaikan fakta-fakta secara teratur dan berhujah dengan bernas mencerminkan tahaf dan mutu seseorang Adun berbanding dengan Adun-Adun yang lain di dalam Dewan. Melalui mekanisme sedemikian seorang Adun berterusan mendepani segala masalah
rakyat yang dapat diselesai atau tidak dapat diselesaikan dan berterusan dia
mendapat bahan yang releven ke peringkat atas. Kecekapan seseorang Adun dan
kebijaksanaannya menyelesaikan masalah dan dapat menangani dengan baik isu-isu
yang timbul makin mendapat penghormatan dan keyakinan rakyat.
Seorang Adun yang dinamis berterusan mempunyai program dan
menerima aduan yang perlu diselesaikan. Dia menjadi pengantara antara rakyat
dengan pihak kerajaan dan dari pihak kerajaan dengan pihak rakyat. Sesungguhnya
dengan demikian dia sebenar-benar sebagai Wakil Rakyat.
Sekian.
No comments:
Post a Comment