November 22, 2014

Piawaian Terhadap Prinsip-Prinsip Utama Takmilah


BBB,  28 Muharram 1435 = 21 November 2014 (Jumaat):
Takmilah adalah toeri  bagi  karya dan penilaian menurut piawaian Idealis  Islam seperti  peringkat Kamal yang merujuk kepada sifat Allah dan Kamil sifat Rasulullah  yang seharusnya pengkarya  dengan karyanya bergerak ke arah nilai tertinggi  seperti menanggapi sifat Rahman dan Rahim Allah membentuk jiwa mesra  hamba menerima Rahmat Dan Rahim dariNya, juga seperti beruswah kepada Rasulullah dalam segala tindak dan perbuatan. Menanggapi  Jamal Sifat Allah dan Ahsan merujuk kepada Rasulullah juga Al-Qur`an berciri Seni Kudus sebagai rujukan nilai estetika dan keilmuan  bagi karya   menjadi contoh, walaupun tidak mungkin tercapa ke tahap-tahap tertinggi tersebut. Di bawah daripada prinsip-prinsip ini begitu luas skop dan ruanglingkup untuk dihayati yang menjadi bahan maklumat dan dapat diperturunkan sebagai bahan yang dihayati dan dicatat. Memahami sifat Kamal Allah menanggapi tentang ketunggalanNya dan kedalaman falsafah tauhid dan keabadian sifat-sifat yang lain. Memahami tentang kekuasaanNya dapat menanggapi tentang ciptaanNya yang bersifat ghaib dan syahadah.  Segalanya dapat dibaca dengan mata lahir dan mata akal. SuruhanNya agar kita membaca membuka ruang yang luas untuk memahami segala kejadian hingga kepada diri di tengah makhluk ini. Juga memahami kehidupan dan perjuangan serta pergulatan. Ke mana manusia dibawa arus kehidupan dan ke mana seharusnya mereka mendapat bimbingan dan bagaimana menghadapi masa depan yang mendepani berbagai ujian hidup. Memahami tabiat dan watak manusia sebagai pelakun hidup yang seharusnya bermatlamat. Seharusnya pandangan kesegalaan  berasaskan prinsip dan panduan. Pendeknya begitu banyak perkara untuk diperkata. Tetapi semuanya tidak terseleweng jika berdasarkan prinsip dan pegangan panduan. Kesan positif dari segi keilmuan dan estetika  seharusnya  dapat  memberi  impak positif pada khalayak secara berprinsip dan terbimbing agar semuanya terselaras dan terarah kepada yang diredai.


Takmilah adalah merupakan perjalanan kualiti dilalui oleh pengkarya yang melalui ciri estetika dapat mencapai nilai estetika tertinggi. Satu aspek yang menjadi kombinasi penting bagi Takmilah yang biasanya meningkat secara serentak ialah elemen akli atau ilmu yang  harus dimiliki oleh pengkarya dan penghasil yang dapat mencerap kewujudan sebagaimana diperkatakan di atas dan  dari segi perjalanan kualitinya meningkatkan daya seni serentak dan kombinasi dengan daya ilmu bagi  menghasilkan karya  yang tinggi mutunya. Maksud keilmuan di sini juga  ialah keilmuan bantu kepada aspek kreatif. Ilmu sedemikian adalah luas dan berbagai-bagai. Misalnya penguasaan ilmu-ilmu agama, katakan seperti tafsir, Hadith, syariah dan akidah tentulah membantu pengkarya memahami Islam lebih mendalam, keilmuan-keilmuan alamiah pula  memberi  kesan maklumat kepada karyanya. Keilmuan juga dimaksudkan kepada keilmuan yang berhubung dengan bidang kreatif. Katakan jika dia menulis puisi. dia mesti menguasai kaedah-kaedah berpuisi secara mendalam dan cara mengungkapkannya. Begitu juga dengan kaedah-kaedah penulisan prosa kreatif. Demikianlah  dengan  seni arkitek, tentu tidak dapat dihasilkan hasil arkitektur tanpa pengajian dan jiwa seni arkitek berkenaan. Demikianlah dengan bidang-bidang seni yang lain.
 Semua saluran peningkatan adalah bersifat perjalanan kualiti. Misalnya melalui jalan estetika yang jalan harus dilalui dalam peningkatan ialah sifat estetik yang bersifat alami kepada estetika rohani , menyentuh rasa ihsan, ahsan hingga menyentuh wilayah Jamal, manakala bagi pengkarya dia seharusnya miningkatkan diri kepada pandangan yang melihat tentang takamul, akmal, Kamil dan Kamal, manakala dari aspek minda seharusnya meningkatkan keilmuan dalam Islam yang diterima dari Junjungan Rasulullah s.a.w. yang diterima dari Allah antaranya melalui Al-Qur`an.
Objek yang penting dari karya dan penghasilan ialah `Khalayak`. Khalayak melalui karya dan penghasilan diajak sama meniti perjalanan kualiti yang dapat meningkatkan diri kepada nilai-nilai tinggi yang terhimpun secara ideal pada karya bersifat Takmilah.
Dalam peningkatan bagi individu dan karya  mendidik khalayak yang secara tidak langsung membantu masyarakat dan Negara  dalam membangunkan tamadun  Negara dan peradabannya.  Pendekatan yang menekankan peradaban dan tamadun adalah merupakah wadah bagi membina Negara yang disifatkan di dalam Al-Qur`n:
Al-Balad Al-Amin (Al-tin: 3)  yang diperluaskan lagi dengan gambaran Baldah Tayyibah wa Rabbun Ghafur (Saba`: 15).
Takmilah sebenarnya boleh diaplikasi bagi penilaian terhadap segala karya dan hasil yang  bersifat kreatif dan mempunyai  nilai ilmu dan seni. Contoh:
1)      Penulisan kreatif seperti puisi , cerpen, novel, hikayat dan cetera.
2)      Seni bina seperti rumah dan masjid
3)      Tulisan  seperti khat dan kaligrafi Cina
4)      Penghasilan bersifat  persuratan. Contoh perlembagaan dan histriografi
5)      Hasil kerja tangan yang bersifat kraft, tenunan dan anyaman
6)      Seni suara seperti tilawah Al-Qur`an, salawat al-Rasul, nasyid, marhaban dan sebagainya.
7)      Sesuatu yang bernilai purba dan berdaya estetik dan permuziuman
8)      Seni lukis dan animasi
9)      Senilakun, filem dan drama
10)   Seni taman dan hias.
Bagi setiap bidang mempunyai kaedah keilmuan dan pendekatan dari segi kreatif dan penilaian.
Takmilah adalah mekanisme yang  menyalur pengkarya ke nilai Islam, iaitu melalui ilmu-amal dapat meningkatkan diri kepada menghayati  estetika yang bersifat Islam hingga minda dan jiwanya tepu dengan  nilai dan seni keislaman. Dengan ketinggian ilmu dan kehalusan seni dapat membentuk jiwa berkesedaran tinggi dari segi tamadun dan peradaban. Para seniman muslim secara tidak langsung sama membina tamadun,  peradaban  dan kemanusiaan.

Sekian.

No comments:

Post a Comment