BBB, 16 Muharram 1436 = 09 November 2014 (Ahad):
Dalam Ucaputamanya, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja
Dato Paduka Seri Setia Dr. Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned Mufti Kerajaan
Negara Brunei Darussalam menggalurkan
tentang Kanun Jenayah Syariah di Negara Brunei. Menurutnya,
Undang-Undang Islam telah mula digunakan di Brunei sejak 600 tahun dulu, iaitu
sejak bermulanya pemerintahan kesultanan Brunei dengan pemerintahan Sultan Muhammad Hassan (1582-1598M.). Zaman pemerintahan Sultan Jalil Al-Akbar
adalah zaman mula diperkenalkan `Hukum Kanun Brunei` (1047H.). Ia adalah undang-undang bertulis
pertama bagi Hukum Kanun Brunei.
Hukum Kanun Brunei ini mengandungi 29 fasal berasaskan Hukum
Kanun Islam. Hukum Kanun ini ringkas, tetapi meliputi aspek-aspek jinayah,
qisas dan ta`zir. Pemerintahan berdasarkan Hukum Kanun Jenayah ini berterusan
sehinggalah 1871 bila campurtangan British berlaku.
Beberapa bukti disebut oleh Pengucaputama tentang perjalanan
hukum syariah ini misalnya:
Konsul General British S. Streacher menyebut, bahawa
undang-undang Brunei berasaskan kepada Al-Qur`an. Misalnya peristiwa seorang
pencuri mencuri tali tangan emas dan selaras senapang. Kes dibawa ke pengetahuan
Sultan. Baginda amat merka. Penyiasatan dibuat dan pencuri dapat ditangkap dan
pembicaraan dilakukan. Keputusan dihukum potong tangan. Streacher juga,
menyebut tentang perompak yang dapat ditangkap dan dihukum mati. Perompak
berkenaan dikatakan adalah anak seorang pembesar yang disayangi Sultan. Namun
tidak ada tolak ansur dan pilih kasih di dalam menjalankan hukuman. Menurut
Pengucaputama, `` Terbukti dari segi sejarah bahawa Kanun Jenayah Syariah
berkuatkuasa di Brunei.``
Pengisytiharan Kanun
Jenayah Syariah pada 2013 adalah
merupakan perkembalian setelah menghadapi gangguan.
Menurutnya pengisytiharan adalah berdasarkan:
Keimanan dan tanggungjawab Pemerintah melaksanakan hukum
Allah. Ini membuktikan Pemerintah gagah
perkasa berdepan makhluk, tapi tunduk patuh di hadapan Khalik (Allah).
Berani berhadapan
musuh, tetapi penakut di hadapan Allah.
Pengucaputama menrujuk kepada Kanun Jenayah Syariah Brunei di bawah
pemerintahan Ke Bawah D.Y.M.M. Sultan Hasanul Bulqiah Ibn Sultan Ali Nuruddin
yang digezetkan pada 15 Mac 2011, bahawa penggezetan atas kesedaran dan tanggungjawab terhadap perintah Allah dan mencari keredaan
Nya. Tidak tergolong di dalam kategori sebagaimana
firman Allah yang bermaksud;
Dan siapa yang tidak berhukum dengan apa yang diturunkan
Allah, maka mereka itu dari kalangan orang kafir (Al-Ma`idah: 44)
Dan siapa yang tidak berhukum dengan apa yang diturunkan
oleh Allah, maka mereka itu dari kalangan orang yang zalim (Al-Ma`idah: 45)
Dan Barang siapa yang tidak berhukum dengan apa yang
diturunkan oleh Allah maka mereka itu dari kalangan orang yang fasik
(Al-Ma`idah: 47).
Tujuan digezetkan Kanun Jenayah Syariah agar semua pihak
beroleh keadilan yang tidak boleh
dibahas dan tawar menawar. Sebagaimana firman Allah bermaksud:
``Dan apabila kamu berhukum
di antara manusia, maka hendaklah kamu berhukum dengan adil (``
(Al-Nisa`: 58).
Pengucaputama bertanya, ``Bagaimana hendak berhukum dengan
adil ?
Beliau menjawab, ``Hendaklah melalui undang-undang.`` Tanyanya lagi,
``Bagaimana mendapatkan undang-undang ?`` Jawabnya,
``Hendaklah digubal akta bagi undang-undang tersebut`.
Menurutnya `Akta` adalah panduan dan jalan bagi proses undang-undang.
Tanpa akta tidak ada panduan undang-undang.
Kata Pengucaputama, ``Inilah Brunei lihat. Ini adalah
sebagai kewajipan yang tidak boleh ditepis dan dielak lagi.``
Tambah Pengucaputama, ``Penggunaan Kanun Jenayah Syariah di
Brunei ini tidak harus dirisau oleh mana-mana pihak.`` Beliau menegaskan,
``Undang-Undang Allah itu indah dan keindahannya makin
menyerlah, sebagaimana indahnya yang
kini masyarakat antarabangsa melihat dan mula memahami aspek- aspek dari bidang ekonomi Islam seperti
Islamic Banking, takaful dan al-rahn. Seharusnya mereka juga memahami dari segi
keadialan Islam.``
Sekian.
No comments:
Post a Comment