BBB, 27 Dzul Hijjah 1437H. = 29 September 2016 (Khamis):
Jika dilihat kepada beberapa keilmuan
Islam, khususnya keilmuan tiga serangkai, iaitu akidah, fiqh dan tasawuf
(termasuk akhlak), masing-masing mempunyai
pendekatan dan ciri yang membezakan antara keimuan berkenaan. Akidah
adalah ilmu yang membicarakan antara pokok utama mengenai ketuhanan bersifat
rasional dan mempunyai pendekatan yang kemas dan penggunaan istilah yang tepat
dan tidak boleh berlebihkurang dan seharusnya tidak membuka ruang kepada sebarang
kekeliruan. Manakala fiqh lebih bersifat peraturan dan undang-undang. Tiap
bidang dalam bidang berkenaan ada huraian dari segi lughah dan istilah-istilah,
hukum dan rukun dan sah serta batal. Manakala bidang tasawuf yang ada
didalamnya aspek rohani dan seni rohani, lebih membicarakan aspek dalaman dan
menekankan pembersihanan rohani dan ada perjalanan kualiti rohani dalam menuju
Ilahi. Berlainan dengan akidah dan fiqh
seharusnya mempunyai istilah yang ketat dan tepat, maka di dalam tasawuf
penggunaan istilah kadang-kadang dipengaruhi oleh elemen wujdan dan seni rohani. Bahasanya
kadang-kadang nipis melayang dan bercabang makna dan berintuisi rasa. Contoh
puisi-puisi cinta ilahi dan gambaran-gambaran kerohanian yang intuitif sifatnya. Namun aspek-aspek yang berhubung
dengan ketuhanan autoriti akidah seharusnya mengatasi aspek ketasawufan agar
tidak menimbulkan kekeliruan.
Dalam membicarakan persoalan hal maka kita
dapati ada tahap-tahap perjalanan kualiti yang disusun secara seturut yang
keseturutan juga bersifat subjektif dan kualitatif. Keseturutan dan
perkembangan adalah menurut peningkatan kualiti hal yang dilalui oleh seorang
yang menjalani peningkatan kualiti hal yang di dalamnya bukan saja bersifat
subjektif, bahkan psikologi. Sebagaimana sifat hal yang merupakan suasana yang
berlaku pada hati dan tidak kekal, tetapi di atas tidak kekal dan boleh berlalu
seorang pejalan kerohanian berusaha menggapai tahap-tahap di dalam istilah
subjektif , ``Mendekati Ilahi`. Iaitu melalui kualiti rohani yang diistilah
bermula dari al-qurb (dekat), al-mahabbah (kasih cinta0, al-khauf (takut),
al-raja` (harap), al-shauq (mesra), al-uns (jinak), al-tama`ninah (tenteram),
al-mushahadah (penyaksian) dan al-yaqin (yakin).
Mengenai persoalan `al-raja` (harap), maka
ianya ada semacam penggunaan konsep tashbih antara hubungan sesama alamiah dan
ketuhanan yang sudah tentu tidak mempunyai persamaan dengan tahap ketuhanan.
Walau bagaimana di dalam kehidupan dan muamalah kemasyarakatan biasa, seorang
pekerja di dalam sesebuah organisasi misalnya untuk memperbaiki dirinya dalam
hiraki pekerjaan di dalam kalangan pekerja-pekerja, dia tentu berharap dia
dapat meningfkatkan diri dari segi kualiti pekerjaan, hasil pengeluaran dan
dapatan, lantaran itu dia berusaha menunjukkan prestasi terbaik, maka dengan
itu dia berpeluang meningkat dan dalam istilah yang makin mendekati dan
mendapat penerimaan dan sanjungan dari majikannya yang mungkin dia akan lebih
diberi promosi dan kedudukan.
Tashbih sedemikian juga dapat dilihat dari
segi susunan, khussnya yang disusun oleh Al-Sarraj yang mungkin memberi faedah
lebih dari satu tujuan. Pertama menjadi pendekatan yang memudahkan pembicaraan
teantang aspek-aspek kualiti kerohanian dan kaedah-kaedah peningkatan. Kedua
pengamal kerohanian berkenaan dapat menyedari sirat (jalan) kualiti rohani yang
harus dijalani dan yang ditujui yang seharusnya
` ikhlas` dari segi praktik
rohani di dalam menuju bahkan mendekati Ilahi yang semestinya bersifat
subjektif dan rohani sifatnya yang kesannya memperbaiki dan meningkatkan
kerohanian oleh pengamal kerohanian tersebut.
Berhubung dengan `al-raja` (harap) yang menjadi tahap di dalam
hal itu, kata Al-Sarraj, ``Al-raja`` ialah hal yang mulia. Al-Sarraj mengambil
hujah dari firman Allah Ta`ala yang bermaksud:
``Dan adalah bagi kamu pada diri Rasulullah
itu ikutan yang baik bagi siapa yang mengharap Allah dan hari kiamat.``
(Al-Ahzab: 21) dan firmanNya lagi yang bermaksud:
``Mereka mengharapkan rahmat Allah dan
mereka takut dengan azabNya.`` (al-Isra`: 57).
Dan pada ayat yang lain firman Allah
bermaksud:
``Maka siapa yang mengharap menemui
Tuhannya, maka hendaklah ia mengamal dengan amalan yang salih dan dia tidak
mensyirikkan dengan hamba Tuhannya akan sesuatu.`` (al-Kahfi: 110).
Demikian dengan maksud sabda Nabi s.a.w.
bermaksud:
``Jikalau ditimbang takut seorang mu`min
dan harapnya nescaya berimbang.``
Dalam erti kata yang lain penggunaan konsep
raja` di dalam pendekatan hal di dalam tasawuf adalah menurut istilah yang
terdapat di dalam Al-Qur`an dan Hadith Rasulullah s.a.w. Harap ini dijadikan salah satu skema hal di
dalam pendekatan tasawuf.
Ini didukung dan diperkembangkan oleh
tokoh-tokoh sufi. Umpamanya berkata Abu Bakar al-Warraq:
`Dengan al-raja Allah merehatkan hati
orang-orang mumin yang takut dan jikalau tidak dengan raja` nescaya
rosaklah diri mereka dan pudar akal
mereka.``
Menurut Al-Sarraj `al-raja`` ada tiga bahagian. Iaitu raja` pada Allah,
raja` pada keluasan rahmat Allah dan raja` pada pahala dari Allah.
Adapun raja` pada Allah Ta`ala, ialah
seorang hamba yang tahaqquq di dalam raja`, maka dia tidak mengharap dari Allah
sesuatu, melainkan Allah.
Raja` pada keluasan rahmat Allah ialah dengan
mengetahui kemuliaan Allah kelebihan dan PemurahNya, maka menyegarkan raja`hamba
kepada Allah.
Adapun raja` pada pahala dari Allah ialah
bagi tahap murid yang mengharapkan raja` secara langsung.
Raja` ialah bersifat tafa`ul disertai amal
dan diiringi do`a. Harapan hanya kepada Allah.
Dalam raja`
ada elemen positif yang bersifat tafa`ul terhadap Allah bahawa Dialah
yang memustajabkan do`a dan meluluskan permohonan.
Raja` mengandungi elemen psikologi dan
kekuatan rohani yang selari dengan tuntutan Islam, bahawa seorang Islam tidak
seharusnya berputus asa. Dia berkeyakinan dan pergantungan hanya kepada Allah.
Sekian.