July 31, 2014

Estetika Masjid Al-Umm - Sekitaran

-->
BBB. \, 03 Syawal 1435 = 30 Julai 2014 (Rabu):

Sebagaimana disebut bahawa estetika adalah jalur terpenting di dalam Teori Takmilah. Dialah yang mencirikan seni dalam sesuatu bidang yang dibicarakan. Kewujudan elemen seni di dalam sesuatu bidang seni memperlihatkan sejauh mana kemampuan seni seorang pengkarya atau pencipta hingga karya atau penghasilannya memuncak dari segi kesenian dan seninya yang digarap dengan nilai-nilai keislaman memberi impak kepada khalayak kesan kesenian dan mesej pendidikan dan pengajaran yang mau disampaikan. Sekali lagi dari segi prinsip bahawa Allah Jamal, Rasul  Ahsan, Islam ihsan adalah jalan-jalan bagi meniti kepada peringkat tertinggi dari segi estetik kepada Takmilah. Seni bina masjid adalah tema yang rapat dengan Islam. Menonjol dari segi masjid tentang estetika lahiri, rohani dan maknawi.


Masjid Al-Umm diharap menjadi sebuah masjid yang menyediakan ruang unggul bagi ketaqwaan dan unggul juga dari segi Estetika Sekitaran dan Binaan. Sekali lagi dari segi prinsip bahawa segala kejadian dicipta oleh Yang Maha Indah dan termanifestasi keindahan pada segala ciptaanNya. Sebarang keburukan adalah nisbi bagi keindahan dan ianya boleh ditingkatkan dari sifat relative keburukan kepada positif keindahan.

Sebuah masjid walaupun betapa indah dan  gah dari segi pembinaan fizikalnya, maka tidak sempurna indahnya jika ianya tidak berada di dalam sekitaran yang mengharmonikannya. Misalnya sebuah masjid besar berada di dalam sekitaran yang binaan kelilingnya tidak teratur, tiada sebarang taman yang menyerikannya, maka daya tarikan dan keindahanya hilang, bahkan jika sekiranya ianya berada di tengah kesebokan dan kebisingan kelilingan menghilangkan kedamaian, keheningan yang dapat memberi rasa kekhusyukan bagi yang mau beribadat dan beriktikaf di dalamnya.

Sebagai contoh, Taj Mahal, walaupun bukan sebuah masjid, tapi diambil contoh dari segi seni bina dan seni taman sekitarannya, Taj Mahal berdepan dengan ketenagan kolam air yang dikiri kanannya barisan pokok-pokok berjejajaran menghijau - harmoni dari segi pandangan, menyejuk mata memandang dan menenangkan jiwa dan fikiran.


Peranan dari segi senibina sebuah masjid itu sendiri menyumbangkan dari segi estetika. Misalnya Masjid Umawi di Damshiq dari segi tiang dalaman dengan lengkungan di atasnya, masjid Jami` Isfahan dengan pintu gerbangnya, masjid Sulaimaniyyah Istanbul dengan kubah-kubahnya yang banyak, Masjid Nabawi kini dengan menara-menaranya yang besar dan banyak, Masjid Demak Jawa dengan atap tumpang bertingkat dan Masjid Salahuddin Abdul Aziz Shah Alam dengan Kubah Terbesarnya.

Masjid Al-Umm yang dalam pembinaan dilihat dari segi sekitaran sekarang tidaklah begitu menarik. Bahagian hadapan bangunan masjid ini seharusnya bertanah lapang yang dapat dibentuk dari segi seni tamannya, tetapi diganggu oleh rumah-rumah semi D yang didirikan selepas Masjid Al-Umm diusahakan pembinaan, walaupun sebelumnya pihak AJK memohon agar kawasan itu tidak didirikan bangunan, tapi permohonan tidak dilayan. Namun hiasan taman masih dapat dilakukan dengan merangka seni taman bagi kawasan dalaman pagar masjid, keliling padang bersebelahan, tepian semua jalan ke masjid sama ada dari hadapan, di hadapan Sekolah dan jalan berdekatan Medan Usahawan. Semua pintu pagar masuk masjid patut direkabentuk beridentiti Masjid Al-Umm sebagaimana pintu pagar masuk bagi Masjid Salahuddin yang berbentuk tangan menengadah dan tiang-tiang tersusun secara tidak berawal dan tidak berakhir. Oleh kerana tapak masjid Al-Umm berada pada tanah tinggi dan bangunan Masjid agak tinggi – tiga tingkat, mengatasi ketinggian dari perumahan yang ada sekelilingnya, maka peranan landscaping penting di dalam memprojekkan bangunan Masjid Al-Umm seolah-olah bangunan tinggi yang kudus memayungi kawasan sekeliling dengan dua menaranya gagah dan kubah terserlahnya agar kelihatan dari jalan masuk dari Tol Bangi, juga kelihatan dari jalan, Jalan Reko ke Bangi. Masjid Al-Umm hendaklah menjadi `Land mark` utama kemasukan ke Bandar Baru Bangi dari koridor selatan negeri Selangor.


Setakat ini Masjid Al-Umm harmoni dari segi estetika maknawi, bahawa Masjid Al-Umm sebagai tempat ibadat dan pendidikan harmoni dengan kelilingan. Sekitaran Masjid Al-Umm  ada 10 buah surau, iaitu:

1) Surau Al-Ehsan                        2) Surau   Al-Nur
3) Surau Al-Ittihad                       4) Surau Al-Istiqamah
5) Surau Al-Ridhwan                   6) Surau Al-Mawaddah
7) Surau Al-Falah                         8) Surau Al-Taqwa
9) Surau Damai                           10) Surau Al-Umm

Sekolah
1)  Sekolah Rendah Kebangsaan    2) Sekolah Menengah
3)  Sekolah Rendah Keb. Jln. 6      4)  Sekolah Agama Integrasi
5)  Sekolah Agama Al-Falah          6)  Sekolah Agama Istiqamah

1) Kompleks Pendidikan Islam Bangi
1) Darul Shifa` Bangi

Masjid Al-Umm harmoni dari segi maknawi dengan semua institusi-institusi pendidikan berkenaan yang berfungsi dalam pendidikan. Bahkan dengan kelompok institusi-institusi berkenaan menjadikan kawasan berkenaan sebagai `Wadi Ilmu` berindukkan Masjid Al-Umm yang mengukuhkan sama Bangi Bandar Ilmu.

Adapun dari segi fizikal, sebagaimana dari segi landscaping dapat dibentuk semuanya sebagai berada di dalam suatu taman – Taman Fizikal dan Taman Ilmu, maka bangunan yang bakal muncul seharusnya menjaga dari segi kesesuaian dan keharmonian dengan Masjid Al-Umm. Sebagai contoh AJK Pembinaan Masjid Al-Umm berhasrat untuk membangunkan kawasan Medan Usahawan sebagai Kompleks Keilmuan di bawah Masjid Al-Umm, maka bangunan di sini, jika terlaksana hasrat ini hendaklah beridentiti dan harmoni dengan bangunan Masjid Al-Umm.

Sekian.

July 30, 2014

Beberapa Perubahan Nyata Yang Lain

-->
BBB, 02 Ramadhan 1435 = 29 Julai 2014 (Selasa):

Melalui perbincangan banyak perubahan yang berlaku, tetapi beberapa perubahan nyata ialah:

1.   Kubah


Piawayan kubah bagi kami ialah Kubah Masjid Salahuddin Shah Alam yang memang ketara indah dan beridentiti sendiri, tetapi kami bukanlah berhasrat mempunyai kubuh sehebat kubah masjid negeri itu, Cuma biarlah kubah masjid kami mempunyai daya tarikan tersendiri, namun kosnya seharusnya tidaklah sampai setengah juta ringgit. Lantaran mencari kepuasan bentuk kubah dihasratkan itu hingga ke pertengahan 2014 ini, tidak ada bahagian binaan yang diiklankan kepada kontrektor untuk membuat cadangan mereka-bentuk dan membina melainkan bahagian kubah. Ada beberapa kontrektor yang datang ditemuduga. Semuanya bagi kami tidak dapat meyakinkan kami dari segi prestasi, kecuali satu kontrektor, itupun contoh pilihan bentuk bukan dari kontrektor, tetapi adalah dari kami dan kontrektor berkenaan sanggup membina bentuk yang dikehendaki. Bentuk kubah adalah bulat sebagai bentuk bawang, tetapi kami mengingatkan bukan bulat bujur. Kami memperingat dan mau mengelak dari menyerupai kubah bentuk rumah ibadat Sikh-Bahai yang rumah ibadat berkenaan juga mempunyai kubah.

2.  Mimbar


Kedudukan mimbar juga dipersoalkan dari pelan asal yang mengambil ruang ke mihrab. Tuan Haji Abdul Rahman bin Daud AJK amat prihatin tentang aspek ini. Cadangan dibuat ruang mihrab jangan ada halangan. Mimbar bersifat anjung ke atas disebelah kanan mihrab dan ruangan tangga bagi khatib ke atas tidak memakan ruang dari mihrab. Contoh-contoh mimbar dari masjid lain menjadi bandingan. Namun material sama ada dari kayu atau konkrit dan contoh seni binanya masih belum ditentukan.

3. Mihrab


Kedudukan mihrab pada pelan asal adalah berada pada paras bumi ke atas, tetapi apabila pelan masjid berubah menjadi tiga tingkat, mihrab berada pada paras dua ke hadapan bagaikan tong tergantung di hadapan, dengan bahagian bawah kosong dan bahagian atas pula tidak rapat kepada bahagian sutuh atap dan ada ruang yang tidak berfungsi. Sesungguhnya rosak dari segi estetik dan buruk dari segi pandangan ! Pihak arkitek dan ahli-ahli menerima pandangan di atas dari Penulis dan bersetuju memperbaikinya bahawa bentuk mihrab separuh bulat itu turun dari atas ke bawah dan menjadi mihrab bagi level bawah juga dan pada bahagian atas diadjust hingga rapat ke sutuh bahagian atap.

4. Kipas

Sungguhpun ruang-ruang Masjid Al-Umm dilengkapi dengan air-cond., tetapi tidak semua masa diguna air-cond. Ianya juga dilengkapi dengan kipas-kipas. Timbul persoalan apakah bahagian tengah di bawah kubah mau dipasang dengan kipas besar (seperti di Masjid Al-Hasanah) atau dihiasi dengan hiasan lampu thurayya gemerlap. Persetujuan adalah dipasang dengan kipas besar yang cara pemasangannya direkabentuk hingga tidak merosakkan pandangan. Kipas-kipas juga banyak digunakan pada bahagian-bahagian yang lain.

5. Perkhidmatan Lift

Oleh kerana masjid tiga tingkat, maka masjid menyediakan perkhidmatan lift, tetapi tidak untuk kegunaan umum. Ianya disediakan hanya untuk OKU dan bagi menaik dan menurunkan barang-barang sahaja.

6.  Ruang Bawah

Pada tingkat bawah adalah dicadangkan untuk serbaguna. Antaranya untuk konvensyen, seminar, pengajian dan jamuan perkahwinan. Adalah dicadangkan pada bahagian hadapan diadakan pentas tetap bagi kepentingan majlis-majlis disebutkan.

Ruang ini juga digunakan untuk solat terutama solat Jumaat bila jamaah bertambah. Penulis memperingatkan bahawa pada bahagian hadapan perlu ada akses untuk naik turun ke tingkat – level utama, jika tidak solat bahagian bawah tidak mempunyai pertalian dengan yang di atas dan tidak sah.

Pada bahagian bawah juga ada screen yang menayangkan acara di atas dan bawah yang diikuti oleh jamaah dari semua level (termasuk tingkat bahagian muslimat).

7. Sound System

Diperingatkan ianya amat penting. Pakar professional perlu dirunding agar `sound system` ini tidak bermasalah. Walau bagaimana perkara ini tidak ada diambil tindakan kini. Ujian hanya dapat dilaksanakan sesudah bangunan Masjid Al-Umm benar-benar siap.

8. Level Bahagian Bawah

Dicadangkan oleh pihak arkitek hendaklah hampir tinggi dengan paras jalan, bagi memudahkan keluar-masuk kenderaan menghantar barang-barang, khususnya bagi majlis jamuan perkahwinan dan majlis-majlis yang lain.

9. Kawasan Parkir

Bahagian dalam kawasan Masjid Al-Umm hanya mempunyai kawasan parker terhad. Tempat parker disediakan di bahagian depan – bersebelah padang yang telah diratakan dengan tanah yang dikeluarkan dari kawasan tapak, khususnya lebihan tanah dari ruang bagi tingkat bawah. Selain dari itu kawasan parkir juga digunakan dari kawasan parkir berhampiran dengan Medan Usahawan.

10. Sekitaran yang Hijau Dan Bersih

Adalah dicadangkan kawasan Masjid Al-Umm dan kawasan sekitaran dihiasai dengan pohon-pohon secara teratur, hijau dan menarik sesuai dengan kawasan masjid dan sekitaran sebagai `Taman Ilmu` di Bangi Bandar Ilmu.

Sekian.

July 29, 2014

Prinsip Dan Perubahan Besar Pelan Masjid Al-Umm

-->
BBB, 01 Syawal 1435 = 28 Julai 2014 (Isnin):

Satu prinsip Takmilah yang sepatutnya telah disebut sejak dari awal, sebagai Teori Sastera Islam dan Seni-Seni Islam yang lain, bahawa segala prinsip Islam dan hukum-hukumnya adalah menjadi prinsip dan hukum bagi Takmilah. Teori ini mestilah mendukung dan tidak mencanggahinya. Sebagai contoh Islam menggalakkan syura di dalam membuat keputusan (Al-Shura: 38 & Ali Imran: 159), maka prinsip membuat keputusan melalui Shura adalah menjadi prinsip bagi Takmilah. Dengan bermesyuarat mampu mencapai natijah yang lebih baik, maka ianya menepati dengan konsep Takmilah yang seharusnya sentiasa bergerak kepada yang lebih baik di dalam menuju Takmilah.


Prinsip Islam yang menjadi dokongan Takmilah dapat dilihat di dalam merangka dan penyediaan pelan bagi Masjid Al-Umm. Membina sebuah bangunan yang mahal harga yang melibatkan firma arkitek yang dilantik, melibatkan perunding-perunding dan kontrektor yang kerja-kerja mereka dibayar menurut kadar sepatutnya, maka pembinaan seharusnya menurut pelan arkitek yang disediakan oleh firma arkitek yang dilantik. Di dalam hal pembinaan Masjid Al-Umm sememangnya pihak Firma Arkitek Urusbina diberi tugas bagi menyiapkan plan arkitek. Tetapi jika dilihat pada lakaran gambaran awal bagi Masjid Al-Umm dengan lakaran gambaran akhir, maka amat jauh berbeza dari segi dua bentuk lakaran gambaran.


Lakaran Gambaran awal semacam sebuah surau sahaja.

Manakala lakaran gambaran akhir memang kelihatan sebagai sebuah masjid – Masjid Al-Umm. Mengapa terjadi sedemikian ?

Ini berlaku, kerana jawatankuasa Induk dan Teknikal yang terdiri dari para professional terus bermesyuarat dan terus membuat cadangan-cadangan pembaikan pada pelan Masjid Al-Umm. Antara hasil yang utama dan penting natijah dari perbincangan demi perbincangan ialah mengubah plan Masjid Al-Umm dari dua tingkat kepada tiga tingkat.
Keputusan diambil berdasarkan faktor-faktor berikut:


1)      Tanah seluas dua ekar (sebenarnya 1.89 ekar) kecil bagi sebuah masjid (seeloknya 5 – 8 ekar). Masjid perlu kepada ruang jamaah yang luas dan tempat parkir yang banyak.
2)      Masjid Al-Umm tidak mempunyai keluasan yang ideal berkenaan dan tidak mempunyai ruang untuk pembesaran pada masa akan datang.
3)      Untuk mengelak masalah pembesaran pada masa akan datang, maka adalah lebih baik untuk jangka panjang masjid Al-Umm perlu dibina sebanyak tiga tingkat yang membolehkan Masjid menampung jumlah jamaah yang lebih ramai.
4)      Masjid Al-Umm mempunyai program akan datang sebagai Induk Wadi Ilmu di Bangi Bandar Ilmu yang memerlukan ruang bagi kegiatan terutama bagi bidang pendidikan dan pengajian.
5)      Ruang-ruang masjid dapat menyediakan keperluan bagi kegiatan keilmuan dan kemasyarakatan.


Hasil dari perbincangan melibatkan perubahan pelan arkitek yang terpaksa diubah bagi kelulusan pembinaan (ini antara faktor kelewatan lulus pelan). Perubahan:

1)      Tingkat Utama (Tingkat Tengah), ialah:
Ruang solat utama, tempat wudhu` utama dan tandas (di belakang berasingan), tempat jenazah (berasingan), bilik mesyuarat, bilik imam dan bilik tamu.
2)      Tingkat Atas
      Ruang solat wanita, bilik mesyuarat (2), kelas tahfiz, bilik IT dan bilik Sumber
      (perpustakaan).
3)      Tingkat Bawah
Ruang sebaguna, ruang seminar, bilik Akad Nikah, bilik peralatan dan bilik persediaan kenduri.

(Ruang-ruang di atas boleh diubahsuai).



Adalah dijangka ruang masjid al-Umm dapat memuatkan jamaah seramai 3.000 orang secara serentak.

Dengan pertambahan lapisan Masjid Al-Umm dari dua tingkat kepada tiga tingkat, maka anggaran kos bagi membina masjid ini meningkat dari jumlah asal RM10 juta kepada RM12 juta.

Tanpa merendahkan Firma Arkitek Urusbina, dapat dikatakan bahawa pelan arkitek Masjid Al-Umm bukan merupakan idea dan rekacipta Firma Arkitek Urusbia sepenuhnya. Bahkan dapat dikatakan bahawa pelan dan bentuk senibina Masjid Al-Umm adalah hasil gabungan idea, rekacipta dan senibina jawatankuasa-jawatankuasa pembinaan (induk), teknikal dan perunding-perunding bersama dengan Firma Urusbina. Sebenarnya ianya tidak menunjukkan kelemahan-kelemahan mana-mana pihak, tetapi mengunggulkan prinsip syura yang menghasilkan natijah-natijah yang lebih baik. Diharap Masjid Al-Umm menjadi masjid yang lebih baik. Insya Allah.

Sekian.

July 28, 2014

Idul Fitri Menjelang - Syukur Dapat Tunaikan Ramadhan, Mendoakan Masjid Al-Umm Dapat Diimarahkan Ramadhan Mendatang

-->
BBB, 01 Syawal 1435 = 28 Julai 2014 (Isnin):

Allahu Akbar,  Allahu Akbar, Allahu Akbar
Wa li`Llahi`l Hmd.


Pada pagi yang syahdu ini kita bersyukur kepada Allah kerana dapat menunaikan puasa sebulan Ramadhan dan mengisinya dengan berbagai kegiatan kebajikan.

Terima kasih kepada AJK dan jamaah Surau Al-Umm yang telah mengimarahkan Surau Al-Umm sepanjang Ramdhan tersebut.

Terima kasih kepada Penasihat, semua AJK-AJK Masjid Al-Umm, pekerja-pekerja dan semua yang telah berusaha bagi menyiapkan Masjid Al-Umm. Terima kasih khusus kepada semua penderma yang terus menderma bagi membolehkan pembinaan Masjid Al-Umm rancak dengan pembinaan.


Dari segi progres pembinaan, pada hari 17 Ramadhan = 15 Julai kerja-kerja memasang beam bagi level pertama pada tiang-tiang yang naik pada awal Ramadhan mulai dijalankan. Kini sehari sebelum raya (29 Ramadhan) rangka binaan masjid makin jelas kelihatan (Gambar-gambar). Kini progres pembinaan melebihi 5%.


Kita mendoakan kepada Allah semoga progres pembinaan berjalan mengikut jadual, semoga Masjid Al-Umm dapat disiap dan digunakan menjelang Ramadhan tahun hadapan. Insya Allah.

Maaf zahir dan batin.

Allahu Akbar ! Allahu Akbar ! Allahu Akbar !
Wa li`Llahi`l-hamd.

Pegerusi Surau Al-Umm
dan Pengerusi Pembinaan
Masjid Al-Umm & AJK-AJK.

Sekian.

July 27, 2014

Professional Dan Artistik-Estetik Perlu Dalam Menyempurnakan Pelan Masjid

-->
BBB, 28 Ramadhan 1435 = 26 Julai 2014 (Sabtu):


Tempoh menunggu kelulusan plan arkitek bagi pembinaan adalah tempoh bagi memperkasakan pentadbiran dan perancangan juga tempoh bagi menggandakan jumlah pungutan derma. Pembinaan Masjid Al-Umm yang agak besar dan moden tidak cukup dengan hanya wujud sebuah jawatankuasa sebagaimana untuk membina sebuah surau biasa. Ianya memerlukan tenaga professional dan kalangan mereka yang mempunyai sentuhan seni. Dilihat kepada Teori Takmilah dalam skemanya terdapat dua alur yang dilalui pengkarya yang memberi impak pada khalayak, iaitu jalur akal (Ilmu) dan jalur estetik (seni) dalam perjalanan menuju ke puncak Takmilah. Dua jalur ini dilihat merupakan keperluan dalam pembinaan masjid yang dari segi fizikalnya memerlukan keilmuan (engineering) dari segi pembinaan dan sekaligus secara asimilasi memerlukan elemen estetik bagi menyempurnakan bentuk lahir fizikal sebagai sebuah masjid dan paling penting sesudah siapnya masjid secara fizikal memerlukan pengisian kepada tenaga yang dapat menyampaikan pengajaran secara ilmiah dan secara serentak juga pengisian kerohanian yang dapat ditimba dari keilmuan dan ibadat yang masjid menjadi wadahnya.

Sebagaimana telah disebut setelah AJK Pembinaan Masjid ditubuh sejak 4 Februari 2010 berikutnya berlaku pemantapan-pemantapan. Dalam mesyuaratnya pada 21 Mac 2012, Tuan Haji Omar Jaafar AJK Pembinaan Masjid Al-Umm mencadangkan ditubuhkan AJK Teknikal yang terdiri dari professional dan AJK ini ditubuhkan sebagaimana berikut:

1)  Ir. Tuan Haji Ishak bin Arshad  Pensyarah UKM - Pengerusi
2)  Ar. Raja Fuaddin Ahmad   Tetuan Arkitek Urusbina
3)  Ir. Mohd Safari Ahmad  Tetuan Safari Ingenuers
4)  Mohd Ashri Yusuf  Tetuan May Consult
5)  Abdul Razak Ab. Rahman  Tekad Nusantara
6.  Ir. Hj. Ghazali Hussin – Mantan Engineer di IKRAM
7.  Perunding Azfar  - Mechanical & Electrical
(Turut disertai dalam mesyuarat wakil-wakil dari AJK Induk).

AJK Teknikal ini terletak di bawah Jawatankuasa Induk yang mengadakan mesyuarat secara bulanan dan melaporkan segala perkembangan dan masalah kepada AJK Induk yang juga mengadakan mesyuarat secara bulanan selepas mesyuarat AJK Teknikal. AJK Teknikal mulai bermesyuarat sejak pertengahan Ogos 2012.

Perubahan yang berlaku lagi ialah Perlantikan Setiusaha baru, iaitu Tuan Haji Suib bin Maulud pada pertengahan Ogos 2013 menggantikan Tuan Haji Hussin Yunos yang meminta untuk menjadi AJK biasa, kerana tekanan tugas-tugas yang dihadapinya. Berundur mulai pertengahan Ogos 2013. Manakala Tuan Haji Omar Jaafar menarik diri kerana masalah-masalah peribadi (Berkuatkuasa akhir 2013). Begitu juga Ar. Raja Fuaddin bin Raja Ahmad diminta tidak menganggotai AJK Induk sebagaimana sebelumnya, kerana dikatakan untuk mengelak dari `conflict of interest`. Beliau terus berada di dalam AJK Teknikal (Terbaru beliau berundur Julai 2014 dengan menggantikan tempatnya pegawai Urusbina alasan ada komitmen dengan projek baru yang memerlukan keterlibatannya). Terima kasih kepada semua yang memberi khidmat.

Antara contoh tugas AJK Teknikal memastikan segala pelan arkitek dilaksanakan dengan betul dan sebarang perubahan diperhalusi. Memperbaiki apa yang dikomen pihak jabatan-jabatan yang berkait dengan kelulusan. Yang paling penting usaha bagi mendapat kelulusan pelan yang disifatkan telah begitu lama dan masih dalam penungguan, menyiapkan dokumen untuk kelulusan masuk tapak pembersihan tapak dan memagarnya, membincang berkenaan butiran-butiran yang berhubung dengan bangunan dan spesifikasi berkenaan, menguruskan dokumen berkenaan pemilihan (interview) dan perlantikan kontrektor, mempastikan tugas-tugas yang dilaksanakan oleh consultant-consultant yang dilantik, mencadangkan perlantikan penyelia yang diperlukan kepada AJK Pembinaan. Membuat pengakuan tuntutan bayaran berbagai tugas pembinan kepada AJK Pembinaan untuk dibincang bagi bayaran dan sebagainya.

Dengan adanya Jawatankuasa Teknikal, maka tugas-tugas yang berhubung dengan pelan pembangunan dan keperluan yang berhubung dengan teknikal dapat dikenalpasti dan dapat dikendalikan dengan cara professional. Ini lebih dapat melicinkan pentadbiran dan perjalanan.

Sekian.

July 26, 2014

Perlu Kelulusan Plan Arkitek Pra-Syarat Pembinaan

-->
BBB, 27 Ramadhan 1435 = 25 Julai 2014 (Jumaat):

Satu pra-syarat penting bagi pembinaan – termasuk Masjid Al-Umm ialah mendapat kelulusan pelan arkitek bagi kawasan Bandar Baru Bangi iaitu di bawah MPKj dan jabatan-jabatan berkenaan.
Menyedari kepentingan ini sejak kelulusan tapak diwartakan dan kebenaran dari JAIS bagi membina masjid, maka keperluan menyediakan pelan arkitek ini diutamakan. Ianya tidak lain dari mempastikan pembinaan mempunyai rangka pelan teratur dan diikuti hingga tidak menimbulkan masalah dari segi binaan, teratur dari susunatur bangunan dan tidak memasalahkan dari segi kawasan dan persekitaran. Pelan arkitek ialah rangka pembinaan  yang diikuti sebagaimana Teori Takmilah, ia adalah kaedah pendekatan yang mempunyai rangka skema teratur yang boleh diguna dalam pendekatan penulisan, diguna untuk menilai dan kritikan.


Oleh kerana keterlibatannya sejak dari awal berhubung dengan senibina Masjid Al-Umm, maka Yang Mulia Raja Fuaddin bin Raja Ahmad ditugaskan menyediakan pelan melalui firmanya Arketek Urusbina, No. 47, Taman Sri Medan, Jalan Raja Syed Alwi, 0100 Kangar, Perlis. Pelan arkitek ini berdasarkan pelan bangunan awal yang dirangkakan. Tugas menyediakan pelan arkitek ini agak rumit dan memerlukan kepakaran, khususnya bagi bangunan besar sebuah masjid. Penyediaan plan melibatkan keperluan sampai 16 jabatan yang menilai menurut bidang masing-masing sebelum diluluskan. Antara jabatan ialah MPKj, bomba, TNB, Syabas, JKR, Jabatan Kesihatan, Alam Sekitar, perparitan dan sebagainya. Penulis menerima dan melihat plan arkitektur yang begitu tebal dan berat golongannya untuk diteliti sebelum diangkat ke MPKj yang juga sebagai tempat menyelaras bagi semua jabatan yang menilai. Pelan yang masih belum diluluskan ini pernah dipamerkan pada Majlis Pelancaran Tabung Masjid Al-Umm, Bandar Baru Bangi pada 19 Mei 2012 dan pada Majlis Mesra Kenduri Kampung Bersama Y.A.B. Dato` Menteri Besar Selangor Tan Sri Dato` Seri Abdul Khalid Ibrahim pada 6 Januari 2013 yang kedua-duanya berlangsung di Tapak Majlis dan Pameran berhampiran dengan Tapak Masjid Al-Umm. Kedua-dua pameran diuruskan oleh Yang Mulia AR. Raja Fuaddin bin Raja Ahmad dari Firma Urusbina.

Menunggu plan kelulusan begitu lama termasuk membuat perubahan yang dituntut pihak MPKj dan memakan masa lebih dari setahun. Ar. Raja Fuaddin sering turun naik ke MPKj berhubung dengan pelan pembinaan sehingga pada satu masa Penulis selaku Adun Bangi dan Pengerusi Pembinaan Masjid menulis surat kepada YDP MPKj pada 8 Oktober 2012 memohon berunding dengan YDP mengenai kelulusan plan arkitek. Walaupun pertemuan diadakan berikutnya antara Penulis selaku Pengerusi dan beberapa AJK dengan YDP MPKj Dato` Hassan Nawawi dan beberapa pegawainya dan kelihatan mudah untuk diselesaikan pada peringkat atasan, tetapi masalah plan arkitek ini tetap berlarutan. Berhubung dengan perkara ini Ar. Raja Fuaddin sering tertekan dengan gesaan agar berusaha agar plan arkitek segera diluluskan. Masalah jauhnya ibu pejabat syarikatnya (di Perlis) juga mengganggu kelicinan urusan. Walau bagaimana Raja Fuaddin sebagai anak kariah masjid tetap tenang dan terus berusaha mendapat kelulusan.


Dalam masa menunggu kelulusan plan pembinaan, pada peringkat permulaan tumpuan perbincangan oleh AJK adalah terhadap plan bangunan yang menjurus pada seni bina. Difahamkan inilah pertama kali syarikatnya terlibat dengan pembinaan masjid yang agak besar. Dilihat kepada lakaran asalnya tidaklah ada kreativiti dan inovasi yang menarik sebagaimana yang diharapkan oleh AJK. Sebaliknya ianya adalah hasil yang disifatkan sebagai `interarkitektualiti` yang sedia ada dan bersifat campuran terutama dilihat dari segi pintu gerbang, menara yang bentuknya bersegi kurang menarik dan sebahagian ruang sutuh yang tidak beratap..

Dalam mesyuarat  antara perkara yang  dibangkitkan, bahawa sutuh bahagian atas bangunan bersifat rata tidak sesuai dengan iklim setempat dan perlu beratap yang boleh melindungi bangunan dari hujan panas yang boleh merosakkan bangunan. Permintaan dibuat agar diraikan dari segi seni bina Islam yang lebih menekankan bentuk bulat seperti menara, tiang-tiang, mihrab, meraikan jumlah  mata-mata tangga yang jumlahnya gasal, mengasingkan tandas ke bahagian belakang masjid untuk elak dari pencemaran. Cadangan asal masjid tidak menggunakan air-cond. Dicadangkan hendaklah direka bentuk besesuaian bagi menggunakan air-cond. Ahli juga meminta pihak Urusbina melalui Ar. Raja Fuaddin menyediakan plan perspektif secara lengkap yang boleh dijelaskan secara tayangan.

Dari segi penggunaan tenaga letrik, adalah juga dicadangkan kemungkinan menggunakan tenaga solar dan dicadangkan agar membuat temujanji dengan pihak Kementerian Tanaga, Hijau dan Air yang pejabatnya berada di Bandar Baru Bangi, namun menurut pendapat bahawa, dari penggunaan yang dibuat banyak risiko kerugian dari keuntungan. Cadangan juga dibuat agar carpet yang bakal dipasang kelak ialah bukan secara meluas  melekat keseluruhan, tetapi boleh diangkat dan digolong sekeping-sekeping dengan lantai dipasang tile.

Cadangan juga agar dibenarkan kepada penderma-penderma yang mau menderma bahagian-bahagin tertentu di dalam masjid. Bahagian-bahagian tertentu dinilai pihak kontraktor untuk dipilih oleh penderma.

Selain dari perbincangan tentang seni bina, soal mendapat derma juga menjadi perbincangan berterusan. Keperluan kepada AJK Teknikal dan juga perunding-perunding diperlukan.

Sekian.

July 25, 2014

Pembangunan Masjid: Lakaran Awal Panduan Mencari Bentuk Masjid Al-Umm - Proses Takmilah

-->
BBB, 26 Ramadhan 1435 = 24 Julai 2014 (Khamis):

Pembicaraan lepas ialah keperluan dan pra-syarat bagi pembinaan masjid,
iaitu melalui:

1) Tahap permohonan Tapak

Janji Adun Bangi untuk mendirikan Masjid Al-Umm mulai diusahakan selepas kemenangan Pilihanraya ke 12 (Mac 2008). Surat dihantar oleh Setiausaha Surau Al-Umm Tuan Haji Hussin Yunos melalui pihak JAIS dan mendapat jawapan dari pihak Pejabat Tanah Ruj. PTD UL. 16/3/5.2008(3) bertarikh 24 Mei 2008 tentang tindakan yang diambil.


Tahap penting dan menggembirakan AJK Pembinaan ialah Kelulusan Tapak Masjid  seluas 2 ekar di atas tapak lot 51177 , Jalan 1/4A, Bandar Baru Bangi dan diwartakan. Kelulusan oleh Y.A.B. Dato` Menteri Besar Selangor (Tan Sri Dato` Seri Abdul Khalid bin Ibrahim). Surat Pejabat Tanah ditujukan kepada JAIS Bil. PTD.UL 16/3/194-2006(9) bertarikh 1 September 2009. Diikuti jawapan dari pihak JAIS, tiada halangan didirikan masjid. Surat JAIS Bil.(16) dlm. JAL.SEL.BKP/03/016/5/22 bertarikh 17 November 2009. Pada bulan Jun 2011 pihak JAIS secara jelas memberi kebenaran membina Masjid di atas tapak berkenaan.

2. Tahap Pembentukan Ahli Jawatankuasa Pembangunan

Berikutan dari pewartaan tapak dan kebenaran mendirikan Masjid Al-Umm di atas tapak berkenaan Penulis selaku Adun Bangi pada masa itu menjemput Pengerusi-Pengerusi dan wakil-wakil surau sekelilng Masjid Al-Umm dan YDP Persatuan Penduduk Bandar Baru Bangi Dr. Tajul Ariffin Noordin sejumlah 30 orang bermesyuarat bagi melantik ahli jawatankuasa pembinaan dan pengisian Masjid Al-Umm pada 4 Fabruari 2010. Perlantikan telah dibuat sebagaimana pernah ditulis sebelum ini. Pengerusi dan Timbalan Pengerusi dilantik, Tiga AJK Kerja juga dilantik, iaitu bahagian Pelan, Binaan dan Landscaping, bahagian Dana dan bahagian Pendidikan. Kos bagi pembinaan Masjid Al-Umm dibuat anggaran dalam mesyuarat berkenaan ialah RM10 juta (Sebelum dari itu angka yang disebut RM7 juta).

Semua AJK menjalankan tugas dengan baik, kecuali bahagian Pelan, Binaan dan Landscaping yang dilantik tanpa hadir dan tidak pernah hadir selepas itu.

3. Tahap Memungut Derma

Tumpuan kerja pada peringkat ini, ialah memohon keizinan dari pihak MAIS kebenaran memungut derma. Pihak MAIS memberi kebenaran memungut derma pada 10 Februari 2012 dengan Rujukan MAIS/E/MAL/03-2/001/03-1/34. Seramai 10 orang diberi tauliah untuk memungut derma iaitu,

  1. YB. Dr. Shafie Abu Bakar
  2. Mohd Ghazali Abas
  3. Husin Haji Yunos
  4. Mohd Nor Haji Mohd Yasin
  5. Ahmad bin Haji Hasbullah
  6. Omar bin Jaafar
  7. Mohd Kalok bin A. Latiff
  8. Mohd. Said Bin Mohd Yunus
  9. Dr. Tajul Ariffin Noordin
  10. Abdul Rahman bin Daud

Usaha juga dibuat bagi mendapat pengecualian Cukai Pendapatan bagi mereka yang menderma dan memerlukan pengecualian cukai.

Selepas mendapat kebenaran memungut derma dari pihak MAIS ini, usaha yang penting dilakukan yang pernah disebutkan ialah mengadakan Majlis Pelancaran Tabung Masjid Al-Umm, Bandar Baru Bangi yang telah berlangsung pada Sabtu 19 Mei 2012 bertempat di Medan Letak Kereta Jalan ¼ berhadapan dengan tapak Masjid al-Umm Bandar Baru Bangi. Hasil dari pelancaran ini sejumlah RM150,000 dapat dipungut. Selepas itu pemungutan dilakukan dengan berbagai cara antaranya melalui penempatan tabung derma di masjid dan surau-surau, selain dari usaha melalui mereka yang ditauliahkan.


Kerja-kerja menjadi lebih lancar apabila Setiausaha Kerja Mohd. Adham bin Anuar dilantik mulai 16 April 2012 dan Pejabat Masjid Al-Umm mulai digunakan bertempat di sebuah warung di Medan Usahawan berdekatan dengan tapak Masjid Al-Umm. Beliau bersama Tuan Haji Abdul Rahman menguruskan tabung-tabung derma di masjid-masjid dan surau-surau.

4. Tahap Pembersihan Tapak

Selepas urusan di atas dijalankan, maka tahap seterusnya sebagai fasa kedua ialah masuk kepada tahap pembangunan Masjid Al-Umm.

Pembangunan tapak dapat dikira dari pemberbersihan sebahagian daripada tapak masjid. Kerja bagi pembersihan tapak ini dilakukan beberapa kali. Pembersihan awal dilakukan oleh Syarikat Tuan Mohd Said bin Mohd Yunus pada peringkat awal penubuhan AJK (2010), tetapi hanya sebahagian. Pembersihan dilakukan bila hendak dilakukan pelancaran Derma Tabung Masjid Al-Umm dan diikuti dengan pembersihan menjelang Lawatan Tapak dan Kenduri Kampung oleh Y.A.B. Tan Sri Dato` Seri Abdul Khalid Ibrahim Dato` Menteri Besar Selangor dan pembersihan menyeluruh dan memagarinya dengan zink sebelum memilih kontrektor pembinaan Masjid Al-Umm.

Sehingga Majlis Pelancaran Tabung Derma Masjid Al-Umm pihak AJK Pembinaan Masjid Al-Umm belum dapat menggambarkan apakah bentuk Masjid Al-Umm yang akan dibangunkan, tetapi untuk menyediakan buku Pelancaran Derma, maka salah seorang AJK yang dilantik iaitu Yang Mulia Tuan Haji Raja Fuaddin bin Raja Ahmad seorang arkitek dengan Syarikat Arkitek Urusbina Sdn. Bhd. beribu pejabat di Perlis ditugas melakarkan gambaran Masjid Al-Umm yang bakal dibina. Lakaran ini juga digunakan pada buku cenderamata Majlis Pelancaran Derma Tabung Masjid Al-Umm Bandar Baru Bangi.

5. Tahap Proses Mentakmilah Bentuk Masjid

Lakaran ini tentulah mengambil kira dengan keluasan tapak, anggaran peruntukan pembinaan dan keperluan masyarakat setempat. Lakaran yang dibuat oleh Syarikat Urusbina ini tentulah dipengaruhi oleh faktor `interarkitektualiti` yang sedia ada dalam senibina masjid, kalau pun tak ada sebarang kreativiti dan inovasi yang mengistimewa dan membedakannya dari senibina masjid-masjid yang lain yang dapat menjadi identiti bagi masjid Al-Umm.

Berdasarkan lakaran ini juga menjadi asas perbincangan AJK  selanjutnya di dalam mesyuarat-mesyuarat bagi mencari pelan dan bentuk sebenarnya bagi Masjid Al-Umm.
Ianya juga merupakan proses `Takmilah` bagi pembinaan fizikal Masjid berkenaan.

Sekian.

July 24, 2014

`Interarkitektualiti` Dalam Pembinaan Masjid

-->
BBB, 25 Ramadhan 1435 = 23 Julai 2014 (Rabu):

Pembinaan masjid sudah berlaku sejak dari permulaan Hijrah 1435H. yang lalu. Berbagai bentuk binaan masjid yang telah dibangunkan. Pembinaan menurut kesesuaian dan mesra alam setempat. Asas utama ianya adalah mengarah ke Kiblat dan mempunyai ruang untuk solat berjamaah. Untuk Solat Jumaat ruang memuatkan minimum 40 jamaah (menurut Mazhab Shafie). Bentuk binaan menurut kesesuaian alam sekitar, iklim dan budaya setempat. Jika di Alam Melayu pada zaman tradisi dibina dari bahan kayu-kayuan setempat, beratap rumbia (lebih kemudian bata) bertiang dan berbumbung kayu, berlantaikan papan, beruang dalam dengan empat segi memanjang, mempunyai mihrab bahagian hadapan dan mimbar  di bahagian kanan dihadapan.


Jika di kawasan kering tak berhujan seperti di padang pasir dibina dari batu batan, krikil dan batang tumbuhan (khurma). Bangunan-bangunan awal menjadi prototype bagi membangun masjid seterusnya. Ada yang  menonjol dengan masjid dari kayu seperti terbinanya Masjid Demak, di Jawa dan dari batu terbinanya Masjid Umawiyyah di Damsyiq, Masjid Jami` Isfahan dan sebagainya. Dengan perkembangan dan pembinaan masjid yang banyak dan antaranya yang menonjol dengan daya tarikan seninya, setengah berlaku ikutan di samping ada pendekatan baharu. Namun berlaku apa yang kita istilahkan sebagai `interarkitektualiti` dalam pembinaan masjid. Bermaksud dari segi pembinaan sebuah masjid ada berlaku pengaruh dari `senibina` masjid atau masjid-masjid yang lain., di samping ada kreativiti tambahan sendiri. Sebagai contoh Masjid Bertingkat (tompang) di Demak sebagai prototype bagi Masjid Kampung Laut, Nilam Puri Kelantan dengan penambahan dan ciri-ciri persendirian juga Masjid Tuk Tuan Kemaman, bahkan pengaruh dan perubahan dengan yang lebih moden seperti Masjid Dato` Dagang, Kampung Jawa, Selangor, Masjid Permatang, Kuala Selangor. Pada masjid-masjid tradisi berkenaan berlaku pengambilan contoh dan pembaharuan dari tempat lain atau kreativiti setempat. Contoh kalau dahulu menggunakan kayu, tetapi kemudian dengan menggunakan batu (semin) dengan ciri-ciri tradisi dengan beratap tumpang dan tambahan-tambahan yang lain.



Pembinaan masjid-masjid yang lebih baharu juga ada mengambil contoh bahagian-bahagian dari masjid terkenal. Misalnya pintu gerbang bagi Masjid Isfahan amat popular dan menjadi contoh bagi banyak masjid termasuklah Masjid Al-Hasanah Bandar Baru Bangi. Contoh menara di Masjid Sulaimaniyyah di Istanbul Turki menjadi ikutan bagi Masjid Salahuddin Abdul Aziz Shah, di Shah Alam dan berbagai masjid lagi. Begitu juga kubah Masjid Ibn Talun di Mesir itu menjadi ilham bagi pembinaan Kubah Terbesar di Masjid Salahuddin Abdul Aziz Shah. Dan menara ini menjadi ilham bagi pembinaan bagi masjid baik di Selangor dan negeri-negeri yang lain di Malaysia. Tiang-tiang di Masjid Damshiq pada zaman Umawiyyah yang dilengkung dengan `arc` (gerbang), menjadi contoh seni bina bagi Masjid Al-Nabawi, di Madinah kini.

Sesungguhnya pengaruh mempengaruhi, mencontohi sebahagian dan kreativiti bersendirian banyak berlaku di dalam pembinaan masjid. Sesungguhnya bagi mereka yang mengusahakan bagi pembinaan masjid adalah menjadi kebiasaan bagi merangka plan pembangunan masjid mereka melawat ke berbagai masjid bagi melihat contoh yang sebahagian menjadi contoh ikutan, bagi projek pembinaan yang lebih besar tidak jarang AJK tidak saja melakukan lawatan ke masjid-masjid dalam Negara, bahkan keluar Negara. Ini membawa kepada campuran elemen-elemen yang menjadi tarikan sebagai bahan bagi pembinaan masjid yang mau didirikan. Sebenarnya akhirnya tidak diketahui yang mana mempengaruhi dan dipengaruhi. Contohnya pada kubah, menara, mihrab, pintu gerbang, pintu-pintu bagi masjid dan sebagainya. Pengambilan berkait dengan elemen takmilah dalam mencari terbaik menurut kemampuan. Campuran dari berbagai elemen sebagai kesatuan adalah juga merupakan pencarian dari segi Takmilah bagi mendapat kesempurnaan dan keindahan

Dari interarkitektualiti membawa kepada apa yang kita dapat mencirikannya sekurang-kurang kepada dua kategori masjid dari segi interarkitektualiti, iaitu:


Ciri Khusus, bermaksud masjid-masjid yang memulakan ciri tertentu yang mengistimewakan dirinya dengannya dan menjadi identitinya. Misalnya Masjid Demak di Jawa. Keistimewaannya kerana ketuaannya dan terawal setakat diketahui dan ciri senibinanya unik dengan beratap tumpang. Ianya menjadi contoh bagi  bangunan masjid yang diikuti kemudiannya. Contoh bangunan Masjid Umawi di Damshiq yang tua dan menjadi contoh bagi masjid-masjid lain contoh bagi tiang dalam Masjid Nabawi kini. Dapat juga diambil conto m,asjid kini seperti Masjid Salahuddin dengan kubah terbesarnya yang menjadi identity bagi masjid itu dan menjadi ikutan dari segi kubah bagi pembinaan masjid di tempat-tempay yang lain.

Ciri Umum ialah masjid-masjid yang lain yang banyak terdapat di Negara-negara Islam, termasuk di Malaysia yang jumlahnya begitu banyak yang senibinanya lebih kurang sama identity adalah sama dan tidak begitu berbeza antara satu sama lain dari segi interarkitektualitinya, tetapi melihat kepada bentuk binaan orang segera mengenali bahawa itu adalah masjid.

Sekian.

July 23, 2014

Kebersihan Dan Sekitaran Masjid

-->
24 Ramadhan 1435 = 22 Julai 2014 (Selasa):

Masjid dapat juga dikatakan tempat membersih jiwa dari kekotoran kejahilan, kekejian akhlak dan keburukan amalan, iaitu melalui pengajian dan mendekati diri kepada Allah melalui ibadat. Masjid sebagai institusi yang membersih akal, jiwa dan peribadi hamba, sepatutnya juga bersih dari segi fizikal dan keadaan sekitarnya, lantaran kebersihan adalah tuntutan Islam dan tuntutan segala budaya. Dengan itu masjid seharusnya menawarkan pakej yang lengkap dari segi lahiri dan maknawi.


Islam menekankan kebersihan dalaman dan luaran. Bagi menyediakan infra-struktur kebersihan yang mana seseorang perlu suci dari hadath kecil dan besar, perlu bersih diri dari najis dan kotoran sebelum memasuki masjid, maka keperluan berwudhu` sebagai satu cara membersih diri, masjid menyediakan tandas dan tempat wudhu` itu sendiri.
Dari segi arkitektur bahagian bangunan tempat membuang air besar dan kecil seharusnya terasing dari bangunan masjid dan berada pada bahagian belakang. Ini adalah untuk mengelak dari terbawanya pencemaran dari bilik membuang air kecil dan besar ke bahagian masjid. Dengan pengasingan memerlukan seorang ke tandas memakai selipar dan membasuh kakinya sebelum melangkah ke masjid. Adapun tempat wudhu` boleh pada bahagian belakang (sebelum tandas) dan kiri kanan masjid secara teratur dan kelihatan bersih.


Untuk bahagian menguruskan jenazah, kebanyakan masjid memperuntukkan ruang (bilik jenazah) dibelakang di dalam masjid beserta tempat mandi dan lain-lain keperluan bagi menguruskan jenazah. Tapi ada pihak yang mau menjaga lebih kebersihan dalaman masjid yang membina bilik bersebelahan masjid dan tidak sebahagian dari masjid. Ini juga bagi memelihara masjid dari kotoran dari pembersihan dan pemandian jenazah. Ini bukan bererti tidak menghormati mayat, sebaliknya dengan adanya bangunan dan bilik khas kehormatan mayat dapat dijaga dari diperhati atau diintai oleh yang datang ke masjid, lebih-lebih lagi jika mayat perempuan dan pengurus-pengurus perempuan yang tidak manis berada berdekatan jamaah lelaki.


Masjid juga sering menganjurkan majlis-majlis kenduri, akikah, jamuan dan memasak dalam kawasan masjid, termasuk yang mengadakan jamuan kahwin dalam kawasan masjid, setengahnya melibatkan masakan, bahkan ada program masakan mingguan seperti bubur lambuk pada hujung-hujung minggu bulan Ramadhan, jika berterusan dan kurang kawalan kebersihan menyebabkan kurang terkawalnya kebersihan, apa lagi jika penyembelihan dilakukan di dalam kawasan masjid. Semuanya bukanlah kesalahan, tetapi perhatian perlu diambil agar kawasan masjid kelihatan bersih sama dengan harapan agar minda-jiwa-amal sama bersih.


Masjid bolehlah disifatkan sebagai taman ilmu yang pengunjung-pengunjung datang memilih dan memetik bunga dan buah pengajaran yang disampaikan oleh guru-guru dari masa ke masa dan berterusan. Sebagaimana menjadi harapan bersih-minda-jiwa-amal beserta dengan bersih sekitaran masjid, maka ibarat keilmuan diajar guru-guru yang bunga, buah dari tamannya dapat dipetik, maka alangkan indahnya konsep `Taman` tidak saja ditasybih kepada ilmu-ilmu diajar guru, tetapi suasana keliling masjid dan di mana ruang-ruang bersesuaian ditanam dan dihias dengan taman bunga yang segar dan menarik pandangan, sesuai pula taman yang bukan saja taman yang bersifat tasybih secara bandingan, tetapi benar-benar berhimpun antara taman bunga maknawi bersama taman bunga lahiri yang mendapat berkat dan rahmah.

Fizikal bangunan masjid, seharusnya tidak saja dijaga dari segi dalaman, tetapi juga bahagian luaran. Telah diperkatakan bahawa masjid di negeri dan di Negara kita tidak sesuai dengan bangunan rumah batu yang dibina secara bersutuh bahagian atas (rata bahagian atas) kerana  kawasan kita adalah berada di dalam kawasan khatulistiwa yang banyak mengalami hujan. Kalau binaan masjid kawasan kita meniru bulat-bulat binaan masjid di kawasan padang pasir yang kurang menerima hujan, akibatnya bangunan di tempat kita akan terdedah kepada hujan panas yang boleh berkulat dan berdaki. Sebab itu bangunan masjid tempat kita seharusnya beratap yang cucur atapnya seharusnya melindungi dinding daripada ditimpa hujan. Dengan ini mengelak bangunan dari comok dan kotoran asap dan sebagainya yang turun bersama hujan. Masjid yang sesuai dengan iklim tempatan, unik dan lain dari masjid-masjid yang lain ialah Masjid Negara yang mempunyai atap terbuka bagaikan paying besar yang dapat melindungi bahagian utama bawah dari hujan panas. Masjid ini mempunyai menara, tetapi tidak mempunyai kubah. Masjid menjadi syiar Negara, negeri dan tempatan, seharusnya ianya menarik  dan bersih, sesuai ianya institusi dihormati

Pendek kata masjid dan surau kita adalah rumah kedua bagi sebahagian daripada kita, sebagaimana kita beri perhatian pada kebersihan rumah kita dan menghiasinya dengan taman-taman hendaknya kita sama kasih dan mesra dengan masjid dan surau. Biarlah masjid dan surau kita sebagai taman ilmu yang berada di taman bunga nyata yang menyedapkan hati, minda dan mata.

Sekian.

July 22, 2014

Pintu Ke Ruang Terbuka Masjid

-->
BBB, 23 Ramadhan 1435 = 21 Julai 2014 (Isnin):


Konsep masjid seharusnya sentiasa terbuka bagi membolehkan sesiapa datang untuk beribadat tanpa kira masa. Tetapi di sebalik ideal sedemikian ada masalah-masalah. Di dalam masjid ada barang-barang berharga, walaupun tidak mahal, kadang-kadang jadi mangsa kecurian, termasuk tong derma. Sebab itu di luar dari masa kunjungan, jika tidak ada penjaga, maka perlu ditutup. Dalam masa biasa pun bahan-bahan berharga disimpan di dalam kamar bersebelahan mihrab. Kalau kita lihat Masjidil Haram, walaupun dikunjungi berterusan ada juga pintu-pintu, demikian juga Masjid Madinah.


Pintu selain dari digunakan untuk keselamatan mempunyai fungsi yang lebih dari itu.
Adanya pintu memberi keselesaan bagi jamaah bila pintu dibuka udara bersih dapat keluar masuk, kecuali masjid yang menggunakan penghawa dingin sepenuhnya. Selain daripada itu dapat menjimatkan tenaga letrik, kerana dengan membuka pintu cahaya dapat masuk dengan bebas.

Pintu selain daripada tugasnya membuka dan menutup ada fungsi estetiknya. Pintu tidak setakat pintu bangunan masjid, tetapi juga pintu bagi kawasan. Kalau kita lihat pintu utama untuk memasuki kawasan Masjid Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam tiang bagi pintu begitu artistic. Setiap tiang yang berjumlah gasal itu di atasnya dikembangkan bagai tangan orang yang sedang berdoa yang mencetuskan ketenangan dan kekhusyukan yang sekaligus mengingatkan, masuk ke dalam kawasan masjid hendaknya secara berniat baik, seharusnya untuk membuat ibadat dan mendapat ketenangan. Tiang-tiang masuk ini kelihatan seperti berkeliling yang menjadi kita tidak pasti yang mana bermula dan yang mana berakhir. Ia merupakan ilham dan imaginasi arkitek tentang falsafah ketauhidan Tuhan Yang Maha Esa yang tidak mempunyai awal dan tidak mempunyai akhir. Tiang yang berbentuk tangan menengadah ini merupakan identiti tiang-tiang di masjid berkenaan contoh bahagian belakang masjid dengan antara bahagian tempat wudhu`.


Tanpa mengkhususkan kepada Masjid Salahuddin Abdul Aziz Shah, tetapi merupakan ciri-ciri pintu-pintu masjid, baik pintu besar atau yang kecil, maka daun-daun pintunya bersifat bulat-bujur memanjang ke bawah yang mencerminkan tunduk khudhuk yang melambangkan kepatuhan dan kekhusyukan di dalam ibadat dalam mendepani Allah Ta`ala. Ianya berbeza dari yang tegak secara empat segi ke bawah yang ketara memberi tanggapan lebih kasar dan kurang secocok dengan suasana di dalam sebuah masjid.
Memasuki ke masjid dari mana ruang sekalipun, adalah memasuki ruang terbuka yang dihampar tikar dan sajadah atau terus berlantaikan karpet sebagai sajadah.

Ruang terbuka `qa`ah` layak bagi sesiapan jamaah lelaki berada di bahagian paling hadapan tanpa mengira kedudukan. Mungkin dari satu segi mencerminkan sifat demokrasi di dalam Islam yang tidak mengambil kira dari segi kedudukan dan pangkat seseorang. Apa yang digalakkan di dalam Islam agar seseorang jamaah berawal ke masjid dan berada di bahagian hadapan lebih aula. Bahkan maksud Hadith, jika seseorang itu tau akan fadilah berada di bahagian saf hadapan, nescaya dia mau diundi, maka dia memilih untuk diundi. Dari segi hikmah pun berada di bahagian hadapan dan datang awal, kurang gangguan kesebokan dan tumpuan kepada beribadat lebih tinggi dan lama masa daripada datang secara kemudian.

Pada bahagian ruang terbuka terdapat mihrab yang bentuknya bulat-bujur berada pada bahagian hadapan dari bangunan. Fungsi awal bagi mihrab sebagai panduan mengarah kiblat dan tempat imam memimpin jamaah bersolat dan berhampiran juga dengan mimbar yang fungsi awalnya menjadi tempat yang lebih tinggi bagi khatib menyampaikan khutbah agar mudah dilihat oleh jamaah dan khatib sendiri dapat memandang jamaah secara lebih meluas. Mimbar selalunya dibuat dari kayu yang berukir awan larat dari elemen tumbuhan. Jika menggunakan hiasan ayat Qur`an maka pada bahagian atas.


Pada ruang masjid, terutama pada bahagian hadapan, tidak digalakkan menggunakan dekorasi dan hiasan yang terlampau banyak dan terlampau mewah, kerana boleh mengganggu konsentarasi dan kekhusyukan jamaah dalam beribadah, khususnya solat. Hiasan-hiasan digunakan biasanya pada bahagian atas dan keliling atas ruang masjid dihiasai dengan ayat-ayat Qur`an yang berhubung dengan masjid, berhubung dengan solat dan ingatan-ingatan yang menggalakkan diri untuk lebih dekat kepada Allah. Contoh sedemikian dapat dilihat pada Masjid Negara, Kuala Lumpur dan di masjid-masjid yang lain.


Di dalam hal dekorasi dan hiasan ini, perlu menjaga prinsip Islam, bahawa seni termasuk sastera dan seni-seni yang lain – termasuk Takmilah bahawa ianya jangan sampai melalaikan (Al-Syu`ara`: 224-227). Seni memang dicipta Allah, semua kejadian ciptaanNya adalah indah. Seni keindahan menenangkan, seharusnya ianya menjadikan kita kagum dan membesarkan Allah !

Sekian.