March 19, 2014

Desa Jenaris: Kepimpinan Setempat & Kegiatan

-->
BBB, 17 Rabiul Akhir 1435 = 19 April 2014 (Selasa):

Desa Jenaris adalah perkampungan ke dalam dari Sungai Kantan. Sebelum wujudnya jalan pintas yang dibina oleh Grand Saga (2001), maka untuk ke Desa Jenaris perlu masuk melalui jalan kampung hadapan Masjid Kajang hingga melewati Sungai Kantan dan ke kiri sampai ke Desa Jenaris. Di sini pada 1990an terdapat beberapa baris perumahan dan beberapa buah kedai yang berhampiran dengan kedai (sebelah kiri) terdapat sebuah surau dan dalam kawasan surau terdapat bangunan kecil persatuan penduduk. Menyusuri kedai ke kanan dan membelok sebelah kiri terdapat padang bola yang agak luas dan bersebelahan padang sebelah kanan adalah perumahan rumah teres setingkat dan dua tingkat. Beberapa bangunan industri kecil juga sedang dibina bersebelahan perumahan di sini. Ini adalah gambaran Desa Jenaris pada tahun 1990an.


Bila Penulis terlibat dengan politik, Penulis sering datang ke Desa Jenaris. Beberapa pemimpin Pas tempatan berada di sini. Antaranya Tuan Haji Abdullah Acheh, Tuan Haji Mansur, En. Ghani & Tuan Haji Othman (keduanya hadir dari Sungai Kantan) dan beberapa yang lain. Kehadiran Penulis di sini biasanya kerana bermesyuarat di Pejabat Persatuan Penduduk yang mana saudara Abdullah Acheh adalah AJK Pas Kawasan Hulu Langat. Sambutan-sambutan juga sering diadakan di sini seperti Sambutan Hariraya setempat dan majlis-majlis lain yang biasanya diadakan bersebelahan surau. Bila Penulis menjadi Adun Kajang aduan-aduan turut diterima dari sini melalui Kaunter Terbuka dan juga diadakan sukan dan sebagainya.


Antara aduan yang diterima dan tindakan diambil, bahawa jalan Grand Saga dari jalan Kajang-KL yang cabangnya ke jalan hadapan Saujana Impian dan sampai ke jejambat Desa Jenaris (selepas ini belum disambung jalan pada masa itu), walaupun jalan ini belum dibuka secara rasmi, tapi telah digunakan bagi kemudahan penduduk, tapi jalan di bawah jejambat ke Desa Jenaris dan ke Sungai Kantan agak mengelirukan, kerana tiada garisan dan lampu isyarat belum berfungsi. Atas aduan itu Adun turun ke Jejambat Desa Jenaris bersama pengiring Sdr. Amir Hamzah Udin dan Sdr. Jamil Saring membuat Kenyataan Akhbar (Pihak Pengarah Executive Grand Saga Tuan Haji Zainal Abidin dijemput – turut dijemput ialah pemberita-pemberita – beberapa orang Polis - dipanggil oleh Tuan Haji Zainal Abidin dan Jurutera Grand Saga). Rundingan juga diadakan di Pejabat di Grand Saga, Jalan Cheras sebelumnya).


Penulis menerangkan kepada Tuan Haji Zainal Abidin mengenai kekeliruan pada jalan dari segi tanda-tanda keluar masuk di bawah jejambat. Penulis juga memaklumkan bahawa jalan susur keluar tepi jejambat sempit dan pendek dan membahayakan bila kenderaan dari atas jejambat turun laju. Berlaku pertikaian antara Penulis dengan Tuan Haji Zainal Abidin Ali yang menuduh Penulis bukan pakar di dalam `Road design`. Apa yang ditekankan oleh Penulis untuk keselamatan. Walau bagaimana pada akhirnya bonjol jalan susur dibaiki, tanda-tanda jalan digaris dengan jelas dan bila lampu isyarat berfungsi ianya lebih menjaminkan keselamatan. Jalan pintas Grand Saga ke Jenaris-Sungai Kantan dan kawasan-kawasan berkaitan memberi kemudahan dan keselamatan kepada penduduk. Mereka tidak perlu lagi melalui jalan kampung dan keluar ke jalan di hadapan Masjid Kajang.


Aduan-aduan yang lain ialah mengenai kebersihan, longkang tak diselenggara, tiang letrik di dalam kawasan longkang dan `Treatment Indah Water` berdekatan yang mau dipastikan tidak menyebabkan pencemaran bau.

Pihak Adun Kajang bersama Persatuan Penduduk Desa Jenaris pernah juga mengadakan Pertandingan Bola Istimewa, iaitu dengan menjemput Persatuan Orang-Orang Kerdil dari Kuala Lumpur berlawan bola dengan Persatuan Penduduk Desa Jenaris pada petang 8.9.2002. Pertandingan berakhir dengan kemenangan Pasukan Orang-Orang Kerdil ke atas Persatuan Penduduk Desa Jenaris 2 – 1.


Sementara pada Ahad 20 Oktober 2002 Pas Cawangan Desa Jenaris diketuai Tuan Haji Abdullah Acheh mengadakan Majlis Hi-Tea dengan kerjasama Majlis Perpaduan Nasional Hulu Langat yang saudara Abdullah Acheh mengetuainya. Penceramah terkenal YB Datuk Ismail Kamus dijemput menyampaikan ceramah. Turut sama hadir Penulis selaku Adun Kajang. Ramai hadirin hadir mendengar ceramah tersebut yang diadakan di bangunan Persatuan Penduduk dengan pendengar melimpah keluar.

Melalui saudara Abdullah Acheh dan beberapa AJK Persatuan Penduduk dan juga AJK Surau di sini Penulis menjalin hubungan baik dan mengekalkan hubungan rapat dengan penduduk di Desa Jenaris.

Sekian.

No comments:

Post a Comment