November 16, 2014

Penganjur Seminar Dan Forum Kanun Jenayah Syariah Dipuji, Tapi Perlu Ada Rumusan Dan Tindakan Susulan


BBB, 22 Muharram 1436 = 15 November 2014 (Sabtu):
Anjuran Seminar Dan Forum Kanun Jenayah Syariah oleh Jabatan Mufti,  Negeri Selangor dipuji lantaran dengan penganjuran ini sedikit sebanyak dapat memberi kefahaman kepada peserta-peserta tentang apa yang dikatakan `Kanun Jenayah Syariah`, perjalanannya terutama Di Brunei dan masalah-masalah yang dihadapi dari segi aplikasinya di dalam masyarakat Majmuk di Malaysia. Walau bagaimana sesudah mengikuti seminar dan forum, makin luas persoalan yang dihadapi dan pada akhirnya ada semacam ketidakpastian, bahkan kekeliruan mendepani, kita percaya bagi kebanyakan peserta. apa lagi seminar dan forum berjalan dan berakhir begitu sahaja, tanpa mengambil rumusan untuk menjadi pegangan dan tindakan lanjut, terutama oleh pihak Penganjur dan mereka yang berkenaan. Peserta-peserta dibiarkan membuat tanggapan bersendirian dan kembali dengan persoalan-persoalan yang tidak jelas dan mungkin mengelirukan. Lantaran itu alangkah baik jika pihak Sekretariat bersedia dari awal merumuskan intisari dan segera mengeluarkan resolusi dan cadangan kepada peserta yang boleh diperbaiki dan menjadi natijah yang dapat dipegang dan juga menjadi bahan bagi tindakan.


Anjuran Seminar dan Forum Kanun Jenayah Syariah oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor adalah kena dengan masa dan isu-isu yang timbul dan masyarakat yang makin minat dengan agama tertanya-tanya dengan isu-isu yang timbul dan jawapan-jawapan. Misalnya masalah transgender yang difatwakan oleh Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS), tetapi dibatalkan oleh Mahkamah Persekutuan dan pihak MAINS berusaha untuk membuat `Appeal`` ke Mahkamah Rayuan. Ini berkait rapat dengan isu yang dibicarakan di dalam seminar dan forum berhubung dengan status Mahkamah Syariah di negeri-negeri bila keputusan mahkamah syariah negeri dicabar melalui mahkamah sivil, juga boleh  dilihat sejauh mana kuasa mahkamah syariah bila berdepan dengan mahkamah sivil , khususnya pada peringkat Persekutuan.
Sebenarnya bukan saja MAINS menghadapi sanggahan dari segi fatwa, tetapi juga MAIS dalam mana fatwa Jabatan Mufti dipersoalkan sehingga pada perasmian Multaqa dan Seminar Kanun Jenayah Syariah DYMM Sultan Sharafuddin Idris Shah, Sultan Negeri Selangor sebagai Ketua Agama Islam  bagi Negeri Selangor terpaksa menjelaskan, bahawa fatwa adalah diambil keputusan secara jamaah melalui mesyuarat.
Sebenarnya, sungguhpun ucaputama dan  pembentangan kertaskerja berfokus kepada Perlaksanaan Kanun Jenayah Syariah di Negara Brunei Darussalam, peserta mau tau, sebagai refleksi dari perlaksanaan Kanun Jenayah Syariah di Negara Brunei itu, apakah sikap, hasrat, tindakan dan hala tuju yang seharusnya diambil oleh pihak kerajaan Negeri Selangor Darul Ehsan, khususnya melalui Jabatan Mufti, JAIS dan MAIS negeri Selangor ? Harapan-harapan sedemikian sebenarnya terluah di dalam forum `Kanun Jenayah Syariah Dari Perspektif Perlembagaan & Masyarakat Majmuk di Malaysia baik dari kedua-dua ahli forum – Profesor Madya Dr. Sham Rahayu dan Profesor Emeritus Dato` Dr. Mahmood Zuhdi, bahkan tercermin dari soalan-soalan yang dilontar kepada ahli panel yang mau tau apakah sikap dan tindakan negeri Selangor berhubung dengan Perlaksanaan Kanun Jenayah Syariah di Negeri Selangor.


Sebenarnya, mungkin sebahagian dari peserta tidak mengetahui, bahawa Negeri Selangor telah menghasilkan Enakmen Tatacara Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 2003 mendahului Negara Brunei sejak 10 tahun yang lepas. Penulis sebagai ADUN Kajang (1999-2004) pada masa itu turut sama menyokong kelulusan Enakmen ini di dalam Sidang Dewan Undangan Negeri pada 24 Julai 2003. Dengan ini tidak timbul usul agar diwujudkan Kanun Jenayah Syariah di negeri Selangor dan sepatutnya dalam  membicarakan tentang Kanun Jenayah Syariah Negara Brunei  dapat dibandingkan dengan  Enakmen Tatacara Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 2003. Sebarang usul yang diharapkan dari perbincangan mengenai Kanun Jenayah Syariah turut mengambil kira tentang Enakmen Tatacara Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 2003 tersebut.
Adalah diharapkan dari Seminar dan Forum Kanun Jenayah Syariah  menghasilkan resolusi. Antaranya yang kita Nampak:
1)      Kanun Jenayah Syariah hendaklah menjadi sebahagian daripada  Perlembagaan Negara Malaysia. Dengan adanya elemen perundangan Islam dalam Perlembagaan Malaysia, tidak perlu dilabelkan misalnya `Perlembagaan Negara Islam Malaysia`. Cukup Dengan Perlembagaan  Malaysia. Yang penting ialah memberi  keadilan kepada semua pihak.  Sebuah Badan Tertinggi hendaklah bertanggungjawab menggubal dan mengasimilasikan perundangan dan mendapat kelulusan parlimen.
Atau jika tidak;
2)      Perundangan Malaysia kekal dengan dwi perundangan – Syariah dan sivil.  Tetapi Perundangan Syariah hendaklah berstatus setaraf dengan Perlembagaan Negara Malaysia. Penyelarasan hendaklah dilakukan antara kanun Jenayah Syariah Negeri-negeri dengan penyelarasan dilakukan oleh JAKIM. Hendaklah ada Mahkamah peringkat tertinggi mewakili dua pihak memutuskan, jika berlaku pertentangan.

Kita mencadangkan agar JAKIM bersama negeri Selangor mengambil inisiatif bersama pihak Persekutuan  melaksanakan cadangan-cadangan di atas atau cadangan yang lain yang difikirkan sesuai.
Multaqa, Seminar danFforum seperti  yang diadakan oleh pihak Jabatan Mufti Negeri Selangor hendaklah diteruskan dengan memilih topik-topik yang lebih khusus dan dibincang oleh pakar-pakar  undang-undang dan Tenaga-Tenaga akademik agar dapat menghasilkan dapatan yang lebih jitu. Misalnya:
Perbedaan dan penyatuan enakmen atau Kanun Jenayah Syariah Negeri-Negeri di Malaysia.
Penyatuan antara undang-undang sivil dan syariah: Satu kemungkinan.
``Keadilan`  Tuntutan Perundangan Sivil dan Syariah: Penyatuan.
Dan sebagainya.

Sekian.

No comments:

Post a Comment