November 23, 2014

Firman Sebagai Perlembagaan Dan Nilai Tertinggi Dan Hiraki Kata Wibawa


BBB,  29 Muharram 1436 = 22 November 2014 (Sabtu):
Topik di atas, khususnya istilah `Firman`  boleh bermaksud:
`Sesuatu Yang Abadi  Dari Yang Maha Tertinggi`,
`Sesuatu Yang Terakam Dan Tidak Boleh Menerima Perubahan`,
`Hukum Dan Nilai Diterimapakai Dan Tidak Dipersoal`.
`Menjadi  elemen undang-undang`.


Di dalam hal ini dapat dilihat kekayaan bahasa Melayu – jika di dalam bahasa `Arab `qala` bermaksud `berkata` dinisbah kepada  Allah, Rasul dan sebagainya, tetapi istilah `berkata` ada hiraki  dan berlainan sebutan di dalam bahasa Melayu.
Firman   untuk   Allah
Sabda    untuk  Rasul
Titah     untuk   Raja
Berkata untuk  Orang biasa
Kata-kata dari pihak tertinggi dihormati dan membawa erti sebagai  aturan dan undang-undang. Dan perundangan tertinggi yang dibukukan dikenali sebagai `Perlembagaan` dipandang tinggi sebagai dari pihak Berwibawa dan Pemerintah.
Tulisan di bawah lebih mengarah kepada `Sastera Undang-Undang` sebagai lanjutan kepada yang telah diperbincangkan sebelum ini. `Sastera` dimaksudkan kepada tulisan yang terhasil yang mempunyai nilai undang-undang, aturan, tatanegara, tatasusila, penampilan kegemilangan yang lepas dari segi tatanegara, tamadun,  peradaban dan warisan yang dijunjung dan dikagumi  oleh masyarakat.
Menyebut `Firman` segera tanggapan kita kepada `Al-Qur`an Al-Karim`.  Firman adalah istilah yang merujuk kepada keyakinan tauhid bahawa Allah berfirman ke pada Rasulnya, Nabi Muhammad s.a.w. dan kalamNya yang terhimpun dikenali dengan `Al-Qur`an`. Terrdapat `Kalam Suci` yang lain yang diturunkan kepada Rasul-Rasul seperti Kitab Suci Taurat, Zabur dan Injil.
Firman seperti Kitab Suci Al-Qur`an diyakini sebagai  `Kalam Qadim` yang  disampaikan kepada Rasulullah melalui perantaraan Jibra`il a.s. yang menjadi panduan bagi umat Islam - panduan hidup mati bagi umat Islam.


Firman sebagai satu yang dipandang tinggi, dihormati dan tidak boleh diubah dan ditukar ganti. Antaranya  bersifat undang-undang yang dijadikan panduan, pegangan dan rujukan. Sebagai contoh undang-undang kekeluargaan, harta pusaka, halal-haram,  pemerintahan dan sebagainya.Kata-kata yang tertinggi  selain dari Al-Qur`an diterima sebagai hukum dan panduan seperti Sabda Nabi, Titah Sultan,  Nobat Luak dan sebagainya.
Sebagai contoh undang-undang adat yang  menjadi panduan masyarakat tradisi di Negeri Sembilan dipandang suci, dipelihara, dihafal dan menjadi panduan hukum kemasyarakatan yang terkenal dengan Adat Perpatih.
Adat orang diturut
Di mana bumi dipijak
Di situ langit dijunjung
Masuk kandang kerbau menguak
Masuk kandang kambing mengembik
Bagaimana adat di tempat semenda
Dipakailah
Lain lubuk lain ikannya
Lain padang lain belalangnya
Alur sama diturut
Jalan sama ditempuh
Adat sama dipakai
Lembaga sama dituang
Meniru pada yang ada
Meneladan pada yang sudah.
(Nordin Selat, Sistem Sosial Adat Perpatih, Utusan Melayu (M) Bhd. Kuala Lumpur, 1976: 14).
Perlembagaan Malaysia (1963) yang berasaskan  Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1948 dan Malaya Merdeka 1957 diterima sebagai Perlembagaan Malaysia yang dikaitkan kepatuhan Kepada DYMM Seri Paduka  Yang Dipertuan Agung Kuasa Tertinggi Negara yang dijunjung dan dipatuhi. (The Constitution of Malaysia, Malaysia Publications  Ltd., Singapore, 1964: 1 – 31).
Demikian  dijunjung tinggi dan dihormati apa yang dikaitkan dengan undang-undang atau bahagian dari undang-undang seperti yang dikenali dengan Kanun Jenayah Syariah atau Anekmen Tatacara Jenayah Syariah di Bawah Raja-Raja Melayu atau langsung di bawah Kebawah DYMM Sei Paduka Yang Di Pertuan Agung (Bagi Negeri-Negeri Melayu Tak Beraja).
Perundangan yang terakam di dalam tulisan atau sebelumnya di dalam ungkapan seperti  Teromba  dipandang Suci dan dipatuhi sama ada di dalam acara formal atau tidak formal.
`Penghormatan, ketaatan dan perlaksanaan sesuatu yang bersifat undang-undang adalah dijunjung tinggi sebagai percikan dari wibawa   Firman. Bahkan di dalam ungkapan lama di dalam teks-teks lama Raja dan pemerintahan yang  seharusnya dipatuhi  digambarkan sebagai:
Zillullah fi al-Alam (Bayangan Allah di Alam). Bermaksud menerima amanah menjalankan kekuasaan Allah di Alam.    

Sekian.

No comments:

Post a Comment