BBB, 12 Jamadil Awwal 1437 = 21 Februari 2016
(Ahad):
Kata Shaykh Muhammad bin Yusuf al-Sanusi di
dalam Matan Umm al-Barahin,
``Dan adapun sekalian Rasul Allah `alayhim
al-salam, maka wajib bagi Dhat mereka itu tiga perkara (pertama) Benar (dan
kedua) Kepercayaan (dan ketiga) Menyampaikan
barang yang disuruh akan mereka
itu dengan menyampaikan bagi sekalian makhluk (Penulis – Satu lagi sifat yang
wajib bagi Rasul-Rasul ialah Fatanah, iaitu cerdik). Perhatikan bahawa pihak
pengarang matan menyebut `kewajipan pada `haq mereka itu – diberi istilah oleh
penghurai kepada maksud `dhat` rasul, yang boleh difahamkan sebagai `diri`)
Menurut penghurai bagi matan, iaitu Shaykh
Muhammad Zain bin al-Faqih Jalaluddin,
``(Dan inilah) bahagi yang kedua setengah
daripada barang yang wajib atas tiap-tiap mukallaf mengenal dia dan iaitu
ta`alluq sekalian Rasul `alayhim al-salat wa al-salam dan iaitu barang yang
wajib pada hak mereka itu dan barang yang mustahil dan barang yang harus, iaitu
tiga sifat sebagaimana disebut oleh pengarang matan. Penghurai menambah,
``Bahawasanya sekalian Rasul Allah itu wajib
bersifat mereka itu pada yang lain daripada tiga ini akan sekalian sifat
kamalat yang tiada baginya terhingga dan berkesudahan, tetapi yang demikian itu
atas sekira-kira kamalat yang baharu dan
wajib pula atas tiap-tiap mukallaf mengetahui yang demikian itu, tetapi atas
jalan perhimpunan.
Sebagaimana pola bagi sifat wajib, mustahil
dan harus bagi Allah, maka demikian pula selepas membicarakan tentang
sifat-sifat wajib bagi Rasul, maka dibicarakan sifat-sifat mustahil kepada
mereka. Kata pengarang matan,
``Dan yang mustahil bagi dhat mereka itu
`alayhim al-salat wa al-salam segala lawan sifat yang tiga itu.
(Yang Pertama) Dusta
(Dan Yang Kedua) Khianat dengan berbuat
sesuatu daripada barang yang ditegahkan daripadanya tegah yang haram dan tegah
yang makruh.
(Dan Yang Ketiga) Menyembunyi sesuatu daripada
barang yang disuruhkan mereka itu dengan menyampaikan dia bagi segala makhluk.
(Bagi yang mewajibkan empat sifat, maka lawan bagi sifat cerdik ialah mustahil
Rasul bodoh),
Sebagaimana pola sifat-sifat wajib, mustahil
dan harus bagi Allah, maka demikianlah bagi Rasul, kata penyusun matan,
``Dan harus pada hak (dhat) mereka itu `alayhim
al-salat wa al-salam barang yang ia daripada kelakuan anak Adam yang tiada
memabawa kepada kekurangan pada martabat mereka itu yang maha tinggi seperti
sakit dan seumpamanya.
Berikut dari membicarakan sifat-sifat yang
wajib bagi Rasul, mustahil dan harus, maka penyusun matan mengukuhkan
sifat-sifat wajib berkenaan dengan `burhan.
Bagi sifat benar kata penyusun matan:
``Adapun burhan wajib `Benar` bagi Rasul-Rasul
`alayhim al-salat wa al-salam, kerana kalau mereka itu tidak benar, maka lazim
mereka itu dusta pada khabarnya Allah Ta`ala bagi membenarkan mereka dengan
mu`jizat yang diturunkan sebagaimana turunnya firman Allah Ta`ala membenarkan
hambanya bagi setiap yang disampaikan. Huraian lanjut daripada penghurai bahawa
tidak berlaku dusta pada pihak Rasul,. Maka jikalau harus di sana pada hak
sekalian Rasul nescaya harus pula di sana pada hak Allah Ta`ala, kerana
membenarkan yang dusta itu dusta pula seperti dia dan mustahil, kerana
bahawasnya dusta atas Allah Ta`ala itu kekurangan dan Maha Suci Allah Ta`ala
daripada kekurangan.
Berhubung dengan sifat amanah kata Shaykh
Muhammad bin Yusuf al-Sanusi, ``Adapun burhan wujud amanah bagi mereka itu `alayhim
al-salat wa al-salam, kerana jikalau mereka itu khianat dengan membuat perkara
haram atau makruh akan bertukar perkara haram dan makruh sebagai ketaatan pada
hak mereka itu `alayhim al-salat wa al-salam kerana Allah Subhanahu wa Ta`ala
sesungguhnya telah menyuruh kita dengan menurut mereka itu pada kata-kata dan
perbuatan mereka, Dan Allah Ta`ala tidak menyuruh melakukan perkara haram dan
tidak perkara makruh dan ini dengan `ainnya ia adalah burhan dengan wujubnya
amanah. Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. terpelihara dari perkara yang haram dan
makruh dan perbuatan Nabi kita berkisar pada perbuatan wajib, sunat dan harus.
Dan burhan bagi sifat tabligh, bahawa jika
Rasulullah tidak menyampaikan, sudah tentu tidak sampai pengajaran Islam yang
kita terima dan amalkan, tetapi kita adalah menerima pengajaran melalui
Al-Qur`an yang dengan amanah disampaikan oleh Rasulullah dan juga Hadith-Hadith
yang sampai kepada kita yang dengan keduanya menjadi pegangan bagi Ahlu
al-Sunnah wa al-Jamaah.
Dan burhan bagi Rasul bersifat dengan
sifat fatanah, terbukti jika Baginda
tidak bersifat fatanah, Baginda tidak dipilih dalam peristiwa Tahkim sebagai
pendamai ketika berlaku pertikaian antara kabilah untuk meletakkan kembali
hajarul aswad bila Ka`bah dibaiki ketika zaman remaja Baginda dan kalau tidak
fatanah, maka Baginda tidak dipercayai oleh Khadijah membawa dagangan ke Sham dan terpenting jika tidak fatanah
maka tanggungjawab kerasulan tidak berlaku, tetapi berjalan dengan baik dan
Islam tersebar dengan sempurna.
Berhunung dengan sifat harus bagi Rasul yang
disebut oleh Muhammad Yusuf al-Sanusi dan diterjemah oleh Muhammad Zain bin al-Faqih Jalaluddin bahawa,
Dan adapun dalil harus a`rad bashariyyah
(sifat-sifat kemanusiaan) atas mereka itu `alayhim al-salat wa al-salam, maka
dilihat jatuhnya dengan mereka itu ada
kalanya kerana membesarkan pahala mereka itu atau kerana mengajar atau kerana
sabar daripada dunia dan kerana mengingatkan bagi kekejian kadar dunia pada Allah Subhanahu wa Ta`ala
dan ketiadaan reda Allah Ta`ala dengan dia akan negeri membalas bagi sekalian
auliya`Nya dengan sekira-kira bagi kelakuan mereka itu di dalamnya `alayhim
al-salat wa al-salam. Peristiwa yang merakamkan sifat dan perjalanan Nabi
sebagai bukti sifat kemanusiaannya terakam di dalam Al-Qur`an dan Hadith-Hadith
Baginda yang diriwayatkan secara mutawatir. Keharusan bagi Rasul ialah seperti
makan, minum, tidur, berkahwin, gembira, sakit dan sebagainya.
Dengan pembicaraan sifat harus bagi
Rasul-Rasul ini genaplah huraian bagi kandungan sifat-sifat wajib, mustahi dan
harus bagi Allah dan Rasul yang terkandung di dalam dua kalimah shahadah.
Sekian.