UPSI, Tanjung Malim: 25 Rabiul Akhir 1435 = 27 Mac 2014
(Khamis):
Sebagai lanjutan dari Wacana Teori & Kritikan pada tahun
lepas (2013) di UPSI tentang Teori Estetika Bersepadu oleh Prof. Madya Dr.
Abdul Halim Ali Pensyarah di UPSI, maka pada tahun ini Teori Takmilah yang
dikemukakan oleh Dr. Shafie Abu Bakar dipilih untuk diwacanakan bagi kali
kedua. Wacana ini dianjurkan oleh Persatuan Penulis Budiman Malaysia yang
Dr. Abdul Halim selaku Pengerusinya dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka
dan Fakulti Bahasa Dan Komunikasi UPSI. Wacana kali ini adalah merupakan
penghormatan kepada Penulis dari Pelajar-Pelajar berbagai peringkat kursus
mengenai Teori Takmilah dan penggunaannya bagi kajian pada peringkat Ph. D,
Sarjana dan Ijazah Pertama dari UPSI, UPM dan Universiti Malaya.
Pelajar-pelajar berkenaan menulis artikal di dalam bidang masing-masing sebagai
persembahan kepada Penulis yang dibukukan dalam sebuah buku berjudul:
Teori Takmilah: Peluasan Dan Penafsiran
Buku ini diselenggarakan oleh Profesor Madya Dr. Abdul Halim
Ali
Penerbitan buku di atas juga sempena lebih dua dekad Teori
Takmilah dikemukakan.
Wacana Teori Dan Kritikan Sastera Kedua (2014) yang
berlangsung dari jam 8.30 hingga 1.00 tengahari hari ini dirasmikan oleh Ketua Pengarah
Dewan Bahasa Dan Pustaka yang diwakili oleh Puan Saadah binti Abdullah Ketua
Bahagian Penyelidikan Bahasa dan Sastera di DBP. Majlis dihadiri Prof. Madya Dr.
Ani Bt. Omar Timbalan Dekan Fakulti Bahasa dan Komunikasi UPSI, pensyarah-pensyarah,
pelajar-pelajar dari UPSi dan UPM yang memenuhi Dewan Seminar Di Perpustakaan
Tuanku Bainun, UPSI.
Prof. Madya Dr. Abdul Halim dalam ucapan alu-aluannya beliau
berterima kasih kepada semua yang hadir mengikuti wacana ilmiah yang sering
diadakan, tetapi pada kali ini adalah merupakan kali kedua bagi Wacana Teori
& Kritikan (2014). Beliau berharap pada kali ketiga (2015) akan diwacanakan
mengenai Teori Teksdealisme yang dikemukakan oleh Prof Madya Dr. Abdul Rahman Napiah
yang lebih dikenali sebagai Mana Sikana. Beliau berharap pihak DBP terus
memberi kerjasama dan membantu dengan peruntukan bagi wacana ini dan lain-lain.
Dr. Abdul Halim juga mengucapkan terima kasih kepada pihak Galeri Bangi Bandar
Ilmu yang membiayai kos penerbitan buku, Teori Takmilah: Perluasan &
Penafsiran sebanyak RM15,000.
Puan Saadah binti Abdullah dalam ucapan perasmian menyampaikan
salam Ketua Pengarah DBP Dato` Dr. Awang Sariyan yang tak dapat hadir kerana
mempunyai program tempat lain terlebih dahulu dan berterima kasih kerana
menjemput Ketua Pengarah merasmikan Wacana Teori Dan Kritikan Sastera yang amat
bermakna dan mengucap tahniah di atas kejayaan Persatuan Penulis
Budiman Malaysia yang sekali lagi berjaya menganjurkan wacana yang begitu
penting ini. Menurutnya DBP akan terus menyokong kegiatan keilmuan seperti ini dan
pada masa akan datang. Sokongan diberi juga kepada mana-mana pertubuhan &
NGO berdaftar yang menjalankan kegiatan yang berhubung dengan bahasa, sastera
dan budaya. Menurut beliau, pembicaraan mengenai teori adalah pembicaraan pada
peringkat tinggi dan mungkin sukar bagi setengah-setengah pihak mengikutinya,
tetapi itulah cabaran bagi pencinta ilmu yang sebenarnya tidak sesukar
sebagaimana peneroka memulainya dan wacana seperti ini sebagai wadah memahami
dan meluaskan horizon teori yang diwacanakan.
Menurut Puan Saadah, para peserta bernasib baik, selama ini
bila kita berwacana mengenai sesuatu bidang ilmu, khususnya tentang teori,
biasanya kita hanya membicarakan tentang idea dan keilmuan tokoh, tanpa
kehadiran tokoh, tapi pada hari ini kita bertuah dengan kehadiran tokoh itu
sendiri dan membentang kertas kerja berhubung dengan dapatan barunya. Lebih
daripada itu pengamal-pengamal teori turut sama hadir, bahkan membentangkan
kertas kerja hasil dari penyelidikan dan penulisan yang mereka hasilkan yang
saya difahamkan antara mereka telah menggunakan Teori Takmilah pada peringkat
Dr. Falsafah, Sarjana dan pada peringkat ijazah pertama. Puan Saadah berharap
pelajar-pelajar yang hadir tentulah sebahagian daripada mereka mengikuti kursus
tentang teori berkenaan dan akan menggunakannya di dalam penulisan, kajian,
bahkan di dalam penulisan tesis mereka. Lebih menguntungkan penghasil teori
turut menghasilkan penulisan kumpulan puisi yang antaranya merupakan terapan
dari teori, maka dapat digunakan sebagai bahan kajian, disamping kajian
terhadap tulisan dalam bidang-bidang yang lain dari penulis-penulis yang lain.
Menurut Puan Saadah Bidang teori dan kritikan persuratan
tempatan telah berkembang yang dihasilkan oleh tokoh-tokoh seperti oleh
Muhammad Haji Salleh dengan Teori Poetikanya. Muhammad Affandi Hassan dengan
Persuratan Baru, saudara Abdul Halim dengan Estetika Bersepadu, saudara Mana
Sikana dengan Teksdealisme, saudara Suhaimi dengan Fenomenaloginya, Hashim
Awang dengan Perkaedahan Melayu dan ramai lagi yang membuka ruang bagi
pelajar-pelajar mengkaji dan menggunakannya di samping kajian dan penggunaan
teori-teori dari luar.
Puan Saadah gembira dengan peranan Fakulti Bahasa dan
Komunikasi UPSI dan Persatuan Penulis Budiman Malaysia memperkembangkan bahasa,
sastera dan budaya tanahair dan beliau berharap komitmen ini berterusan dan DBP
sentiasa bersama dan menyokong kegiatan ilmu sedemikian.
Puan Saadah merasmikan Wacana Teori & Kritikan Sastera
Kedua (2014) dengan lafaz:
Bismillahi`r-Rahmani`r-Rahim
Beliau kemudian bersama pengiring-pengiring memotong reben
dan mengeluarkan buku
Teori Takmilah: Perluasan Dan Penafsiran
Dari `stand` Sebagai melengkapkan perasmian.
Sekian.
No comments:
Post a Comment