March 16, 2014

Mengurangkan Kesesakan Di Kajang: Lantas Bagaimana Memajukan Kajang ?

-->
BBB, 13 Rabiul Akhir 1435 = 15 Mac 201 (Sabtu):

Kesesakan lalu lintas dan ketidakcukupan tempat parking adalah masalah utama bagi Bandar Kajang. Masalah berlaku oleh kerana antaranya dengan bangunan lama tiga baris kedai sedia ada dan kekurangan tanah untuk diperluaskan menghalang untuk pembesaran Bandar Kajang. Perluasan hanya dapat ditambah dengan Jalan Tun Abdul Aziz ke Pasar Baru Kajang & lanjutan dan Jalan Haron pada 1980an, namun tidak dapat menampung pertambahan kenderaan. Adalah sesuatu yang ironi, Kajang sebagai Bandar Komersil dan Bandar Sate yang memerlukan ramai pengunjung datang untuk membeli belah dan makan sate terpaksa diambil tindakan bagi mengurangkan kemasukan kenderaan dan mengurangkan pengunjung datang ke Kajang. Pada masa Penulis menjadi Adun Kajang beberapa tindakan diambil secara jangka pendek dan jangka panjang bagi mengurangkan kesesakan Bandar Kajang, bererti mengurangkan pengunjung datang.


Antara tindakan jangka pendek ialah menyusun laluan di jalan-jalan Bandar Kajang menjadi jalan `Satu Hala` seperti Jalan Tukang dijadikan jalan satu hala keluar ke Kuala Lumpur-Sungai Chua dan ke Semenyih, manakala Jalan Tengah menjadi Jalan Sehala bagi kenderaan masuk ke Kajang sama ada dari Kuala Lumpur, Sungai Chua atau Semenyih, manakala Jalan Sulaiman adalah bagi jalan keluar.

Sementara itu bagi Jalan Tun Abdul Aziz adalah Jalan dua hala dengan ada divider di tengah, manakala jalan Raja Haron adalah jalan sehala ke Jalan Abdul Aziz, Sulaimana atau keluar jalan Semenyih-Kuala Lumpur-Sungai Chua. Dengan penyusunan ini membuka ruang melancarkan pergerakan kenderaan, tetapi tidak cukup ruang bagi parking. Dapat dikatakan halangan kesesakan dan ketidakcukupan parking membuat orang mau mengelak diri dari memasuki Bandar Kajang, takut terperangkap dengan masalah lalulintas yang memang merugikan bagi Kajang dari segi komersil dan pelancongan.


Semasa Penulis menjadi Adun Kajang, banyak perubahan besar berlaku, terutama bagi menyuraikan lalu lintas agar tidak melalui Bandar Kajang. Tindakan jangka panjang yang diambil ialah:

1)      Membina Lebuhraya Plus yang peringkat awal ialah antara Kuala Lumpur-Bangi sahaja yang siap pada 1977 membolehkan kenderaan terus ke UKM, Bangi dan tidak perlu melalui Kajang sebagaimana sebelumnya. Selepas 1980an baru jalan Plus ke Seremban dibina, diikuti dari Seremban ke Johor Bharu dan ke Utara dibina secara berperingkat. Pada peringkat permulaan lebuhraya Kuala Lumpur-Bangi belum dipungut Tol, termasuk jalan ke Kajang yang kemudian dikenakan tol.
2)      Melebarluaskan jalan Kuala Lumpur Kajang melalui jalan Cheras di bawah Syarikat Grand Saga dan menyuraikan jalan berkenaan ke Bangi dan ke Semenyih dan Seremban, termasuk bagi mengurangkan kesesakan di Bandar Kajang. Grand Saga mula digunakan pada 1998.
3)      Membuka jalan baru dari Semenyih ke Kajang Utama dan ke Tol Kajang di bawah Syarikat SILK. Jalan ini juga bagi menyuraikan kenderaan dari memasuki Bandar Kajang. Jalan ini mula beroperasi sekitar 2001. Banyak masalah yang ditimbulkan oleh jalan Silk, termasuk mengasingkan Kajang Utama dan banyak kali berlaku tunjuk perasaan yang mau agar dibina jejambat atau terowong antara Kajang Utama dan Kajang. Janji Samy Vellu mau membinanya sebelum pilihanraya ke 12, tapi hingga kini masih belum dibina. Tunjuk perasaan juga diadakan bagi membantah penduduk Kajang Utama dikenakan tol, hasilnya tol adalah di luar dari kawasan Kajang Utama dan penduduk Kajang Utama bebas tol, namun terbeban dengan kos minyak dan merugikan masa, kerana terpaksa membuat U turn melalui jarak jauh untuk masuk ke Kajang Utama.
4)      Pembinaan Lebuhraya Kasih (Kajang-Seremban) dan ditukar kepada nama Lebuhraya LEKAS (Lebuhraya Kajang-Seremban) juga bagi mengurangkan kesesakan jalan ke Kajang dan juga mengurangkan volume kenderaan di Lebuhraya Plus, khususnya pada hari-hari perayaan.
5)      Memindahkan semua jabatan Kerajaan Negeri dan Persekutuan dari Kajang ke Bangi, kecuali dua jabatan sahaja yang masih kekal di Bandar Kajang, iaitu Jabatan Bekalan Air Selangor (kemudian dikenali dengan Syabas) dan Majlis Perbandaran Kajang (MPKj). Perjanjian penukaran hartanah antaranya tapak Pejabat Daerah Lama – juga MPKj dan beberapa tanah lain dilakukan dengan Syarikat Metro Kajang yang pernah diketuai oleh Datuk Lim Kim Sai di bawah kerajaan BN (MCA), tanah tersebut diganti kosnya oleh Syarikat Metro membina Pejabat Daerah di Bandar Baru Bangi.
      
            Bandar Baru Bangi, pada hakikatnya kini selain dari dikenali sebagai Bandar Ilmu, adalah Bandar Pentadbiran bagi Daerah Hulu Langat.


Bandar Kajang sebagai Bandar dari Pekan lama Kajang (kadang-kadang dipanggil sebagai pekan cowboy) di tengah kesebokan pembangunan, tidak banyak berlaku pembangunan, kerana kedudukan Bandar itu yang sempit dan tidak banyak ruang untuk membangun, maka kemajuan mengelak dari Bandar itu, bahkan jalan-jalan yang dibangun bagi `Mengelak` pengunjung dari datang ke Bandar itu, kerana takut terperangkap dengan kesesakan dan ketiadaan jalan selesa bagi keluar-masuk ke Bandar itu.


Ironinya kita mau Kajang maju sebagai Bandar komersil dan Bandar Sate dengan ramai nya orang, khususnya pelancong datang tapi dalam masa yang sama kita berusaha elak orang datang ke Kajang, lantas kita bertanya, pembangunan yang bagaimanakah mau dan patut dilakukan terhadap Kajang bagi mereka yang ingin menguasai Kajang ?

Sekian.

No comments:

Post a Comment