BBB, 27 Muharram 1436 = 20 November 2014 (Khamis):
Dalam satu kawasan yang terhad keluasannya dengan jumlah
penduduk yang juga terhad dengan
masyarakat yang homogenus sifatnya pada
zaman tradisi yang mungkin dikenali dengan desa, kampung dan sebagainya, maka
kependudukan sedemikian memerlukan kepimpinan bagi mengatur
aturan, keperluan-keperluan masyarakat dan mengatasi
permasalahan-permasalahan seperti penyakit, kemiskinan dan pengagihan sumber
pendapatan. Kepimpinan dalam masyarakat tradisi sedemikian dikenali seperti Tok
Batin, Ketua Kampung, buapuk, Luak dan sebagainya.
Dalam masyarakat tradisi sedemikian, ditambah dengan adanya
kepercayaan agama Islam, maka ianya memerlukan kepada institusi-institusi asas
yang dapat membantu pemimpin setempat yang kita pilih dari segi istilah sebagai
`Ketua Kampung` bagi semua jenis ketua kepimpinan tradisi. Bagi membantu
pentadbiran, maka ada di sana. Imam. Bomoh, Bidan, Bilal, Siak, Guru, Pendekar, Hulubalang, Laskar dan rakyat
(penduduk banyak).
Ketua Kampung adalah mengetuai segala bidang kemasyarakatan ,
mengawasai segala keperluan dan memberi
perhatian terhadap kebajikan mereka. Misalnya Ketua Kampung
mengendalikan pentadbiran keseluruhan masalah kampung. Misalnya membuka tanah
ladang, mengatur masa bertani, kerjasama di dalam mendirikan rumah (gotong
royong), menerima berbagai aduan dari anakbuah penduduk dan sebagainya, imam
adalah mengepalai upacara-upacara keagamaan, urusan kematian, kenduri kendara
dan sebagainya. Bomoh adalah mengendalikan pesakit-pesakit dan usaha
menyembuhkan, Bidan pula menguruskan kelahiran anak-anak, siak membantu urusan
masjid dan surau, guru bertanggungjawab mendidik anak-anak kariah membaca dan
menulis juga mengaji dan keperluan-keperluan keilmuan agama dan kehidupan.
Pendekar ialah ibarat pasukan pertahanan, begitu juga dengan hulubalang ibarat
tentera bagi menjamin keselamatan, termasuklah juga laskar dan rakyat jelata
ialah orang ramai yang biasanya menurut perintah.
Kepimpinan yang berwibawa menarik kampung-kampung atau kawasan-kawasan yang lain mengetuainya
dan menjadikan kawasannya lebih luas yang mungkin menjadikannya pimpinan
peringkat daerah yang lebih besar, tetapi kebiasaan ia menjadi sebahagian dari
bahagian pemerintahan yang lebih berkuasa yang sebagaimana kini dikenali
sebagai negeri. Pemimpin yang Berjaya pada peringkat tinggi ini, bukan saja
terkenal kerana kewibawaan, tetapi juga
mempunyai kekuatan pertahanan seperti pendekar, hulubalang dan laskar yang
dapat mempertahan dan menggerunkan musuh. Dari pemimpin sedemikian akan timbul
cerita-cerita metos dan legenda
berkenaan pemimpin-pemimpin berkenaan yang menjadikannya lebih dipandang
suci lagi dihormati.
Tidak jarang pula berlaku di dalam sejarah, bahawa pemimpin
tempatan menjemput pemimpin luar dari tempatan yang mempunyai wibawa dan
turunan terkenal dari segi prmerintahan datang secara jemputan ke kawasan pemerintah tertentu dan dilantik
menjadi pemerintah yang diwar-warkan sebagai tokoh yang mempunyai keturunan baik-baik lagi
berwibawa dan dihormati. Tidak jarang pula penguasaan dan pembesaran kawasan
berlaku akibat dari perbalahan dan pertentangan misalnya akibat dari
kepentingan ekonomi dan strategis yang
membawa kepada pertikaian bersenjata dengan
berperang dan penguasaan.
Kewibawaan kepimpinan juga berlaku, di samping kekuatan
ialah bijaksana dari segi kepimpinan dan keilmuan. Kalau pada peringkat kampung
dan luak pemimpin pandai memimpin dan mampu mengungkapkan ungkapan Teromba yang
menggariskan panduan pentadbiran aturan, adat, cara hidup bermasyarakat yang
memntingkan gotong royong, maka pada peringkat yang lebih tinggi yang berada
pada tahap negeri, pemimpin misalnya terdidik dengan ilmu dan mementingkan
ilmu, maka pemerintahannya dikeliling dan dibantu serta nasihat oleh
ulama-ulama dan para cendekia, termasuk pemimpin itu sendiri menjadi seorang
pemerintah yang alim yang turut belajar dan mengajar ilmu, bahkan ada pemimpin yang
mengarang peratuaran pemerintah, bahkan dikarang kitab-kitab yang menjadi panduan di dalam pemerintahan. Dia juga
menekankan kepentingan pelajaran kepada rakyat dan memberi kemudahan dan galakan-galakan kepada rakyat
belajar. Selain daripada itu kalangan ulama yang membimbing pemerintah turut mengarang kitab-kitab panduan
pemerintahan dan kitab-kitab pengajian di dalam berbagai-bagai bidang.
Dengan wibawa pemerintah yang mementingkan ilmu, dia sendiri
berilmu dan menggalakkan orang ramai mempelajari ilmu dan terhasil
karangan-karangan panduan pemerintahan sama ada oleh pemerintah atau
ulama-ulama yang membantunya dan ulama-ulama berkenaan menghasilkan kitab-kitab
pengajian yang dipelajari bukan saja bersifat setempat, tetapi diguna di luar,
maka pemerintah sedemikian menjadi
masyhur dan menjadi sebuatan dalam sejarah dan warisan keilmuan yang
ditinggalkan terus digunakan dan abadi di dalam kenangan.
Sekian.
No comments:
Post a Comment