March 14, 2014

Bas SUM Kajang Juga Tak Mampu Bertahan

-->
BBB, 11 Rabiul Akhir 1435 = 13Mac 2014 (Khamis):

Satu lagi perkhidmatan bas di Kajang yang wujud sejak sebelum zaman Jepun lagi ialah Bus Sum. Jika Bas Foh Hup berkhidmat jarak jauh, iaitu dari Kajang ke Kuala Lumpur, maka Bas Sum bersifat tempatan – berjarak dekat, iaitu dari Kajang ke Pekan Bangi dan juga Semenyih. Hentian asal bagi Bas Sum di Kajang ialah berhampiran sebuah panggung wayang yang terletak  tidak jauh dari Gate keretapi dari jalan Reko untuk masuk ke Pekan Kajang. Kini Gate ini sudah tiada dan diganti dengan jejambat. Hentian Bas Sum ini dan panggung wayang (kini sudah tidak ada) tidak jauh dari sungai yang membelah Pekan Kajang.
Jika bas Foh Hup berwarna hijau, maka Bas Sum berwarna merah.


Bila Bandar Baru Bangi dihuni sejak 1977, maka selepas itu perkhidmatan Bas Sum diminta memberi perkhidmatannya di Bandar Baru Bangi. Harga tiket pada masa itu ialah 5 sen bagi satu batu. Ini bererti untuk ke Kajang dari Bandar Baru Bangi ialah 30 sen. Kiaslah harga tiket bagi tempat lain. Di Bandar Baru Bangi tidak ada hentian rasmi sebagaimana di Pekan Bangi dan juga di Semenyih (tidak jauh dari pasar kedua-dua tempat).

Dengan perkembangan Bandar Kajang, Hentian Bas Sum di Kajang tidak lagi sesuai dan Bas Sum bersama-sama bas lain berhenti sementara di tepi kawasan agak kosong sebelum ke Jalan Tukang, Bandar Kajang. Ini menyebabkan kesesakan di Kajang. Bila Bas Foh Hup menghentikan perkhidmatan, Bas Sum masih meneruskan perkhidmatannya, tetapi mengubahkan tempat simpan bas ke Jalan Reko (Ada dua baris kedai dibina).


Bas Sum menghadapi masalah selepas pembinaan Hentian Bas di Jalan Reko sekarang yang mula digunakan selepas tahun 2000, walaupun pada permulaan Hentian bas ini tidak mendapat sambutan, tapi kemudian semakin maju. Bas Sum tidak menggunakan Hentian Bas ini, kerana tempat simpan bagi Bas Sum tidak jauh dari Hentian Bas Jalan Reko. Bas Sum terpaksa keluar ke Bandar Kajang untuk mengambil penumpang. Khidmat Bas Sum tergugat dengan pembukaan Hentian Bas Jalan Reko, kerana penumpang dari bas jarak jauh terus ke Hentian Bas Jalan Reko untuk transit ke bas-bas ke tempat lain. Tidak perlu berhenti di Kajang.

Kalau sebelum ada Hentian Bas di Jalan Reko, penumpang terus ke Kajang dan sebaliknya, tetapi kini ada yang mau pergi ke Hentian Bas Jalan Reko tapi harga tiket dari Bandar Baru Bangi dan dari Pekan Bangi dikira harga ke Kajang. Penumpang-penumpang dari Bandar Baru Bangi dan juga UKM menganggapnya sebagai tidak adil.


Bas yang digunakan oleh Bas Sum adalah bas lama, yang tidak ada air-cond. ini mengurangkan tarikan berbanding dengan bas-bas yang lebih baharu, walau bagaimana sebagai perkhidmatan jarak dekat, ketidakselesaan ini tidaklah menggugat sangat. Bas Sum tidaklah memberi perkhidmatan ke taman-taman perumahan. Apabila Penulis menjadi Adun Kajang, pernah diminta oleh wakil-wakil penduduk taman agar Bas Sum sama masuk memberi khidmat di taman-taman dan Penulis pernah berunding dengan Syarikat Sum di Kajang, tetapi dimaklumkan permohonan tidak dapat dipertimangkan, kerana tidak ekonomik, lagi pula bas yang bersaiz besar untuk masuk ke taman-taman tidak sesuai. Bayangkan sebuah bas besar masuk ke Taman Bukit Kajang, mendaki bukit, sedangkan tidak ramai dengan penumpang, jadi penggunaan tenaga tidak sepadan dengan pendapatan. Perkhidmatan sedemikian lebih sesuai dilakukan oleh teksi bersifat atas panggilan.


Namun gugatan yang paling mencabar dan melumpuhkan Syarikat Bas Sum, ialah apabila bas-bas mini yang ditegah dari beroperasi di Kuala Lumpur dibenarkan beroperasi di sekitar Kajang, Bangi, Pekan Bangi, Semenyih dan di tempat-tempat yang lain. Bas-bas ini lebih ekonomik dari segi pergerakan dan muatan penumpang dan bergerak hingga ke dalam setengah-setengah taman  yang tidak boleh dimasuki oleh bas biasa bersaiz besar. Jadi dengan cara lama, bas lama dan jalan lama, Bas Sum sebagaimana bas Foh Hup sebelumnya turut tergugat dan menghentikan perkhidmatannya beberapa tahun yang lepas, manakala bas mini berwarna kuning yang yang disifatkan sebagai `Raja Jalan`, bahkan `Samseng Jalan` walaupun tua, masih ligat mengambil penumpang di berbagai tempat dan berhenti di berbagai hentian yang tidak rasmi menunggu penumpang. Bas-bas ini memang sesuai dengan pekerja-pekerja taraf rendah, sedangkan penduduk awam masing-masing biasanya ada motokar sendiri yang tidak memerlukan kepada bas.

Sekian.

1 comment:

  1. Assalamualaikum,

    Saya tidak melihat tutupnya bas SUM itu berkait dengan bas mini, kalau ada pun hanya sedikit perkaitan yang tidak menjejaskan.

    Yang lebih menjejas perkhidmatan bas ini ialah dengan kemunculan kereta yang semakin banyak.

    Saya teringat dulu, kalau hendak ke Jenderam Ulu, naik bas Foh Hup dari KL, sampai pekan Kajang, kemudian pergi ke panggung wayang untuk naik bas ke Jenderam yang akan melalui Bangi Lama dahulu.

    Sekarang bas tak mahu masuk lagi Jenderam Ulu kerana penurunan kadar penumpang. Orang kampung sekarang paling tidak sudah ada motosikal, dulu basikal sudah kira gah. Mereka boleh pergi sehingga Dengkil atau Bukit Unggul dengan motosikal.

    Ditambah lagi, boleh kata hampir semua rumah di Jenderam Ulu sudah ada kereta. Siapa yang nak naik bas yang terpaksa mengikut jadual sejam satu ?

    Rasanya, kalau bas SUM yang ke Jenderam Ulu ni masuk Bandar Baru Bangi pun, tak akan ada ramai penumpang.

    Lebih senang menaiki kenderaan sendiri.

    ReplyDelete