September 24, 2016

MAQAM REDHA: ANTARA KEMAHUAN DAN TERHAD CAPAIAN


BBB,  21 Dzul Hijjah 1437H. =  23 September 2016 (Jumaat):
Untuk survival  manusia di dalam kehidupan perlu kepada keperluan-keperluan. Misalnya untuk keselamatan fizikal perlu kepada makanan, pakaian dan perlindungan, untuk kemajuan perlu kepada ilmu dan kemahiran, untuk melahirkan kemampuan perlu kepada penglahiran bakat dan kebolehan.
Hidup bukan setakat pada bumi nyata,  jiwa perlu kepada kerohanian dan pegangan.
Desakan-desakan keperluan berkenaan  memberi daya gerak dan bertindak manusia melalui saluran-saluran yang bersesuaian. Hasilnya;
Melalui teknologi terkini di dalam pertanian manusia mampu mengeluarkan hasil tanaman yang mencukupi bagi keperluan tempatan dan dunia, mampu hasilkan bahan pakaian yang berpelbagai daripada berbagai material dan jurubina dan arkitek membina rumah dari rumah biasa dan taradisional kepada rumah-rumah moden sebagai tempat perlindungan dan juga perusahaan.
Menyedari kepentingan keilmuan wujud sistem pembelajaran dari  peringkat bawah hingga setinggi-tingginya dan lahirlah mereka yang berpelajaran yang memimpin dan mengisi keperluan-keperluan keilmuan, hasilnya manusia relatifnya meningkat dari segi pelajaran dan mereka berkhidmat di dalam berbagai bidang yang memajukan peradaban dan tamadun manusia sebagaimana yang dicapai kini.
Dari satu segi manusia adalah haiwan yang kreatif. Dengan daya kreatif yang ada pada mereka, lahirlah pemimpin berwibawa di kalangan mereka, lahir para arkitek yang meningkatkan seni bina  yang menarik, atau lahir budayawan, sasterawan  dan sebagainya yang dapat memenuhi keperluan minda, hati nurani dan rohani.  Bidang rohani pula   lebih diberi sumbangan oleh kalanagan ilmuan, ulama` dan rohaniwan – termasuklah ketasawufan.
Di dalam mengejar kejayaan, kemahuan manusia tiada had, tetapi kejayaan ada batas dan hadnya. Sesungguhnya tidak semua dicapai, tetapi tidak pula semuanya gagal. Ia merupakan hikmat Ilahi supaya manusia menyedari kelemahan dan tidak terus sombong dengan kejayaan. Waktu-waktu dia perlu insaf dan menerima hakikat penentuan. Misalnya mengalami bala, kematian, kerugian dan hilang apa yang disayang. Kehidupan ada surut pasang, gagal dan kejayaan, kadang perlu berserah dengan penuh pasrah dan insaf. Kesedaran sedemikian dapat membetikkan rasa redha dan shukur. Padanya manusia dapat merasai nikmat redha berasaskan akidah yang dipegang.
Berhubung dengan redha kata Al-Sarraj r.h.a. Redha adalah maqam yang mulia. Allah Ta`ala berfirman berhubung dengan redha bermaksud:
``Allah redha dengan mereka itu dan mereka redha dengannya.`` (Al-Ma`idah: 119).
Dan firman Allah yang bermaksud:
``Keredhaan daripada Allah itu lebih besar.`` (Al-Taubah: 72)
Bermaksud redha yang terbetik dari jiwa manusia adalah teramat kecil berbanding dengan keredhaan Allah kepada manusia.
Menurut Al-Sarraj redha adalah pintu Allah yanga maha besar, syurga di dunia, lantaran hati hamba tenang di bawah hukum Allah `Azza wa Jalla.
Di soal Al-Junayd tentang redha, katanya ``Radha hujung ikhtiar dan terangkat darinya (ikhtiar).``
Ditanya Al-Qanad r.h.a. daripada redha, maka katanya, ialah tenang hati dengan laluan qadha`.
Dan disoal Dzu al-Nun al-Misri daripada redha, katanya, suka hati dengan laluan qadha`.
Berkata Ibn `Ata` r.h.a., Eredha ialah memandang hati kepada qadim ikhtiar (pilihan) Allah Ta`ala bagi hamba, kerana bahawasanya ia mengetahui apa yang dipilih baginya itu terlebih afdhal, maka dia redha dengannya dan tanpa merendahkannya.
Berkata Abu Bakar al-Wasiti, Redha menggunakan kesungguhan engkau dan jangan engkau meninggalkan redha hingga dia menggunakan engkau, maka terlindung daripada engkau kelazatannya dan dari melihat hakikatnya.
Menurut Al-Sarraj redha ada tiga keadaan:
Pertama: Yang berusaha untuk menghilangkan kejutan sehingga hatinya mencapai kesamaan dengan apa yang berlari di atasnya hukum Allah.
Kedua: Yang hilang daripada melihat redhanya daripada Allah `Azza wa Jalla dan melihat redha Allah dengannya, sebagaimana firman Allah bermaksud, ``Allah redha mereka itu dan mereka redha denganNya, Lantaran dilihat sama antara susah dan senang dan antara tegah dan pemberian.
Ketiga: Hilang daripada melihat redhanya pada redha Allah. Allahlah yang menentukan redha. Sebagaimana kata Sufyan al-Darani., ``Tidak ada amal bagi makhluk yang diredhanya atau tidak diredha, tetapi redha dengan kaum yang termasuk dia antaranya demikian dengan tidak redha kaum yang dia termasuk bersamanya.
Redha pada hakikatnya  adalah pancaran keputihan hati seseorang yang tersepuh dengan berbagai-bagai ujian yang ada had tertunai kemahuan dan ada batas pemberian. Ini memberi keinsafan. Sebagai contoh kasih kepada orang kita kasihi, bila derita sakit berbagai ikhtiar dilakukan yang mungkin sembuh atau tidak, Usaha terbentur akhirnya dengan kematian yang tiada daya manusia  menyekatnya. Maka redha manusia di atas ketentuan Allah. Radha adalah puncak keindahan jiwa, ketenangan dan manis  akhirnya oleh berbagai-bagai ujian.. Ini adalah dilalui dan dialami orang beriman, tetapi tidak bagi yang kufur dan menentang.

Al-Sarraj mengakhirkan pembicaraan  tentang maqam dengan redha. Di sana ada maqam-maqam  yang lain seperti taat, shukur, sidq dan sebagainya yang akan dilengkapkan pembicaraannya oleh  pengarang yang datrang lebih kemudian daripadanya.

Sekian. 

No comments:

Post a Comment