November 28, 2014

Tiang Seri Takmilah Adalah Nilai


BBB, 04 Safar 1435 = 27 November 2014 (Khamis):


Selama lebih 20 tahun sejak Takmilah diperkenalkan di Port Dickson di dalam Seminar Teori  Sastera (29-31 Oktober 1992) yang dianjurkan oleh DBP Penulis membinanya sebagai Teori Sastera Islam – tanpa melibatkan teori berkenaan kepada bidang-bidang yang lain. Teori ini mengalami pengembangan apabila Penulis dijemput membentangkan kertaskerja mengenai Teori Takmilah di Universiti Pendidikan Sultan Idris Tanjung Malim pada  Khamis 27 Mac 2014 = 25 Jamadil Awal 1435 dengan Penulis membentang kertaskerja berjudul, ``Perluasan Teori Takmilah``. Kertaskerja-kertaskerja yang dibentangkan pada hari itu dibukukan dan diterbitkan (2014) dengan diberi judul berdasarkan judul kertaskerja Penulis, iaitu ``Teori Takmilah: Perluasan Dan Penafsiran. Penyelenggaraan dan penerbitan buku diusahakan oleh Prof. Madya Dr. Abdul Halim Ali Pensyarah di UPSI yang juga  Pengerusi Persatuan Penulis Budiman Malaysia.
Perluasan Teori Takmilah di dalam pembentangan Penulis di dalam seminar tersebut ialah kepada:
1)      Bidang Khat (Kaligrafi termasuk Persuratan)
2)      Senibina  Masjid  (juga sebarang bangunan)
3)      Seni Suara Dan Lagu (Muzik)
4)      Permuziuman (Termasuk yang melibatkan Sejarah)
(Teori Takmilah Perluasan & Penafsiran, (Selenggaraan Abdul Halim Ali), Persatuan Suluh Budiman Malaysia, Tanjung Malim, 2014: 22-36).
Berikut dari seminar itu Penulis telah meluaskan lagi kepada bidang-bidang yang releven hingga berjumlah sepuluh bidang. Bidang-bidang tambahan ialah:
1)    Estetika Al-Qur`an (Puncak piawaian Estetika Islam)
2)  Seni Taman (Landscaping – termasuk Susun Bandar)
3) Perfileman  (Termasuk Drama dan seumpamanya)
4) Seni Kraf (Anyaman, tenunan, tembikar dan sebagainya)
5). Permuziuman (Melibatkan Pensejarahan)
6)  Seni Lukis, Grafik Dan Animasi
(Boleh menerima pertambahan sekiranya releven)
Dari segi pembinaan dan peningkatan kualiti karya ke tahap-tahap ke Takmilah  adalah melibatkan aspek-aspek  berikut:
Lihat Rajah  (1):
                                 Takmilah:


           Khalayak          Karya           Pengkarya
Pengkarya menghasilkan karya dengan Pengkarya mempunyai tahap kelilmuan dan Nilai yang tinggi mutunya yang meningkat ke Tahap Takmilah. Dengan ketinggian mutu karya atau penghasilan dia mampu meningkatkan khalayak bergerak meningkat kepada puncak Takmilah. Dari segi idealnya Pengkarya, karya dan khalayak Berjaya ditingkatkan kepada Takmilah.
Dengan nilai bagaimanakah mampu Penghasil meningkatkan  karya dan penghasilan ke puncak Takmilah ?  Ia adalah  bergandingan tiga elemen sebagaimana di dalam rajah (II) di bawah:
                      Takmilah


 Akli                 Nilai                 Rohani
Nilai akli penting di dalam setiap karya yang membayangkan  karya  dihasilkan secara sedar, bijaksana dan berwawasan yang diperindah dengan seni yang fungsional dan tidak lagha dan tak terarah. Nilai akli, seni ini menjadi lebih tinggi bila sama ditingkatkan dengan nilai rohani. Contoh seni bina masjid, khat dan sastera sendiri.
Adapun nilai-nilai yang menjadi `Tiang Seri` menegak ke atas, ke Takmilah adalah melalui nilai-nilai yang bersesuaian dengan bidang-bidang. Nilai mungkin lebih dari satu bagi satu bidang. Contoh:
1)      Nilai  Keindahan    bagi bidang sastera, seni bina, khat dan sebagainya
2)      Nilai Kebenaran    bagi bidang Permuziuman dan Sejarah
3)      Nilai Keadilan bagi Pensejarahan Dan Persuratan
4)      Nilai Kemanusiaan bagi Sastera, Seni Suara, Seni Lukis, Lagu dan Perfileman
5)      Nilai Kepurbaan  bagi Muzium, Sejarah, Seni Kraf
Aspek-aspek nilai di atas adalah mengambil tempat tiang seri Estetika yang mana keindahan,kebenaran, keadilan, kemanusiaan dan kepurbaan adalah melibatkan nilai subjektif yang  merupakan  pengalaman dalaman bagi manusia yang kualitinya tidak dapat diukur secara kuantitatif.
Takmilah melibatkan banyak bidang yang melalui titian seni estetika, keindahan, kebenaran, keadilan, kemanusiaan, sejarah dan kepurbaan membicarakan ruang lingkup yang melibatkan perjalanan tamadun dan peradaban. Teori ini sama dapat membina tTamadun Dan Peradaban yang berjalan menurut skema nilai yang betul, tetapi melalui penilaian dan piawaian teori juga boleh digunakan bagi mengkritik perjalanan yang bercanggah dengan nilai-nilai positif agar hala tujunya tidak menyimpang dari  matlamat membina tamadun dan peradaban.

Sekian.

1 comment: