March 13, 2014

Membela Pekerja-Pekerja Bas Foh Hup Kajang

-->
BBB, 10 Rabiul Akhir 1435 = 12 Mac 2014 (Rabu):

Sebelum dari tahun 1977 (tahun Kampus UKM di Bangi dibuka), jalan yang menghubung Kajang ke Kuala Lumpur ialah jalan lama – Jalan Cheras, manakala untuk ke Seremban juga melalui jalan lama – Kajang-Mantin-Seremban. Hubungan antara kedua tempat di atas boleh juga menggunakan perkhidmatan Keretapi Tanah Melayu. Tetapi perkhidmatan yang paling popular adalah dengan menggunakan bas dari Kajang ke Kuala Lumpur. Perkhidmatan bas dari Kajang dijalankan oleh Syarikat Bas Foh Hup. Ada perkhidmatan terus dan henti-henti. Syarikat Bas Foh Hup ini menjalankan perkhidmatannya sejak dari sebelum Perang Dunia Kedua lagi. Syarikat Bas ini mempunyai perhentian di Kajang, ialah pada tapak lama bangunan Pasaraya Metro Kajang sekarang yang di sebelah kanannya ialah station minyak Shell, manakala jauh sebelah kiri ialah Pasar Basah lama Kajang. Syarikat ini mempunyai Pejabat dan Bengkel tidak jauh dari Station Bas Foh Hup Kajang, iaitu sebelah kiri dari warung Sate kini di Jalan Utama. Hentian di Kuala Lumpur ialah Perhentian Bas Pudu sebelum ada Hentian Bas sekarang. Tambang bas dari Kajang ke Kuala Lumpur pada masa itu ialah RM1.00.


Bila Penulis menjadi Adun Kajang, mulai November 1999, Syarikat Bas Foh Hup masih menjalankan perkhidmatannya, namun pada masa itu Syarikat Bas Foh Hup mulai menghadapi persaingan, antaranya pembukaan Lebuhraya Kuala Lumpur- Seremban yang mana beberapa syarikat bas lain masuk ke Kajang dengan menggunakan highway ke Kajang dan memberi perkhidmatan yang lebih baik dan lebih cepat sampai, kerana jalan yang baik. Lebih dari itu bas-bas moden yang diberi lesen oleh pihak Kementerian Pengangkutan menawarkan perkhidmatan yang lebih selesa, misalnya mempunyai air-cond. dan tempat duduk yang lebih selesa, manakala bas Foh Hup berwarna hijau itu masih menggunakan bas lama yang agak uzur dan tidak berair-cond. Semakin lama persaingan semakin sengit dan Syarikat Foh Hup sukar hendak bertahan.


Lantaran itu pada Khamis 18 April 2002 Syarikat yang mempunyai puluhan bas dan lebih dari 50 pekerja itu mengeluarkan notis kepada pekerja-pekerjanya, bahawa Syarikat Bas Foh Hup menghentikan operasinya mulai pagi kelmarin (Rabu 17 April). Pekerja-pekerja yang terkejut itu berhimpun di hadapan bangunan Syarikat (juga Bengkel) sejak pagi kelmarin itu kerana tidak berpuashati dengan penamatan perkhidmatan Bas Foh Hup. Ini bermakna juga pekerja-pekerja hilang pekerjaan dan hilang sumber pendapatan yang mereka bergantung kepada pekerjaan di Syarikat bas berkenaan. Sebagai tempat mengadu Penulis sebagai Adun Kajang dijemput ke pertemuan dengan pekerja-pekerja bas. Penulis hadir dengan diiringi oleh saudara Jamil Saring. Turut sama hadir ialah pemberita-pemberita. Adun menemui pekerja-pekerja dan mendengar masalah dan aduan mereka.


Menurut pekerja-pekerja pihak Syarikat Foh Hup tidak membayar gaji mereka sejak berbulan-bulan yang lepas dan KWSP mereka juga tidak dibayar. Menurut Jurucakap Syarikat, mereka terpaksa `golong tikar` kerana tidak mampu bersaing dengan syarikat-syarikat bas baru yang menjadi saingan mereka, sejak lebuhraya Kuala Lumpur Seremban dibuka.


Dalam sidang akhbar kepada pemberita-pemberita, Penulis selaku Adun Kajang memohon dari Kementerian Pengangkutan dapat memulihkan Syarikat Bas Foh Hup dan mencegah syarikat-syarikat bas yang baru dari beroperasi di Kajang. Penulis juga memohon dari Kementerian Perusahaan memberi peluang kepada syarikat mendapat modal bagi memulihkan perjalanan bas yang telah terhenti dan membeli bas-bas baru bagi memberi perkhidmatan yang lebih selesa.


Penulis juga memberi cadangan, kiranya operasi bas Foh Hup tidak dapat dipulihkan dan terpaksa diambil alih oleh Syarikat yang lain, maka pekerja-pekerja yang ada yang terdiri dari kaum India, Cina dan Melayu hendaklah mengambil pekerja-pekerja berkenaan, kerana mereka mempunyai pengalaman sebagai pekerja-pekerja bas. Penulis juga menyesali pihak Kementerian Pengangkutan membuat saingan terbuka, sehingga sebuah Syarikat Bas Tertua di Kajang, tidak mampu menghadapi saingan

Walaupun rayuan dibuat dan piket pekerja dilakukan, Syarikat tidak berkemampuan memulih diri dan akhirnya syarikat terus terhenti dan pekerja-pekerja terpaksa mencari pekerjaan yang lain.


Syarikat Bas Foh Hup mempunyai sejarah tersendiri sebagai sebuah syarikat bas tertua di Kajang.  Kini sudah 12 tahun Syarikat Foh Hup ditutup. Syarikat terpaksa ditutup oleh kerana tidak berdaya kreatif dan inovatif dalam menghadapi perubahan dan saingan. Pihak pemerintah pada masa itu – Kerajaan BN, tidak peka untuk membela sebuah syarikat bas tertua yang mewarnai sejarah Kajang. Kita melahirkan kekesalan.

Sekian.

1 comment:

  1. Sebab utama Foh Hup tutup ialah persaingan tidak sama rata. Foh Hup terpaksa melalui laluan2 yg tidak menguntungkan seperti Seremban-Broga, Mantin-Lenggeng, Mantin-Nilai, Kajang-Kacau, Kajang-Sg Tekali, KL-Taman Connaught, Kajang-Taman Seri Semenyih. Dan pada masa yg sama bagi laluan2 yg menguntungkan mereka terpaksa bersaing dengan syarikat2 lain seperti MetroBus, ShuttleBus, bas mini. Foh Hup pula mengikuti jadual dan syarikat2 lain main hentam saja. Ini punca utama. Sepatutnya laluan yg memberi untung boleh membantu menutup kos untuk laluan lain yg tidak ramai penumpang. Ini silap kerajaan. Sehingga kini laluan2 luar bandar tu tiada perkhudmatan bas.

    ReplyDelete