November 12, 2014

Memahami Perlaksanaan Kanun Jenayah Syariah Di Brunei


BBB, 18 Muharram 1436 = 11 November 2014 (Selasa):
Kita telah mengikuti penggaluran perkembangan Kanun Jenayah Syariah di Brunei sejak dari zaman tradisi (600 tahun lepas hingga kini) yang dibentangkan oleh  Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia Dr. Ustaz Awang Abdul Aziz bin Juned  melalui Ucaputama yang disampaikan di dalam Multaqa Sultan Sharafuddin Idris Shah bertempat di ODT, Dewan Jubli Perak, Shah Alam. Namun kita tidak dimaklum mengenai perlaksanaannya.. Mengenai  perlaksanaan ini dibentang  selepas Ucaputama disampaikan oleh  Yang Mulia Tuan Haji Mohammad Yusree bin Haji Junaidi, selaku Penolong Peguamcara Negara, Jabatan Peguam Negara Brunei Darussalam. Tajuk kertaskerja beliau ialah, ``Kanun Hukuman Jenayah Syariah: Perlaksanaan Dan Cabaran``. Pembentang adalah berkelulusan undang-undang dari United Kingdom, di samping mendapat pendidikan agama secara formal, seorang pengamal undang-undang sivil dan pendakwa kes-kes jenayah di mahkamah sivil dan penasihat undang-undang selama lebih 23 tahun. Turut menggubal undang-undang sejak 1995, termasuk undang-undang Islam di Brunei.
Pengumuman perlaksanaan Kanun Jenayah Syariah di Brunei 1913, tidak bererti  `pemisah tajam` antara Kanun Jenayah Sivil sebelumnya dengan Kanun Jenayah Syariah mulai 2013 dan selepasnya. Sebaliknya masih bersifat dwi-fungsi yang mengutamakan Kanun Jenayah Syariah, tetapi  diperuntukkan  pendakwaan  di bawah Penal Code di Mahkamah Sivil dalam keadaan tertentu.
Sebagai keterangan, maklumat berikut adalah sebagai penjelasan bagi praktik perlaksanaan Kanun Jenayah Syariah:


Sistem Keadilan Jenayah  Setelah Penguatkuasaan Kanun Hukuman Jenayah Syariah
``Pada menjunjung hasrat Baginda yang murni tersebut dan berpandukan titah serta amalan yang digunapakai sekarang bagi kes-kes jenayah termasuk yang mempunyai pertindihan bidang kuasa Akan  diselesaikan secara khusus seperti berikut, iaitu melalui procedure penyiasatan, penilaian keterangan dan jika setelah penelitian bukti yang mencukupi bagi pendakwaan, maka pendakwaan akan dibuat oleh Pendakwa Syarie dengan dibantu oleh Timbalan Pendakwaraya jika perlu.
Kes  jenayah tersebut akan didengar di hadapan Mahkamah Syariah atau Mahkamah Tinggi Syariah tertakluk kepada bidang kuasa masing-masing.
Bagi kesalahan-kesalahan yang bertindih (Kesalahan di bawah bidang kuasa kedua-dua Mahkamah Syariah dan Mahkamah Sivil).
Penyiasatan kes-kes yang melibatkan kesalahan-kesalahan yang di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah dan Mahkamah Sivil seperti curi, rompak, bunuh, melakukan kecederaan dan rogol, akan seperti pada masa sekarang, dilaporkan kepada dan disiasat oleh Pasukan Polis Diraja Brunei dengan dibantu oleh Unit Penguatkuasa Agama dan agensi-agensi Penguatkuasaan Undang-Undang lain, jika berkenaan.
Setelah penyiasatan selesai dijalankan, kertas siasatan akan dihadapkan bagi penelitian kepada  Pendakwa Raya dengan dibantu oleh Ketua Pendakwa Syarie jika perlu. Penilaian akan dibuat samaada terdapat keterangan yang mencukupi bagi pembuktian kesalahan-kesalahan di bawah Perintah Kanun Hukuman Jenayah Syariah atau jika suspek ingin membuat pengakuan salah secara iqrar menurut Perintah Keterangan Mahkamah Syariah dan Perintah Kanun Peraturan Jenayah Syariah.
Dalam hal yang sedemikian, maka kes tersebut akan dipindahkan ke Mahkamah Syariah dengan pendakwaan dibuat oleh Pendakwa Syarie dengan dibantu oleh Timbalan Pendakwa Raya jika perlu. Jika sebaliknya, maka pendakwaan akan diteruskan di bawah  Penal Code di Mahkamah Sivil.``
                                                                     (Rumusan dari kertaskerja, hlm.  11-12).
Dari keterangan di atas menunjukkan bahawa Kanun Jenayah Syariah diberi keutamaan, manakala Undang-Undang Sivil masih digunakan jika diperlukan. Contoh keperluan Pembentang kertaskerja membawa contoh (andaian):
``Seorang pencuri  mencuri di  sebuah rumah, tuan rumah cuba menghalang, tuan rumah dibunuh oleh perompak dan merogol anaknya sebelum melarikan diri dengan barang curian.
 Culpable homicide amounting to murder di bawah bab 302 Penal Code. Kesalahan rogol adalah zina-bil-jabar di bawah Perintah Kanun Hukuman Jenayah Syariah dan rape di bawah penal code.
Dengan kes yang direpot kepada polis itu. Pendakwa Raya atau pendakwa Syar`1e akan kendali, Mahkamah Sivil atau Mahkamah Syariah ?
Sebagai menjawabnya Pembentang Kertaskerja memetik Titah KDYMM Sultan Brunei sebagai panduan perlaksanaan yang juga membuktikan kedua bidang perundangan Syariah dan Civil berjalan:
``Pada hemat Beta Akta Jenayah Syarak tidak ada masalah jika kita memilikinya di samping terus mengekalkan apa yang ada.
Dalam masa jika Brunei memiliki Undang-Undang Jenayah Syariah nya, ia juga boleh terus mengekalkan undang-undang yang sedia, mengapa ? Kerana kea rah perlaksanaan Undang-Undang Jenayah itu bukanlah satu perkara yang mudah tetapi amat sukar, mengapa ianya sukar, kerana syarat-syaratnya  terlampau ketat.


Walaupun ia tidak mudah dilaksanakan atau seperti mustahil untuk dapat dilaksanakan namun ia tetap dituntut untuk kita mempunyainya Akta Jenayah Syarak itu. Jika tidak pun dapat dilaksanakan dalam keadaan biasa tetapi mungkin dalam keadaan luar biasa yang tidak diduga seperti misalnya seorang mengaku berzina dan minta diadili dengan Undang-Undang Syarak, maka ketika itulah akta ini sudah tentu diperlukan tetapi bayangkan jika kita  tidak mempunyai dengan apakah kita dapat menyelesaikan masalah ini ? Mengingat sukarnya Undang-Undang Jenayah Syarak itu untuk dilaksanakan tidakkah pula masih releven jadinya Undang-Undang yang sedia ada sekarang dikekalkan juga. Mana-mana kes Jenayah Syarak atau dinilai terlebih dahulu samaada boleh sesuai, mencukupi syarat syarak untuk ditangani dengan Akta Jenayah atau tidak. Kalau tidak maka ia akan ditangani dengan undang-undang biasa yang ada sahaja tetapi setelah ia dirujuk kepada Undang-Undang Syarak terlebih dahulu.
Pada hemat Beta untuk menangani Jenayah Syarak itu kita wajar mempunyai akta kita sendiri yang benar-benar merujuk kepada Hukum Syarak sementara akta yang ada sekarang juga  dikekalkan untuk menangani sekiranya kes itu tidak sesuai atau tidak mencukupi syarat untuk ditangani oleh Akta Syarak.
Maka oleh itu Beta berpendapat akta yang ada pada masa ini pun masih releven untuk dikekalkan disamping kita perlu juga Akta Jenayah Syarak sebaga i  `reserve` bagi masa-masa tertentu, ia boleh dipakai.``
(Kertaskerja, Hlm. 9 -10).
Dari perbincangan,  huraian, contoh dan rujukan dibuat dapatlah difahami tentang Perlaksanaan Kanun Jenayat Syariah Di Brunei, namun sudah tentulah banyak soalan yang dapat ditimbulkan. Walau apapun jelas bahawa Kerajaan Brunei  melaksanakan azam menjalankan  Kanun Jenayah Syariah Di Brunei yang kita harus puji dan hormati.

Sekian.

No comments:

Post a Comment