November 24, 2014

Al-Qur`an Kitab Tuhan Pemilik Sekalian Alam


BBB, 30 Muharram 1436 = 23 November 2014 (Ahad):
Menyebut Al-Qur`an, sebenarnya tidak perlu dikaitkan dengan pengenalan yang lain, lantaran ianya begitu makruf sebagai Kitab Suci Islam yang dapat dimanfaat bukan saja oleh orang Islam, tetapi juga oleh alam seluruhnya – termasuk bagi yang bukan Islam. Namun al-Qur`an sendiri menisbahkan dirinya sebagai  Qur`an Mubin (Al-Hijr: 1), Al-Qur`an Al-Azim (Al-Hijr: 87), Al-Qur`an Al-Hakim (Yasin: 2), Al-Qur`an Al-Majid (Qaf: 1),Qur`an Karim (Al-Waqi`ah: 77) Qur`an Majid (Al-Buruj: 21), Qur`an Arabiyyan  (Taha: 113 & Al-Zumar: 28 & Fussilat: 3 & Al-Shura: 7 & Al-Zukhruf: 3).
Al-Qur`an  yang terhimpun di dalam 114 surah itu, menurut perhitungan yang umum menurut Hamka di dalam Tafsirnya berjudul Tafsir Al-Azhar ialah berjumlah 6,236 ayat. Bermula turun dengan ayat Surah Al-`Alaq  - Iqra` (Al-`Alaq: 1 – 5) dan berakhir dengan ayat (Al-Ma`idah: 3) yang diturunkan pada Hajjatul Wada`.


(Hamka, Tafsir Al-Azhar, Jil. 1, Pustaka Nasional PTE Ltd. Singapura, 2001: 7)
Penisbahan juga dibuat menurut bidang yang menjadi tumpuan pengkaji secara releven . Misalnya Qur`an Kitab Perlambagaan Umat Islam bagi yang mengkaji dan cenderung melihat dari segi perlembagaan dan memangnya wujud ayat-ayat yang menyebut aspek-aspek perlembagaan khusus. Ada yang mengkaji tentang pertunjukan-pertunjukan dari Al-Qur`an dan menyebutnya sebagai Kitab Hidayah (Al-Baqarah: 2), bahkan bagi yang meminati mengkaji tentang bahasa dan sastera milihatnya sebagai sumber bahasa dan sastera, bahkan ianya sumber bagi semua bidang ilmu. Kata Abdul Rahman Jalaluddin bin Abi Bakr al-Sayuti al-Shafie (m.991H.) di dalam kitabnya berjudul `Al-Itqan fi `Ulum Al-Qur`an:
``Dan Kitab kita Al-Qur`an Dia adalah tempat sumber ilmu pengetahuan dan membuak dengannya, daerah matahari ilmu dan tempat naiknya, Allah Ta`ala melahirkan darinya ilmu bagi setiap suatu dan ternyata padanya pertunjukan dan panduan, maka engkau lihat setiap bidang pelajaran didapat daripadanya dan kepadanya menjadi pegangan.``
(Jalaluddin Abdul Rahman Al-Sayuti, Al-Itqan fi `Ulum Al-Qur`an, Dar al-Kutub al-Ilmiyyah, Beirut, Lubnan, 1424=2003: 9).
Al-Qur`an adalah sumber segala ilmu pengetahuan. Ada yang membandingkan ianya sebagai `Alam Kecil` yang mengandungi di dalamnya maklumat segala alam  sebagai`Alam Besar`.  Setiap bidang yang dikaji boleh didapat daripadanya. Kata Jalaluddin al-Sayuti lagi:
``Para fuqaha` menmgambil istinbat daripadanya hukum-hukum, dikeluarkankan daripadanya hukum halal dan haram, pakar bahasa membina daripadanya kaedah-kaedah i`rabnya, dirujuk kepadanya  bagi diketahui salah bahasa dari benarnya, pakar bidang Bayan mendapat pertunjukan daripadanya  tentang keelokan susunan kalam, mengambil iktibar daripadanya  kaedah-kaedah balaghah dan jenis kalam, padanya  kisah-kisah dan berita-berita yang memberi  ingatan kepada mereka yang bermata hati. Padanya nasihat dan tamsil ibarat kepada yang mempunyai fikiran dan mengambil iktibar dan ilmu berbagai yang tidak diketahui had batasnya, kecuali oleh yang pakar  di dalam bidangnya.``
(Jalaluddin Abdul Rahman Al-Sayut, 1424/2003: 9).
Lantaran Al-Qur`an menjadi sumber  keislaman dan  ilmu pengetahuan, maka Saidina `Uthman bin Affah r.a. meriwayatkan daripada Nabi s.a.w bersabda bermaksud:
``Sebaik-baik kamu ialah orang yang belajar Qur`an dan mengajarkannya.``
(Ibn Kathir Al-Hafiz, Kitab Fada`il Al-Qur`an, Dar al-Qiblat al-Thaqafah al-Islamiyyah, Jeddah, 1408/1988: 104).


Al-Qur`an adalah disifatkan sebagai Mu`jizat Utama bagi Rasulullah s.a.w. baik dari segi kepelbagaian  ilmunya, bahkan dari bahasa dan sasteranya. Menurut catatan Hamka.
``Maka menjadi kepercayaanlah bagi seluruh bangsa Arab, selama 14 abad hingga sekarang bahawa mereka tidak sanggup menyusun lagi kata lain untuk menandingi balaghah dan fasahah Al-Qur`an. Kelemahan meniru itu bukan kerana dilarang, bahkan ditantang supaya dicuba. Maka Al-Qur`an itu sendirilah yang mengelukan lidah dan tangan orang buat menirunya. …
Seorang Ahli Bahasa yang besar, Sasterawan Terkemuka di zaman Nabi iaitu Al-Walid bin Al-Mughirah seketika diminta oleh Abu Jahal (musuh Islam), bagaimana kesannya tentang susunkata Al-Qur`an itu telah menyatakan, ``Demi Allah tidak ada di kalangan kita yang sepintar saya menilai syair-syair yang mengenai Rajaznya dan Kadhibnya. Demi Allah apa yang diucapkan oleh Muhammad itu tidak dapat diserupakan dengan sembarang syairpun. Demi Allah kata-katanya ini manis didengar, indah diucapkan, puncaknya menimbulkan buah, dasarnya memancarkan kesuburan. Perkataannnya selalu di atas dan tidak dapat diatasi, dan yang dibawahnya  mesti hancur dibuatnya.``
(Hamka, Tafsir Al-Azhar, 2001: 14).
Al-Qur`an adalah Kalam Tuhan sekalian alam yang membicarakan kesegalaan. Darinya bidang-bidang keilmuan Islam lahir dan terus menjadi kajian,keindahannya terus digali dan menjadi sumber sastera dan bahasa  daripadanya juga menjadi sumber bagi kajian ilmu-ilmu sains moden dan berapa pula dari pengkaji-pengkaji yang menerima Islam kerana mendepani kebenaran Al-Qur`an. Al-Qur`an adalah Kalam Tuhan Rahmat kepada sekalian Alam.

Sekian.

No comments:

Post a Comment