BBB, 5 Safar 1436 = 28 November 2014 (Jumaat):
Kertas ini dibentangkan oleh YBhg. Prof. Dato` Dr. Yaacob
Harun dari Universiti Malaya sebagai kertas pertama selepas Ucaputama dalam
Seminar Pantang Larang Masyarakat Di Selangor anjuran Perbadanan Adat Melayu
& Warisan Negeri Selangor di Muzium Sultan Alam Shah, Shah Alam pada Selasa
2 Safar 1436 = 25 November 2014. Menurut Prof. Yaacob, sungguhpun
pantang larang berfokus kepada Negeri Selangor sebenarnya pantang larang berkenaan mencerminkan pantang orang Melayu di Malaysia
oleh kerana pantang larang ini tersebar luas, lagi pula menurutnya Selangor
yang mempunyai penduduk 5.4 juta orang (statistic 2010) adalah dihuni oleh penduduk dari
berbagai negeri di Malaysia yang mempunyai ciri budaya tidak begitu berbeza.
Oleh itu pantang larang yang dikaitkan dengan Selangor pada umumnya merupakan
pantang larang orang Melayu di negeri-negeri
lain di Malaysia. Dari segi antropologi dan sosiologi pantang larang dikenali
sebagai `taboo`
Menurut Prof. Yaacob, pantang larang atau taboo ialah,
``Satu manifestasi pandangan alam atau weltanschauung/worldview sesuatu
masyarakat, dan world view itu pula dilihat dari aspek-aspek kepercayaan,
pengetahuan, falsafah, dan system nilai dan norma. Perkara-perkara ini
diterjemahkan atau dizahirkan dalam bentuk amalan (pantang larang) anggota
masyarakat tersebut dalam berbagai bidang kehidupan`` (hlm. 3).
Dengan melihat bahawa orang Melayu di Selangor seluruhnya
beragama Islam – Menurut takrifan perkara 160(2) Perlembagaan, maka pada dasarnya orang Melayu tidak bertindak
dan melakukan sesuatu yang bertentang dengan ajaran Islam. Mereka tidak
melanggar prinsip akidah dan hukum syarak
dari segi hukum wajib, haram makruh, sunat dan harus.
Pembentang meletakkan beberapa contoh dari segi kategori
haram:
a)
Dari segi ekonomi haram melakukan riba, judi dan
mencuri
b)
Dari segi politik haram melakukan penyalahgunaan
kuasa, pecah amanah dan rasuah
c)
Permakanan haram memakan daging khinzir, anjing
dan meminum minumana keras
d)
Pakaian seperti mendedahkan aurat dan melanggar
batas jantina
e)
Pergaulan seperti sumbang muhram dan
bersekedudukan (tanpa kahwin).
Orang Melayu menurut pembentang masih lagi mengamalkan
berbagai pantang larang sebagai warisan
seperti kepercayaan pada supernatural, hantu, semangat, penunggu, toyol dan pelesit. Ini tercermin dari pantang
larang berikut:
a)
Jangan makan waktu senja nanti semangat padi
hilang
b)
Jangan ketawa waktu maghrib, nanti hantu datang
c)
Jangan kencing berdiri, nanti punggung dijamah
hantu
d)
Jangan tidur selepas makan, nanti ditindih hantu, dan
e)
Jangan mengambil batu atau benda ganjil di
hutan, takut berpenunggu.
Antara larangan berkisar pada factor alam seperti:
a)
Jangan tidur di atas pokok nanti di makan
langsuir
b)
Jangan potong kuku waktu malam nanti pendek
umur.
Ada bertujuan untuk mengelak dari musibah, contoh:
a)
Jangan menyapu nasi pada waktu malam, nanti
pendek rezeki
b)
Jangan berjalan jauh pada hari Rabu akhir bulan
nanti mendapat kecelakaan.
Antara larangan ada yang dituju khusus seperti kepada ibu
mengandung:
a)
Jangan mencederakan binatang, nanti anak yang
dilahirkan menjadi cacat
b)
Jangan makan sotong nanti anak yang lahir
tercerai tali perut
c)
Jangan memaku dan memahat, nanti anak terbelah
bibir.
Antara larangan ditujukan kepada perempuan seperti:
a)
Jangan bagun lewat nanti sukar mendapat jodoh
b)
Jangan menyanyi di dapur nanti mendapat jodoh
dengan orang tua
c)
Jangan makan bertindih pinggan nanti jadi madu
orang.
Ada pantang larang ditujukan kepada anak-anak seperti
a)
Jangan keluar di waktu senja nanti disorok hantu
b)
Jangan angkat kaki waktu meniarap nanti emak
mati
c)
Jangan gigit kain nanti gigi berulat
d)
Jangan panjat tiang nanti terbantut pembesaran
e)
Jangan makan berlunjur nanti jadi pemalas
Pantang larang pada dasarnya mempunyai fungsi pendidikan
kepada golongan tertentu. Kalau dilarang secara langsung mungkin tidak
dipatuhi, tetapi bila disertai dengan akibat dan ancaman menimbulkan gerun dan takut menyebabkan mereka yang ditujukan
larangan meninggalkan larangan, kerana takut menerima akibat dan balasan. Walau
bagaimana sebahagiandari pantang larang sudah tidak releven dan tidak diterima sebagai logic
dan menganggapnya sebagai warisan kepercayaan masyarakat tradisi semata-mata.
Kesimpulan pantang larang adalah merupakan mekanisme pendidikan
pada zaman tradisi. Larangan meningkat kepada kepercayaan, lantaran itu
dipatuhi. Sebahagian dari larangan masih releven, tetapi sebahagian tidak lagi
sesuai. Walau bagaimana pantang larang mencerminkan kehidupan sosio-budaya
masyarakat tradisi yang menarik untuk dikaji.
Sekian.
No comments:
Post a Comment