November 8, 2014

Kanun Jenayah Syariah Antara Positif Dan Skeptis


Shah Alam,  13 Muharram 1436 = 06 November 2014 (Khamis):
Seharian mengikuti Multaqa Sultan Sharafuddin Idris Shah yang memfokuskan seminar dan Perbincangan, termasuk Forum tentang  `Kanun Jenayah Syariah`, Penulis mengambil kesimpulan, seminar mencetuskan dua aliran pendapat, iaitu ` Alirin Positif dan Aliran Skeptis`.


1)       Aliran Positif
Aliran Positif adalah meyakini bahawa `Kanun Jenayah Syariah` boleh diamal dan dilaksanakan. Ini terbukti dari Ucaputama yang disampaikan oleh Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia Dr Ustaz Haji Awang Aziz bin Juned Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam.
Keyakinan berdasarkan sejarah yang dilalui Negara Brunei melalui pemerintahan Raja-Rajanya yang menjalankan pemerintahan berdasarkan undang-undang Islam yang menurut Pembentang sejak 600 tahun yang lalu.
Ini disokong dengan kajian akademik yang dilakukan oleh Penyampai Ucaputama bagi ijazah kedoktoran beliau dan kajian beliau telah diterbitkan dalam bentuk buku dalam dua versi, versi bahasa Melayu dan versi berbahasa Inggeris dan telah diulang cetak sebanyak 3 kali.( Maklumat ini menggerak naluri Penulis untuk membeli buku berkenaan dan bertanya kepada pihak yang menjual buku di luar majlis untuk membelinya. Menurut penjual tidak ada dijual dan pihak penjual menunjukkan senarai orang-orang yang telah meninggalkan nama untuk mendapatnya selepas diusaha  memesan buku tersebut. Oleh kerana cawangan syarikat penjual buku berkenaan ada di Bangi, maka Penulis turut mengorder buku berkenaan dan akan mendapatkannya di Cawangan Bangi bila buku tersebut sampai).
Keyakinan diperkukluhkan lagi hasil dari kajian, kini Kanun Jenayah Syariah ini mulai diimplimentasi di Negara Brunei Darussalam. Hasil dari kajian dan implimentasi kini dibentangkan oleh Pengucaputama melalui  Ucaputama yang disampaikan.
Ucaputama berkenaan  diperkukuh dengan  kertaskerja `Kanun Hukum Jenayah Syariah: Perlaksanaan Dan Cabaran`` dibentangkan berikut dari Ucaputama. Kertaskerja dibentangkan oleh Yang Mulia Tuan Haji Mohammad Yusree bin Haji Junaidi (Penolong Peguamcara Negara), Jabatan  Peguam Negara Brunei Darussalam.
Perjalanan Hukum Jenayah Syariah ini berlangsung secara serentak antara Syariah dan Sivil menurut keutamaan dan kesesuain, namun tidak terlepas dari cabaran yang dihadapi


2)      Aliran Skeptis
Aliran Skeptis dapat ditarik kesimpulan dari Forum sebelah petang  dari jam 2.15 petang hingga 5.00 petang berjudul:
``Kanun Jenayah Syariah Dari Perspektif Perlembagaan & Masyarakat Majmuk Di Malaysia``.
Panel bagi forum ini ialah:
Ybhg. Prof. Ameritus Dato` Dr. Mahmood Zuhdi bin Hj. Ab. Majid Dekan di ISTAC dan
Ybhg. Prof. Madya Dr. Sham Rahayu binti Ab. Aziz Felo Undang-Undang  di IKIM yang dipinjam oleh UIAM. Moderator ialah Tuan Haji Mohd. Zamri bin Mohd Shafiq dari Ilim yang dalam pendahuluannya menyatakan  bahawa beliau adalah berguru kepada Prof. Emeritus Dato` Dr. Mahmood Zuhdi.
Maksud `Skeptis`, bahawa tidak ada seorang pun daripada dua ahli panel dalam forum `Kanun Jenayah Syariah Dari Perspektif Perlembagaan & Masyarakat Majmuk Di Malaysia` menolak  Kanun Jenayah Syariah dilaksanakan di Malaysia. Tetapi merujuk kepada pendapat Prof. Emeritus Dato` Dr Mahmood Zuhdi, jika merujuk kepada anekmen  Kanun Jenayah Syariah versi Terengganu dan Kelantan beliau menganggap sebagai tidak sesuai. Menurutnya  sumber ambilan didasarkan kepada situasi zaman Baghdad (Abad  9M.) yang aplikasinya sesuai dilaksanakan pada masa itu, sedangkan situasi kini di Malaysia, lebih-lebih lagi dalam masyarakat majmuk memerlukan olahan dan tafsiran fiqh syariah semasa. Itu antara inti pendapatnya. Prof. Emeritus  dengan penuh sedar menyatakan, `Sudah pasti pendapatnya tidak menyenangi banyak pihak dan tidak popular. Namun itulah pendapatnya.
Prof Madya Dr, Sham Rahayu juga, tidak menolak dari perlaksanaan Kanun Jenayah Syariah di Malaysia dengan ` tetapinya`, dengan melihat kepada situasi masyarakat di Malaysia  dan menafsirkan perkara tiga (Article 3: Islam is states by Article 3 to be the religious of the Federation) dan tidak semua  apa yang di dalam mahkamah civil adalah secular, contoh persoalan rasuah. Sebab itu perlu penyelarasan. Menurutnya yang menjadi stigma ialah pelabelan. Apa yang diberi penekanan dalam undang-undang ialah `Keadilan` Dalam kata lain perlaksanaan Kanun Jenayah Syariah` perlu penyesuaian dalam konteks  masyarakat Majmuk  Malaysia yang berbilang kaum, budaya dan adat resam.
Sebenarnya dalam forum ini patut disertakan seorang lagi panel, iaitu bukan ahli akademik agar dapat mengimbangi atau menolak setengah pendapat  panel.  Panel sepatutnya dari orang politik, walaupun Prof. Emeritus berpendapat, `orang politik boleh merosakkan bila berbincang mengenai topik`, agar pandangan tidak bersifat sebelah pihak dan lebih seimbang. Sememangnya pada asalnya tiga ahli panel, tetapi  Ybhg. Dato` Faiza bin Tamby Chik tidak dapat datang - Pengamal Undang-Undang.
Namun pandangan kedua panel, tidak semua diterima, bahkan mendapat sanggahan dari khalayak hadirin termasuk ahli-ahli politik yang turut sama hadir.

Sekian.

No comments:

Post a Comment