BBB, 6 Safar 1436 = 29 November 2014 (Sabtu):
Masyarakat Bugis di Selangor adalah merupakan pecahan dari
masyarakat Melayu di negeri tersebut sebagaimana adanya masyarakat Jawa, Banjar, Minang, Mandiling dan
sebagainya. Namun masyarakat Bugis di Selangor mempunyai sejarah tersendiri dan
menarik. Orang Bugis berasal dari kepulauan Sulawesi. Sebagai `Bangsa Pelaut-Pedagang`
, maka bukti-bukti kehadiran orang-orang Bugis ke Tanah Melayu sejak zaman
Melaka lagi.
Menurut Pembentang Kertaskerja Tuan Haji Zainuddin Bin Leman
dari Persatuan Melayu Bugis Selangor yang dibentang pada hari pertama Seminar
Pantang Larang Masyarakat Di Selangor (25 November 2014) berjudul `Pantang
Larang Masyarakat Bugis Di Selangor` bahawa mobilisasi terbesar orang-orang
Bugis keluar dari tanah asal mereka bila berlaku Perang Makassar (1666-1669),
menyebabkan diaspora Bugis tersebar di Borneo, Jawa, Sumatera , Semenanjung
Tanah Melayu, Riau dan beberapa kawasan yang lain. Legenda tentang lima Opu
Daeng Bersaudara begitu terkenal. Mereka terlibat di dalam pergolakan politik dan
pentadbiran di Johor, Melaka, Linggi, Selangor, Perak, Terengganu dan Kedah.
Keterlibatan mereka di dalam politik pentadbiran Negeri
Selangor ialah dengan perlantikan seorang anak Raja Bugis yang bernama Arung
Passarai yang menjadi Yamtuan negeri Selangor yang pertama pada tahun 1700.
Tetapi Dinasti turunan Bugis yang memerintah negeri Selangor ialah bermula dari
Raja Lumu iaitu putera Daeng Chelak dilantik menjadi menjadi Raja Selangor pada
tahun 1742, seterusnya ditabalkan oleh Sultan Perak pada tahun 1766 menjadi
Sultan Selangor yang pertama dengan gelaran Sultan Salahuddin. Sehingga kini
seramai 9 orang sultan dari dinasti Bugis memerintah negeri Selangor.
Pusat-pusat pemerintahan bermula dari Kuala Selangor ke Kuala Langat, ke Kelang
dan kini Shah Alam.
Daripada jumlah rakyat negeri Selangor seramai 5.4 juta
orang, menurut kertaskerja Tuan Haji Zainuddin, terdapat hampir 200,000 orang
keturunan Bugis di Selangor. Kesedaran etnik dan kemegahan mereka sebagai
turunan Bugis membawa kalangan mereka menubuhkan persatuan-persatuan seperti
Persatuan Melayu-Bugis Selangor (PMBS), Persatuan Kesenian Maccahaya Citra Ugik
Selangor (CITRA UGIK), Persatuan Anak-Anak Bugis Malaysia dan Persatuan Zuriat
Almarhum Raja Abdullah (PEZARA). Sebagai mewarisi keberanian dan kepahlawanan
Bugis turut ditubuh persatuan-persatuan silat seperti Pengurusan Seni Silat
Harimau Berantai Sang Penaklok, Persatuan Seni Silat Cemara Bugis, Persatuan
Seni Silat Sendeng dan Perguruan Belia Mancak.
Orang Bugis sebagai Bangsa Pelaut dan Peadagang mempunyai
`Kapal Dagang` bagi memuatkan
bahan-bahan dagang terutama bahan-bahan rempah yang dikenali sebagai `Kapal
Bugis`. Kapal Bugis mempunyai tanda
`Rehal` pada haluan sebagai pemecah angin dan juga sebagai sempena baik `Rehal`
sebagai tempat letak Kitab Suci Al-Qur`an. Lambang rehal ini bukan saja menjadi
lambang pemecah angin di dalam pelayaran, tetapi juga menjadi tunjuk langit
pada bangunan-bangunan berciri Bugis. Ini diterima sebagai identity Bugis.
Lambang sedemikian digunakan bagi `Tunjuk Langit` bagi bangunan Muzium Sultan
Alam Shah dan juga bangunan Majlis Bandaraya Shah Alam. Tunjuk Langit berkenaan
sebagai lambing kebaikan dan keberkatan. Pahlawan Bugis juga mempunyai
pasukan-pasukan perahu-perahu penyerang dengan berbagai alat senjata yang menggerunkan musuh lantaran keberanian mereka.
Bagi rumah Bugis sebagaimana terdapat di Permatang Pasir di
Kuala Selangor, mempunyai rumah ibu beratap dan berbumbung berbetuk V terbalik dan mempunyai selasar untuk menerima tetamu yang hadir.
Tapi bahagian tangga tidak dibuat dibahagian tengah selasar untuk mengelak dari
dipandang terus ke tengah rumah, tetapi tangga adalah pada bahagian sisi.
Apabila tamu masuk, dia tidak terus terpandang bahagian tengah rumah. Bagi
rumah Bugis mempunyai tiang dan tinggi bawah rumah sekadar boleh berdiri di
bawah untuk tempat kegiatan bekerja dan simpan barang-barang, Juga untuk
mengelak dari banjir jika dikawasan lembah dan juga untuk keselamatan dari
binatang buas. Bagi rumah Bugis seperti di Permatang Pasir, Kuala Selangor
terdapat `loteng` bahagian atas, untuk tempat bersembunyi dan keselamatan,
khususnya anak-anak perempuan. Rumah
Bugis berkenaan mempunyai banyak lubang udara dari tebar layar, ukiran-ukiran
flora dangeometrik bersifat tebuk tembus
yang membolehkan udara keluar masuk. Jedela-jendela juga mempunyai bilah yang boleh
dibuka dan ditutup untuk keluar masuk udara dan mendapat cahaya.
Pantang larang yang di dalam bahasa Bugis disebut `Pappaseng
(Petua Leluhur) yang merupakan sebahagian dari `Pang`adweing `Adat Istiadat`
yang antaranya mempunyai Konsep Siri` dan pesse yang bermaksud malu dan harga
diri. Di dalam sesuatu keputusan melibatkan maruah diambil, maka ianya akan
dipertahankan sebagai maruah diri dan tidak dibiarkan berlaku `Malu dan hilangnya
maruah diri. Ungkapan yang berkait dengan kuatnya azam dan semangat dan alam miritim
Bugis dapat dihayati dari kata-kata,``Sekali
layar berkembang, pantang haluan kembali mengarah ke pantai. `` Dengan
Siri Orang Bugis perkasa di dalam pelayaran, perkasa menentang penjajahan dan
berwibawa di dalam menjalankan pemerintahan di mana mereka mendapat kekuasaan.
Kental dengan pegangan Islam dan Kebal mendapat ujian sebagaimana dialami oleh
Sheikh Yusof Makasar yang mempertahankan Tanah Bugis-Makasar dari penjajahan
Belanda, biarpun akhirnya beliau diasingkan ke Selatan Afrika dan meninggal di
sana. Disamping ada yang mendapat ujian ada pula yang Berjaya seperti Berjaya
memerintah dan menghasilkan budaya ilmu dan persuratan di Riau dan Berjaya
mengasaskan kesultanan dari turunan Bugis di Selangor.
Budaya Bugis diwarisi melalui hasil-hasil persuratan. Antara
yang tertua dikenali dengan kitab `Lontara Kutika` kitab lama yang mengandungai adat dan pantang
larang dan juga firasat yang merupakan
petua untuk melakukan sesuatu aktiviti
seperti untuk mendirikan rumah, bila masa perkahwinan yang baik,aqiqah anak
yang baru lahir, masa yang baik untuk merantau, petua untuk membeli barang,
kenderaan dan emas, memulai pertanian, masa terbaik menemui orang penting dan
masa memulakan perdagangan. Kutika yang merupakan firasat itu masih berpengaruh di dalam masyarakat Bugis
dan juga orang Melayu.
Sungguhpun orang Bugis mempunyai bahasa Bugisnya, tetapi Bugislah
juga yang memperkembangkan bahasa Melayu, sebagaimana di Riau lahir ramai
tokoh-tokoh bahasa dan ulama yang mengarang kitab-kitab sejarah dan puisi
antara yang terkenal ialah Raja Ali Haji yang karya terkenalnya ialah Tuhfat
Al-Nafis yang di dalamnya juga banyak elemen budaya, firasat dan sejarah Bugis
sendiri. Bahasa Melayu yang kita warisi adalah dari bahasa Johor-Riau yang dianggap
bahasa Melayu standard berbanding dengan berbagai dielek bahasa Melayu dari berbagai
negeri dan daerah di Tanah Melayu dan Nusantara.
Sekian.
Alhamdulillah...syukur jadi anak dari leluhur susur galur bugis ni.
ReplyDeletePada idi pada elo.
ReplyDeletePada idi pada elo.
ReplyDeletePantang larang Bugis, tempayan air jangan biarkan kosong, bekas beras mesti ditutup, basuh kaki sebelum masuk ketempat simpanan padi, jangan padam kesemua lampu pada waktu malam.
ReplyDeleteKalau tak pendek rezeki.