BBB, 03 Safar 1436 = 26 November 2014 (Rabu):
Al-Qur`an adalah contoh piawaian tertinggi bagi Teori
Takmilah. Al-Qur`an adalah Kalam Allah yang paling sempurna. Kesempurnaan boleh
dilihat dari berbagai-bagai segi. Contoh:
1)
Kesempurnaan sebagai sumber akidah
2)
Kesempurnaan dari segi sumber hukum dan perundangan
3)
Kesempurnaan dari segi Bahasa dan Balaghahnya (sastera)
4)
Kesempurnaan dari segi kejadian manusia
5)
Kesempurnaan dari segi keilmuan sains dan alam
6)
Kesempurnaan dari segi maklumat astronomi dan
cakrawala
7)
Kesempurnaan dari segi bidang kerohanian
8)
Kesempurnaan dari segi maklumat keakhiratan
9)
Kesempurnaan nilai dan akhlak
Dan boleh ditambah lagi dengan bidang-bidang yang releven’
Dilihat dari segi Takmilah memang dituntut di dalam
perjalanan kualitinya meningkat ke a rah kesempurnaan tertinggi . Tetapi pada hakikatnya
tahap-tahap kesempurnaan berkenaan tidak pernah sampai ke tahap maksimumnya.
Ini adalah kerana ada kelemahan-kelemahan menghalang sampai kepada tahap
maksimum. Kelemahan-kelemahan berkenaan boleh dilihat seperti di bawah.
1)
Al-Qur`an
adalah lengkap. Untuk memahaminya perlu didalami, walaupun kita tidak mungkin
memahami sedalam ke hakikatnya. Pendalaman melalui ilmu perjalanan Takmilah
yang juga tidak mungkin sampai ke tahap maksimum. `Al-Qur`an qad Nuzila wa lakin la yazal yatanazzal`
bermaksud ` Al-Qur`an sememangnya telah diturunkan, tetapi pengolahan dan penafsiran berkembang`. Jadi
maksud kefahaman dan keilmuan makin
berkembang di dalam menuju Takmilah, namun
di dalam perjalanan tiada titik akhir ke Takmilah.
2)
Kelemahan yang ada pada diri seseorang sama ada
kelemahan akal fikiran - ilmu dan
kerohanian untuk mengikuti dan memahami bidang berkenaan.
3)
Sifat ilmu makin berkembang, bukan saja bagi
bidang keilmuan khusus berkenaan, tetapi turut sama ilmu-ilmu bantu yang dapat
membantu kefahaman ilmu khusus berkenaan. Ini meluaskan ilmu dan jurang bagi
Takmilah
4)
Keilmuan tidak lengkap hanya dengan kefahaman,
tetapi memerlukan keterlibatan dan penghayatan yang mendekatkan diri bagi
memahami tahap kebenaran
5)
Ada halangan luar yang di luar dan tak berkenaan
dengan bidang seperti kufur dan tidak menerima kebenaran
Dan mungkin boleh ditambah dengan kelemahan-kelemahan yang
lain yang menghalang Takmilah bagi sesuatu bidang berkenaan.
Sebagai contoh kita ambil bidang akidah sebagai bidang utama
disebut di atas. Rujuk saja kepada Surah Al-Ikhlas bagi ayat pertama bermaksud:
``Katakanlah Dia Adalah Allah yang Tunggal.`
Soal ini melibatkan falsafah dan Hakikat Tauhid. Huraian
dibuat dari segi akidah, misalnya menurut Ash`ari-Maturidi bahawa Tunggal atau Esa Allah tidak berjirim
dan berjisim dan tidak tersusun sama ada dari kam muttasil atau munfasil. Ia
Tunggal dengan dirinya. Ketunggalan didekati dengan sains logic seperti kata Muhammad Abduh:
``Di antara sifat yang wajib juga bagiNya adalah sifat Esa.
Esa dalam Zat, dalam sifat, dalam wujud dan dalam perbuatan. Adapun Esa dalam
Zat bahawa Zait itu tidak menerima tarkib (tidak tersusun dari berbagai unsur),
baik di luar maupun di dalam akal sendiri. Tentang Esa (Ke-Esaan, Tunggal)
dalam sifatNya, ialah bahawa tidak ada yang menyamaiNya dalam sifat-sifat yang
tetap bagiNya di antara yang maujud ini.
Adapun mengenai Esa (Ke Esaan, Tunggal) dalam wujud dan perbuatan,
maksudnya ialah ZatNya sendiri yang
wajib wujud (ada) dan Ia sendirilah (tanpa campur tangan orang lain) untuk
mengadakan segala apa yang mungkin ada ini.``
(Muhammad Abduh, Risalah Tauhid, Bulan Bintang, Jakarta,
1979: 74-75).
Sedang di sana ada yang tidak gemar membahas tentang keesaan
Tuhan dengan logic-rasional, tetapi lebih mesra mendekatinya secara intuisi
cinta seperti ditanya kepada Al-Junaid tentang tauhid,katanya:
``Adalah hamba lintasan dihadapan kekuasaan Allah, berlari
di atasnya larian tadbirNya pada larian hukum kudratNya di dalam gelombang laut
tauhidNya dengan fana` dirinya dari sebarang dakwaan…``
Dan katanya lagi: ``Tauhid ialah keluar dari garis kesempitan
zaman kepada keluasan fana sarmadaniyyah.``
(Abu Nasr Al-Sarraj Al-Tusi, Al-Luma`, Dar al-Kutub
al-Hadithah, Misr wa Maktabat al-Muthanna, Baghdad, 1380/1960: 49).
Bayangkan kedalaman lautan Tauhid yang tak dapat dijangkau dan
tak terselam dan makin halus perjalanan yang tidak mungkin sampai yang boleh
diibaratkan sebagai terbakar dalam kerinduan dan perjalanan.
Bayangkan keluasan-keluasan yang lain yang memang diteroka
dan terus diteroka hingga sampai di mana dan belum sampai ke mana baik dari
segi hakikat hukum, rahsia jamal, latif, rahman, rahim, ra`uf, ihsan dari segi
seni, jiwa dan rohani dan berbagai-bagai lagi yang terus menjadi cabaran dari
segi Takmilah untuk diterokai dan dihayati. Kita tunduk mendepani firman Allah
bermaksud:
``Katakanlah (wahai Muhammad), kalaulah semua jenis lautan
menjadi tinta untuk menulis kalimah-kalimah Tuhanku, sudah tentu akan habis
kering lautan itu sebelum habis kalimah-kalimah Tuhanku, walaupun kami tambahi
lagi dengan lautan yang sebanding dengannya, sebagai bantuan.`` (Al-Kahfi: 109).
Kita sebenarnya menyusuri pantai ilmu yang hanya mampu
memetik butiran-butiran kecil daripadanya di dalam menuju kerahsiaan yng juga perjalananTakmilah.
Sekian.
No comments:
Post a Comment