March 6, 2014

Batu 10 Cheras Benteng Pas Kawasan Utara Kajang

-->
BBB, 3 Rabiul Akhir 1435 = 5 Mac 2014 (Rabu):

Batu 10, Cheras ialah benteng Pas bahagian utara bagi Dun Kajang yang bersempadan dengan Kuala Lumpur. Dari segi kedudukan Dun di sebelah kiri ialah Balakong dan sebelah kanan ialah Dusun Tua yang terletak didalam Kawasan Parlimen Hulu Langat.
Batu 10 Cheras Utara merupakan markas utama bagi Pas. Pada masa kempen pilihanraya ke 10, markas Pas bertempat di sebuah kedai, Batu 10 yang mana di hadapan kedai ini ada pasar malam, pada malam-malam tertentu. Kemudian markas Pas Batu 10 berpindah ke Bangunan, Jalan ke Taman Megah.


Ada beberapa tempat yang menjadi identiti bagi Batu 10, iaitu Masjid Kuning, Pondok Batu 10 dan Tol Batu 9 & Batu 11. Ketua Cawangan bagi kawasan Batu 10 ialah Tuan Haji Razaly Hassan (kini Adun Dusun Tua). Penulis datang ke Batu 10 biasanya melalui kerjasama Tuan Haji Razaly dan AJK Batu 10 yang mana Tuan Haji Razali tinggal di kawasan berkenaan (Jalan Puyuh). Pada masa Penulis menjadi Adun Kajang, maka sebagai Adun pembangkang, sukar mendapat kerjasama dari pihak Masjid, tetapi tidaklah dihalang datang sebagai jamaah biasa. Penulis lebih rapat dan datang ke Pondok Batu 10 yang tidak begitu jauh dari Masjid Kuning. Pada bahagian belakang Masjid Kuning. Pada masa Penulis menjadi Adun madrasah bagi pondok di sini dalam pembinaan. Guru yang memimpin pondok di sini ialah Tuan Haji Zakaria dengan lebih kurang tiga puluh pelajar. Pondok ini ditadbir oleh satu jawatankuasa yang juga bertanggungjawab mencari dana. Hadir berjamaah dan belajar di sini ialah veteran-veteran yang mendukung Pas. Turut dijemput ke sini dari masa ke masa ialah guru-guru dan tokoh-tokoh dari luar, termasuklah pernah hadir pada peringkat permulaan Penulis menjadi Adun Kajang ialah Tuan Guru Datuk Nik Aziz Murshidul Am Pas. Penulis sering datang ke pondok di sini dan mempunyai harapan tinggi terhadap pengajian ini dan mengharapkan ianya menjadi pusat pengajian Islam yang penting di Dun Kajang, tetapi dukacita sebagai pusat pengajian kurang meberangsangkan. Haji Zakaria sendiri sering berada di luar termasuk di Kemboja.


Sementara itu Tuan Haji Razaly mempunyai surau sendiri di Taman Cheras di sini, iaitu Surau Nurul Ehsan yang didirikan solat Jumaat. Ada masalah dan kekangan dari segi pentadbiran semasa kawasan Dun Kajang di bawah pembangkang, tapi dengan keazaman Tuan Haji Razaly, masjid dibina di atas tapak surau berkenaan.


Dari segi kegiatan kemasyarakatan,Tuan Haji Razaly seorang yang aktif dan sering mengadakan kegiatan. Umpamanya mengadakan kejohanan sepak takraw secara tahunan dengan menyediakan Piala Pusingan Adun Kajang. Misalnya pada 5 Oktober 2002 diadakan pertandingan kejohanan sepak takraw pada peringkat Hulu Langat dengan disertai lebih dari 50 pasukan.


Aduan yang diterima di Batu 10, ialah pencemaran najis lembu, kerana ada pihak yang memelihara lembu dan tidak mengawalnya, longkang tersumbat, benteng parit runtuh, rumput di padang permainan tidak dipotong dan permintaan kepada pihak Grand Saga membina pagar yang memisahkan padang dari jalan yang berhampiran, agar bola tidak keluar hingga ke jalan dan membahayakan pemain-pemain. Aduan-aduan berkenaan dibawa ke pihak atas untuk diambil tindakan.


Sebagaimana disebutkan pada Batu 9 & 11 terdapat dua tol Grand Saga. Perlu disebutkan juga pada masa Penulis jadi Adun Kajang, jalan Cheras sedang dinaik taraf di bawah Syarikat Grand Saga. Pada peringkat permulaan dibuka (15 Januari 1999) bayaran tol bagi Batu 9 ialah 50 sen dan bagi Batu 11 ialah 40 sen. Mulai awal tahun 2003 pihak Grand Saga menaikkan harga tol:

Batu 9 dari     50 sen kepada 70  sen
Batu 11 dari   40 sen kepada 60  sen


Kenaikan berkuatkuasa dari 1 Januari 2003 itu dibantah oleh Adun dan penduduk, maka malam 3 Januari jam 8.00 malam hingga 9.30 Adun bersama penduduk lebih dari 300 orang mengadakan tunjuk perasaaan di tol Batu 11, kerana menganggap kenaikan itu tinggi dan tidak wajar, apa lagi jalan pintas antara Cheras ke Semenyih belum lagi siap, kenderaan masih terpaksa bersesak melalui Bandar Kajang dan jalan banyak rosak. Tunjuk perasaan ini mendapat liputan di dalam akhbar-akhbar utama. Oleh kerana tidak ada respond positif diadakan tunjuk perasaan kali kedua pada Ahad 19 Januari jam 3.00 petang di kawasan Rawat Dan Rehat Bukit Dukung, Jalan Cheras. Ini menarik kehadiran Pengarah Eksekutif Grand Saga Tuan Haji Zainal Abidin Bin Ali. Akibatnya terjadi pertikaian lisan antara Adun dengan Tuan Haji Zainal Abidin hingga menyebabkan campur tangan polis dan menyebabkan tunjuk perasaan dihentikan pada jam 4.30 petang.Walaupun Penulis selaku Adun Kajang bertikai pendapat dan bertegang leher dengan Tuan Haji Zainal Abidin berkenaan tol semasa tunjuk perasaan, tapi kami bersifat professional, bila Grand Saga mengadakan sambutan Hariraya, mereka menjemput Penulis Selaku Adun dan Adun sering hadir ke jemputan berkenaan di Pejabat Grand Saga dekat Bukit Dukong. Kami mesra dan bermaaf-maafan. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh al-Marhum Tuan Haji Zainal Abidin yang telah kembali ke rahmatullah - Amin.
Dalam perkembangan lanjut sebuah dari tol berkenaan ditutup dan dihapuskan bayaran.


Penulis sebagai Adun Kajang berusaha memberi perkhidmatan terbaik kepada penduduk Cheras. Penulis sukacita mendapat kerjasama penduduk berbagai kaum dan sokongan mereka.

Sekian.

No comments:

Post a Comment