November 5, 2014

Keunikan-Keunikan Masjid Al-Umm: Tarikan Untuk Dikunjungi


BBB, 11 Muharram 1436 = 04 November 2014 (Selasa):
Sedar atau tidak, tetapi Penulis mau menyedarkan pembaca-pembaca dan pengunjung-pengunjung ke Masjid Al-Umm, bahawa Masjid Al-Umm sebagai Pusat Ibadah Dan Pendidikan mempunyai keunikan-keunikan  yang mengidentitikan masjid berkenaan. Keunikan –Selain dari daya tarikannya adalah lebih pada bahagian depan dari bahagian pintu masuk, terdapat –keunikan-keunikan lain. Keunikan-keunikan ini  adalah reality yang dihidup dan disegarkan dengan daya imaginasi dan kreativiti. Keunikan-keunikan ialah:


1)      Berada Di Wadi Ilmu
Tapak masjid yang ditentukan oleh pihak berkuasa sejak Bandar Baru Bangi ada dan dibuka adalah berada di dalam lembah yang dipagari dengan bukit-bukit, iaitu Bukit-Bukit Bangi. Dalam perkembangannya lembah ini selain dari berkembang dengan kawasan perumahan dan perniagaan, ketara lahir pusat-pusat keilmuan dan pendidikan. Antara pusat-pusat kelimuan dan pendidikan:
a)      Pusat Keilmuan Dan Pendidikan
Kompleks Pendidikan Islam Bangi, Dar Al-Shifa` ,  6 buah sekolah dan beberapa pra-sekolah
b)      Surau-Surau
Terdapat 10 buah surau mengelilingi Masjid Al-Umm
Dengan kedudukannya yang strategic dan unik, maka dilihat Masjid Al-Umm sebagai berada di dalam `Wadi Ilmu` . Masjid Al-Umm bukan sekadar berada di Wadi Ilmu , tetapi akan berusaha menjadikan Masjid selain dari tempat ibadah, tetapi akan diimarahkan sehingga  menjadi  induk perkembangan  ilmu dan pendidikan di Wadi Ilmu berkenaan, bahkan di Bangi
2.   Bahtera Berlabuh Sementara Di Dermaga
Kedudukan tapak Masjid Al-Umm yang unik, berada di pinggir semi bukit dan bahagian bawahnya di benteng (tembok) dengan konkrit yang kukuh, maka setelah  naik bangunan Masjid Al-Umm tiga tingkat ini, ianya seolah-olah bahtera yang sedang berlabuh sementara didermaga yang haluannya mengarah ke Kiblat. Imaginasi tentang bahtera ini benar-benar hidup sedang tiang-tiang bagi kubah dan lain-lain sedang naik bermunculan. Ianya gambaran indah bahawa pada tiang-tiang berkenaan tali-tali layar terikat pada tiang-tiang mengebarkan layar-layar ditiup angin, khususnya tatkala dalam pelayaran. Imaginasi boleh dipanjangkan dengan falsafah bahawa hidup adalah sementara dan dalam pelayaran menuju keabadian. Persinggahan adalah lambing kesementaraan dan dalam tempoh kesementaraan ini hendaklah seorang hamba hidup berkhidmat dan beribadat kepada Allah semasa dalam perjalanan menuju keabadian.


3.  Tidak Menyedari Adanya Tingkat Bawah Tanah
Masjid Al-Umm mempunyai level bawah tanah pada bahagian hadapannya. Menurut rekabentuk asal dari segi arkiteknya Masjid ini hanya dua lapis. Sebagai bonus melalui mesyuarat, dicadangkan bahawa masjid yang berada dipinggir bukit ini wajar dikorek dibawah bahagian depan menjadikan level bawah tanah – tiga tingkat. Dengan demikian masjid mendapat extra ruang yang boleh memuatkan 1,000 orang jamaah lagi atau ruang berkenaan boleh digunakan untuk berbagai fungsi.
Uniknya jika jamaah atau orang-orang  baru datang masuk melalui jalan masuk utama ke Masjid, mereka tidak akan menyedari bahawa di bawah dari level utama masjid mempunyai satu lagi aras – Aras bawah tanah.  Juga uniknya jika sebarang kegiatan dilakukan pada bahagian bawah aras tanah ini seperti seminar, majlis kenduri  dan pertemuan tidak akan mengganggu kegiatan masjid di aras utama dan aras tiga.
4. Mesra Muslimat Dan OKU
Masjid Al-Umm menyediakan tangga khusus bagi kaum muslimat yang hadir ke Masjid Al-Umm sama ada untuk berjamaah atau menghadiri Majlis Ilmu pengetahuan dan kegiatan kewanitaan. Mereka boleh menggunakan tangga sisi sebelah kanan masuk dari bawah atau tangga depan jalan masuk ke masjid. Kedua-duanya berada di sebelah kiri menghadap Kiblat tanpa ada gangguan lain dari muslimat menggunakan kedua-dua tangga berkenaan.  Sebagai extra kemudahan bagi muslimat yang  tak berupaya atau OKU, maka bagi mereka disediakan lift khusus tidak jauh dari tangga  jalan masuk. Bagi lelaki yang tak berdaya atau OKU mereka tak perlu kepada lift, kerana level utama bagi mereka ialah aras tanah.


5. Kubah Al-Munawwarah
Satu daya tarikan lagi bagi Masjid Al-Umm bahawa masjid ini akan memasang Kubah yang unik berbentuk separuh bujur telur . Kubah ini mempunyai `Tunjuk Langit Berlambangkan Kalimah Al-Umm` pada puncaknya. Kubah dan Lambang bercahaya  berwarna  kekuning-kuningan . Cahaya ialah dari badan Kubah  dan lambang, bukan dipancar dari luar. Warna Kubah dan Lambang dijangka dapat dilihat sejauh memasuki Tol Bangi dan dapat dilihat juga dari Jalan Reko-Jalan UKM.  Oleh kerana keunikan Kubah masjid ini, pernah dicadangkan dalam mesyuarat  - tidak serius untuk memanggil Masjid Al-Umm ini sebagai `Masjid Al-Umm Berkubah Munawwarah` atau secara ringkas `Masjid Al-Umm  Al-Munawwarah` yang memberi  beberapa konotasi bermaksud bercahaya secara lahir, juga merujuk kepada  `Pusat Ilmu` dan juga mengambil sempena dan keberkatan  Madinah Al-Rasul `Al-Madinah Al-Munawwarah`.
Diharap dengan keunikan-keunikan di atas, Masjid Al-Umm di samping kegiatan dan pengimarahan dengan ibadat dan pengajian keilmuan, maka keunikan-keunikan di atas menjadi faktor tambahan dan daya tarikan orang ramai dan masyarakat berkunjung ke Masjid Al-Umm secara khusus dan Bangi secara umum.
Diharap Masjis Al-Umm menjadi `Landmark Utama Bangi`- Pusat Ibadat Dan Keilmuan` - Mesra Kunjungan.

Sekian.

No comments:

Post a Comment