November 1, 2014

Majlis Mengimbau Kenangan Graduan Sulung UKM Capai Objektif Selapis, Tapi Tiada Arah

BBB, 05 Muharram 1436 = 31 Oktober 2014 (Jumaat):


Setelah berbincang panjang lebar berhubung dengan majlis di atas dapatlah dibuat kesimpulan bahawa majlis yang diadakan adalah mencapai objektif sekadar pengucapan lahir `Mengimbau Kenangan Graduan Sulung UKM`. Acara majlis yang disusun adalah sekadar menepati tajuk di atas, iaitu Ucapan Alu-Aluan  oleh Ybhg. Prof. Datuk Dr.Noor Azlan Ghazali Naib Canselor UKM, diikuti dengan  Majlis Jamuan Makan Tengahari serta Ramah Mesra dan Perkongsian Pengalaman  dan Pandangan daripada Alumni UKM termasuk bergambar. Di atas anjuran majlis ini kita ucapkan terima kasih kepada Prof. Datuk Naib Canselor yang mengambil inisiatif menganjur majlis  yang dihadiri 47 daripada 166 Graduan Sulung UKM. Majlis yang dianjurkan sekurang-kurangnya dapat menghilangkan rindu graduan yang telah berpisah sejak 4 dekat yang lalu – bagi sebahagian besar daripada mereka.


Kita berpendapat majlis yang dianjurkan mencapai objektif sekadar selapis- Tiada arah, Pertemuan di kalangan Graduan Sulung UKM di kampus yang bukan kampus yang mereka belajar dahulu (Kampus Jalan Pantai, Pantai Baru, Kuala Lumpur). Jika tidak dari kemesraan Naib Canselor mereka tentu lebih merasa asing.
Kita berpendapat ada priority harus diberi perhatian yang lebih dapat memberi  kepuasan kepada para Graduan Sulung UKM. Priority ini juga bersifat pertanyaan dan cadangan
Kita mendapati majlis adalah bersifat terpimpin. Maksudnya dilakukan oleh pihak pentadbir UKM melalui apa yang disebutkan Alumni UKM, bukan oleh kalangan alumni UKM. Kita bertanya apakah AJK Alumni benar-benar wujud ? Mengapa mereka tidak turut serta di dalam majlis ? Bahkan majlis seharusnya dikendalikan oleh mereka dan perlu ada ucapan Presiden Alumni dengan Naib Canselor menjadi Tamu Istimewa. Jika tidak ada perlu ada perlantikan AJK Alumni agar bahagian alumni benar-benar berfungsi dan tidak bersifat terpimpin
Kita mengetahui ada Majlis Perwakilan Pelajar dan Presiden atau Ketua yang dipilih sebagai penerusan dari PMUKM yang kami tubuhkan dahulu. Kami merasa adalah satu kewajaran, bahawa barisan exco pelajar ini turut sama di dalam majlis, bahkan ketuanya seharusnya turut sama berucap mengalu-ngalukan `Abang Sulung` yang datang bertandang. Dalam majlis ini wajar ada taklimat tentang Persatuan Alumni dan Persatuan Mahasiswa dan kegiatan-kegiatan mereka. Pertemuan dengan mereka ini sebenarnya lebih penting dari pertemuan dengan kakitangan pentadbiran university . Bahagian pentadbiran sepatutnya  berfungsi memberi  penerangan tentang pembangunan fizikal  dan akademik (Timbalan Naib Canselor Akademik) UKM Oleh kerana `Abang Sulung` tidak berkampus di Bangi, adalah lebih mesra `Abang Sulung`  berkenaan di bawa melawat ke bahagian-bahagian penting di UKM. Mungkin masa bagi majlis diperluas kepada seharian atau lebih – seperti  majlis di adakan pada hujung minggu, manakala pada sebelah malam diadakan `Malam Mesra` antara Siswa dengan Graduan Sulung dan pihak Universiti.


Sebagaimana telah disebutkan `Nostalgia dan Rindu` Graduan Sulung UKM lebih terubat jika majlis disertai sama oleh profesor-profesor dan mahaguru-mahaguru yang telah mengajar para Graduan Sulung` berkenaan. Sememangnya sukar untuk menjemput kembali tokoh-tokoh akademik berkenaan untuk datang kesemuanya, tetapi sebahagian daripada mereka masih ada, masih sihat dan aktif. Jika mereka ini dapat dihadirkan bersama, maka majlis lebih bermakna dan rasa `nostalgia dan rindu` lebih terubat.
Kita berpendapat pertemuan yang amat bermakna, baru sekali selepas 40 tahun berpisah perlu diambil kalau tidak dapat dinamakan resolusi, tetapi semacam keputusan sebagai arah dan tindakan masa depan . Misalnya:
1)      Graduan Sulung berterima kasih kepada pihak university yang mengadakan pertemuan bersejarah dan berharap pertemuan seperti ini dapat diadakan secara tahunan pada masa, tarikh dan tempat yang bersesuaian. Tidak semestinya bagi kalangan Graduan Sulung sahaja.
2)      Pihak pentadbiran hendaklah melibatkan sama dalam pertemuan pihak pimpinan alumni, pihak Persatuan Mahasiswa dan tenaga pengajar veteran alumni.
3)      Pada  setiap pertemuan seorang `Tokoh Graduan Berjaya`  dalam lapangan tertentu dijemput untuk menyampaikan `Ucaputama` pertemuan sebagai rol model dan ikon bagi mereka. Perbincangan juga dilakukan bagi menjana idea bernas bagi kepentingan alumni , university dan masyarakat.
4)      Alumni perlu menubuhkan Tabung sama ada atas nama persatuan, yayasan dan sebagainya bagi menjana kewangan bagi berbagai kegiatan dan kebajikan alumni.
5)      Program secara teratur hendaklah disusun bagi setiap pertemuan dari yang bersifat berat – Seperti seminar dan perbincangan kepada yang bersifat santai dan kekeluargaan.
Bagi kepentingan di atas, jika infra-struktur tidak wujud, misalnya tiadanya Persatuan Alumni, maka usaha bagi menubuhkan Persatuan Alumni Induk perlu dilakukan sebagaimana telah diperkatakan, agar kegiatan yang melibatkan alumni dalam hubungannya dengan Persatuan Mahasiswa dan pihak university dapat dijalankan.
University  bukan hanya terdiri dari kampus, tenaga pengajar dan pelajar, tetapi lepasan daripadanya - Alumni. Sebenarnya alumni –   mencerminkan mutu keluaran sesebuah university. Kecemerlangan lebih terserlah jika alumni berada di bawah satu persatuan yang menyatukan hasrat, arah dan kecemerlangan alumni bersama kecemerlangan university.

Sekian.

No comments:

Post a Comment